Monday, May 20, 2013

Sepanjang Jalan Kenangan (Bahagian 1)

DSC_0363
Sunset atau matahari terbenam di kawasan sekitar Bintulu adalah antara tercantik pernah aku lihat.
Sudah hampir 7 tahun blog Tepak Sireh ini wujud di alam maya atau dunia blogging. Ianya menjadi sebuah diari mencatat kenangan peribadi akan pengembaraan, percutian, rehlah, sebahagian kisah suka duka, tawa hiba, cerita kehidupan bersama keluarga, teman, rakan, sahabat, kekasih. Juga mencoret pengalaman sebagai perantau di bumi Sarawak dan negara Qatar. Namun tidak semua apa yang tersurat di blog ini memaparkan kehidupan realiti, baik dari catatan pengembaraan, percutian mahupun kisah hidup seharian. Hanya sedikit yang dikongsi bersama para pembaca Tepak Sireh. Walaupun begitu, ada juga entri yang ditulis agak terperinci bagi memberi gambaran jelas kepada yang membaca, misalnya entri berkenaan ibadah Umrah yang aku jalankan pada tahun 2008. Aku yakin, sedikit sebanyak tips dan cerita di dalam entri Umrah tersebut memberi kesan kepada pembaca.

The Highlands Highways
Dalam perjalanan merentas Gunung Atlas di Morocco.
Setiap pengembaraan atau percutian ada kisahnya yang tersendiri yang tidak mungkin dapat kita lupakan. Ada yang aku sengaja tidak mahu berkongsi kerana hal-hal tertentu atau bersifat terlalu peribadi atau juga ianya agak jelek untuk dikongsi. Samada ianya kisah yang lucu, aib, kelucahan yang melampau, misteri, menunjukkan kebodohan sendiri, sensitif atau ingin menjaga maruah diri. Namun dalam usia Tepak Sireh yang menjangkau 7 tahun ini, yang sudah boleh dianggap matang, terdetik pula ingin berkongsi sebahagian cerita atau pengalaman yang sebelum in aku labelkan sebagai “SENSORED” dan ianya hanya dikongsikan bersama teman-teman rapat secara lisan. Aku cuba kutip satu-persatu sebahagian kenangan yang sukar untuk dilupakan yang aku tempuhi sepanjang menjelajah dan melawat ke hampir 40 buah negara. Maka entri kali ini (dan bahagian-bahagian berikutnya) hanyalah sekadar berkongsi cerita dan pengalaman….

Sahara

Dalam perjalanan menuju ke padang pasir Sahara/Zagora menaiki unta.
Tahun 2006, aku menjejak kaki di Morocco, secara tepatnya di kota Marrakech (sila rujuk entri di sini). Penerbangan dari Eidhoven, Holland terus menuju ke Marrakech yang mana hampir kesemua penumpang pesawat adalah warga Eropah. Di kaunter Imigresen Marrakech, pegawai bertugas seorang wanita menahan aku dari memasuki negara tersebut walaupun aku sudah menunjukkan salinan visa yang tertulis dalam bahasa Peranchis dan Arab. Beliau tidak puas hati dan cuba menanya dalam bahasa Peranchis dan Arab yang aku kurang faham. Keadaan agak sedikit tegang dengan penumpang lain panjang beratur di belakang. Beliau memanggil seorang lagi pegawai beruniform yang tersisip pistol di pinggangnya, lalu membelek-belek passpot aku dan bertanya pelbagai soalan lagi. Mereka seperti tidak puas hati dan aku pula bingung serta cemas kerana tidak tahu punca mereka bertindak demikian. Dalam pada membelek paspot aku yang mempunyai sarung serta kocek kecil, terkeluar sedikit kitab saiz mini surah Yaasin yang memang sengaja aku selitkan. Wanita tadi mengeluarkannya dan membuka sambil aku terus menyapa ‘this is my kitab, suratul yaasin’. Dia terus tersenyum sambil aku terus berkata yang aku seorang Muslim dan aku bawa kitab tersebut ke mana-mana untuk dibaca. Dengan senyuman yang lebih meleret, pegawai wanita tadi terus melepaskan aku masuk ke Maghribi tanpa pertanyaan lanjut.

