Thursday, October 31, 2013

Terpukau Di Bumi Esfahan.....

Esfahan
Aku sedikit resah sepanjang perjalanan dari Shiraz ke Esfahan menaiki bas selama 7 jam itu. Sesekali aku menghubungi Hussein melalui WhatsApp untuk mengetahui status tempahan bilik hotel. Bilangnya semua hotel di Esfahan penuh, dan aku menjadi semakin risau memikirkan ke mana arah harus dituju sesampai di kota itu nanti. Namun, semasa di dalam bas, aku meringankan mulut untuk berkenalan dengan seorang pemuda tempatan dan aku mula meluahkan permasalahan aku itu dan beliau tanpa berlengah menghubungi rakan-rakan di Esfahan. Alhamdulillah, ada sebuah hotel yang masih boleh menerima pengunjung. Kami sampai di terminal pengangkutan di pinggir kota Esfahan sekitar 7 malam, pemuda tadi membawaku terus ke terminal teksi, dan memberitahu kepada pemandu teksi supaya membawa aku terus ke Venus Hotel. Beliau sebenarnya ingin menumpangkan aku di rumah sewanya tetapi beliau terpaksa terus bergegas ke utara Esfahan kerana bertugas di kompleks penapisan minyak. Di kaunter Venus Hotel, penyambut tetamu memberitahu bahawa kekosongan bilik itu hanya untuk satu malam dan aku perlu daftar keluar keesokkan harinya.

Esfahan
Setelah membersihkan diri dan menukar pakaian, aku keluar semula untuk menyesuaikan koordinat dan orientasi kota Esfahan  atau Isfahan ini. Hotel Venus bertaraf 3 bintang ini betul-betul di tengah kesibukkan jalan utama atau ‘boulevard’ yang menghubungkan laluan ke tempat-tempat menarik di kota ini. Aku keluar masuk ke semua hotel yang ada di sekitar untuk bertanyakan bilik penginapan, dari hotel berbintang sehinggalah ke hotel atau motel yang kecil-kecil seperti di Petaling Street, Kuala Lumpur. Agak hampa juga setelah lebih 2 jam mengelilingi kota Esfahan dengan berjalan kaki, tiada satu pun hotel yang mempunyai bilik kosong. Aku teruskan berjalan di malam hari yang agak dingin dengan suhu sekitar 16’Celcius, dengan ramainya pengunjung tempatan membanjiri jalan-jalan, bersantai bersama teman dan keluarga. Selesai makan malam di sebuah restoran segera, aku teruskan berjalan kaki sehingga terserempak dengan sebuah jambatan yang sungguh unik dan menarik dilimpahi cahaya lampu - Khaju Bridge yang dibina sekitar tahun 1650 oleh Raja Safavid Farsi. 

Esfahan

Suasana di sekitar jambatan yang dinamakan Pol-e Khaju ini sungguh mendamaikan, ramai pengunjung lalu-lalang di sini sambil bergambar dan duduk-duduk santai. Aku berjalan sehingga ke penghujung jambatan yang menghubungkan pula dengan sebuah taman. Aku berlabuh di sebuah bangku batu di situ, sambil memegang air kopi panas yang dibeli bersebelahan taman, untuk menghilangkan lelah. Di seberang taman, ada beberapa buah hotel yang agak besar, aku singgah kesemuanya dan sebuah darinya mempunyai bilik kosong untuk 3 malam berikutnya. Aku disuruh datang semula keesokkan harinya untuk daftar masuk. Selesai sarapan pagi di Venus, aku menaiki teksi ke Bridge & Pol Hotel, dan alangkah kecewanya aku apabila sampai di waktu yang telah dijanjikan, penyambut tetamu yang berbeza itu menyatakan tiada langsung bilik untuk tetamu. Marah, geram, kecewa semuanya aku rasakan ketika itu. Aku tarik nafas dalam-dalam walau sesekali aku hamburkan perkataan tidak puashati kepada lelaki di kaunter itu. Aku minta izin untuk tinggalkan bagasi di sana dan meneruskan langkah mencari hotel di sekitar kawasan itu pula. Staff Khowsar Hotel yang terletak bersebelahan membantu mencarikan bilik dengan menelefon hotel-hotel berdekatan, namun semuanya hampa.
Esfahan
Aku memutuskan untuk ‘menenangkan’ diri dengan menaiki teksi menuju ke Naqsh-e Jahan Square ataupun Imam Square yang merupakan UNESCO's World Heritage Site yang dibina sekitar tahun 1602. Di sana, aku berlegar-legar di kedai-kedai menjual cenderamata sambil melihat aktiviti warga tempatan berkelah dan riadah. Tetiba ada seorang pemuda tempatan menyapa aku dalam bahasa Jepun, “Konniciwa”, lantas aku menjawab “Konniciwa” sambil membongkokkan sedikit badan. Seorang rakan beliau merapati dan terus berbual dalam bahasa Jepun, aku mula membalas “Watashi wa  Nihonjin janai....Mareshia no yo… nihon go o sukochi wakarimasu..hait!”. Seketika, kami mula ketawa berdekah, tangan aku terus ditarik sambil diajaknya untuk masuk ke kedai beliau yang menjual karpet. Aku dihidangkan dengan air teh panas, dan aku segera meluahkan rasa tidak puashati dengan insiden yang baru berlaku di hotel. Dipendekkan cerita, pemuda tinggi lampai tadi menelefon rakan-rakan beliau dan akhirnya ada sebuah hostel masih mempunyai kekosongan bilik untuk 3 malam seterusnya. Rakan beliau Mohammad menghantar aku semula ke Bridge & Pol Hotel dengan menaiki motosikal Modenas buatan Malaysia.

