Friday, July 20, 2012

Pre-Ramadhan: The Unusual 'Tahlil' Affair....

Surah Yaasin
Assalamualaikum wbt. Alhamdulillah, niat untuk berkumpul dengan sebahagian rakan-rakan di Doha terlaksana juga sebelum menjelangnya bulan Ramadhan 1433 Hijriah. Kelaziman masyarakat di Nusantara (Malaysia, Indonesia, Brunei, Selatan Thailand, Selatan Filipina, Singapura) mengadakan tahlil atau kenduri sebelum datangnya Ramadhan, menyambut dengan cara membaca surah Yaasin, berzikir dan berdoa dan ada sebahagiannya mendoakan (sedekah, hadiah) kepada ahli keluarga terdekat yang telah meninggal dunia. Memandangkan aku membuat keputusan mengadakan tahlil ini agak lewat, kira-kira seminggu sebelum itu, maka agak sukar untuk mendapatkan seorang ustaz atau imam atau mereka yang boleh menggepalai majlis ini. Akhirannya, seorang sahabat di sini bersetuju untuk membaca beberapa potong ayat lazim, al-fatihah dan membacakan doa seperti yang lazim dilakukan selepas solat fardhu. Ringkas sahaja.
Malay Man
Selesai berdoa, aku diminta untuk memperkenalkan para hadirin yang hadir, kerana ada sebahagian daripada mereka tidak mengenali antara satu sama lain walaupun telah beberapa tahun menetap di Doha. Semakin ramai rakyat Malaysia di sini. Secara tidak langsung majlis ini menjadi majlis ta'aruf yang dapat mengeratkan ukhuwah sesama masyarakat Malaysia di sini. Memandangkan rumah aku yang tidak seberapa besar ini, terpaksalah aku menghadkan jemputan supaya hadirin yang hadir berasa lebih selesa. Namun di dalam hati, mahu sahaja aku jemput semua kenalan yang ada di Doha ini.
Malays
Bercerita tentang tahlil ini (maksud tahlil itu sendiri ialah La illah ha illallah), teringat aku semasa zaman kanak-kanak sekitar tahun 1980an-1990'an, tinggal di kawasan perumahan yang majoritinya orang Melayu. Di awal perpindahan kami di sana, hampir setiap hari Khamis malam Jumaat, akan diadakan majlis bacaan Yaasin atau Tahlil secara bergilir-gilir mengikut nombor rumah, turutan jalan/lorong atau atas permintaan tuanrumah. Di ketika itulah jiran-jiran menjadi semakin akrab, beberapa mesyuarat juga berlangsung terutamanya mengenai hal-hal kemasyarakatan seperti pengumuman bakal-bakal haji tahun itu, penubuhan pasukan silat dan kompang, jadual kelas-kelas agama untuk ibubapa, kelahiran dan kematian, jadual berkhatan, jiran-jiran baru dan sebagainya. Cuma di ketika majlis itu sahaja kami dapat berkumpul beramai-ramai. Sungguh mesra dan penuh tertib.
My creation

Aku membesar dengan suasana begitu. Apabila masuknya bulan Syaaban, semakin banyak kenduri arwah, tahlil mahupun yaasinan di adakan. Pelbagai juadah disediakan oleh tuanrumah selain yang dibawa oleh jiran tetangga. Ibu aku pula selalunya akan membantu jiran-jiran terdekat untuk memasak secara gotong-royong atau 'rewang' dalam bahasa Jawa Johor. Sangat meriah ketika itu. Dan waktu itu jugalah aku belajar untuk membaca surah Yaasin, belajar membaca doa-doa dan zikir-zikir memuji Allah dan Rasulullah. Mendayu-dayu zikir yang dialun yang selalunya diketuai oleh Imam surau kami. Doa pula ada ketikanya panjang-panjang sehingga naik lenguh tangan menadah ke langit namun aku sentiasa yakin yang Allah mendengar doa-doa hambaNya. InsyaAllah. Kenangan bertahil tersebut masih segar dalam ingatan.
DSC_2490
Cerita tahlil ringkas di rumah aku di Doha pula sangat berlainan dengan kenangan di zaman kanak-kanak dahulu. Tinggal di perantauan menjadikan majlis tahlil ini agak berlainan rasanya, lebih-lebih lagi ada yang berpendapat majlis tahlil atau yaasinan ini merupakan suatu Bida'ah (bab ini aku tidak mahu mengulas panjang, namun aku masih yakin bahawa majlis tahlil dan yaasinan itu relevan dan tidak menyalahi hukum-hakam agama Islam).  Walaupun begitu, rakan-rakan yang hadir pada malam itu membawa pelbagai juadah yang sedap-sedap. Apa yang menariknya, sehari sebelum itu aku sangat teringin menjamah kuih Pau berintikan kacang merah dan inti kelapa serta pemanis mulut agar-agar (lengkong) santan. Dijadikan cerita, Kak Nora yang pertama kali berkunjung ke Umm Bab, datang membawa kuih Pau yang masih hangat, berintikan kacang merah, kelapa dan kaya! Bukan itu sahaja, Kak Sham pula  datang dengan membawa agar-agar santan yang sungguh sedap! MasyaAllah. Selain dari itu, banyak pemanis mulut yang mereka bawa, termasuklah juga kuih Burger Malaysia (yang ada inti sambal tumis dan timun) yang sudah berkurun aku tidak jamah, terima kasih Atie dan Zaky. Ada juga yang membawa kuih Puteri Salju, kuih bakar, marble cake, agar-agar Milo, buah pear asam boi dan aku pula menyediakan cupcakes Red Velvet hasiltangan Syazwani rakan sepejabat.
Malay food
Aku sebagai tuanrumah cuma menyediakan nasi putih, ikan kering, sambal belacan dan sedikit ulam serta asam pedas ikan terubuk. Tetamu pula membawa lauk-pauk Melayu beraneka jenis seperti daging masak kicap, paru goreng sambal, kari ayam, masak lemak cili api ayam, masak lemak ikan, sambal tumis ikan bilis petai, ayam tandoori dan sayur campur. Kak Jue pula datang dengan membawa sebekas besar air minuman buah tembikai yang dingin dan segar. Tetamu yang hadir kelihatan amat berselera menjamu selera dan rata-rata mereka menambah 2-3 kali pinggan. Alhamdulillah. Nikmat perkongsian. Bak kata pepatah Melayu "hati gajah sama dilapah, hati kuman sama dicecah". Cukup semua hidangan yang ada pada malam itu, sehingga aku berkesempatan makan tengahari keesokkan harinya dengan lauk-pauk yang ada bersama keluarga Kak Ipah! Bersyukur dengan rezeki yang Allah limpahi.