Essouira-Souk

Souq di Essouira, barat Morocco yang cantik dan bersih serta meninggalkan banyak kenangan.
Di Marrakech, pada suatu malam dalam perjalanan pulang ke Riad atau rumah tumpangan, ada seorang pemuda tempatan yang mengenalkan dirinya sebagai Hashim, bertegur sapa dan ingin berkenalan. Sambil berjalan pulang itu, dia mengekori dan kami berbual panjang, sehinggalah aku menjadi keliru dengan lorong menuju ke Riad. Aku minta tolong Hashim untuk menunjuk arah sebenar ke Riad, namun beliau sebaliknya melencong berjalan sehinggalah terkeluar dari tembok tinggi kota Marrakech. Aku rasakan ada sesuatu yang tidak kena, dan memang tepat ramalan aku apabila satu-satunya kamera yang aku ada dirampas dan dibawa lari oleh beliau entah ke mana! Aku menjadi panik ditinggalkan seorang diri dalam gelap malam serta kamera yang penuh dengan foto-foto perjalanan sepanjang di Maghribi. Aku menarik nafas dalam-dalam, cuba tenangkan diri dan fikiran. Dalam masa tidak sampai 5 minit, Hashim berlari laju kembali ke tempat di mana aku sedang berdiri sambil tercungap-cungap, lantas menghulurkan kembali kamera tadi. Beliau meminta maaf berkali-kali sambil memegang tangan aku. Aku arahkan beliau untuk hantarkan aku ke Riad, dan sepanjang perjalanan pulang beliau tidak putus-putus meminta maaf dan merayu sehingga mahu menitiskan airmata. Sesampai di depan Riad, aku hulurkan sedikit wang kepada Hashim, ditolaknya namun aku selitkan juga di poket seluar beliau sambil beliau memeluk erat badan aku. Apa sebenarnya yang telah terjadi kepada Hashim di kegelapan malam itu? Sesungguhnya bangsa Melayu itu penuh dengan misterinya……

'Lucky' the autorickshaw walla

'Lucky' si pemandu Tuktuk di Jaipur, berlatarbelakangkan sebuah istana lama atas tasik.
Lagi kisah aku cuba dirompak, tetapi kali ini di Jaipur, India semasa aku melawat negara tersebut pada Januari 2010. Beberapa hari aku di sana, aku upah seorang pemandu Tuktuk iaitu sejenis kenderaan bermotor seakan beca dan motosikal. Malam terakhir aku di sana, dalam perjalanan pulang ke tempat penginapan, pemuda Muslim bernama samaran ‘Lucky” ini tiba-tiba memberhentikan kenderaan di tepi jalan yang gelap. Beliau yang sudah agak mesra dengan aku setelah beberapa hari bersama, memberitahu yang beliau perlukan wang sekitar RM500 dengan segera. Sebaliknya, aku hulurkan upah untuk hari itu tetapi beliau menolak dan mula bercakap dengan suara yang agak tinggi seperti menggugut. Aku agak panik sebab tahu yang beliau sentiasa membawa sebilah pisau panjang di dalam Tuktuk. Aku terus dibawanya ke sebuah bank lantas menyuruh mengeluarkan wang dari ATM. Aku turutkan sahaja sambil beliau berdiri rapat memerhati. Aku masukkan kad ke dalam ATM, namun di’reject’ oleh mesin tadi, lantas aku nyatakan kepada beliau yang kad tersebut tidak boleh diterima di bank ini. Beliau menjeling ke arah dompet kecil khas menyimpan pelbagai kad di tangan aku. Beliau saran agar aku mencuba kad lain, aku turutkan sahaja, sekali lagi kad di ‘reject’ sebaik dimasukkan ke ATM. Aku menenangkan beliau yang sudah agak berang supaya hantar aku ke tempat penginapan dan aku akan ambil wang dari dalam bilik. Sebaik aku turun dari Tuktuk tersebut, aku berikan dahulu upah dan wang sewa kenderaan. Setelah masuk ke dalam, aku tidak keluar lagi dari kawasan tempat penginapan (sebuah banglo atau istana kecil yang berpagar serta mempunyai pengawal) sehinggalah keesokan pagi. Sebenarnya kad-kad yang aku gunakan bukanlah kad bank, sebaliknya kad The Loft – kedai roti di Pavilion, kad ahli MPH dan kad BSN yang sudah puluhan tahun tamat tempoh.

