Thursday, November 29, 2012

The Promises - Edinburgh and Aberdeen Short Trip


Scotland

Penerbangan dari Barcelona menggunakan pesawat tambang murah Ryanair mengambil masa sekitar 2 jam untuk sampai ke Edinburgh, ibu kota negeri Scotland. Tanggal 21 November 2012, kami menjejaki kota ini dalam pekat malam yang disirami hujan sejuk musim luruh. Aku merenung jauh ke luar jendela teksi, kelihatan sayup-sayup struktur bangunan di kota ini, yang mengingatkan aku akan kota-kota lama bandar Eropah lainnya. Teksi malam itu menyusuri jalan-jalan sempit, ada pohon-pohon besar di kiri-kanan jalan, limpahan lampu sepanjang jalan malap-malap cahayanya. Hotel di mana kami menginap The Point, di Bread Street menghadap istana lama yang tertenggek di atas bukit. Kamar kami cukup selesa dan agak besar saiznya. Tiada pemandangan menarik dari sini, kecuali tingkap-tingkap dan bumbung-bumbung bangunan bersebelahan.

Scotland

Selesai membersihkan diri, kami keluar berjalan kaki tanpa arah tujuan. Hanya menyusur jalan besar, melewati kedai-kedai dan restoran yang sudah pun tamat operasi untuk hari itu. Sunyi-sepi, hujan renyai-renyai masih menyiram bumi, sejuk sekitar 1’Celcius, sesekali ada kenderaan dan manusia yang lalu-lalang. Dari kejauhan sudah kelihatan istana-istana dan gereja lama di atas bukit. Awan masih berarak disinari cahaya rembulan yang sudah separuh penuh. Kami kelaparan, maka berkesudahan membeli mee segera Koka, sardin di dalam tin, buah-buahan, kerepek kentang, susu dan minuman lain. Berselera sungguh kami makan di dalam kamar hotel!

DSC03969

Keesokan harinya, hujan mencurah-curah dari awal pagi sehinggalah membawa ke malam. Kami gagahi juga untuk keluar setelah lewat tengahari kerana bosan di dalam hotel dan merasa rugi tidak menggunakan peluang sehari ini untuk meneroka kota Edinburgh. Kami ke tengah kota, cuma beberapa minit berjalan kaki, sambil berhenti di beberapa buah kedai menjual cenderamata. Kami menuju sehingga ke Waverly Railway Station untuk mengambil tiket keretapi yang telah dibeli melalui online. Di sebelah stesyen ini, terletak pula Princes Mall yang menempatkan sedikit butik pakaian dan medan selera. Kami berhenti makan di sebuah restoran Fish & Chips yang terkenal di sini. Setelah itu, kami meneruskan berjalan kaki meredah hujan gerimis yang tak kunjung henti, membeli sedikit ole-ole Scotland. Setelah selesai minum petang di sebuah café, kami pulang ke hotel sementara menunggu untuk makan malam bersama rakan warga Malaysia yang menuntut di sana.

Scotland

Hafiz berkenalan dengan Syilla semasa sama-sama membuat visa untuk melanjutkan pelajaran di UK. Syilla yang baru 3 bulan mendirikan rumahtangga (mereka baru 2 bulan di UK) ditemani oleh sang suami yang mempunyai kenalan yang sama dengan aku. Seronok berbual dan bercerita dengan pasangan muda ini, sentiasa ceria dan nampak positif dalam hidup. Kami makan malam  di sebuah restoran Cina berasal dari Malaysia, makan makanan laut dan sayur-sayuran. Kami tidak dapat meluangkan masa terlalu lama kerana masing-masing ada komitmen keesokan harinya. Kami pula sudah kepenatan berjalan seharian meredah hujan dan gerimis di sekitar kota Edinburgh. Esoknya kami perlu bersiap agak awal, perjalanan menaiki keretapi ke Aberdeen menanti kami. Sepanjang berjalan kaki sekitar 30 minit dari hotel ke stesyen, aku sempat merakam gambar-gambar sekitar Edinburgh. Ini sahajalah yang sempat dibuat kenangan dari kota ini.

