Thursday, June 21, 2012

Phoenician's Fantasy in Lebanon: Anjar, Baalbek & Ksara.

DSC_1593
Sedang rancak berbual di sebuah kafe popular di Al-Hamra street, secara tiba-tiba kedengaran bunyi ledakan senapang otomatik beberapa das. Terasa amat dekat arah asal bunyi ledakan tersebut, manakala tetamu yang berjumlah puluhan orang di kafe itu cuma diam seketika tanpa menunjukkan sebarang reaksi panik. Selang beberapa minit kemudian, kereta-kerata peronda polis serta militer berkejaran melintas lalu di hadapan kafe, namun warga Beirut tetap santai dan meneruskan aktiviti 'melepak' di Hamra Cafe seperti tiada perkara serius yang berlaku. Peperangan saudara yang berlaku di Syria, merebak masuk ke dalam negara Lebanon dan ketika aku bercuti di sana bersama Hafiz, negara itu sudahpun diisytiharkan tidak selamat untuk dikunjungi.

DSC_1581
Seperti lazimnya, saban tahun aku akan berkunjung ke luar negara setiap kali menyambut hari lahir. Kali ini, aku ke Lebanon, sebuah negara Arab beriklim mediterranean dan mempunyai sejarah silam yang cukup panjang serta sebuah negara yang amat cantik serta unik. Pelbagai tamaddun pernah wujud di negara ini sejak 7000 tahun yang lampau dan pelbagai peperangan juga berlaku di tanah bertuah ini  yang dianugerahkan dengan iklim, pemandangan, flora dan topografinya yang amat memikat.

DSC03240
Perancangan singkat dan ringkas kurang dari 2 minggu dilakukan untuk ziarah kali ini yang bermula dari 23 hingga 27 Mei 2012. Hafiz yang sedang dalam rangka bercuti di Doha ikut serta pada saat-saat akhir dan kehadiran beliau menghilangkan rasa bosan bercuti sendirian. Semuanya berjalan lancar dari penempahan tiket penerbangan QR, hotel penginapan di 35 Rooms yang unik, bersih serta harga yang amat berpatutan, dan pendaftaran rombongan ziarah melalui Nakhel Tour yang amat bagus serta profesional. Selain itu, kami juga menempah teksi untuk melawat beberapa tempat menarik lainnya dengan harga yang agak berpatutan juga.

DSC_1606
Khamis, 24 Mei setelah kami menunaikan solat Subuh, kami bersiap-siap untuk menyertai rombongan pelancongan dari Nakhal Tour yang berpusat di Beirut. Sarapan pagi di hotel 35 Rooms memang pelbagai dan lazat, lebih dari cukup untuk menggalas perut. Destinasi pertama kami hari itu ialah Anjar, sebuah kota tinggalan Bani Ummayyah yang dibina oleh Khalifah Al-Walid ibn Abdul Malek pada abad ke-8 Masehi. Kini, majoriti penduduk di kota ini merupakan penganut Kristian Orthodox Armenian yang sudah bermastautin beratus-ratus tahun lamanya setelah kota itu terbiar sekian lama.

Anjar, Lebanon
Anjar yang dibina semasa zaman Khalifah Bani Umayyah ini juga merupakan pusat perniagaan yang menghubungkan timur dan barat, dari Homs-Baalbek-Tiberias-Damascus pada zaman kegemilangannya. Kota yang dibina pada sekitar tahun 705 Masehi ini pernah mempunyai sebanyak 600 buah lot kedai, dua buah istana Khalifah serta Masjid yang didirikan di atas tebing tinggi. Kesan-kesan runtuhan ini semua masih lagi boleh dilihat sehingga ke hari ini setelah ianya dijumpai semula oleh arkeologis sekitar tahun 1940'an. Kota ini musnah diserang oleh gerombolan Khalifah Marwan Bin Mohammed yang juga merupakan khalifah terakhir Bani Ummayyah setelah mengalahkan tentera pimpinan putera Al-Walid iaitu Ibrahim.

