Thursday, June 21, 2012

Phoenician's Fantasy in Lebanon: Anjar, Baalbek & Ksara.

DSC_1593
Sedang rancak berbual di sebuah kafe popular di Al-Hamra street, secara tiba-tiba kedengaran bunyi ledakan senapang otomatik beberapa das. Terasa amat dekat arah asal bunyi ledakan tersebut, manakala tetamu yang berjumlah puluhan orang di kafe itu cuma diam seketika tanpa menunjukkan sebarang reaksi panik. Selang beberapa minit kemudian, kereta-kerata peronda polis serta militer berkejaran melintas lalu di hadapan kafe, namun warga Beirut tetap santai dan meneruskan aktiviti 'melepak' di Hamra Cafe seperti tiada perkara serius yang berlaku. Peperangan saudara yang berlaku di Syria, merebak masuk ke dalam negara Lebanon dan ketika aku bercuti di sana bersama Hafiz, negara itu sudahpun diisytiharkan tidak selamat untuk dikunjungi.

DSC_1581
Seperti lazimnya, saban tahun aku akan berkunjung ke luar negara setiap kali menyambut hari lahir. Kali ini, aku ke Lebanon, sebuah negara Arab beriklim mediterranean dan mempunyai sejarah silam yang cukup panjang serta sebuah negara yang amat cantik serta unik. Pelbagai tamaddun pernah wujud di negara ini sejak 7000 tahun yang lampau dan pelbagai peperangan juga berlaku di tanah bertuah ini  yang dianugerahkan dengan iklim, pemandangan, flora dan topografinya yang amat memikat.

DSC03240
Perancangan singkat dan ringkas kurang dari 2 minggu dilakukan untuk ziarah kali ini yang bermula dari 23 hingga 27 Mei 2012. Hafiz yang sedang dalam rangka bercuti di Doha ikut serta pada saat-saat akhir dan kehadiran beliau menghilangkan rasa bosan bercuti sendirian. Semuanya berjalan lancar dari penempahan tiket penerbangan QR, hotel penginapan di 35 Rooms yang unik, bersih serta harga yang amat berpatutan, dan pendaftaran rombongan ziarah melalui Nakhel Tour yang amat bagus serta profesional. Selain itu, kami juga menempah teksi untuk melawat beberapa tempat menarik lainnya dengan harga yang agak berpatutan juga.

DSC_1606
Khamis, 24 Mei setelah kami menunaikan solat Subuh, kami bersiap-siap untuk menyertai rombongan pelancongan dari Nakhal Tour yang berpusat di Beirut. Sarapan pagi di hotel 35 Rooms memang pelbagai dan lazat, lebih dari cukup untuk menggalas perut. Destinasi pertama kami hari itu ialah Anjar, sebuah kota tinggalan Bani Ummayyah yang dibina oleh Khalifah Al-Walid ibn Abdul Malek pada abad ke-8 Masehi. Kini, majoriti penduduk di kota ini merupakan penganut Kristian Orthodox Armenian yang sudah bermastautin beratus-ratus tahun lamanya setelah kota itu terbiar sekian lama.

Anjar, Lebanon
Anjar yang dibina semasa zaman Khalifah Bani Umayyah ini juga merupakan pusat perniagaan yang menghubungkan timur dan barat, dari Homs-Baalbek-Tiberias-Damascus pada zaman kegemilangannya. Kota yang dibina pada sekitar tahun 705 Masehi ini pernah mempunyai sebanyak 600 buah lot kedai, dua buah istana Khalifah serta Masjid yang didirikan di atas tebing tinggi. Kesan-kesan runtuhan ini semua masih lagi boleh dilihat sehingga ke hari ini setelah ianya dijumpai semula oleh arkeologis sekitar tahun 1940'an. Kota ini musnah diserang oleh gerombolan Khalifah Marwan Bin Mohammed yang juga merupakan khalifah terakhir Bani Ummayyah setelah mengalahkan tentera pimpinan putera Al-Walid iaitu Ibrahim.

DSC_1747
Dari Anjar kami bertolak menuju ke Baalbek, masih lagi di Lembah Beqaa yang terletak cuma beberapa kilometer ke sempadan Syria yang dipisahkan oleh Gunung Lebanon. Kawasan bersejarah ini terkenal kerana kesan-kesan runtuhan kuil-kuil Roman seperti Venus, Jupiter dan Bacchus yang dibina beribu tahun lampau. Nama Roman bagi Baalbek ini ialah Heliopolis (Sun City) yang juga merupakan pusat keagamaan orang Romawi ketika penjarahan Alexander The Great di timur. Amat berlainan pemandangan apabila berada di sini seolah-oleh pengunjung sedang berada di sekitar Rom atau negara Greek dek kerana struktur binaan serta senibinanya. Kota Baalbek ini mempunyai sejarah sebagai tempat ketamadunan serta penempatan manusia yang wujud lebih 9000 tahun lampau.

Baalbel, Lebanon
Pada tahun 673 Masehi, tentera Islam pimpinan Abu Ubaidah  ibn Al-Jarrah telah mengalahkan tentera Byzantium sekaligus menawan kota Baalbek ini di dalam peperangan besar yang dikenali sebagai peperangan Yarmouk. Kota ini bertukar-tukar pemerintahan dan dinasti sehinggalah kepada pemerintahan Bani Uthmaniyyah atau Ottoman yang berpusat di Turki. Setelah beberapa ratus tahun kota ini terbiar, pada tahun 1898 sekumpulan ahli kajipurba telah menjumpai semula kota ini dan melakukan pelbagai ekskavasi serta pemulihraan. Kota Baalbek terletak sekitar 85km dari Beirut dan wajib dikunjungi jika melawat ke Lebanon.


