Thursday, May 10, 2012

HidayahMu & AnugerahMu di Kota Makkah Al-Mukkarramah.....

Catatan perjalanan kali ini berkisar pengalaman mengerjakan ibadah umrah di tanah suci Makkah Al-Mukkarramah. Sebenarnya penat dari menjelajah kota New York dua minggu sebelum itu belum lagi kebah tetapi aku gagahi juga untuk mengerjakan ibadah umrah. Aku membuat keputusan pada saat-saat akhir, dengan keadaan yang agak tergesa-gesa dan kecelaruan minda. Aku perlukan suatu tempat yang dapat menenangkan jiwa sanubari, menghurai kusut fikir dan untuk berasa lebih dekat dengan si Pencipta - Allah azzawajallah. Alhamdulillah, semua proses untuk mendapatkan visa (terima kasih kepada Farhan Rashid), hotel penginapan di Makkah (terima kasih Tuan Haji Mohamad Jamal) dan tips-tips mengerjakan umrah (terima kasih Tuan Haji Ghazali) berjalan dengan sangat lancar dan pantas. Selang beberapa hari iaitu tanggal 24 April 2012, aku sudah berada di sana, terbang terus dari Doha, Qatar.
Ini merupakan ziarah umrah aku yang ke-tiga, pertama kali aku pergi bersama seorang rakan dan kaum keluarga beliau (terima kasih Yazlan Datuk Yahya) pada bulan Mei yang bertepatan dengan tarikh lahir kami. Tahun berikutnya aku ke sana lagi, menemani adik perempuan Anita dan Ai, juga di penghujung bulan Mei. Bulan Mei di Makkah cuacanya sungguh panas, siangharinya boleh mencecah sehingga 45'C dan ketika itu ramai juga jemaah yang datang dari Asia Tenggara terutamanya Malaysia dan Indonesia. Kali ini terasa sungguh berlainan, kerana sekitar 60% jemaah datangnya dari kelompok bangsa keturunan Melayu ini dan selebihnya warga Turki, India dan sedikit sahaja orang-orang Arab. Mungkin pergeseran atau 'Arab Spring' yang sedang melanda negara-negara teluk dan Mesir serta Libya menyebabkan pelbagai kesukaran untuk mereka ke sini.
Kali terakhir aku ke sana ialah pada tahun 2008, ketika itu di sekitar Masjidil-haram sangat berhabuk dan penuh dengan jentera-jentera berat membuat bangunan dan infrastruktur lainnya. Kali ini, menara jam besar atau Makkah Clock Tower yang besar, tinggi dan bersinar-sinar di waktu malam itu sudahpun berdiri megah di hadapan pintu masuk utama Masjidil-haram. Di sebelah bangunan ZamZam Tower sudah ada pula As-Safwa Tower di mana terletaknya hotel-hotel mewah, pusat beli-belah dan souq serta restoran-restoran yang menjual pelbagai hidangan termasuklah sederetan restoran yang dipunyai oleh Felda Holdings - D'saji yang menghidangkan pelbagai makanan Malaysia.
Penjual buah-buahan segar di Taif. Cuaca di Taif sungguh segar dan nyaman.
Bercerita tentang kedai-kedai di sini yang menjual beraneka jenis barangan, terutamanya pakaian dan barang perhiasan diri, hampir kesemua mereka boleh bertutur bahasa Melayu. Begitu kuat pengaruh bahasa Melayu di sini, yang aku pasti sejak beratus-ratus tahun lampau bangsa Melayu sudah ramai datang ke sini mengerjakan ibadah umrah/haji dan berjual-beli. Bangsa Melayu yang beratus juta jumlahnya yang tinggal di sekitar kepulauan Nusantara ini memang sudah terkenal dengan kemahiran pelayaran dan berjual-beli dengan bangsa Arab, sejak beribu tahun lalu. tetapi Melayu pada hari ini, dipecah-pecahkan oleh entiti kenegaraan menjadi asing seperti Malaysia, Indonesia, selatan Thailand, Mindanao, Brunei dan selatan Burma. Melayu di Malaysia pula berpecah-pecah kerana fahaman politik, dan aku melihat sendiri bagaimana peserta Bersih 3.0 yang berbaju kuning berkumpul di ruang makan D'saji untuk memulakan demo di tanah suci kota Makkah.