Opera House, Sydney

Kisah ini pula terjadi ketika aku melawat Sydney, Australia sekitar penghujung Mei 2005. Malam pertama di kota ini, aku cuba untuk meninjau-ninjau kegiatan pengunjung di sekitar Queen Street dan kawasan berdekatan. Beberapa ketika, aku terasa seperti ada seseorang sedang mengekori dan dengan sedikit rasa cemas, aku lajukan langkah berjalan lalu terus bersembunyi di dalam kedai 7-eleven yang kebetulan di situ. Dari dalam kedai serbanika ini, aku cuba mengintai ke luar cermin mencari-cari orang yang mengekori. Seketika, aku keluar semula memberanikan diri dalam kelompok manusia yang sudah tidak begitu ramai. Sambil menghisap rokok, aku sengaja berdiri di bawah tiang lampu. Dari jarak sekitar kurang 20 meter, kelihatan seorang lelaki berkulit putih, berjaket gelap sedang tepat memandang ke arah aku. Aku sedikit gelisah, mungkin dia ini ingin merompak aku, atau mungkin dia polis, tetapi apa pula salah aku? Atau dia seorang penjual dadah, cannabis atau ganja seperti yang pernah aku jumpa di Amsterdam beberapa tahun lalu? Aku memandang semula ke arah lelaki tadi dan perlahan-lahan beliau menghampiri. Agak gentar dan risau namun aku cuba berlagak berani. Dia tersenyum sambil menghulurkan tangan untuk berjabat. Beliau bertutur dalam bahasa Itali! Aku cuma sempat menyahut ‘bongiorno’ sebelum dia terus bercakap dalam bahasa ibunda beliau. Aku tercengang kerana keliru. “mi no italiano’ terpacul dari mulut aku menyampuk perbualan dan beliau terus terdiam. Dipendekkan cerita, Francisco menjadi teman untuk menjelajah kota Sydney beberapa hari berikutnya. Seperti aku, beliau juga pertama kali ke Australia dan bercuti sendirian. Dari Sydney aku ke Melbourne manakala Francisco terbang semula ke Singapura, kota di mana beliau mencari rezeki. Terngiang-ngiang ayat yang beliau selalu sebut “Saya boleh cakap Malayu sikit-sikit lah!”.

DSC_0230

Anita dan Ai di Spanish Steps, Rome.
Aku, Anita dan Ai ke kota Rome di penghujung November 2010. Kami tinggal di hotel murah sekitar terminal keretapi Rome. Dalam keadaan hujan yang agak lebat malam itu, kami kelaparan dan untuk berjalan keluar agak mustahil. Kami turun ke bawah hotel dan terlihat beberapa buah restoran sederet dengan pintu masuk hotel tadi, salah sebuahnya restoran India yang menjual makanan halal. Alhamdulillah, tersenyum lebar kami. Setelah melahap nasi biryani kambing, roti nan dan ayam tandoori, tiba-tiba Ai berkata “bestnya kalau dapat minum teh tarik”, dan sepantas itu juga seorang pekerja restoran yang sedang berdiri tidak jauh dari kami menyampuk “teh tarik ada, mau manis? gelas besar? gelas kecik semua saya boleh buat”. Senyuman kami semakin lebar sambil masing2 membeliakkan mata!. Di celah-celah kota besar Rome ini ada juga orang Bangladesh yang boleh berbahasa Melayu.

DSC_1337

Aku di New York pada April 2012, transit dari menghadiri konferens di San Francisco. Pada suatu petang aku berjalan agak jauh dari Broadway Street sehingga melepasi 5th Avenue yang terkenal dengan butik dan gedung fesyen terkemuka. Aku meneruskan langkah sehingga bersua dengan sebuah taman kecil di mana banyak kereta-kereta kuda dipakir. Dari jauh kelihatan sebuah kereta sorong, dan memandangkan tekak aku memang sudah kehausan aku terus menuju ke sana. Rupanya kereta sorong ini hanya menjual aiskrim, pelbagai macam aiskrim. Dalam aku membelek-belek aiskrim yang dijual, terpacul pula dari mulut aku “mahal-mahal harga aiskrim ni, entah sedap ke tidak”. Si penjual aiskrim tadi memandang tepat ke arah muka aku sambil dia tersenyum dan kemudian berkata “semua sedap, tidak mahal lah abang, beli satu lah…”. Setelah berbual seketika, akhirnya aku beli juga satu kon kecil aiskrim dari budak Bangladesh yang pernah bekerja di Malaysia tadi.

