Sunday, April 07, 2013

My Confession In New Orleans

New Orleans
Ini merupakan kali kedua aku menjejakkan kaki di bumi Amerika Syarikat, genap setahun dulu sekitar pertengahan Mac aku telah ke kota San Francisco untuk tujuan yang sama dan singgah bercuti di kota New York dalam perjalanan pulang ke Qatar. Aku menyertai persidangan antarabangsa bagi para professional dalam bidang Pengurusan Maklumat atau Information Professional yang dianjurkan oleh sebuah badan terkemuka dalam bidang ini iaitu AIIM yang berpangkalan di sana. Selain menyertai persidangan, aku juga mengambil beberapa kursus singkat serta perlu menduduki peperiksaan untuk layak dalam sesuatu bidang khusus. Pemergian aku ditaja oleh Syarikat di mana aku berkhidmat sekarang.


New Orleans
Kali ini persidangan diadakan di kota New Orleans yang terletak dalam negeri Lousiana, selatan benua Amerika Utara. Kota ini merupakan antara kota tertua yang didirikan oleh bangsa Eropah terutamanya penjelajah dari Peranchis dan Sepanyol yang mana mereka telah membawa masuk hamba-hamba abdi dari benua Afrika. Penduduk asli berketurunan Red Indian serta pelbagai bangsa lain tidak putus datang bermigrasi ke sini termasuklah mereka yang berhijrah dari kepulauan Carribean yang berdekatan. Ini menjadikan kota New Orleans sangat unik dari segi budaya, bahasa, seni bina bangunan, makanan serta penduduknya yang telah bercampur-baur dengan pelbagai bangsa yang juga dikenali sebagai Creole.


New Orleans
Aku menetap di tengah-tengah kawasan komersial, bersempadan dengan French Quarter yang menjadi titik tumpu pelancong dan segala kegiatannya yang menjadikan kota ini mahsyur serta dikenali ramai. Pelbagai sambutan perayaan dan persidangan sedang berlangsung, maka harga hotel-hotel di sini berlipat kali ganda mahal dari hari biasa. Kebanyakkan hotel di sini sudah penuh ditempah, sedangkan aku cuma membuat tempahan pada saat-saat akhir kira-kira seminggu sebelum berlepas ke sana. Penerbangan dari Doha ke Houston masih mempunyai tempat duduk kosong di bahagian business class, begitu juga dengan penerbangan selanjutnya dari Houston ke New Orleans. Selama hampir 16 jam aku terbang tanpa henti, transit selama sekitar 3 jam di Houston dan akhirnya aku sampai di New Orleans sekitar jam 11 malam. Walaupun waktu sudah lewat, aku mengambil kesempatan meninjau-ninjau kawasan sekitar hotel yang masih sibuk dengan manusia yang lalu-lalang.


New Orleans
Persidangan berlangsung selama 5 hari, manakala sehari sebelum dan selepas itu dikira sebagai hari bertugas rasmi, bermaksud Syarikat memberi wang saku (untuk penginapan hotel dan makanan) atau per diem untuk 6 malam, dan aku pula menambah lagi 3 malam untuk berehat sambil bercuti di sana yang tidak dikira sebagai hari bertugas. Selama 6 malam tersebut, pihak Syarikat memberikan per diem (tidak termasuk tambang kapal terbang) sebanyak QR22,400 (RM18,000). Jumlah yang hampir sama juga diberikan semasa aku ke persidangan di San Francisco serta ke London dua tahun lepas. Memandangkan aku mempunyai penyakit 'shopaholic', selalunya wang tersebut habis semuanya sebaik aku mendarat pulang di Doha. 


New Orleans
Agak sukar juga mengawal tabiat suka berbelanja aku ini, ada sahaja yang ingin dibeli, terutamanya apabila ke luar negara. Tetapi kali ini aku betul-betul bertekad untuk tidak banyak berbelanja seperti tahun lepas di mana aku benar-benar berbelanja besar di kota New York sehingga perlu menambah membeli sebuah beg pakaian yang besar dan sebuah beg bersaiz kabin. Lagi pula kali ini, aku baru sahaja pulang berbelanja di kota Dubai sekitar sebulan yang lalu, di mana aku membeli lebih sedozen pakaian selain dari beberapa pasang kasut dan barangan lain. Beberapa minggu yang lalu juga aku baru sahaja membeli sebuah jam tangan berjenama Rolex yang dihiasi dengan beberapa biji berlian asli yang berharga hampir QR40,000. Selain itu, beberapa hari sebelum berangkat ke USA, aku sempat membeli sebuah kamera kompak Sony Alpha NEX-N5Y yang berharga sekitar QR2600 untuk menggantikan kamera kompak yang sudah uzur. Foto-foto yang dipaparkan di entri kali ini merupakan hasil dari kamera canggih NEX-N5Y tersebut.