Scotland

Kami sampai di stesyen Waverly tepat pada masanya untuk keretapi bertolak, awal sekitar 5 minit sahaja. Termengah-mengah juga kami mencari koc yang tertera di tiket, semuanya kami redah asalkan dapat melompat masuk ke dalam perut keretapi ini. Beg sandang aku yang beratnya hampir 10kg amat memeritkan bahu, begitu juga dengan beg pakaian yang hampir mencecah 20kg ketika itu, aku heret sepanjang jalan. Cemas dan seronok berbaur, cemas takut tertinggal keretapi dan seronok berkejar-kejaran antar aku, Hafiz dan keretapi! Pemandangan di sepanjang perjalanan yang mengambil masa hampir 3 jam ini amat menarik dan cantik. Kehijauan kawasan padang ragut, lapangan golf dan bukit-bukaunya memukau pandangan. Beberapa kali keretapi melalui jambatan yang dibina di atas air, melewati kawasan perkampungan dan bandar-bandar kecil.

Scotland

Kami sampai di Union Station, Aberdeen sekitar jam 1 petang pada 23 November 2012. Langit sedikit kelam dengan awan hitam bergumpalan. Seketika turun pula hujan renyai dan kami yang sedang menunggu bas untuk ke rumah Hafiz dimandikan hujan. Kerana kelaparan, kami bersetuju untuk makan dahulu sambil mengheret beg-beg turun-naik jalan yang berbukit di tengah kota Aberdeen, mencari sebuah restoran Pakistan. Sesampai di sana, kami kehampaan kerana restoran belum dibuka. Kami mengheret lagi beg-beg berat tersebut sambil mulut aku tak henti-henti mengadu akan keletihan kaki, tangan dan seluruh anggota badan. Akhirnya Hafiz berjaya menemukan bas menuju ke kawasan tempat tinggalnya – Kittybrewster (comel sungguh nama tempat ini). Kami berehat seketika sebelum keluar semula membeli makanan di Sainsbury yang berdekatan.

DSC03997

Esoknya kami menuju ke University of Aberdeen yang terletak sekitar 10 minit berjalan kaki dari kediaman Hafiz. Sebelum itu, kami sama-sama memasak untuk makan tengahari, dibantu oleh rakan serumah Hafiz, Zubir yang juga baru sampai di Aberdeen untuk melanjutkan pelajaran di peringkat Doktor Falsafah (PhD). Cantik bangunan di sekitar kampus King’s College, bangunan berusia ratusan tahun yang kaya dengan peristiwa dan cerita pencapaiannya. Selesai di sana, kami menaiki bas menuju ke tengah bandar Aberdeen. Cuaca amat cerah hari itu, namum suhu sekitar 3’Celcius itu benar-benar membuat aku menggigil kesejukan. Aku gunakan kesempatan dengan cuaca baik ini untuk merakam panorama melalui lensa Nikon D7000.

Scotland
Memandangkan ianya hujung minggu, ramai penduduk Aberdeen keluar bertumpu di bandar ini. Kedai-kedai serta restoran kebanyakkannya dipenuhi pengunjung, dan kemeriahan sambutan Krismas sudahpun kelihatan dengan dekorasi menarik di sekitar bandar ini. Aku sempat membeli sedikit cenderahati buat kenang-kenangan. Sepetang itu, kami hanya berlegar di sekitar Union Square, menghirup kopi panas sambil menikmati biskut mentega asli Scotland. Kami tidak mahu pulang kerana belum puas bermesra dengan kota ini, kami lanjutkan acara malam itu dengan menonton di pawagam. Waktu yang ada sangat singkat bagi meneroka banyak bahagian dan aktiviti bandar ini. Esoknya aku harus pulang pergi meninggalkan Aberdeen menuju ke London dan seterusnya Doha.

Scotland

Dalam gerimis awal pagi, aku menaiki teksi dari Ashgrove Road ke lapangan terbang ABZ. Pemandu warga tempatan dengan selanga pekat Scottish, kira-kira setengah abad umurnya, peramah dan mudah pula diajak berbual. Tidak sampai 15 minit perjalanan, kami sudahpun sampai ke destinasi. Aku tinggalkan Hafiz dan Aberdeen buat sementara, insyaAllah ada jodoh, rezeki dan kelapangan dariNya, aku akan datang lagi ke sini, di musim yang berbeza pula.Alhamdulillah, terima kasih Allah atas nikmat-nikmat Mu ini...

DSC04003