Imam Square

Aku mengambil semula bagasi dari kaunter hotel dan memberitahu Mohammad supaya mencarikan teksi untuk ke Amir Kabir lodge. Beliau menyarankan aku menaiki sahaja motosikal beliau bersama bagasi bersaiz besar itu. Tidak pernah seumur hidup aku menaiki motosikal dengan bagasi besar diletakkan di tengah-tengah tempat duduk antara aku dan pemandu! Sungguh merbahaya detik hatiku, namun perjalanan bermotosikal selama 10 minit di tengah-tengah kota Esfahan yang sibuk dengan kenderaan itu berjaya sampai ke destinasi dengan selamatnya. Daftar masuk di bangunan yang agak lusuh ini, sekali lagi mengingatkan aku akan rumah-rumah tumpangan era tahun 60’an. Di tengah-tengah bahagian dalam hostel ini, ada ‘courtyard’ yang agak luas, dengan kerusi dan meja taman serta pohon besar yang memayungi sekitarannya. Aku terlihat beberapa warga Eropah berada di sini, begitu juga dengan sepasang pelancong warga Jepun dan rakyat tempatan. Selesai meletakkan bagasi, aku keluar semula berjalan kaki sekitar 15 minit menuju ke Imam Square, untuk mencari café latte dan sedikit makanan untuk mengalas perut.

Esfahan
Iran menyambut Hari Raya Aidiladha sehari lewat dari kebanyakkan negara Islam lain. Tanggal 16 Oktober 2013 itu, ramai pelancong tempatan yang datang dari kota-kota lain seperti Tehran, Shiraz, Yadz, Tabriz dan lainnya berada di sekitar Esfahan terutamanya di Imam Square atau dalam bahasa tempatan dipanggil Meydan-e-Emam. Masjid Imam, besar, cantik dan halus senitangannya ini tersergam indah di sini dan menjadi tarikan utama pelancong selain tempat untuk beribadah. Ada sebuah restoran terkenal terletak di celah-celah deretan bangunan kedai ini yang dinamakan Traditional Banquet Hall menghidangkan pelbagai menu tempatan. Aku perlu beratur panjang untuk memasuki restoran popular ini. Berdiri di depan aku ada 3 orang pemuda, salah seorangnya cuba untuk memulakan perbualan dalam bahasa Inggeris. Kami berkenalan dan akhirnya aku dijemput untuk makan tengahari (walaupun sudah agak lewat menghampiri jam 3 petang) bersama mereka. Daging kambing panggang, beras basmathi yang dimasak bersama saffron, roti nan, kebab ayam serta kofta daging lembu menjadi hidangan hari itu. Mereka menolak semasa aku ingin turut sama menyelesaikan bil makanan tadi.

