Monday, November 25, 2013

Menunai Janji Di Bumi Eropah.....

14552_163466184862_3578429_n
Tahun 1978, di perkarangan Sekolah Inggeris Kulai, abah yang sedang memimpin tangan aku berhenti berjalan di hadapan pejabat pentadbiran sekolah. Abah tunduk dan menanya kepada aku, “Ady nak masuk sekolah Melayu ka atau sekolah Inggeris ka?”  dalam slanga pekat orang Penang. Aku pantas menjawab “nak sekolah Inglis” mungkin dengan pelat budak berumur 7 tahun. Abah bertanya soalan yang sama sekali lagi, dan aku memberikan jawapan yang sama juga, aku sendiri tidak tahu mengapa memberikan jawapan tersebut sedangkan ketika itu aku tidak tahu membezakan apa itu sekolah Melayu dan sekolah Inggeris. Minggu-minggu pertama di sini aku agak tertekan dan terpinggir apabila hendak bergaul dengan rakan-rakan bukan Melayu kerana mereka berkomunikasi dalam bahasa Inggeris. Tekad aku kuat semenjak itu untuk mempelajari bahasa internasional ini supaya boleh bergaul dengan bangsa-bangsa lain.  
DSC00704
Ada satu peristiwa yang sukar untuk aku lupakan semasa bersekolah di sini. Ketika itu aku berumur 9 tahun, darjah 3. Kami baru sahaja selesai menduduki peperiksaan awal tahun dan guru-guru sedang sibuk menanda kertas peperiksaan. Guru kelas seorang lelaki cina bernama Mr. Lim yang juga guru Ilmu Alam tiba-tiba memanggil dan menanya jika aku meniru dalam peperiksaan subjek Ilmu Alam. Aku katakan tidak, tetapi beliau cuba mengugut dan mengatakan aku meniru pelajar yang paling pandai di dalam kelas iaitu Sivayogini dan Mei Lian. Sivayogini duduk jauh beberapa baris dari aku dan Mei Lian pula duduk di barisan paling hadapan. Sedang beliau menggertak dengan memegang rotan, datang pula guru bahasa Inggeris bernama Mrs. Popallasingham, beliau menunjukkan kepada Mr. Lim keputusan subjek bahasa Inggeris kelas kami. Mereka berbual-bual seketika dan Mrs. Popallasingham pula cuba menggertak dengan membeliak-beliakkan mata mengatakan aku meniru dalam subjek bahasa Inggeris. Apa tidaknya, mereka bertindak begitu kerana aku mendapat markah tertinggi dalam subjek Ilmu Alam dan hampir markah penuh dalam subjek bahasa Inggeris!  
DSC00963
Sekitar pertengahan tahun 1980, Mak memimpin aku berjalan pulang dari sekolah sejauh 1 batu. Mak baru sahaja selesai berjumpa dengan guru kelas kerana mengambil ‘record book’ peperiksaan akhir tahun. Aku bertanya kepada Mak, “….kenapa kita tak pergi holiday? Kawan-kawan semua pergi macam-macam tempat….” Aku menoleh ke atas, tepat melihat wajah Mak yang sedang berpayung kerana menahan dari terik sinaran matahari. Mak menjawab “…esok bila Ady dah besar, pergilah kemana Ady nak, nak ke awan biru pun boleh”. Aku segera melihat ke langit, ke arah awan-gemawan sambil berfikir bagaimana aku hendak ke awan. Dari detik itulah aku menyimpan azam untuk ‘ke awan biru’. Apabila aku sudah sedikit besar dan cerdik, baru aku faham adanya kapalterbang yang membelah awan dan langit biru. Di sekolah menengah, Geografi menjadi subjek kegemaran. Aku hafal nama-nama tempat dan peta-peta sentiasa aku belek, sambil berazam untuk menjejaki semua tempat-tempat ini. Alhamdulillah, dengan izinNya, sehingga hari ini aku telah berjaya menjejaki ke 39 buah negara dan beratus-ratus kota di 5 buah benua. 
