Wednesday, December 12, 2012

The Unspoken Fascinations In Lisboa, Portugal.

DSC_3782
Siapa yang tidak maklum akan epik penjelajahan (kristianisasi) dan penjajahan (penjarahan) bangsa Portugis ke seluruh pelusuk dunia bermula dari abad ke 13 Masehi sehinggalah perang dunia pertama? Selama beratus-ratus tahun bangsa dari semenanjung Iberia ini memecah samudera dan mengharungi pelbagai rintangan di lautan mahupun daratan demi cita-cita menakluki dunia ketika itu. Kesan dari tinggalan ilmu pengetahuan cendikiawan Islam (Portugal diperintah oleh kerajaan Islam selama 500 tahun) dalam bidang astronomi, pelayaran, dan kemahiran membina bahtera hebat memungkinkan eksplorasi bangsa Portugis ini. Tidak hairanlah jika bangsa Portugis dan Sepanyol ketika itu yang juga bekas negeri-negeri Khalifah Islam berlumba-lumba mencari ‘benua baru’ sehingga tersasar di pantai barat benua Amerika dan  merintasi kepulauan Nusantara sehingga sejauh pesisiran pantai barat Jepun di Asia Timur.

DSC_3675-001
Percutian di ibukota negara Portugal, iaitu Lisbon dibuat 2 hari sebelum aku berangkat terbang ke kota Madrid di Sepanyol. Perancangan pada saat-saat akhir ini dibuat kerana beberapa perubahan besar dalam perancangan awal percutian di Sepanyol . Aku dan Hafiz sampai di lapangan terbang Lisbon pada lewat petang 14 November 2012. Ketika itu amat susah untuk mendapatkan kenderaan awam menuju ke ibukota kerana adanya piket besar-besaran. Namun seorang pemandu teksi tempatan berjaya dipujuk untuk membawa kami ke Avenida Almirante dengan bayaran yang minima.

DSC03676
Setelah selesai merehatkan diri di kamar hotel, kami berjalan keluar menjenguk kawasan sekitar sambil menyesuaikan diri dengan koordinat persekitaran kota ini. Kami terserempak dengan dua buah restoran Muslim di sini. Lenguh juga berjalan kaki menuju ke pusat bandaraya, walaupun ada Metro yang berdekatan namun kami memilih untuk berjalan sahaja. Kita dapat melihat dengan jelas aktiviti-aktiviti dan bahagian-bahagian terlindung sesuatu kota itu sekiranya berjalan kaki menyusuri jalan atau lorong.
My creation
Malam pertama di sana kami habiskan dengan berlegar-legar di tengah kota sehinggalah ke kawasan Praca Dom Pedro (IV) di Rossio yang juga terdapat bangunan berwarna merah jambu tertera perkataan ‘Hard Rock Café’. Tiada apa yang menarik dengan pengunjung terlalu sedikit jumlahnya di sini. Agak sepi sebenarnya, dengan kota yang seolah-olah kurang bermaya, ditambah pula dengan hujan gerimis yang mencurah serta lampu-lampu jalan yang malap. Banyak kelihatan bangunan lama yang berusia ratusan tahun, masih berdiri kukuh namun tidak di jaga rapi, dibiarkan lusuh dimakan usia. Perancangannya aku hanya ingin berada di kota ini selama 2 malam sahaja dan kemudian ke kota Faro yang terletak di bahagian selatan Portugal.

DSC03627
Aku bercadang untuk melawat seberapa banyak monument di Lisbon keesokkan harinya dan merakam foto-foto bersejarah serta menarik untuk dijadikan kenangan percutian kali ini. Malam itu setelah puas kami berjalan di sekitar Baixa, Rua Aurea sehingga ke pintu gerbang Terreiro do Paco, kami singgah makan di sebuah restoran India yang menghidangkan masakan istimewa dari Goa – bekas kota dan pusat pemerintahan  Portugis pertama di benua Asia. Ada beberapa buah restoran India (Goa) dan China (Macau) di sini, menandakan hubungan sejarah mereka dengan Portugal yang sangat panjang, namun kebanyakkan kedai-kedai menjual cenderamata pula dikuasai oleh pendatang dari Bangladesh yang beragama Islam.