Esfahan
Salah seorang pemuda tadi bernama Dana Qarane merupakan seorang Jurutera di Erbil/Arbil di wilayah autonomi Kurdistan, Utara Iraq. Beliau bersama dua orang lagi rakan memandu selama 20 jam untuk sampai ke Esfahan. Salah seorang rakan beliau iaitu Uthman yang merupakan seorang peguam muda di sana, mempunyai kekasih warga Iran di Esfahan, yang menyebabkan mereka memilih untuk bercuti di kota ini. Selesai waktu Maghrib, kami berpisah setelah bertukar-tukar email dan nombor telefon. Aku berjalan kaki sahaja pulang ke hostel sambil menyaksikan kemeriahan dan kesibukan wargakota menyambut Aidiladha dengan keluar beramai-ramai bersama keluarga dan teman. Semasa aku ingin membersihkan diri di hostel, aku dapati tidak disediakan sebarang tuala dan aku diberitahu memang begitu polisi hostel ini. Salah seorang pekerja sambilan hostel ini yang sudah agak lanjut umurnya namun masih lagi tegap bernama Hudas menawarkan untuk mencari kedai yang ada menjual tuala. Aku menghulurkan sedikit wang kepadanya, tetapi beliau mula menghidupkan enjin motosikalnya dan mengajak aku membonceng sekali untuk pergi membeli tuala mandi!

Esfahan
Semasa bersarapan pagi di hostel bersama Sol Richardson, pemuda Inggeris yang aku kenali semasa berbual-bual di ‘courtyard’ hotel malam semalamnya, kami bercadang untuk melawat ke beberapa buah tempat bersejarah di sekitar Esfahan. Kami bermula dengan berjalan kaki menuju ke Shaykh Bahai’ Street untuk mengambil bas berwarna biru menuju ke Temple of Fire yang terletak sekitar 8km dari sini. Kami membeli tiket bas tanpa had untuk sehari yang berharga sekitar USD$1. Pengunjung perlu mendaki gunung (pada aku ianya hanya sebuah bukit) yang berketinggian 1600 meter dari aras laut untuk sampai ke puncaknya. Aku yang memang jarang berolahraga, memerah segala kudrat untuk mendaki gunung ini dan akhirnya pemandangan dari atas gunung ini tidak mengecewakan.

Esfahan
Sejarah gunung ini - the Fire temple of Isfahan (Persian: آتشگاه اصفهان Âtašgâh-e Esfahân, also Romanized as Ātashgāh-e Esfahān) is aSassanid-era archaeological complex located on a hill of the same name about eight kilometers west of city center of Isfahan,Iran.The hill, which rises about 210 meters above the surrounding plain, was previously called Maras or Marabin after a village near there, and it is by that name that the site is referred to by Arab historians.One part of the complex, on the southern flank of the hill, are the remains of a citadel of about twenty buildings (or rooms within buildings), many of which—particularly those in the lower half of cluster—are however only evident as foundation traces. Several buildings in the cluster have a classic char taq "four arch" floor-plan, characteristic of Zoroastrian fire-temples of the 3rd century onwards and that are the actual atashgahs that housed sacred fires. Other buildings include what may have been storage rooms and living quarters for priests and affluent pilgrims. A tentative identification of the purpose of the ruins was first made in 1937 by Andre Godard,[1][2] but it was not until 1960, when architect Maxine Siroux made the first drawings, that the site could be properly studied. Godard's identifications were subsequently confirmed by Klaus Schippman in 1971.

armenian church
Dari sini kami menuruni bukit dan terus menuju ke kawasan taman yang mempunyai kolam-kolam air atau tasik di mana tempat ini dipenuhi warga tempatan sedang berkelah dan riadah. Ada beberapa orang menegur kami dan mempelawa untuk duduk minum bersama mereka. Selesai di tempat ini, kami menaiki bas semula menuju ke Khaju Bridge sementelah aku ingin mencari penggurup watawang asing di sekitar kawasan itu. Dari sini, kami menaiki bas sekali lagi setelah cuba berkomunikasi menggunakan bahasa isyarat dengan pemandu bas yang hanya membawa kami berdua menuju ke daerah Julfa/Jolfa bagi melawat gereja-gereja lama Armenia. Di dalam gereja Bethlehem, kelihatan beberapa orang wanita tempatan bertudung lingkup gaya Iran sedang bertafakur dan membaca ayat suci mereka.