DSC_1747
Dari Anjar kami bertolak menuju ke Baalbek, masih lagi di Lembah Beqaa yang terletak cuma beberapa kilometer ke sempadan Syria yang dipisahkan oleh Gunung Lebanon. Kawasan bersejarah ini terkenal kerana kesan-kesan runtuhan kuil-kuil Roman seperti Venus, Jupiter dan Bacchus yang dibina beribu tahun lampau. Nama Roman bagi Baalbek ini ialah Heliopolis (Sun City) yang juga merupakan pusat keagamaan orang Romawi ketika penjarahan Alexander The Great di timur. Amat berlainan pemandangan apabila berada di sini seolah-oleh pengunjung sedang berada di sekitar Rom atau negara Greek dek kerana struktur binaan serta senibinanya. Kota Baalbek ini mempunyai sejarah sebagai tempat ketamadunan serta penempatan manusia yang wujud lebih 9000 tahun lampau.

Baalbel, Lebanon
Pada tahun 673 Masehi, tentera Islam pimpinan Abu Ubaidah  ibn Al-Jarrah telah mengalahkan tentera Byzantium sekaligus menawan kota Baalbek ini di dalam peperangan besar yang dikenali sebagai peperangan Yarmouk. Kota ini bertukar-tukar pemerintahan dan dinasti sehinggalah kepada pemerintahan Bani Uthmaniyyah atau Ottoman yang berpusat di Turki. Setelah beberapa ratus tahun kota ini terbiar, pada tahun 1898 sekumpulan ahli kajipurba telah menjumpai semula kota ini dan melakukan pelbagai ekskavasi serta pemulihraan. Kota Baalbek terletak sekitar 85km dari Beirut dan wajib dikunjungi jika melawat ke Lebanon.


DSC_1703
Perasaan menjadi puas setelah berada di sini, apa tidaknya rancangan untuk melawat Athens pada penghujung tahun lepas tidak kesampaian kerana demo jalanan yang masih teruk berlaku di sana. Dengan mengunjungi Baalbek, rasa terubat untuk menghayati dari dekat hasil senibina Romawi walaupun sesetengahnya hanyalah tinggalan serpihan batu dari bangunan yang pernah berdiri megah. Beribu tahun dahulu manusia sudah pandai mencipta bangunan besar dan hebat sebagai tempat beribadah menghambakan diri kepada Tuhan. Segala macam patung dewa-dewi yang mereka sembah ketika itu termasuklah matahari serta bintang-bintang di langit. Kesan  runtuhan kota Baalbek ini diiktiraf sebagai salah satu dari berpuluh UNESCO World Heritage Site di Lebanon.


DSC_1793
Dari Baalbek kami menuju ke arah kota Ksara yang terkenal dengan pembuatan wine. Kami berhenti makan tengahari di sebuah restoran yang sungguh unik, terletak di sebelah tebing tinggi di mana ada air sungai yang jernih mengalir deras di sekitarnya. Suasana sungguh nyaman dengan rimbunan pohon-pohon menghijau serta rendang. Makanan yang disediakan pula merupakan makanan tradisional Lebanon yang sangat terkenal dan sedap. Aku sempat pula berkenalan dengan beberapa orang pelancong Eropah yang turut serta dalam rombongan ini. Ada seorang wanita Inggeris yang menjangkau usia 70'an berkata pernah menetap di bandar Johor Bahru di akhir tahun 1960'an bersama suami beliau. Seorang lagi wanita Peranchis pernah menetap di Kuala Lumpur sekitar penghujung tahun 1970'an. Mereka memuji Malaysia dari pelbagai sudut!