My creation
Keesokannya cuaca agak baik di awal hari. Kami menjamu selera di satu-satunya restoran yang mempunyai logo ‘100% Halal’ tanpa menghidangkan alkohol. Restoran kepunyaan warga Turki ini menghidangkan pelbagai makanan yang sungguh sedap dan sangat berpatutan. Restoran ini terletak di antara stesyen metro Anjos dan Intendente. Sesampai kami di tengah pusat kota terutamanya di Baixa-Chiado, kelihatan ramai pelancong dan penduduk tempatan sibuk dengan aktiviti mereka. Baharulah terasa kemeriahan dan suasana ibukota sebenar. Restoran-restoran gaya al-fresco boleh kelihatan di merata ceruk kota, begitu juga dengan kedai menjual barangan kulit seperti sepatu dan cenderahati. Gedung membeli-belah dengan jenama antarabangsa juga ada di sini. Dekorasi sambutan Krismas juga kelihatan di setiap kedai. Kota Lisbon mula menggamit rasa ‘ingin tahu’ aku, banyak yang tersembunyi di kota ini dan perlu untuk aku cungkil sedikit khazanahnya.

DSC_3643
Petang itu cuaca tiba-tiba menjadi mendung dengan hujan lebat mencurah-mencurah, ditambah pula dengan suhu yang semakin dingin. Kami masih seronok berlegar-legar di tengah kota Lisbon terutamanya di kawasan membeli-belah. Aku mengambil keputusan untuk berada lebih lama di sini, lantas membuat tempahan bilik hotel di tengah-tengah kota di Rossio, secara tepatnya di bangunan lama ratusan tahun umurnya yang menjadi sebahagian dari ikon kota ini. Malam itu kami berjalan kaki mendaki bukit dari sekitar Restauradores, melihat keindahan kota dari aras lebih tinggi. Lorong-lorong ‘cobblestone’ di sini menghiasi landskap Lisbon, dan apabila tirai malam dilabuhkan menjadi seakan bergemerlapan disimbah cahaya. Pusat-pusat hiburan  mula timbul di celah-celah bangunan lama ini, dengan pengunjung pelbagai umur dan bangsa. Muzik-muzik dimainkan secara langsung, kebanyakannya dianggotai oleh 2-3 orang pemuzik bergitar. Meriah dan unik!

My creation
Sistem pengangkutan di Lisbon amat bagus dan tidak rumit. Masih ada kenderaan Tram elektrik di sini terutamanya di kawasan tumpuan pelancong dan lorong-lorong lama yang sempit. Kami menaiki Tram lama untuk ke kawasan berbukit Chiado, yang mengambil masa sekitar 15 minit untuk sampai ke Bairro Alto yang juga kawasan tinjau di sini. Pemandangan kota Lisbon dari atas sini amat cantik, dengan rumah-rumah atap genting tersusun rapi rapat-rapat, kapal yang berlabuh serta pohon-pohon hijau yang besar-besar saiznya. Kami meninjau kawasan sekeliling, tenang dan tidak sibuk walau ada beberapa rombongan pelancong. Bangunan yang berusia dari abad yang berbeza dibina sebelah-menyebelah dengan senibina yang berbeza juga. Aku cukup puas berada di sini! Menghayati senibina bangunan, struktur bangunan, ukiran-ukirannya, jubin-jubin pelbagai corak di dinding bangunan, nilai-nilai estetika, sejarah serta nostalgia setiap satunya.