Esfahan
Kawasan di sekitar Julfa lebih tenang dan tersusun, kurang sedikit manusia yang lalu-lalang dan deretan kedai pula lebih menarik. Kami singgah di Julfa Square, dataran kecil yang mempunyai pintu gerbang kecil dan tugu di tengah-tengahnya. Di sekeliling ada beberapa buah deretan kedai, dan aku ke sini kerana Sol memberitahu ada sebuah café yang menghidangkan kopi dan aiskrim lazat. Memang benar, Star Café yang berkonsep barat, mempunyai wifi percuma, menghidangkan Cappucinno dan gelato serta kek yang lazat dengan harga yang sungguh berpatutan. Seorang pekerja di sini memberitahu bahawa Tuanpunya café ini pernah belajar di Malaysia dalam bidang pengurusan perniagaan dan sempat bekerja sambilan di café Starbucks. Beliau mendapat ilham dan konsep dari pengalamannya semasa di Malaysia. Secangkir Cappucinno lazat setaraf di Eropah berharga sekitar USD$1.50 sahaja, dan apabila aku mengatakan bahawa harga minuman ini murah, beliau menjawab sekiranya harga jualan mahal, tiada sesiapa yang akan datang ke sini disebabkan faktor ekonomi golongan mudanya.

Esfahan
Akhirnya aku berjumpa juga dengan tempat menukar wang asing di Julfa, setelah beberapa hari gagal mencari di sekitar Imam Square dan Sepah Street. Aku dan Sol yang sudah kepenatan, menunggu teksi untuk pulang semula ke hostel. Ada sebuah kereta Peugeot putih berhenti di hadapan kami, aku menanyakan berapa Riyal atau Toman untuk ke Amir Kabir, namun pemandu tadi menyuruh kami masuk sahaja ke dalam kereta. Dari dalam kereta beliau menjengahkan kepala dan seakan menjerit “no money, no money, come…come”. Aku berbual dengan beliau yang kurang fasih berbahasa Inggeris, lebih banyak menggunakan bahasa isyarat. Asfor atau Saman namanya, pemuda yang peramah dan kerap tersenyum membawa kami keliling kota Esfahan, Sol minta di hantar terus ke hostel manakala aku pula mahu ke Imam Square untuk membeli cenderamata kerana ditangan sudah ada wang Riyal.
Esfahan
Semasa ingin berjalan keluar dari Imam Square, dua orang pemuda tempatan menegur dalam bahasa Inggeris yang fasih. Kami berkenalan dan aku dibawa ke ‘markas’ kumpulan Couch Surfing Esfahan (sebuah kumpulan pengembara yang menjadi host secara sukarela). Mahdy dan Redza merupakan anak tempatan bekerja sebagai guru bahasa Inggeris di sebuah institut bahasa di sini. Agak panjang juga perbualan kami malam itu berkisar tentang pengalaman mengembara dan ziarah ke pelbagai pelusuk dunia serta perangai manusia yang bermacam ragam yang pernah ditemui. Mahdy menghantar aku pulang ke hostel malam itu dan berjanji untuk jumpa esoknya setelah beliau selesai bertugas. Malam itu di hostel, aku berkumpul bersama-sama beberapa orang penghuni di sini yang berasal dari Poland, Denmark, Norway, England dan Iran, berbual tentang pengalaman mengembara terutamanya di Iran. Mereka rata-rata bersetuju bahawa orang Iran sangat ‘hospitable’, peramah dan mudah didekati, jauh berbeza dari apa yang kami bayangkan sebelum ini dan media paparkan.
My creation
Siang esoknya, aku menghabiskan masa bersama Hamid (sebutannya Omed) yang datang bersama teman yang bernama Hamed (sebutannya Hameed). Tempat pertama kami kunjungi ialah Istana Chehel Sotoun dibina sekitar tahun 1647, mempunyai 20 kolum tinggi dan di dalamnya terpapar lukisan-lukisan dinding yang memaparkan peristiwa-peristiwa penting yang berlaku semasa pemerintahan beraja di Iran. Taman sekitaran kompleks ini juga amat menarik dan cantik. Kami singgah minum petang di suatu sudut di kompleks ini sambil berbincang aktiviti seterusnya. Kemudiannya kami ke Museum of Natural History yang sangat kurang menarik. Omed sendiri asyik merungut kerana kebanyakan specimen dan bahan pameran kelihatan amat uzur dan kurang dijaga. Selesai di sini, Hamed terus memandu keretanya menuju ke sebuah restoran untuk makan tengahari. Makanan di sini amat ringkas, sepinggan nasi dari beras basmathi, dititiskan sedikit saffron, seketul mentega di atas nasi dan sekeping daging kebab. Minuman pula ialah susu masam cair yang memang aku gemari.