DSC03245
Lokasi terakhir kami ialah di sebuah Chateau, yang dinamakan sempena nama kota ini iaitu Le Chateau Ksara. Kami ditunjukkan tempat di mana botol-botol dan tong-tong kayu berisi wine ini disimpan di dalam sebuah gua. Gua ini telah dijumpai dengan tidak sengaja oleh seorang paderi yang cuba menangkap musang yang memakan ayam-ayam peliharaannya. Memang menarik bentuk dalam gua ini yang sesuai dijadikan tempat mentapai wine kerana suhunya yang rendah serta jauh dari pancaran matahari. Pengunjung diberikan wine percuma untuk dicuba, namum kami berdua memerhatikan sahaja bersama dua orang lagi pelancong dari Iran.

DSC03247
Agak meletihkan juga lawatan pada hari ini namum kami sangat seronok dan berpuashati dengan perkhidmatan agent Nakhal Tour. Semasa kami pulang ke hotel, sudah tersedia dua potong kek dan sekeping nota ucapan 'Happy Birthday' di dalam bilik, hadiah dari pihak hotel 35Rooms. Waktu sebelah malamnya, kami habiskan masa dengan bersiar-siar di sekitar Al-Hamra street sambil mencuba juadah asli Lebanon. Kami bercadang untuk 'meneroka' kota Beirut esoknya, yang pasti sungguh menarik dengan kesan percampuran pelbagai tamaddun, agama, etnik, resam dan budaya.

Monday, June 18, 2012

Gulai Lemak Ikan Sepat Kering Tuan WMZ....

DSC_2357
Alkisahnya tentang gulai lemak ikan sepat kering yang dimasak dengan nenas. Lemak, manis, masam dan masin semuanya bergabung rasa menjadi hidangan yang cukup menyelerakan. Digandingkan pula dengan sambal buah pauh (buah mempelam) muda. Kuah gulai disiram ke atas nasi putih dari beras Siam yang bergred tinggi. Siram sampai banjir baru ada kepuasan yang tak terhingga, sehingga hirup-menghirup kuah tadi di gigi pinggan. Hebat masakan Tuan WMZ yang diimpot dari negeri 'tanah serendah sekebun bunga' ke kota batu 'segersang sepadang pasir' ini.

DSC_2369
Sementelah Tuan WMZ di negeri ini selama sepurnama, maka ramailah segala macam manusia dikenalinya, ada yang rapat, ada yang kurang rapat dan yang ingin rapat-rapat dan ada juga yang cuba-cuba merapat dan akhirnya menjadi kelat. Tuan WMZ dalam keadaan semak dan tenat bila injak kaki ke sini. Alhamdulillah, berkat doa dan tawakkal, kuasa Allah tiada siapa yang dapat tandingi. Sarang tebuan jangan dijolok, padah natijahnya jika ilmu tak cukup di dada. Beratlah rasa hati bila tiba waktu untuk berangkat pergi. Beratlah lagi rasa jiwa yang masih berdarah ini.

DSC_2353-001
Kedatipun kedatangan ke sini atas jemputan yang singkat, namun Tuan WMZ bermurah waktu dengan meluangkan masa lebih lama. Segala urusan di Swarnabhumi ditinggalkan sementara waktu demi memenuhi tuntutan-tuntutan duniawi. Berbalik kisah gulai lemak ikan sepat kering, ramuannya hanya Tuan WZH yang arif lagi bijaksana mengetahuinya. Santan dari Ceylon, lengkuas dan serai dari Siam, halia dari negara China, cili padi dan kunyit dari benua Keling, ikan sepat kering dari Burma, bawang merah dari Jordan, bawang putih dari Belanda, lada merah dari kota jajahan Firaun, semuanya bergabung menjadi sebati di dalam belanga Tefal berasal Peranchis! Tidak lupa juga hirisan nenas manis Del Monte dari kepulauan Filipina buat pelengkap rasa.