new orleans
Berbalik kepada kisah di New Orleans, aku membuat tempahan di Cotton Exchange hotel yang bertaraf 3 bintang sahaja. Maklumbalas atau review dari bekas pengunjung hotel di booking.com ini amat memuaskan serta harganya juga berpatutan. Memang benar hotel ini dijaga dengan bersih dan rapi, jauh dari keriuhan French Quarter walaupun jaraknya cuma sekitar 10 minit berjalan kaki. Hotel ini mempunyai sejarahnya yang tersendiri dan rekabentuk asli masih dikekalkan. Ianya berhampiran dengan semua tempat tumpuan pelancong di sini, dengan hanya berjalan kaki beberapa minit sudah boleh sampai di tebing Sungai Mississippi, River Walk, French Market, CBD di mana persidangan dianjurkan, Bourbon Street, Aquarium, Superdome dan banyak lagi. Ada sekali aku menaiki Street Car atau tram menuju ke kawasan Garden District untuk melihat rumah-rumah agam penduduk di sana yang dikelilingi taman-taman serta pohon besar yang menghijau.


New Orleans
Ada sebuah restoran makanan halal di sini yang diusahakan oleh warga Pakistan dan Sudan. Restoran Salt N' Pepper ini menghidangkan makanan Pakistan dan India serta Pizza pelbagai jenis. Restoran ini terletak tidak jauh dari hotel penginapan aku, hanya berjalan kaki sekitar 10 minit menuju ke sebuah pusat beli-belah barangan ternama di sini. Aku mencuba nasi briyani kambing pada hari pertama, dan beberapa hari kemudiannya aku ke sini lagi dengan mencuba nasi putih berlaukan kari ikan. Waktu siang selalunya aku hanya mengambil buah-buahan, cereal dan sandwich vegetarian berserta keju. Manakala sebelah malamnya aku lebih gemar ke restoran yang menghidangkan makanan laut, terutamanya ke Oyster House yang menghidangkan tiram segar yang dipanggang bersama parmesan cheese dan sedikit herba. Selain dari itu aku juga mencuba ikan keli (cat fish) dari sungai Mississippi yang terkenal ini, yang digoreng rangup serta crawfish atau udang sungai yang hanya direbus begitu sahaja. 


DSC00257
Aku benar-benar tidak dapat menahan ‘nafsu’ berbelanja bila terserempak dengan pusat beli-belah Saks Fifth Avenue yang berdekatan dengan restoran halal yang aku ceritakan tadi. Aku berniat hanya ingin melihat-lihat sahaja barangan yang dijual di sini terutamanya koleksi terkini Gucci dan Salvatore Ferragamo, namun tidak banyak barangan yang dipaparkan kecuali koleksi Ralph Laurent yang juga menjadi kegemaranku. Dek kerana harga pakaian jenama Ralph Laurent di Amerika Syarikat lebih murah dari tempat lain, aku terpaksa mengalah dengan membeli beberapa helai baju dan sehelai seluar jeans jenama Hugo Boss. Selain dari itu, aku memang sudah bercadang untuk membeli beberapa jenis produk Kiehl's di sini kerana jenama ini tidak dijual di Doha. Selalunya aku membeli dengan kuantiti yang lebih semasa pulang bercuti di Kuala Lumpur. Selain dari itu, aku juga berkunjung beberapa kali ke Hard Rock cafe untuk membeli t-shirt dan koleksi cenderamata yang dipesan oleh rakan-rakan di Doha.

new orleans musicians
French Quarter menempatkan berpuluh-puluh (jika tidak ratusan) buah pusat hiburan seperti pub dan kelab malam selain dari deretan restoran, kedai-kedai menjual pelbagai produk kraftangan dan cenderamata, cafe, kedai barangan antik serta pusat hiburan dewasa. Kebanyakkan pub-pub ini menghidangkan persembahan muzik secara langsung atau live dengan pelbagai genre dari Jazz yang sinonim dengan New Orleans, Rock, Balada, Oldies, Reggae, Cabaret sehingga kepada muzik dari pancaragam atau brass band. Pusat disko pula berselang-seli dengan pub-pub ini memainkan muzik rancak sehingga ke jam 4 atau 5 pagi. Setiap malam tempat-tempat ini dipenuhi dengan pengunjung dari pelbagai bangsa dan mereka yang berumur 21 tahun ke atas sahaja dibenarkan masuk. Jalan-jalan dipenuhi dengan pemuzik jalanan atau Busker pada waktu siangnya dan penarik beca serta kereta kuda berada di merata sudut. French Quarter memang hidup dan meriah setiap hari dan sepanjang tahun, walaupun di luar musim perayaan Mardi Gras yang terkenal itu!