Kembali bercerita perihal aku melakukan umrah kali ini, aku sudah membuat keputusan untuk hanya tinggal di kota Makkah sahaja selama 7 hari. Hotel Mira yang dikendalikan oleh Pak Abu dari Malaysia ini terletak kira-kira 600 meter dari bukit Marwa, tempat melakukan Sa'ei. Hotel ini bersih dan selesa serta berdekatan dengan segala kemudahan yang diperlukan serta kedai-kedai menjual pelbagai barangan kelengkapan ibadah. Sedari di lapangan terbang Doha lagi aku sudah mengenakan ihram dan perjalanan menaiki pesawat Qatar Airways selama 2 setengah jam itu amat tidak terasa jauhnya. Pak Abu dan dan seorang pemandu sudah menunggu aku di lapangan terbang Jeddah dan terus dibawanya ke kota Makkah yang mengambil masa sekitar satu jam perjalanan darat. Setelah membersihkan diri, aku terus menuju ke Masjidil-haram, bersolat maghrib dan terus melakukan tawaf. Selesai tawaf, aku bersolat Isya' dan diterusklan dengan bersa'ei. Alhamdulillah, semuanya aku lakukan sendirian dengan tenang dan khusyuk.
Hari seterusnya aku banyak menghabiskan masa di dalam masjid sambil sesekali keluar mencari makanan serta beberapa keperluan. Rutin keluar seawal pagi dari hotel menuju ke masjid, beriktikaf, sesekali keluar makan di D'saji dan sesekali minum kopi di Starbucks di ZamZam Tower, pulang semula ke hotel lewat malam hanya untuk merehatkan badan dan membersihkan diri. Terasa dekat sangat diri ini dengan Allah apabila dapat bersolat berdekatan dengan Kaabah, bersujud di bawah pintunya menjadikan diri merasa terlalu kerdil. Berbilion umat Islam bersolat dari pelbagai penjuru dunia menghadap ke Kaabah, dan aku pula bertuah bersolat betul-betul di hadapan bangunan suci ini. Segala macam nikmat telah diberikan Allah kepadaku, namun kerapkali pula aku lupa serta lalai untuk bersyukur dan membalas segala nikmat itu. Sekiranya aku diberikan umur seribu tahun lagi, nescaya belum tentu aku dapat membalas segala nikmat yang diberikanNya.
Faezah Udin, duduk di sebelah kiri foto bersama rakan beliau dan Hafiz di sebelah kanan foto. Hilton Makkah.
Di kesempatan aku berada di kota Makkah, aku bertemu seorang rakan Facebook, seorang gadis Malaysia yang bertugas di sebuah hospital di sana. Beliau datang dengan 3 orang rakan perempuan lain, dan kebetulan ibu bapa beliau sedang melakukan umrah, mereka ikut sekali bertemu. Kami berbual seketika sambil menjamah sedikit makanan. Walaupuan sudah lebih setahun kami kenal di FB, namun tanpa dirancang bertemu juga di kota suci ini. Selesai bersolat, kami bertemu lagi untuk sambung minum-minum di hotel Hilton sambil berkenalan dengan rapat. Faezah Udin, jauh kamu bawa diri sehingga ke kota Makkah, percayalah Allah sayang kamu dan banyak hikmahnya di sini. Terima kasih kerana sudi jumpa, begitu juga dengan rakan-rakan saudari yang sangat mengambil berat.

