Friday, July 20, 2012

Pre-Ramadhan: The Unusual 'Tahlil' Affair....

Surah Yaasin
Assalamualaikum wbt. Alhamdulillah, niat untuk berkumpul dengan sebahagian rakan-rakan di Doha terlaksana juga sebelum menjelangnya bulan Ramadhan 1433 Hijriah. Kelaziman masyarakat di Nusantara (Malaysia, Indonesia, Brunei, Selatan Thailand, Selatan Filipina, Singapura) mengadakan tahlil atau kenduri sebelum datangnya Ramadhan, menyambut dengan cara membaca surah Yaasin, berzikir dan berdoa dan ada sebahagiannya mendoakan (sedekah, hadiah) kepada ahli keluarga terdekat yang telah meninggal dunia. Memandangkan aku membuat keputusan mengadakan tahlil ini agak lewat, kira-kira seminggu sebelum itu, maka agak sukar untuk mendapatkan seorang ustaz atau imam atau mereka yang boleh menggepalai majlis ini. Akhirannya, seorang sahabat di sini bersetuju untuk membaca beberapa potong ayat lazim, al-fatihah dan membacakan doa seperti yang lazim dilakukan selepas solat fardhu. Ringkas sahaja.
Malay Man
Selesai berdoa, aku diminta untuk memperkenalkan para hadirin yang hadir, kerana ada sebahagian daripada mereka tidak mengenali antara satu sama lain walaupun telah beberapa tahun menetap di Doha. Semakin ramai rakyat Malaysia di sini. Secara tidak langsung majlis ini menjadi majlis ta'aruf yang dapat mengeratkan ukhuwah sesama masyarakat Malaysia di sini. Memandangkan rumah aku yang tidak seberapa besar ini, terpaksalah aku menghadkan jemputan supaya hadirin yang hadir berasa lebih selesa. Namun di dalam hati, mahu sahaja aku jemput semua kenalan yang ada di Doha ini.
Malays
Bercerita tentang tahlil ini (maksud tahlil itu sendiri ialah La illah ha illallah), teringat aku semasa zaman kanak-kanak sekitar tahun 1980an-1990'an, tinggal di kawasan perumahan yang majoritinya orang Melayu. Di awal perpindahan kami di sana, hampir setiap hari Khamis malam Jumaat, akan diadakan majlis bacaan Yaasin atau Tahlil secara bergilir-gilir mengikut nombor rumah, turutan jalan/lorong atau atas permintaan tuanrumah. Di ketika itulah jiran-jiran menjadi semakin akrab, beberapa mesyuarat juga berlangsung terutamanya mengenai hal-hal kemasyarakatan seperti pengumuman bakal-bakal haji tahun itu, penubuhan pasukan silat dan kompang, jadual kelas-kelas agama untuk ibubapa, kelahiran dan kematian, jadual berkhatan, jiran-jiran baru dan sebagainya. Cuma di ketika majlis itu sahaja kami dapat berkumpul beramai-ramai. Sungguh mesra dan penuh tertib.
My creation