DSC00872  
Percutian ke Eropah kali ini aku bawa sekali Abah dan Mak, Anita serta suami ikut sekali memandangkan mereka juga punya waktu untuk menemani mereka. Aku terbang dari Athens setelah bercuti di pulau Mykonos yang indah, unik serta mendamaikan. Kami semua bertemu di kota Paris, City of Light (la Ville Lumière), juga terkenal dengan jolokan kota cinta, cinta kami kepada Abah dan Mak yang jauh lebih teguh dari mana-mana monumen buatan manusia di dunia ini. Hotel kami di Arrondissements 7th berdekatan dengan pelbagai kemudahan, terutamanya restoran-restoran makanan halal yang dikendalikan oleh warga Arab dan Turki. Stesyen metro pula betul-betul terletak di hadapan pintu hotel, cuma perlu menyeberangi jalan. Cuaca di awal bulan Jun ketika itu amat bagus, tidak terlalu sejuk dan sinaran matahari sentiasa memancar tanpa suhu yang tinggi. Segala-galanya sempurna ketika berada di kota Paris ini. 
paris  
Kami berada di Paris 4 hari dan 3 malam sahaja. Tidak puas. Namun sudah cukup untuk kami melawat ke beberapa lokasi ‘wajib’ di sini seperti Eiffel Tower, the Arc de Triomphe, the Notre-Dame Cathedral dan the Louvre Museum, dengan menggunakan perkhidmatan bas hop-on hop-off dan menaiki bot menyelusuri sungai Seine yang membelah kota Paris. Kami luangkan masa hampir sehari suntuk untuk membeli-belah. Paris salah sebuah kota fesyen dan syurga membeli-belah menyediakan pelbagai pilihan fesyen dan budget untuk semua pengunjung. Abah dan Mak tidak ketinggalan membeli-belah terutamanya di Galeries Lafayette. Semasa kami mencuba pewangi Annick Goutal di kaunter, Mak pula berbual-bual dengan promoter wanita Arab kelahiran Algeria. Wanita tersebut tertarik dengan tudung atau hijab yang dikenakan oleh Mak serta mengatakan Mak mempunyai raut wajah keibuan serta ‘positive aura’. Akhirnya sebagai tanda persahabatan, beliau menghadiahkan beberapa produk Annick Goutal kepada Mak. 
DSC00907  
Ada sekali sedang kami berjalan kaki di sekitar Galeries Lafayette, Abah yang berjalan seorang diri kerana sedikit terpisah dari kami - Mak dan Anita jauh di hadapan, manakala aku pula jauh di belakang Abah, cuba disamun oleh 3 orang perempuan Gypsy. Mereka mengepung Abah, seorang cuba menarik beg sandang, seorang cuba menyeluk-nyeluk di dalam jaket dan seorang memegang dari belakang. Aku menjerit dan berlari ke arah Abah, dan di seberang jalan seorang lelaki warga Paris cuba membantu dan menghalau wanita-wanita tadi. Alhamdulillah, tiada apa yg dapat dicuri dan Abah pula tidaklah begitu panik. Setengah jam kemudian, sedang aku duduk di tingkat atas bas hop-on hop-off, aku ternampak perempuan Gypsy tadi, sedang meluru ke arah 2 orang perempuan Melayu (mereka bertudung ‘Melayu’, gaya Melayu dan terdengar mereka menjerit dalam bahasa Melayu), mereka cuba menarik beg galas salah seorang mereka, dan seorang lagi wanita Melayu tersebut cuba bertarik-tarik tangan. Seketika kemudian, 2 orang perempuan Melayu tadi membuka langkah silat! 