Esfahan
Kami lanjutkan aktiviti petang itu di Hasht Behesht Garden (the palace of eight paradises), sebuah taman di-Raja yang besar, cantik dan mempunyai sebuah bangunan lama yang asalnya menempatkan gundik-gundik di-Raja. Hamed yang banyak diam kerana tidak fasih berbahasa Inggeris, mula membakar arang untuk dibuat shisha atau hookah supaya lebih santai riadah kami petang itu. Omed yang ceria dan murah senyuman ini pula memberitahu bahawa beliau agak terkilan kerana tidak dapat melanjutkan pelajaran di Malaysia walaupun telah mengikuti kelas bahasa Inggeris selama 2 tahun di Tehran. Beliau merupakan anak lelaki tunggal dan perlu membantu perniagaan tekstil ayahnya. Ini kali pertama beliau berinteraksi dengan warga Malaysia dan sangat teruja dapat berkenalan dengan aku. Aku juga berterima kasih kepada beliau yang bermurah hati menanggung perbelanjaan aku hari itu, dari tiket masuk ke muzium, makan-minum dan sebagainya. Kalau diikutkan hati, beliau mahu tinggal satu malam lagi di Esfahan, tetapi perlu memandu pulang ke Tehran selama 4 jam kerana urusan keluarga. Petang itu sebelum kami berpisah, sambil berjabat tangan dan memeluk erat Omed berkata, “I want you to be my big brother…”.
 
Esfahan
Aku bergegas menaiki teksi menuju ke Julfa Square kerana telah terlewat untuk temujanji dengan Mahdy dan Redza. Sesampai di sana, aku diperkenalkan dengan dua orang gadis sunti dari Turki yang juga ahli Couch Surfing. Kami berkenalan ringkas dan terus beredar dari situ sambil Mahdy menghubungi seorang lagi temannya. Ismaili menjemput kami semua untuk menghadiri parti keluarga di sebuah kawasan elit di luar kota Esfahan, sebuah villa yang betul-betul terletak di bawah kaki gunung. Kami terpaksa berhimpit menaiki kereta Peugout kepunyaan Mahdy, berhenti untuk minum sebelum meneruskan perjalanan sekitar 40km dimalam hari. Dipendekkan cerita, majlis yang dihadiri sekitar 40-50 orang ini memang eksklusif untuk keluarga dan teman rapat sahaja, mereka dari golongan elit Iran, wanitanya baik yang muda mahupun tua tidak memakai hijab dan berpakaian seksi ala-barat dengan barang perhiasan mahal. Ada 3 orang ahli muzik memainkan lagu-lagu tradisional, bersama dengan seorang penyanyi dan beberapa orang penari wanita. Hampir kesemua hadirin menari mengikut rentak muzik tradisional dimainkan, dan aku ditarik sama untuk menari bersama mereka.
 
Esfahan
Rentak tarian mereka tidak ubah seperti rentak tarian joget lambak, atau tarian Melayu seperti Inang dan sebagainya. Cuma pergerakkan badan sahaja yang lebih pantas dan bertenaga. Adalah perkara biasa bagi orang lelaki menari dengan lelaki lain, dan aku sentiasa menjadi pasangan kepada seorang lelaki tua sebaya ayah aku yang memang pakar menari dengan lenggang-lengguknya. Aku berbual dengan beberapa orang hadirin yang sedang bersantai di taman luas villa ini, rata-rata mereka pernah datang melancong ke Malaysia dan kagum dengan kepesatan pembangunan negara. Mereka juga mengakui bahawa orang-orang di Malaysia peramah dan bersopan-santun. Majlis malam itu selesai agak lewat melepasi jam 12 malam, dan kami semua bersurai dengan berjabat tangan sambil berkucup pipi mengucapkan terima kasih kepada tuanrumah yang merupakan seorang Doktor pakar terkenal di Esfahan.