DSC_2384
Dalam mengejar cita-cita, Tuan WMZ tidak mahu tercicir cinta. Namun cita-cita itu lebih besar dan bermakna dari cinta yang sekadar pemanis kisah hidup, sementara bernafas dan bernyawa, sekejap ada dan sekejap hilang tanpa punca. Yang digenggam kadang-kala terlepas jua, inikan pula yang dipegang cuma bayang-bayang di alam maya. Nun nanti di benua Eropah sana jadi gelanggangnya, cemerlang atau sekadar cukup untuk mengisi ruang-ruang hidup yang diberikan peluang olehNya. Episod baru, pasti ada karakter-karekter baru juga. Ada yang hidup dan ada yang mati. Ada juga yang setia menanti.

DSC_2389
Buah pauh bak kata Tuan WMZ amatlah enak dibuat sambal. Buah pauh muda yang belum ranum, isinya masih muda dan mengkal sedikit. Kalau boleh cari yang masih keras, mungkin juga yang masih ada sedikit kelat dari getahnya. Masam dan sedikit kelat digaul dengan pedas cili merah dan hijau, sedikit gula garam pelengkap rasa. Sempurna jadinya rasa sambal pauh resepi dari keturunan Tuan WMZ. Begitu juga rasa hidup, kadang-kala ada yang pahit memualkan, ada yang pedas memedihkan, ada yang manis melekakan, ada yang tawar meloyakan, ada yang masin memeritkan, ada yang lemak memuakkan dan ada yang masam seketikanya menyeronokkan! Terpulang kepada empunya diri, bagaimana setiap rasa itu ingin diterokai dan seterusnya dihargai.

DSC_2350
Ikan kering bulu ayam, nipis dan ranggup apabila digoreng garing. Menjadi pembuka selera bagi yang kurang berselera menjamah juadah yang berat-berat.Disira pula dengan sambal menjadi lebih berperisa. Begitu juga hidup, ada yang memilih untuk bersederhana kerana dalam sederhana itu ada indahnya dan dalam sederhana itu juga kadang-kala ada dugaannya. Bak kata Tuan WMZ, ikan kering bulu ayam ini menjadi penyeri dan pelengkap meja makan. Pelengkap kepada segala juadah yang sedia ada. Pelengkap rasa. Pelengkap pancaindera juga cerita asalnya. Ada yang gemar, ada juga yang sekadar berkira-kira ingin mencubanya. Rupa sahaja tidak mencerminkan rasa dan segala deria.

DSC_2411
Maka berbondong-bondonglah segala macam barangan dibawa pulang dari negeri 'segersang sepadang pasir' ini pulang ke Swarnabhumi, bumi di mana hujan batu turun berderai-derai, tanahair tumpah darahku. Tuan WMZ tidak melepaskan peluang berada di bumi kaya-raya harta-benda, riyal-dirham ini merasai tempias dan bahang musim panas dan musim harga runtuh. Akhirnya, insyaAllah berkat doa Sang Gusti yang pengasih lagi penyayang, segala tenat sudah pulih kembali, semoga akal waras dan jiwa tenang. Adalah menjadi harapan buang yang keruh, ambil yang jernih, segala musibah ada hikmahnya, segala yang terjadi ada pengajaran yang perlu diambil iktibar. Namun, gulai lemak ikan sepat kering Tuan WMZ menjadi penyebab untuk saya makan berkali-kali sambil menghirup kuahnya yang lemak, masin, pedas dan masam-masam manis. Rasa itu umpama sejarah perjalanan hidup saya sendiri alkisahnya....

Tuesday, June 05, 2012

Story of Rush's 41st Birthday....