Aku membesar dengan suasana begitu. Apabila masuknya bulan Syaaban, semakin banyak kenduri arwah, tahlil mahupun yaasinan di adakan. Pelbagai juadah disediakan oleh tuanrumah selain yang dibawa oleh jiran tetangga. Ibu aku pula selalunya akan membantu jiran-jiran terdekat untuk memasak secara gotong-royong atau 'rewang' dalam bahasa Jawa Johor. Sangat meriah ketika itu. Dan waktu itu jugalah aku belajar untuk membaca surah Yaasin, belajar membaca doa-doa dan zikir-zikir memuji Allah dan Rasulullah. Mendayu-dayu zikir yang dialun yang selalunya diketuai oleh Imam surau kami. Doa pula ada ketikanya panjang-panjang sehingga naik lenguh tangan menadah ke langit namun aku sentiasa yakin yang Allah mendengar doa-doa hambaNya. InsyaAllah. Kenangan bertahil tersebut masih segar dalam ingatan.
DSC_2490
Cerita tahlil ringkas di rumah aku di Doha pula sangat berlainan dengan kenangan di zaman kanak-kanak dahulu. Tinggal di perantauan menjadikan majlis tahlil ini agak berlainan rasanya, lebih-lebih lagi ada yang berpendapat majlis tahlil atau yaasinan ini merupakan suatu Bida'ah (bab ini aku tidak mahu mengulas panjang, namun aku masih yakin bahawa majlis tahlil dan yaasinan itu relevan dan tidak menyalahi hukum-hakam agama Islam).  Walaupun begitu, rakan-rakan yang hadir pada malam itu membawa pelbagai juadah yang sedap-sedap. Apa yang menariknya, sehari sebelum itu aku sangat teringin menjamah kuih Pau berintikan kacang merah dan inti kelapa serta pemanis mulut agar-agar (lengkong) santan. Dijadikan cerita, Kak Nora yang pertama kali berkunjung ke Umm Bab, datang membawa kuih Pau yang masih hangat, berintikan kacang merah, kelapa dan kaya! Bukan itu sahaja, Kak Sham pula  datang dengan membawa agar-agar santan yang sungguh sedap! MasyaAllah. Selain dari itu, banyak pemanis mulut yang mereka bawa, termasuklah juga kuih Burger Malaysia (yang ada inti sambal tumis dan timun) yang sudah berkurun aku tidak jamah, terima kasih Atie dan Zaky. Ada juga yang membawa kuih Puteri Salju, kuih bakar, marble cake, agar-agar Milo, buah pear asam boi dan aku pula menyediakan cupcakes Red Velvet hasiltangan Syazwani rakan sepejabat.
Malay food
Aku sebagai tuanrumah cuma menyediakan nasi putih, ikan kering, sambal belacan dan sedikit ulam serta asam pedas ikan terubuk. Tetamu pula membawa lauk-pauk Melayu beraneka jenis seperti daging masak kicap, paru goreng sambal, kari ayam, masak lemak cili api ayam, masak lemak ikan, sambal tumis ikan bilis petai, ayam tandoori dan sayur campur. Kak Jue pula datang dengan membawa sebekas besar air minuman buah tembikai yang dingin dan segar. Tetamu yang hadir kelihatan amat berselera menjamu selera dan rata-rata mereka menambah 2-3 kali pinggan. Alhamdulillah. Nikmat perkongsian. Bak kata pepatah Melayu "hati gajah sama dilapah, hati kuman sama dicecah". Cukup semua hidangan yang ada pada malam itu, sehingga aku berkesempatan makan tengahari keesokkan harinya dengan lauk-pauk yang ada bersama keluarga Kak Ipah! Bersyukur dengan rezeki yang Allah limpahi.


Di kesempatan ini juga saya ingin mengucapkan selamat menyambut kedatangan bulan Ramadhan Al-Mubarak yang penuh barakah ini. Semoga segala amal ibadah kita di bulan mulia ini diredhai Allah. Ampun dan maaf dipinta kepada semua pembaca Tepak Sireh atas salah silap dan khilaf yang tidak disengajakan sepanjang mencoretkan pengalaman di blog ini. Ramadhan Kareem!!!

Monday, July 02, 2012

Phoenician's Fantasy In Lebanon: Beirut, Jeita Grotto, Byblos

My creation
Beirut atau ejaan lamanya Beyrouth merupakan sebuah kota lama yang berusia ribuan tahun dan tidak putus-putus didiami oleh manusia dari pelbagai ketamadunan, etnik dan agama. Kota ini penuh dengan bangunan yang mempunyai ciri-ciri Mediterranean, diperbuat dari batu-batan gunung yang keras, beratap genting atau clay, daun-daun pintu dari papan bergaya louvered shutter, jalanrayanya yang sempit dan sibuk namun di sepanjangnya penuh ditumbuhi pohon-pohon rendang yang rimbun. Beirut amat indah dari kacamata aku!
My creation
Jumaat itu, kami sempat bersolat jemaah di Masjid Mohammad Al-Amin yang terletak di Matyr's Square yang juga menempatkan perkuburan bekas presiden Lebanon yang mati dibunuh bersama para pegawainya; Tuan Presiden Rafik Hariri. Dekorasi masjid ini sungguh indah dan mempesonakan terutamanya lakaran di sebelah dalam kubah. Ciri serta struktur bangunan ini mengambil sempena binaan Uthmaniyyah di Istanbul.
My creation
Berdekatan masjid ini, terletak pula beberapa buah gereja kecil yang berusia ratusan tahun yang masih utuh. Kawasan sekitar ini dibangunakan semula dengan bangunan moden bercirikan tempatan, sementara bangunan lama pula dibaikpulih. Pelbagai souq khusus menjual pelbagai barangan berjenama mewah dan terkenal terletak di sini serta ditempatkan juga kafe-kafe moden yang bergaya Eropah dan Mediterranean.