Esfahan
Aku mempunyai masa beberapa jam esoknya sebelum menaiki bas untuk pulang semula ke Shiraz. Aku bergegas menuju ke Imam Square untuk membeli cenderamata tambahan sementelah masih mempunyai baki wang Riyal. Setelah selesai mengemas bagasi, aku mengucapkan selamat tinggal kepada Mohsen, lelaki tua yang menjadi ‘keeper’ di hostel Amir Kabir. Beliau sangat peramah dan beberapa kali meminta aku untuk mengambil beliau bekerja sebagai pembantu rumahku di Doha. Aku jadi sayu dan simpati setiap kali melihat wajah tua beliau, teringatkan Abah pula sebab umur, saiz badan dan misai mereka hampir sama kecuali Mohsen yang telah putih beruban. Aku berikan beliau sedikit wang sebelum berangkat menaiki teksi ke terminal bas. Beliau beberapa kali mengucup pipi dan dahiku sambil memeluk erat. Petang itu aku tinggalkan Esfahan dengan bermacam pengalaman dan rasa – semuanya indah-indah belaka. Keakraban, keramahan dan sifat sentiasa bersedia dengan ikhlas menghulurkan bantuan menjadikan aku sangat kagum dengan orang-orang Iran. Sedang aku menaip menyiapkan entri kali ini, senyuman di bibir tak pernah lekang dek kerana mengimbau kenangan-kenangan manis berada di Shiraz dan Esfahan! 




                       
 

Saturday, October 26, 2013

Historical Visit To Persepolis and Pasargad in Shiraz, Iran.

DSC00108
Penerbangan ke Shiraz, Iran bersempena dengan cuti hari raya haji terlewat sehari kerana kesilapan melihat waktu perlepasan pesawat. Ahad, 13 Oktober, pesawat Qatar Airways berlepas dari Doha selama sejam menuju ke kota Shiraz di selatan Republik Islam Iran. Rakyat Malaysia hanya perlu memohon VOA (Visa On Arrival) di lapangan terbang, untuk tempoh lawatan selama 15 hari tanpa sebarang bayaran. Teksi mudah didapati di luar lapangan terbang kecil dan sedikit uzur ini, mengenakan tambang USD7 untuk ke tengah kota Shiraz yang mengambil masa sekitar 20 minit. Perlu diingat, kad kredit dan debit tidak diterima di semua premis di sini, maka perlu membawa matawang USD / Euro dan boleh ditukar di beberapa pusat pertukaran wang serta bank tertentu.
Shiraz
Jelajah kali ini aku tidak mempunyai jadual khusus, kecuali ingin melawat runtuhan kota Persepolis yang terkenal itu. Hari pertama di sini aku hanya merayau-rayau di sekitar hotel, berjalan kaki 10 minirt sudah pun sampai ke Bazaar utama. Shiraz terkenal dengan hasil kraftangan permaidani, dari pelbagai etnik dan daerah, terutamanya corak Kilim yang dihasilkan oleh golongan nomad. Permaidani ini ada yang diperbuat dari bulu kambing, kapas, sutera dan juga campuran dari bahan-bahan ini. Selain itu, seni pertukangan logam juga amat terkenal dan bermutu tinggi. Bangunan-bangunan rasmi kerajaan serta masjid juga diperhias indah dengan jubin pelbagai corak. Sungguh halus seni kerjatangan warga Iran yang mempunyai  ketamadunan sekitar 7 ribu tahun.

DSC00030
Hussein yang merupakan teman rapat kepada Hassan yang tinggal di Doha, menjemput aku di hotel di sebelah malamnya. Hussein pernah datang berkunjung ke kediaman aku di Doha setahun lalu. Aku dibawanya berjalan melihat sekitar Shiraz di waktu malam. Kami menikmati makan malam kebab yang sungguh enak. Uniknya kebab di sini dihidang bersama tomato dan bawang segar yang dipanggang separuh hangus serta disisipkan daun selasih segar yang manis rasanya. Sejenis minuman yogurt cair dan masam dihidang bersama, sungguh menyegarkan. Ikut serta bersama kami ialah sepupu Hussein, Fereshteh si gadis manis yang sungguh bersopan santun. Selesai makan malam, mereka aku jemput untuk minum kopi di ‘garden café’ yang terletak di sebelah luar Hotel Chamran di mana aku menginap. Hotel 5 bintang ini mempunyai pemandangan indah kota Shiraz kerana kedudukannya di atas bukit serta dipenuhi pohon-pohon menghijau di sekitarnya.
 