DSC_3865
Esoknya, kami mengikuti rombongan kecil 8 orang dalam pakej ke Sintra yang terletak sekitar sejam dari kota Lisbon. Sintra merupakan sebuah kawasan berbukit bukau dan bergunung-ganang yang kaya dengan keindahan alam semulajadi dan udaranya yang segar. Tidak hairanlah seawal abad ke15 sehingga 18 Masehi gologan bangsawan sudah membina istana-istana besar nan indah, taman-taman bunga serta estet-estet mewah. Ahli geografi Islam ketika itu Al-Bacr pertama kali mencatatkan akan kewujudan penempatan di sini dan orang-orang Islam pada abad ke-11 telah pun membina kubu militer di atas kawasan pergunungan yang kini dikenali sebagai Castelos do Mauros atau Moors' Castle.
DSC_3901 
Pemandu van merangkap pemandu pelancong kami sangat fasih berbahasa Inggeris serta arif akan selok-belok sejarah dan tempat-tempat di sini. Beliau yang berkelulusan sosiologi amat tertarik dengan hal-ehwal sejarah, sosio-masyarakat, ekonomi, budaya dan negara-negara ahli rombongan yang dibawanya. Kawasan Sintra telah diiktiraf sebagai salah sebuah kawasan UNESCO World Heritage pada tahun 1995. Di Sintra banyak istana dan monumen boleh dilawati seperti National Palace of Sintra, Monserrat Palace, Pena Park, Moors Castle, Botanical Park dan pelbagai lagi.
My creation
Kami dibawa berjalan kaki menyusuri lorong kecil dan sempit di celah-celah kawasan perumahan lama. Kami singgah di sebuah kedai menjual keju, wain dan jem yang diusahakan oleh penduduk tempatan. Kemudian kami ditunjukkan dengan beberapa monument peninggalan kerajaan Islam dahulu yang pernah menjadikan kawasan Sintra ini sebagai markas dan kota mereka.  Sambil berjalan, kami diterangkan akan setiap peristiwa bangunan, monument dan lokasi. Sungguh bermaklumat dan bermanfaat!

DSC_3928 

Kami seterusnya berhenti di sebuah bangunan agam yang tersergam di atas bukit - Quinta da Regaleira. It consists of a romantic palace and chapel, and a luxurious park featuring lakes, grottoes, wells, benches, fountains, and a vast array of exquisite constructions. The palace is also known as "Palace of Monteiro the Millionaire", from the nickname of its first owner,António Augusto Carvalho Monteiro. Dari luar tidak begitu jelas apa yang tersembunyi di sebalik tembok besar kompleks ini namun sebaik sahaja kami melepasi pintu masuk yang dikenakan bayaran beberapa Euro ini, barulah kelihatan taman yang luas berserta tumbuhan-tumbuhan dan pohon-pohon besar yang agak berusia.


Sintra 

Ada kisah Illuminati dan Freemason di atas kompleks bangunan ini (With the assistance of the Italian architect Luigi Manini, he designed the 4-hectare estate with its enigmatic buildings, believed to hide symbols related to alchemyMasonry, the Knights Templar, and the Rosicrucians). Kompleks ini ada keunikannya dan agak luas dengan pelbagai seksyen yang berbeza serta taman-taman yang seakan ‘labyrinth’. Ada menara tinjau, ada gua gelap yang mempunyai lorong bawah tanah menuju ke terowong yang seakan perigi. Ada pintu rahsia yang membawa ke kawasan tasik atau sungai buatan yang menjelmakan air terjun kecil. Ada deretan patung-patug Tuhan Greek yang menjadi mitos. Pokoknya ada bermacam-macam senibina buatan berbaur yang asli di kompleks ini. Tidak ketinggalan ialah Istana utama yang menempatkan foto serta artikel sejarah bangunan ini. Rumah gaya Eropah yang mewah untuk golongan bangsawan.
My creation
Diakhiran lawatan, kami dibawa ke Copa de Roca atau Cape of Rock. Angin yang bertiup sungguh kencang di tanjung ini, sehingga kami seakan ingin melayang jika tidak betul-betul kuat memasang kekuda di bumi. Ahli rombongan kami yang semuanya perempuan ada yang sampai tergolek-golek jatuh di atas rumput kerana angin kencang yang bertiup dari lautan Atlantik itu. Ada batu peringatan di sini yang menandakan bahawa ini merupakan tanah paling hujung ke sebelah barat di tanah besar benua Eropah. Juga diceritakan oleh pemandu pelancong kami bahawa di sekitar kawasan ini juga Nabi Yunus dibawa ke pantai oleh ikan paus yang menelannya. Hanya Allah yang tahu kebenaran lokasi peristiwa tersebut.