DSC00955  
Awal pagi dengan hujan renyai-renyai, kami bertolak dengan keretapi laju Thalys yang agak mahal dari Stesyen Paris Gare du Nord menuju ke Brussels, ibukota negara Belgium yang mengambil masa sekitar 1 jam 20 minit perjalanan. Kami menginap di sebuah hotel yang terletak hanya 100 meter dari stesyen keretapi tersebut. Aku sengaja memilih hotel ini kerana lokasinya yang strategik serta perjalanan kami seterusnya perlu menaiki keretapi untuk ke London dan juga Bruges. Setelah selesai urusan daftar masuk, kami terus menuju ke sekitar Grand' Place-Grote Markt untuk makan tengahari. Aku pernah ke Brussels sebelum ini, sekitar November 1995 – setelah lebih 18 tahun, aku bertemu lagi dengan kota ini. Tidak banyak kenangan di kota ini aku kutip sebelumnya melainkan berdiri di tengah-tengah kawasan Grand Palace dan berjanji kepada diri sendiri untuk ke sini lagi. 
bruges  
Esoknya kami menaiki keretapi menuju ke Bruges, kota kecil yang indah dan bersih serta mempunyai karakter tersendiri. Cuaca yang nyaman pagi itu serta pelancong yang tidak begitu ramai dan persekitarannya yang menghijau amat mendamaikan jiwa. Unik, cantik dan terjaga rapi bangunan-bangunan di sini, manakala banyak terdapat kedai menjual cokelat serta cenderamata yang unik kepada Belgium. Kami menaiki sampan untuk melihat keindahan kota ini dari terusan-terusan yang dibina di antara bangunan-bangunan dan sejajar dengan beberapa lorong serta jalan, selain melalui di bawah jambatan-jambatan kecil. Sambil berjalan, kami menikmati gelatto dan sorbet, cokelat dan kekacang sementara mencari restoran yang menghidangkan makanan halal. Kami pulang semula ke Brussels dengan menaiki keretapi dan malam itu mereka semua hanya berehat di dalam bilik hotel kerana kepenatan. 
DSC00953  
Aku pula seperti biasa, meredah jalan-jalan serta lorong-lorong di kota lama ini. Aku berhenti di suatu tempat rehat, berkenalan dengan seorang ahli perniagaan Turki yang peramah, kemudian datang pula seorang pemuda tampan dari Palestine, berkulit warna ‘olive’, bermata hijau kelabu, yang ke kota ini kerana mengikuti kumpulan akrobatik antarabangsa, dan akhir sekali datang pula seorang pemuda dari Maghribi yang bertugas sebagai tukang masak di hotel Brussels. Akhirnya, 4 orang bujang Muslim dari pelbagai negara duduk menghisap Shisha, menghirup ‘turkish coffee’ sambil berbicara tentang diri dan berkongsi pengalaman hidup di perantauan. Malam itu, aku pulang ke hotel dengan membawa makanan enak dari sebuah restoran Arab yang berdekatan – seekor ayam panggang, nasi arab, salad, pizza dan kentang goreng. 
london
Esoknya, kami berangkat menuju ke London dengan menaiki keretapi laju Eurostar terus dari Brussels. Kami menginap di hotel sekitar Paddington, betul-betul bertentang dengan Brunei House di mana selang beberapa pintu terdapat pula sebuah B&B milik MARA serta sebuah kantin menyediakan makanan Melayu. Selesai daftar masuk, kami terus menaiki teksi menuju ke Oxford Street untuk berbelanja. Kami awal-awal lagi sudah beritahu Abah dan Mak supaya jangan membawa banyak pakaian untuk bercuti kerana kami akan membelikan semasa berada di Paris dan London. Malam itu kami habiskan masa sekitar kawasan Oxford sahaja sebelum pulang ke hotel untuk menyimpan barang dan keluar semula untuk makan malam di restoran Tuk Din yang berdekatan. Abah dan Mak agak kepenatan, namun aku seperti biasanya keluar semula menikmati aktiviti malam kota London.  