DSC03326
Nabi S.A.W. bersabda maksudnya "Wahai hamba-hamba Allah, hendaklah kamu berubat kerana sesungguhnya Allah tidaklah mengenakan penyakit melainkan Dia menyediakan penawar selain daripada satu penyakit iaitu penyakit tua" (Riwayat Tarmidzi). Saya suka memetik hadis di atas sebagai kata pembuka entri khas ini, bersempena dengan ulangtahun kelahiran saya yang ke 41! Penyakit tua tidak dapat kita elakkan, walaupun dengan pelbagai teknologi canggih dan pelbagai produk yang ada di pasaran kini. Namun kita boleh sentiasa berusaha untuk sentiasa sihat dan cergas walau dalam usia yang lanjut. Tua hanya pada usia tetapi bukan pada fizikal, mental dan ketrampilan. Walau ada yang berkata "age is just a number", namun hakikatnya dengan pertambahan usia, secara alaminya tubuh badan juga akan ikut menua (mereput? mengedut? mengecut?).

DSC03298
Ya, umur saya sudahpun mencecah angka 41. Dan saya pasti ramai yang agak ragu-ragu apabila saya klaim yang umur saya 41. Bukan untuk membangga diri, setakat ini tidak ada seorang pun dapat meneka umur saya dengan tepat, melainkan rata-rata mengatakan umur saya di awal 30'an atau paling tidak pun sekitar 35 tahun, itu belum lagi diambil kira telahan oleh warga asing dari Eropah atau pak-pak Arab yang rata-rata mengatakan umur saya sekitar penghujung 20'an! Saya sudah tidak muda lagi walaupun masih kelihatan muda, dan bergaya seperti orang muda dan kadang-kadang berperangai juga seperti orang muda. Tidak salahkan?

DSC03295
Jangan tanya saya apa rahsia saya sentiasa kelihatan muda. Saya tiada rahsia besar! Mungkin ini faktor genetik, lihat saja bapa saya yang sudah berumur hampir mencecah 70 tahun, namun rambut beliau masih hitam dan tidak botak seperti saya (saya ada sedikit botak di atas kepala - saya tidak malu untuk mengaku, lelaki botak adalah lelaki seksi). Mungkin juga faktor pemakanan, saya suka makanan dari pelbagai jenis kekacang terutamanya pistachio, gajus, badam dan kacang 'Ngan Yin'. Saya juga suka meratah sayur-sayuran, terutamanya sayuran berdaun hijau. Tempat asal saya di Kulai merupakan ladang pengeluaran sayur-sayuran kedua terbesar di Malaysia selepas Cameron Highlands. Syurga sayur-sayuran segar. Itu sebab juga saya sentiasa kelihatan 'segar' agaknya.
DSC03343
Namun inilah antara jawapan yang saya selalu beri apabila ditanya 'rahsia' awet muda saya; "...hati kena sentiasa baik beb....selalu berprasangka baik, kena selalu think positive...kena banyak sabar dalam banyak hal.... jangan stress menguasai diri dan fikiran, kena selalu santai bila ada masalah, tarik nafas dalam-dalam, tutup mata dan ingat Allah berkuasa pada semua hal.... enjoy life to the fullest.... jaga apa yang kita makan..... sentiasa berikan senyuman.....mandi sunat hari Jumaat (lebih 20 tahun saya amalkan).....etc.etc.etc" Eh! macam banyak pula 'rahsia' telah saya kongsikan. Sharing is Caring.

Rush's Birthday
Ada juga yang cuba bertanya (yang ini orang perempuan punya soalan) "...you pakai produk apa? alaa macam produk-produk kecantikan jaga kulit dan jaga kedut?..." dan terpancul juga dari mulut seorang rakan "...kau cucuk ek??". Saya tidak lah 'cucuk' atau injet apa-apa di muka saya, saya takut jarum penyucuk. Saya juga tiada produk khas untuk jaga muka asalkan bukan sabun cap kapak. Kulit muka saya banyak bekas-bekas jerawat batu masa muda-muda dulu. Belum sempat saya menjawab produk apa yang saya gunakan, seorang rakan mula mencelah "...air sembahyang sahaja...". Itu pun saya kurang pasti. Perkara paling asas ialah dengan menjaga kebersihan tubuh badan, kebersihan tempat kita tinggal, kebersihan tempat beradu/tidur, kebersihan tandas/bilik air, pakaian juga kena sentiasa bersih.