51120033

Kali pertama aku menjejakkan kaki ke Pulau Bali ialah sekitar bulan Ogos 2003, bersama beberapa orang rakan karib; Rosli, Popo, Mohammed Al-Sagoff dan seorang teman dari Belgium bertolak dari Singapura untuk percutian selama seminggu. Kami juga bercadang untuk ke Jakarta dari Bali melalui jalan darat dan pulang semula ke Bali menaiki pesawat. Setelah 2 hari berada di Bali, akhirnya Rosli dan Popo sahaja yang berminat ikut rancangan ke Jakarta. Petang itu dalam keadaan tergesa-gesa, kami sempat menuju ke stesyen bas utama di Bali dan membeli tiket bas express. Tips dari seorang rakan di Jakarta, perjalanan bas dari Bali ke Jakarta memakan masa hampir 10 jam dan bas perlu menaiki ferry untuk merentas selat yang memisahkan Pulau Bali dan Pulau Jawa. Perjalanan lancar sehinggalah ketika berhenti di pelabuhan Bali di mana kesesakan teruk disebabkan banyak kenderaan yang mahu pulang ke Pulau Jawa setelah meraikan sambutan ulangtahun kemerdekaan Indonesia peringkat nasional di Bali. Ramai yang mengeluh terpaksa menunggu berjam-jam lamanya di pelabuhan. Selalunya ianya hanya mengambil masa sekitar 30 minit untuk menunggu giliran. Cuaca malam itu di atas ferry sungguh nyaman dengan bulan mengambang penuh, penumpang agak ramai di atas ferry namun ianya tidak sesak. Ada yang menjual minuman dan makanan dan ramai juga keluarga yang membawa anak-anak kecil bersama. Kami sampai di sebuah pelabuhan di Pulau Jawa sekitar jam 3 atau 4 pagi, suasana di pelabuhan kelihatan seperti di dalam filem-filem lama tahun 50’an. Kabus pagi yang agak tebal, pancaran lampu jalan yang samar-samar, pelabuhannya berlecak dengan tanah gambut hitam, ramai warga tempatan yang menunggu di tebing pantai dengan menjunjung barang jualan terutamanya buah-buahan seperti pisang, mereka berpakaian tradisional Jawa dan rata-rata terdiri dari warga lanjut usia.

Bali 2003

Sebaik aku menjejakkan kaki di Pulau Jawa tersebut, perasaan tetiba menjadi berbaur sedih, terharu, sedikit gembira dan hati pula seraya berbisik “ini tanah nenek moyang yang lama ditinggalkan, ini tanah milik nenek moyang yang pernah beraja disini, yang terpaksa mereka tinggalkan..aku kembali…”. Dalam keadaan mengantuk dan pemandu bas yang sangat tergesa-gesa memandu, kami semua tidur dalam keletihan dan lebih kurang sejam lebih selepas itu, aku terjaga kerana bunyi kenderaan yang kuat bergeseran. Aku yang duduk hanya beberapa baris di belakang pemandu bas di sebelah kanan, melihat sebuah lori tangki berada betul-betul rapat di sebelah kiri bas dalam kelajuan tinggi. Pemandu sudah tidak dapat mengawal kenderaan, apa yang aku ingat ialah aku sempat melaung sekuat hati “Allahuakbar!!!!!”. Satu hentakan yang kuat berlaku dan serentak itu cermin-cermin tingkap bertaburan menjadi kaca-kaca kecil dan aku pula sempat tunduk ke bawah beberapa saat sebelum hentakan tadi. Sunyi. Senyap. Hening. Untuk beberapa ketika sebelum aku tersedar. Penumpang semua masih pengsan dalam tidur mereka. Suara seorang wanita di barisan belakang merintih “mas tolong mas…tolong saya mas…”. Aku tidak dapat bergerak atau berbuat apa-apa kerana kedua belah kaki tersepit di bawah kerusi hadapan. Dalam kesamaran pagi itu, aku melihat kelibat dua orang lelaki masuk ke dalam bas melalui pintu atau tingkap atau cermin hadapan bas. Dua orang manusia yang agak besar tubuh mereka ini memapah di kiri kanan aku, seolah-olah seperti mendukung membawa aku keluar dari bas. Aku diletakkan di sebelah pintu masuk sebuah rumah yang betul-betul berada menghadap bas yang sudah remuk menghentam sebuah pokok besar di tepi jalan. Aku bingung. Seketika penghuni rumah berlari keluar ke arah bas, penduduk-penduduk sekitaran juga ikut sama bergegas. Aku perhatikan penduduk-penduduk di sini semuanya berkain pelikat, berbaju kemas rata-rata berwarna putih, dengan berkopiah. Sepertinya mereka adalah Jemaah dari masjid berdekatan yang baru selesai solat Subuh. Persekitaran seperti di sebuah perkampungan di Terengganu kerana berhampiran dengan laut, berpasir pantai dan orang-orangnya juga tidak kelihatan seperti orang Jawa. Aku melihat penduduk lelaki menggunakan batang-batang kayu besar untuk mengumpil pintu bas yang sudah remuk. Seketika mereka berjaya membawa keluar beberapa orang penumpang, termasuk Rosli yang koma serta Popo yang cedera teruk berlumuran darah.