DSC00040

Esoknya aku menempah sebuah kereta berserta pemandunya sekali untuk pergi melawat ke beberapa tempat bersejarah. Pertamanya aku dibawa ke Pasargad, di mana Raja Cyrus dikatakan disemadikan di sini. Pasargad terletak sekitar 110 KM dari kota Shiraz, melalui lebuhraya yang memaparkan pemandangan gunung-ganang serta kawasan pertanian yang luas menghijau. 
Cyrus the Great began building his capital in 546 BCE or later; it was unfinished when he died in battle, in 530 or 529 BCE. The remains of the tomb of Cyrus' son and successor, Cambyses II, has been found in Pasargad, near the fortress of Toll-e Takht, and identified in 2006.
DSC00044
Pasargad remained the Persian capital until Cambyses II moved it to Susa; later, Darius founded another in Persepolis. The archaeological site covers 1.6 square kilometres and includes a structure commonly believed to be the mausoleum of Cyrus, the fortress of Toll-e Takht sitting on top of a nearby hill, and the remains of two royal palaces and gardens. Pasargad Persian Garden provide the earliest known example of the Persian chahar bagh, or fourfold garden design (see Persian Gardens).
Recent research on Pasargad’s structural engineering has shown that Achaemenid engineers built the city to withstand a severe earthquake, what would today be classified as 7.0 on the Richter magnitude scale.
Shiraz
Dari sini kami berpatah balik menuju ke Naqsh-e-Rostam untuk melihat pahatan di muka gunung batu. Naqsh-e Rustam (Persian: نقش رستم Naqš-e Rostam) is an ancient necropolis located about 12 km northwest of Persepolis, in Pars Province,Iran. It lies a few hundred meters from Naqsh-e RajabThe oldest relief at Naqsh-i Rustam is severely damaged and dates to c. 1000 BC. It depicts a faint image of a man with unusual head-gear and is thought to be Elamite in origin. The depiction is part of a larger mural, most of which was removed at the command of Bahram II. The man with the unusual cap gives the site its name, Naqsh-e Rostam, "Picture of Rostam", because the relief was locally believed to be a depiction of the mythical hero Rostam.
DSC00083

Terakhir, kami menuju ke Persepolis, kota kerajaan agung Achaemenid yang punah diserang tentera Iskandar Zulkarnain (Alexander The Great). Persepolis (Old-PersianPārśa) was the ceremonial capital of the Achaemenid Empire (ca. 550–330 BC). Persepolis is situated 70 kmnortheast of the modern city of Shiraz in the Fars Province of modern Iran. The earliest remains of Persepolis date from around 515 BCE.UNESCO declared the citadel of Persepolis a World Heritage Site in 1979. 
persepolis

Banyak sebenarnya yang boleh kita pelajari dari sejarah kota Achaemenid ini. Betapa rajanya ketika itu dengan megah mengaku menjadi Raja Bagi Segala Raja di dunia ini. Seolah-olah baginda tidak boleh dikalahkan dan tenteranya yang paling kuat serta berkuasa ketika itu. Namun Alexandra The Great telah menyerang dan menghancurkan kota kemegahan serta empayar Raja Agung ini. Di dalam Al-Quran ada diceritakan sedikit tentang kekuatan Zulkarnain (Alexander?) ini oleh Allah kepada baginda Rasulullah Nabi Muhammad. Allah mahu kita berfikir dan mencari bukti akan kota yang dilenyapkan oleh Zulkarnain, dan juga ingin memberitahu bahawa kuasa serta kudrat itu hanya bersifat sementara, hanya Allah jua yang Maha Berkuasa serta Maha Mengetahui.
 