DSC03315
Saya suka memakai bau-bauan yang wangi, baik dari jenama terkenal sehinggalah kepada minyak-minyak wangi Arab yang menusuk ke gerongga hidung. Kadang-kadang berlebihan pula saya menyembur wangian tadi, terutamanya pada hari Jumaat. Saya suka memilih bau-bauan dari kekayuan dan herba seperti bergamot, patchouli, cedarwood, vetiver, agarwood, tobacco flower, madu, lavender dan leather. Disunatkan lelaki memakai berwangi -wangian dengan minyak wangi, bedak dan sebagainya kerana hadis daripada Abi Ayyub r.a, Rasulullah s.a.w bersabda:  أربع من سنن المرسلين: الحياء والتطعر والسواك والنكاح
Maksudnya: Empat perkara daripada sunnah para rasul: 1. Perasaan malu 2. memakai wangian 3. bersiwak 4. bernikah (Hadis daif- Tirmizi, Ahmad dan Baghawi). Memakai wangian juga boleh menajamkan akal-fikiran! Fikiran saya masih tajam cuma kadang-kadang agak pelupa terutamanya perkara yang remeh-temeh. Lumrah.

Wan Mohd Zulhafiz
Saban tahun saya akan melancong ke luar negara pada tarikh sambutan hari lahir. Tahun ini sepatutnya saya bersama keluarga di Malaysia, namun atas sebab-sebab kerja di Syarikat, saya terpaksa membatalkan hasrat balik bercuti. Saya memilih untuk ke Lebanon bagi percutian singkat ini. Entri dan cerita bercuti di Lebanon akan saya siarkan kemudian. Beberapa hari selesai pulang bercuti, saya menjemput beberapa orang rakan rapat di Doha untuk jamuan ringkas di kediaman saya. Foto-foto yang dipaparkan di entri ini mengisahkan jamuan tersebut yang dimulakan dengan bacaan doa selamat oleh Hafiz.

Rush's cakes
Tahun ini saya dihadiahkan dengan beberapa biji kek istimewa (Nordiba & Jadi, Peejot & Johannes & Natalia, Mimi & Yana, Chef Faizal & Nazri). Saya gembira bukan kepalang kerana di usia begini masih lagi dihadiahkan kek dan meniup lilin dan memotong kek. Nordiba juga menghadiahkan saya sebiji belon unik berbentuk segi empat. Bukan itu sahaja, saya dikelilingi oleh rakan-rakan rapat dan tersayang walaupun jauh dari keluarga.

DSC03305
Pelbagai juadah istimewa mereka bawa untuk kami semua, termasuklah Apam Balik kegemaran saya yang dibuat oleh isteri Fairol Mahmud, Bread Pudding oleh isteri Zaky serta pelbagai manisan dari para tetamu. Saya cuma memasak menu ringkas; Seafood Spaghetti in Paprika Tomatoes sauce, Roasted Chicken in Mushroom & Rosemary Mint sauce, Salad Lebanon dan Mee Siam Singapura. Saya hidangkan juga pelbagai manisan yang dibeli semasa berkunjung ke Beirut tempohari.

DSC03324
Terima kasih kepada rakan-rakan yang hadir. Mereka datang bawa berkat. Mereka datang bawa pelbagai hadiah (bekas cantik stail Victorian, set minyak wangi Gucci, set minyak wangi Arab, baucer-baucer di Delima Spa dan paling menarik ialah kain songket tenunan penuh dari Kelantan). Mereka datang bawa makanan yang sedap-sedap. Mereka datang untuk meraikan hari lahir saya yang ke 41! Saya bersyukur. Apa hala tuju hidup saya setelah mencecah angka 41? Itu rahsia besar Allah dan saya. Istiqomah, Tawakkal, Sabar.