DSC_1703
Perasaan menjadi puas setelah berada di sini, apa tidaknya rancangan untuk melawat Athens pada penghujung tahun lepas tidak kesampaian kerana demo jalanan yang masih teruk berlaku di sana. Dengan mengunjungi Baalbek, rasa terubat untuk menghayati dari dekat hasil senibina Romawi walaupun sesetengahnya hanyalah tinggalan serpihan batu dari bangunan yang pernah berdiri megah. Beribu tahun dahulu manusia sudah pandai mencipta bangunan besar dan hebat sebagai tempat beribadah menghambakan diri kepada Tuhan. Segala macam patung dewa-dewi yang mereka sembah ketika itu termasuklah matahari serta bintang-bintang di langit. Kesan  runtuhan kota Baalbek ini diiktiraf sebagai salah satu dari berpuluh UNESCO World Heritage Site di Lebanon.


DSC_1793
Dari Baalbek kami menuju ke arah kota Ksara yang terkenal dengan pembuatan wine. Kami berhenti makan tengahari di sebuah restoran yang sungguh unik, terletak di sebelah tebing tinggi di mana ada air sungai yang jernih mengalir deras di sekitarnya. Suasana sungguh nyaman dengan rimbunan pohon-pohon menghijau serta rendang. Makanan yang disediakan pula merupakan makanan tradisional Lebanon yang sangat terkenal dan sedap. Aku sempat pula berkenalan dengan beberapa orang pelancong Eropah yang turut serta dalam rombongan ini. Ada seorang wanita Inggeris yang menjangkau usia 70'an berkata pernah menetap di bandar Johor Bahru di akhir tahun 1960'an bersama suami beliau. Seorang lagi wanita Peranchis pernah menetap di Kuala Lumpur sekitar penghujung tahun 1970'an. Mereka memuji Malaysia dari pelbagai sudut!

DSC03245
Lokasi terakhir kami ialah di sebuah Chateau, yang dinamakan sempena nama kota ini iaitu Le Chateau Ksara. Kami ditunjukkan tempat di mana botol-botol dan tong-tong kayu berisi wine ini disimpan di dalam sebuah gua. Gua ini telah dijumpai dengan tidak sengaja oleh seorang paderi yang cuba menangkap musang yang memakan ayam-ayam peliharaannya. Memang menarik bentuk dalam gua ini yang sesuai dijadikan tempat mentapai wine kerana suhunya yang rendah serta jauh dari pancaran matahari. Pengunjung diberikan wine percuma untuk dicuba, namum kami berdua memerhatikan sahaja bersama dua orang lagi pelancong dari Iran.

DSC03247
Agak meletihkan juga lawatan pada hari ini namum kami sangat seronok dan berpuashati dengan perkhidmatan agent Nakhal Tour. Semasa kami pulang ke hotel, sudah tersedia dua potong kek dan sekeping nota ucapan 'Happy Birthday' di dalam bilik, hadiah dari pihak hotel 35Rooms. Waktu sebelah malamnya, kami habiskan masa dengan bersiar-siar di sekitar Al-Hamra street sambil mencuba juadah asli Lebanon. Kami bercadang untuk 'meneroka' kota Beirut esoknya, yang pasti sungguh menarik dengan kesan percampuran pelbagai tamaddun, agama, etnik, resam dan budaya.

12 comments:

Janggel said...

Salam,

Cantiknya gambar! Dan tempat2 itu sungguh menarik!

Iqah Razak said...

Menajubkan gambar2 yang brother Rush ambik...cantik!... untung dapat peluang melawat tempat2 sejarah lama kan.. : )

Rush Murad said...

Janggel - terima kasih... tunggu sambungan cerita di lebanon, lebih banyak gambar yang lebih menarik menanti :)

Rush Murad said...

Iqah - terima kasih...alhamdulillah, diberi peluang dan kesempatan olehNya... :)

baby_busyuk said...

best nye!!...teringat lak abah kita pon ada sampai sana..huhu~

Rush Murad said...

baby_busyuk - mesti ur abah ada cerita yang Lebanon ni sangat unik dan cantik....especially bila pergi musim spring..cuaca terang dan dingin n banyak pohon2 menghijau... :)

baby_busyuk said...

tak sempat nak cerita..naseb aa record in some photos..huhu..it was in 16 years back..rezeki dia lah :)

MystoryPic said...

Matching pulak yer baju oren dengan background batu bata ket belakang tu... hehehe... nice

DBI said...

i envy u too rush..a lot!!

u always travel in style...:-)

Rush Murad said...

Mystorypic - errmm...sebelum i pi travel, selain pilih hotel, tempat2 nak visit etc, i juga pilih pakaian yg sesuai. kat beirut ni i banyak pakai pure cotton dan kaler pun kena match juga dgn tempat2 nak visit... :) *its summer in Lebanon!!!

NuyuL said...

jarang2 kott kan org kite pegi melancong ke Lebanon bcos of their condition.. but u've made it.. x sangka cantek jugak lebanon ni. ingatkan byk tpt dah rosak..

p/s : nice photos as always.. colora very vibrant n contrast especially baju ktk ya.. heehe

Rush Murad said...

DBI - frankly speaking majoriti orang Malaysia ni if pi travel, depa sangat sempoi. if terserempak masa travel, sekilas pandang dah tau depa dari Malaysia hehehe... ala i pun sesekali nak bergaya, masa travel pun..kat Malaysia i sempoi jer (nanti dikata over-dress)... :D