New Orleans
Hampir setiap malam aku berada di sekitar French Quarter terutamanya Bourbon Street dan Royal Street atau Rue Royal dalam bahasa Peranchisnya ataupun dalam bahasa Sepanyol dipanggil sebagai Calla de Real, untuk berkunjung ke pub-pub  mendengar live music dari pelbagai genre dan kumpulan. Muzik Jazz lahir dari sini, betul-betul di French Quarter ini, maka ramai pemuzik dan penyanyi Jazz terkenal karier mereka bermula di pub-pub ini. Ianya seakan memorial atau muzium hidup yang mendendangkan genre Jazz yang memang menjadi kegemaranku. Pengunjung yang datang ke sini memang untuk berpesta dan menikmati muzik hebat serta makanan lautnya yang segar. Semua tempat hiburan di sini dibuka sehinga ke jam 4-5 pagi dan ianya penuh dengan pengunjung yang rata-rata semuanya mabuk dengan minuman keras yang dijual merata-rata. 


New Orleans
Walaupun aku ke sini hampir setiap malam, namum aku tinggalkan kamera di bilik hotel, demi keselamatan takut disamun atau keciciran. Berjalan malam di kota-kota besar perlu lebih hati-hati, tinggalkan kamera, telefon bimbit, dompet serta barang berharga di hotel. Aku cuma membawa sedikit wang untuk belanja, yang diletakkan di beberapa bahagian poket seluar dan baju atau jaket (kadangkala diselitkan di stokin). Kad kredit pula aku selitkan di dalam saku depan seluar manakala jam tangan selalunya aku hanya guna yang murah sahaja. Berjalan pulang di waktu malam kadang-kadang amat membimbangkan lebih-lebih lagi jika terserempak dengan kumpulan-kumpulan lelaki yang mabuk atau ketagihan dadah, atau kutu rayau. Aku tidak akan sesekali cuba pandang tepat ke arah mereka, berjalan seperti biasa tetapi dengan agak pantas tanpa gopoh-gapah. Kalau boleh elakkan dari berjalan di kawasan yang gelap dan kurang manusia lalu-lalang. Jika ada yang cuba menegur, katakan 'No' dan terus berlalu sambil membuat muka sedikit marah atau selamba. Cuba berlagak seperti penduduk tempatan tanpa memperlihatkan kejanggalan.


My creation

Memang tidak merugikan apabila aku memanjangkan cuti di kota ini kerana banyak tempat yang dapat aku lihat serta merasai hujung minggu bersama-sama pelancong tempatan. Hujung minggu itu diadakan Pesta Makanan seluruh Lousiana yang berlangsung di French Market. Ianya seakan-akan pasar tani selain menjual produk makanan tempatan, ada juga yang menjual pelbagai kraftangan yang menarik. Memandangkan sukar mendapat makanan yang halal, aku duduk di sebuah kafe terkenal di sini sambil menikmati kopi campuran New Orleans serta Beignets, sejenis kuih tradisional tempatan seakan donut tetapi dipotong segi empat dan ditabur degan gula halus yang banyak. Malamnya pula aku  menghabiskan masa dengan beberapa orang pemuda tempatan dan rakan-rakan mereka yang datang dari Seattle, California dan Chicago. Kami berkenalan sambil aku bercerita tentang Malaysia yang mana mereka agak arif dengan kemahsyuran menara kembar Petronas, pulau-pulau yang cantik serta penduduknya yang majmuk. 

New Orleans

Aku rasakan amat pantas masa berlalu semasa berada di New Orleans namun cukup puas menyelurusi setiap jalan dan lorong di French Quarter tanpa rasa jemu. Kota ini tidak terlalu sibuk seperti New York, tidak ramai kutu rayau dan pengemis di jalanan seperti di San Francisco, bahkan penduduk di sini sangat ramah-tamah serta sentiasa melemparkan senyuman. Bagi peminat muzik pula, di sini memang tempatnya bagi mendengar live music dari pemuzik amatur mahupun professional, pemuzik jalanan atau busker serta muzik Jazz yang amat berlainan. Di akhir konferens AIIM 2013 itu, panel telah bersetuju untuk menganjurkannya pada tahun hadapan di sebuah 'kota keriangan' yang tersohor iaitu Orlando di mana terdapatnya Disneyland, Universal Studio dan pelbagai lagi. Jumpa di sana pula InsyaAllah!

5 comments:

baby_busyuk said...

penyakit shopaholic eh??~

Rush Murad said...

baby_busyuk - yaaaa sakit saya agak kronik... :(

Elle Kamarudin said...

ceritalah lagi abg rush

Anonymous said...

apa kata lepas nie melancong ke south africa pulak

fifahnazri @ owner Kedai indah said...

Abg Rush Murad sila update segera. tak sabar nak baca next story