Di kesempatan ini juga saya ingin mengucapkan selamat menyambut kedatangan bulan Ramadhan Al-Mubarak yang penuh barakah ini. Semoga segala amal ibadah kita di bulan mulia ini diredhai Allah. Ampun dan maaf dipinta kepada semua pembaca Tepak Sireh atas salah silap dan khilaf yang tidak disengajakan sepanjang mencoretkan pengalaman di blog ini. Ramadhan Kareem!!!

15 comments:

Anonymous said...

Sayu baca article you kali ni... :'( Ramadhan Kareem. Semoga kita semua beroleh 'kemenangan' di bulan yg sgt mulia ini, Inyaallah :-)

~Faith Syafirah

baby_busyuk said...

indahnya rezeki Tuhan..Alhamdulillah..happy fasting =)

MystoryPic said...

Apa menu wajib orang Doha bila berbuka?

Janggel said...

Selamat berpuasa bro!

fzy fuzzy said...

as-salam,
Selamat menyambut ramadhan al-mubarak mr rush/en. tepak....
semoga bertemu kita dengan malam lailatul qadar..insyallah...

Rush Murad said...

faith - kenapa :'( ? insyaAllah....semoga amal kita diredhai Allah...kita lakukan semua amal ibadah ini kerana satu tujuan, kerana Allah...

Rush Murad said...

baby - terima kasih...indah dan sedap!! :) Alhamdulillah... salam Ramadhan..

Rush Murad said...

MystoryPic - orang2 tempatan (Qatari)? mereka makan nasi macam nasi briyani, dengan laban (susu masam), salad, buah2an, kopi pekat, teh letak daun pudina.... depa punya makanan lagi heavy dan banyak... orang Melayu tetap dengan selera Melayu.. :)

Rush Murad said...

Janggel - selamat menunaikan ibadah puasa to u n ur family..

Rush Murad said...

fzy - salam. salam ramadhan al-mubarak! insyaAllah..semoga kita mendapat keredhaanNya dalam segala amal ibadah yg dilakukan...

Anonymous said...

salam ramadhan al mubarak

Anonymous said...

Salam..selamat menunaikan ibadah puasa,semoga kita mendapat keberkatan di bulan mulia ini.

-laila-

KC Chan said...

Hello, I would like to have sponsored write up in your blog. Would you please kindly provide us the following information:

Blog URL:
Monthly Unique visitor:
Price per write up:
Price per posting(we write it):
Blog visitor type:

You may contact me by this email: yapliren@gmail.com

Thank you.

Acinetobaxter said...

Salam,

mana-mana ustaz yang pernah belajar di negara GCC dan berpegang pada ajaran Syeikh Muhammad Wahab atau puak Wahabi, akan mengatakan tahlil dan yaasin sebagai bidaah. Ada yg strict dan ada yg loose yg bole tolerate dgn adat keagamaan melayu. Yang reject tu adalah yang strict...niatnya nak jamu makan kan.

Anyway, thanks for the nice meal and memories.

Anonymous said...

ngape lah tepaksireh dh tak update blog.lama dh tnggu nie