My creation
Selesai menikmati juadah di sebuah restroan agak mewah di sini, kami berjalan kaki sahaja petang itu menyusuri kawasan pantai, melalui marina dan beach club yang dikunjungi oleh ramai warga tempatan yang sedang bermandi cahaya matahari. Cuaca yang agak panas petang itu tidak kami hiraukan dengan berjalan kaki beberapa kilometer sehingga sampai di kawasan Corniche. Kami berhenti sebentar untuk minum dan berehat sebelum menaiki bas dengan tambang sekitar RM2 menuju ke kawasan yang seterusnya di penghujung Corniche - Al-Rawcheh.
My creation
Kami berhenti tidak jauh dari salah satu tempat wajib dilawati di Beirut, iaitu salah satu ikon Beirut - The Pigeon's Rock. Cantik pemandangan Laut Mediterranean dari kawasan yang agak tinggi ini. Kawasan ini tidaklah sesibuk seperti yang aku jangkakan, mungkin juga bukan waktunya warga tempatan keluar bersantai. Bungkah batu di pesisir pantai ini mempunyai sejarahnya yang tersendiri dan bentuknya yang unik menjadi salah satu obejk menarik untuk dirakam oleh lensa kamera.

DSC03263
Kami berhenti minum petang di sebuah kafe terkenal di sini sambil berbual dengan salah seorang pekerjanya. Agak sunyi di kawasan ini waktu itu, hanya beberapa buah meja dipenuhi pelanggan sambil menanti terbenamnya matahari. Kami tidak menunggu lama untuk melihat sunset kerana sudah sedikit letih ketika itu. Kami meneruskan perjalanan dengan menaiki teksi menuju ke salah sebuah pusat beli-belah yang terkenal di sini untuk membeli sedikit cenderamata sambil melihat-lihat kompleks membeli-belah di sini. Ternyata Kuala Lumpur jauh lebih bagus, lebih meriah, lebih besar dan lebih pelbagai dari di sini.
My creation
Keesokan paginya, Fadhil pemandu teksi yang kami tempah untuk bawa ke beberapa tempat sudahpun berada di lobi hotel. Kawasan pertama yang akan kami kunjungi ialah Jeita Grotto. Jeita Grotto is a compound of crystallized caves in Lebanon located 20 km north of Beirut in the Valley of Nahr al-Kalb (Dog River). This grotto is made up of two limestone caves, upper galleries and a lower cave through which a 6230 m long river runs. Geologically, the caves provide a tunnel or escape route for the underground river. In this cave and galleries, the action of water in the limestone has created cathedral-like vaults full of various sizes, colors and shapes of stalactites and stalagmites, majestic curtains and fantastic rock formations. The total length of the cave is more than 9000 m and there is one among the biggest stalactites in the world hanging 8,20 m. The grotto accommodates a huge hall with a distance of 108 m from the ceiling till the water level.

DSC03267-001
Kami tidak dibenarkan untuk mengambil gambar di dalam gua, namun aku sempat juga mencuri mengambilnya, dan hanya sekeping ini sahaja yang menjadi. Di sekitar Jeita Grotto ini sungguh nyaman dan dipenuhi dengan pohon-pohon rimbun. Juga disediakan di sini ialah kereta kabel untuk naik ke tingkat atas dan keretapi kecil untuk membawa turun pengunjung. Di tingkat bawah pula terletak sungai yang mengalir di dalam gua. Kami menaikinya menggunakan sampan menyusuri lubang-lubang gua yang samar-samar sambil menyentuh air sungai gua yang cukup dingin.

My creation
Setelah itu kami menuju ke Byblos, salah sebuah tempat wajib dilawati juga di sekitar Beirut yang memakan masa hampir sejam untuk ke sana. Byblos sungguh cantik dan istimewa! Banyak spot yang cantik untuk bergambar di sini dan hampir kesemuanya adalah bangunan-bangunan lama yang berusia dari ratusan sehinggalah ke ribuan tahun. Unik dan nampak masih kukuh bangunan di sini.