51040002

Rosli yang cedera parah serta hilang ingatan selama lebih sebulan dan tidak ingat apa yang berlaku.
Pemandu bas diberitakan meninggal dunia di tempat duduk pemandu, beberapa orang penumpang bas juga meninggal dunia termasuk anak kecil yang duduk di hadapan aku. Semua penumpang cedera, ada yang cedera serius termasuk yang patah kaki dan tangan, ada yang sebelah mata terkeluar manakala Rosli patah tangan kiri, beberapa tulang rusuk juga patah, luka besar di punggung, muka dan kepala. Popo mendapat berpuluh-puluh jahitan di peha dan punggung (cedera di punggung kerana dawai besi tempat duduk bas terjulur keluar). Maha Suci Allah, Yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani, aku tiada mendapat sebarang kecederaan kecuali peha kanan yang agak lebam kerana terhimpit di kerusi beberapa luka kecil di muka seperti jerawat batu terkena serpihan kaca tingkap! Kami di bawa ke klinik kerajaan berhampiran iaitu di Pasir Putih, Banyu Wangi, diberikan layanan yang sungguh baik serta cekap, namun Rosli dan Popo perlu ke Hospital Besar di Surabaya yang mengambil masa sekitar 4 jam perjalanan. Klinik tersebut baru sahaja menerima 2 buah Ambulance dari kerajaan Korea Selatan, lalu aku menempah keduanya untuk membawa kami. Di Hospital Dr. Sutomo Surabaya, kami diberikan rawatan kecemasan, pegawai-pegawai yang bertugas sungguh berdedikasi, pantas dan professional. Rosli ditahan selama sebulan, Popo berada di sana selama seminggu untuk urusan hospital, aku pula terbang pulang ke Singapura keesokan harinya. Di lapangan terbang Surabaya, aku disoal-siasat oleh beberapa orang pegawai polis, CID dan sebagainya dalam sebuah bilik khas. Pelbagai soalan ditanya termasuklah bagaimana aku begitu fasih berbahasa Indonesia, kenapa aku datang ke Bali walaupun pulau itu baru sahaja dibom oleh pengganas. Aku dilepaskan setelah memberikan beberapa nama ‘orang penting’ di Malaysia dan Keraton Solo. Di dalam pesawat, aku mula mengimbas kembali kejadian yang menimpa. Siapakah dua orang lelaki gagah yang memapah aku keluar dari dalam bas dengan wajah mereka yang samar-samar? Sedangkan setelah aku didudukkan di hadapan rumah penduduk kampung, barulah penduduk lelaki berhumpas pulas mahu membuka pintu yang remuk dengan batang-batang kayu. Dari mana pula dua orang lelaki tadi masuk? Dan aku pula keluar dari dalam bas bagaimana? Aku perlahan-lahan menyeluk saku di dalam jaket, dan mengeluarkan paspot Malaysia yang bersarung dan terselit rapi kitab mini surah Yaasin yang sentiasa aku bawa...airmata aku bercucuran tanpa henti.