hafez tomb

Malam itu, walau dalam keletihan, aku tetap keluar berjumpa dengan Hussein sekali lagi. Aku dibawanya melawat ke makam Imam Hafez, seorang penyair tersohor Iran yang dilahirkan di sini. Kompleks makam ini sentiasa dikunjungi oleh pelawat untuk memberi penghormatan kepada beliau. Di kompleks ini dialunkan melalui corong suara puisi-puisi ciptaan beliau, dengan begitu syahdu dan mendamaikan. Kawasan persekitarannya sungguh cantik dengan pohon-pohon rendang dan bunga-bungaan, bersih serta terjaga rapi. Ada juga sudut untuk beriadah, sudut membaca, perpustakaan serta kedai menjual pelbagai cenderamata. Selepas itu, kami makan malam di sebuah restoran Cina, satu-satunya di kota Shiraz. Aku sempat berkunjung ke kediaman Hussein, sambil menghirup teh herba kami cuba menghubungi hotel-hotel di Esfahan kerana tempahan hotel yang aku buat sebelum ini tidak berbalas. Kesemua hotel yang kami hubungi memberitahu tiada kekosongan bilik penginapan dek kerana sambutan perayaan Eid Qurban.
DSC00156

Esoknya aku berlepas ke kota Esfahan dengan menaiki bas ekspress VIP yang sungguh selesa dan tambangnya hanya sekitar RM25 sahaja. Disediakan juga makanan tengahari dan minuman yang sudah siap dibungkus, serta ada skrin tv yang menayangkan filem-filem Iran yang sungguh menarik. Perjalanan selesa ini berhenti sebentar sebanyak dua kali, sekali untuk solat dan sekali di sebuah gerai kecil tepi jalan untuk membeli minuman dan menggunakan tandas. Pemandang di kiri-kanan lebuhraya menghidangkan pelbagai panorama, dari gunung-ganang, pohon-pohon pine, ladang-ladang tanaman serta kawasan rumput ragut haiwan seperti kambing dan lembu. Sesuatu yang sungguh menarik apabila melihat matahari terbenam di celah gunung-ganang berhampiran kota Esfahan.
 
Shiraz

Setelah beberapa hari di Esfahan, aku pulang semula ke Shiraz kerana pesawat berlepas dari kota ini menuju ke Doha. Bas yang aku naiki tiba di terminal teksi sekitar jam 10.30 malam, Hassan yang baru pulang dari ‘camping’ di utara Iran menyambutku dengan senyuman. Hussein serta dua orang rakan beliau ikut serta berada di terminal. Hamid yang memandu kereta Peugeot terus memecut laju menuju ke kawasan luar kota, kawasan yang lebih sejuk bersuhu sekitar 15’C di kaki gunung. Dari sini kami dapat melihat kota Shiraz yang berkerlipan dengan lebih jelas. Aku dibawa untuk makan malam di sebuah restoran berkonsep ‘khemah’ di celah-celah taman pohon pine. Masa beberapa jam itu kami gunakan sebaiknya sebelum mereka menghantar aku ke lapangan terbang Shiraz. Hassan dan rakan-rakannya berkali-kali meminta aku untuk menangguhkan sehari lagi kepulangan ke Doha. Mereka mahu menunjukkan beberapa tempat menarik di sekitar Shiraz. Permintaan mereka terpaksa aku tolak dengan baik dan berjanji akan ke sini lagi.

DSC00139

Pengalaman bercuti di Esfahan pula, insyaAllah akan diceritakan dalam entri akan datang. Namun Esfahan dan Shiraz ada keunikannya yang tersendiri, dan kota-kota ini ada kelebihannya dari sudut tinggalan sejarah, pelancongan dan keindahan semulajadi. Shiraz yang menjadi pusat pemerintahan tamaddun agung bangsa Farsi ribuan tahun dahulu masih kukuh sebagai sebuah kota yang besar serta masih tertinggal ciri-ciri manusia bertamaddun tinggi terutamanya dari aspek bahasa, tingkah-laku dan pemikiran. Walaupun Iran masih dikenakan status 'embargo' oleh masyarakat antarabangsa terutamanya Amerika Syarikat serta sekutunya, rakyat Iran tetap tabah, tekun dan positif dalam melalui kehidupan seharian mereka dan melihat jauh kehadapan untuk sebuah negara yang maju, makmur dan sejahtera.