DSC_2142
Pemandangan taman yang menghadap Laut Mediterranean dari atas bumbung bangunan istana di sini sungguh menakjubkan. Tenang dan damai serta membuatkan aku ingin berada agak lama di sini. Di sini juga terletak deretan souq yang menjual pelbagai cenderamata. Ada beberapa kedai yang menjual dengan harga yang sungguh murah serta unik. Pelbagai kraftangan boleh didapati di sini berbanding di Beirut.
My creation
Persekitaran Byblos dijaga dengan baik dan rapi. Ketika kami sampai, tidak ramai pelancong ke sana kerana matahari sudah tinggi dan agak panas sedikit. Ada beberapa cenderamata unik aku beli di sini, antaranya fossil-fossil ikan yang berusia jutaan tahun, asli dan memang dari Byblos (dapat sijil pengesahan asli) yang dijual di sebuah kedai yang terkenal di sini (kedai ini mendapat publisiti dari National Geographic Society). Hafiz pula memborong pelbagai cenderamata kerjatangan Lebanon, semua cantik-cantik belaka.

DSC_2223
Seharian kami keluar bersama Fadhil, yang sudah berkahwin dengan wanita Filipina yang bekerja di sana. Ada beberapa tempat lain yang kami singgah untuk makan dan melihat-lihat sahaja seperti di kawasan pantai Jnah. Malam harinya, dengan kudrat yang masih ada dan semangat gigih, kami kuatkan diri pergi ke Hard Rock Cafe dengan berjalan kaki sahaja dari Al-Hamra Street melalui American University of Beirut (AUB). Sebelum itu kami sempat berbual di Corniche dengan dua orang warga tempatan mengenai pergelutan di Syria dan Lebanon serta kisah kehidupan di negara ini.
My creation
Agak lewat kami pulang malam itu. Kami sengaja berjalan kaki menyusuri Corniche beberapa kilometer jauhnya sambil melihat gelagat warga muda Beirut di lewat malam. Ramai juga yang peramah dan menegur kami sambil mengajak berbual dan ikut 'stone' bersama mereka. Banyak yang kami berdua bualkan pada malam itu sambil menikmati udara segar dan nyaman bayu Laut Mediterranean. Kami berhenti agak lama di Manara, iaitu sebuah bangunan rumah api (lighthouse) yang didirikan semasa pemerintahan Bani Uthmaniyyah.
My creation
Hari terakhir di Beirut, Lubnan, kami masih mempunyai sisa sekitar 6 jam sebelum bertolak ke lapangan terbang antarabangsa Rafik Hariri. Seawal pagi kami sudah bersiap-siap menuju ke National Museum of Lebanon yang terletak sekitar 20 minit perjalanan dengan teksi dari Hamra Street. Kompleks Muzium ini tidak besar dan hanya menempatkan beberapa ribu artifak sahaja. Pada hari itu, kebetulan Muzium sedang meraikan ulangtahun penubuhannya yang ke-60 tahun dan beberapa aktiviti sedang dijalankan. Agak unik dan menarik juga aktiviti pada hari itu walau terlalu sedikit pengunjung yang datang.
My creation
Setelah itu kami berlegar semula di sekitar Hamra Street sehingga ke Bliss Street, sambung membeli pelbagai jenis cenderamata seperti manisan Baklava, pakaian tradisional lelaki Lubnan, CD lagu-lagu Arab Lubnan, hasil-hasil kraftangan dan pelbagai lagi. Kami sempat juga menjamu selera di sebuah restoran makanan segera yang menghidangkan 'broasted chicken' paling sedap pernah kami rasa.
My creation
Alhamdulillah, percutian tahunan sempena hari lahir aku kali ini berjalan lancar dan amat seronok. Sekali lagi Hafiz menemani aku menjelajah di negara orang, dan beliau merupakan seorang 'rakan melancong' yang sangat reliable, cooperative, considerable dan mudah untuk dibawa berbincang dan tidak banyak membantah. Terima kasih Hafiz! InsyaAllah, panjang umur, kita travel lagi bersama-sama. Lebanon, negara yang indah dengan alam semulajadi, bangunan-bangunan dan sejarah yang menakjubkan, rakyatnya yang cantik-cantik serta peramah, first class hospitality dan tentunya berbaloi untuk dikunjungi oleh sesiapa jua.