DSC01179
Kami bersarapan di Malaysia Hall yang juga tidak jauh dari hotel kami, cuma sekitar 7 minit menaiki teksi. Aku sudah pun berjanji untuk sama-sama bersarapan dengan Doktor Hafiz Gani, yang merupakan rakan blogger dan isteri beliau yang merupakan jiran Mak di Kulai. Aku menghadiri majlis perkahwinan mereka beberapa tahun lepas, dan semenjak itu tidak bersua lagi sehinggalah di kota London ini. Aku juga sempat bertemu dengan Mustakim, seorang rakan yang bekerja di Malaysia Hall hampir 10 tahun kini. Anita dan suami mempunyai aktiviti mereka sendiri kerana sudah beberapa kali ke sini, manakala aku pula menemani Abah dan Mak mengelilingi kota London dengan bas hop-on hop-off. Banyak tempat yang sempat kami pergi, sambil minum-minum latte dan cappucino di café-café sekitar London. Aku tinggalkan Abah dan Mak di café sekitar Harrod’s kerana mereka sudah kepenatan berjalan seharian, sementara aku pula sambung membeli-belah cenderamata untuk mereka dari gedung mewah Harrod’s. Malam itu kami makan malam di restoran Cina kepunyaan warga Malaysia, Noodle Oodle yang terletak di Bayswater. Barangan cenderamata di sekitar Bayswater ini juga lebih murah dari di Oxford Street. 
london  
Kami bercadang untuk terus membeli-belah sementara berada di London, maka kami menaiki keretapi khas menuju ke Bicester Village, sebuah kompleks khas menjual barangan berjenama dengan harga gudang atau ‘Premium Outlet’. Maka bermulalah fasa membeli-belah seterusnya sehingga kami perlu membeli bagasi baru. Sehari suntuk kami habiskan masa di sini, dan lewat petang itu kami pulang semula ke kota London. Setelah berehat seketika, Anita dan suami bercadang untuk berjalan-jalan di Leicester Square dengan meninggalkan Abah dan Mak di hotel kerana mereka sudah keletihan. Sebelum itu, aku sempat bertemu dengan seorang rakan FB warga Malaysia yang menetap di kota ini bersama anak-anak beliau. Kami berbual mesra sambil makan malam di sebuah restoran berdekatan dengan stesyen Paddington. Aziah merupakan seorang wanita yang sangat ceria, matang dan peramah, amat mudah untuk mesra dengan beliau yang sentiasa mengukir senyuman. 
DSC01194  
Seawal jam 9 pagi lagi kami sudah pun keluar menuju ke Portobello Market yang dibuka pada setiap hari Jumaat. Pertamanya kami menuju ke Makan Restaurant, milik warga Malaysia yang puluhan tahun sudah menetap di London. Makanan yang dijual sungguh sedap, harga amat berpatutan dan tuanpunya restoran ini juga peramah dengan pelanggan. Mak seperti biasa peramah dengan sesiapa sahaja, dan Kak Mah tuanpunya restoran juga mudah mesra dengan beliau. Kami dihidangkan dengan makanan istimewa hari itu, Nasi Dagang lengkap dengan gulai ikan dan sambal belacan. Sebelum bersurai, Mak dan Kak Mak bertukar-tukar nombor telefon, Kak Mah juga mempelawa Mak untuk tinggal di rumah beliau jika berkunjung ke kota London lagi. Kami membeli sedikit barangan di pasar terbuka Portobello ini, dan aku tetap mencari barangan antik terutamanya pinggan-pinggan lama yang masih baik kualitinya. Sebelum tengahari, kami bergegas pulang ke hotel untuk daftar keluar, lalu menghubungi teksi untuk menuju ke lapangan terbang Heathrow. Kami menaiki pesawat Qatar Airways, lalu transit satu malam di Doha, kira-kira sekitar 24 jam untuk berehat di kediaman aku. 
DSC01143
Masih segar dalam ingatan aku ketika umur sekitar 15 tahun. Sedang aku membelek-belek buku Geografi untuk menghadapi peperiksaan Sijil Rendah Pelajaran, Mak datang menghampiri sambil membawa secangkir minuman panas. Mak bertanya aku sedang ulangkaji matapelajaran apa, dan aku menunjukkan peta besar kepada beliau. Mak bertanya lagi, samada aku sedang membaca/mentelaah atau melihat gambar, aku jawab yang aku sedang melihat peta negara Eropah dan aku terus menunjukkan kepada Mak titik lokasi kota London seraya aku berkata “… suatu hari nanti along akan bawak Mak pergi sini…. Kita pergi London…!”. Terima Kasih Allah atas nikmat-nikmat Mu ini...