DSC_3999
Hari terakhir di Lisbon, kami berkunjung ke monumen wajib di Lisbon, sebuah kawasan yang dipanggil Belem, terletak sekitar 20 minit perjalanan menaiki Tram moden. Di sini ada sebuah jambatan yang dibina mengikut spesifikasi jambatan Golden Gate di San Francisco. Tidak jauh dari situ terdapat tugu besar berbentuk sebahagian bantera dan anak-anak kapal yang mengikuti eksplorasi menjelajah dunia. Di sini kapal pertama Portugis berlepas meninggalkan pelabuhan sekitar abad ke 13 Masehi dahulu. Aku berasa sayu dan sedih dengan tiba-tiba bila mengenangkan bagaimana Melaka yang sedang makmur ditawan, dijarah dan sebahagian penduduknya dibunuh serta dipaksa menukar agama. Selain Melaka, mereka juga menyerang beberapa buah pulau di Nusantara.

My creation
Ramai pelancong di sekitar kawasan Belem ini, dan memandangkan cuaca yang cukup baik dan cerah kami mengambil kesempatan ini berjalan kaki di sekitar kawasan dermaga lama ini. Ada deretan kedai dan restoran di sini, paling menarik ialah sebuah restoran yang menghidangkan tart telur (egg tart) tersohor di dunia yang sudah beroperasi hampir 300 tahun! Kami tidak membelinya kerana ada seorang rakan di FB memberitahu bahawa ianya tidak halal kerana dicampur ‘lard’ atau lemak babi. Memang penuh sesak restoran ini sambil ramai yang beratur panjang di luar. 
My creation Kami sempat juga mengunjungi Archeological Museum of Portugal semasa di sini. Senibina bangunan muzium ini sungguh cantik serta memaparkan ciri-ciri khas Menuelin asli Portugal. Di dataran muzium ini terhampar rumput hijau dan pohon-pohon rendang serta boulevard untuk pengunjung. Menarik sejarah panjang mereka yang bermula sebelum kedatangan tentera Roman pada sekitar 223 Sebelum Masehi sehinggalah kejatuhan empayar Islam. Di muzium ini juga disisipkan pameran khas dari Mesir, keranda-keranda mumia Firaun serta perkakasan yang berkaitan.
My creation
Kami mengunjungi ‘flea market’ yang kebetulan berada di hadapan kawasan tidak jauh dari muzium. Kami membeli beberapa cenderamata dan aku seperti biasa akan mencari pinggan-pinggan antik yang unik dan sukar didapati. Kami berhenti minum di Starbucks untuk mengalas perut kelaparan sambil berehat sebentar sebelum pulang ke hotel. Suasana senja di sekitar Belem sungguh menarik ditambah pula dengan keriuhan pelancong dan alunan muzik Fado yang mendayu-dayu kebanggaan warga Portugal yang dimainkan oleh sekumpulan pemuda di sekitar muzium.

DSC_3719
Kami berada selama 6 hari dan 5 malam di kota Lisbon yang penuh dengan pelbagai kesan sejarah ini yang dapat dilihat dari monument-monument dan bangunan lama di sekitarnya. Terlalu singkat rasanya aku berada di kota ini sedangkan banyak lagi yang hendak aku jelajah dan terokai. Selain dari bersiar-siar mengunjungi pelbagai monument dan tempat, kami juga seronok berbelanja di sini kerana barangan di sini sedikit murah dari negara EU lainnya. Banyak dijual barangan kulit dan aku suka akan sepatu-sepatu kulit dari Portugal atau Sepanyol. Namum sayang seribu kali sayang, 99% dari sepatu ini diperbuat dari kulit babi. Selain barangan kulit, cenderamata dari jubin dan porselin juga banyak dijual di sini.

DSC03823
Kalau berpeluang, ingin sekali lagi aku mengunjungi negara Portugal ini, tetapi berkunjung ke kawasan-kawasan lainnya terutama di Algarve di sebelah selatan yang banyak menyimpan monument tinggalan pemerintah Islam terdahulu. Selain dari itu, pantai-pantai di sebelah selatan ini cukup popular dengan keindahan alam semulajadi dan cuaca Mediterranean. Pagi itu, selepas bersarapan beberapa keping roti bakar dan telur rebus, aku dan Hafiz berangkat meninggalkan Lisbon di hujung sebelah barat, terbang menuju ke Barcelona, Spain yang terletak pula di hujung sebelah timur semenanjung Iberia.