Dari kiri foto; Tuan Haji Mohamad Jamal, Rush Murad dan Tuan Haji Ghazali.
Lewat malamnya, aku bertemu dengan seorang sahabat yang pertemuan kami di dunia blogging dan akhirnya bertemu di Doha dan kini beliau bertugas di Jeddah. Encik Mohamad Jamal atau aku biasa panggil MJ atau Cik Mat yang sepuluh tahun perbezaaa umur kami, tetapi beliau sentiasa nampak muda dan ceria. Malam itu juga aku bertemu dengan Tuan Haji Ghazali, yang juga aku kenal melalui dunia blogging dan pernah bersua muka semasa melakukan umrah pada 2008 dahulu. Jadi riuh rendahlah apabila 'abang-abang haji' ni bertemu. Alhamdulillah, memang terubat sedikit jiwa dan perasaan yang bercelaru ini. Sembang-sembang kami lebih terarah memberi aku motivasi, menguatkan semangat dan pastinya terselit gurau-senda.
Jalanraya yang berlingkar menuju ke Taif. Indah sungguh di waktu petang begini.
Siangharinya, Cik Mat membawa aku menuju ke Taif, sebuah kawasan yang terletak sekitar 1 jam setengah perjalanan darat dari Makkah. Kawasan tanah tinggi yang bergunung-ganang serta iklim atau suhunya lebih dingin walaupun di siang hari. Kami pergi bertiga, bersama abang ipar beliau yang juga berkerja di Saudi. Cik Mat bilang, dia sengaja membawa aku 'berjalan-jalan' supaya boleh menenangkan fikiran dan melupakan sedikit masalah yang sedang dihadapi. Memang indah di Taif, dan amat mendamaikan kerana banyak pohon-pohon yang menghijau. Taif terkenal denga hasil buah-buahan, bunga-bungaan serta minyak wangi. Suatu pengalaman baru dan berlainan perjalanan umrah kali ini.
Awal dinihari berikutnya aku bertemu dengan seorang sahabat yang kebetulan juga sedang mengerjakan ibadah umrah. Wan Mohd Zulhafiz yang aku anggap seperti seorang adik dan teman untuk bertukar-tukar cerita. Beliau terlebih dahulu ke Madinah dan hari ke-3 baru bertolak menuju ke Makkah. Kami beribadah dan melakukan aktiviti bersama-sama semasa di sana sementelah dia datang ke sini tanpa ditemani saudara-mara atau teman, hanya mengikuti rombongan yang diuruskan oleh agen umrah di Malaysia. Ibadah yang dilakukan lebih 'seronok' kerana ada teman bersama dan boleh berkongsi pengalaman serta tips.
Sehari sebelum berlepas, kami melakukan umrah sekali lagi bersama, disertai oleh seorang rakan Khairul yang datang bersama ibu dan kakak beliau. Selesai Sa'ei, Hafiz bersetuju untuk membotakkan rambut beliau, agar mengikut sunnah dan pastinya akan merasa kelainan serta rambut yang gugur seperti dosa-dosa yang berguguran juga - allahu'alam bissawab. Selesai subuh, aku sudah mula bersiap-siap berkemas, bersarapan di As-Safwa Tower bersama Hafiz, langsung ke Masjidil-haram untuk melakukan tawaf wida', kembali ke hotel dan terus menuju ke lapangan terbang Jeddah. Terasa berat sungguh hati ini ingin meninggalkan Masjidil-haram, meninggalkan segala keindahan pengalaman beribadah di rumah Allah, keindahan silaturrahim yang dijalin dan pelbagai keindahan lain yang cukup sukar untuk diungkapkan.
Pemandang waktu subuh dari luar tingkap Hotel Mira yang dikendalikan oleh Pak Abu.
Pengalaman umrah kali ini amat indah. Banyak kenangan manis terpahat kali ini. Nawaitu aku ke sana juga insyaAllah sudah mula nampak hasilnya kini. Bermuhasabah diri dan sentiasa ingat pada Rabbun-'alamin. Redha dengan segala ketentuanNya. Kita sebagai manusia tiada apa-apa tanpa ehsan dan rahmat Allah. Sentiasalah sujud kepadaNya dan Dialah tempat kita mengadu dan meminta-minta. Dia maha Pengampun dan Dia juga Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani. Jazakallah khair.
Ibnu Abbas berkata:

“Sesungguhnya ibadah haji itu kawan seiring dengan Umrah, sebagaimana yang disebutkan di dalam kitab Allah yang ertinya, ‘Sempurnakanlah ibadah haji dan umrah itu kerana Allah.'”

21 comments:

Norae said...

Jauh merantau... Segenap ceruk dunia...
Bumi mekah saja yang mampu beri ketenangan kan.....

Inshaallah akan kesana.. Soon
Doakan ekk
Nore

DBI said...

the most amazing place on earth..kali ni tak smpat nak ke taif..next time insyaAllah

Wahidah said...

Alhamdulillah moga bertambah tenang...dpt jumpa faezah yea..best2..

gmbr2 dlm nie amik pakai kamera ape eik rush??

Rush Murad said...

Norae - Hanya Makkah dan masjid Nabawi boleh beri ketenangang... yang sukar hendak dijelaskan....rahmat di bumi suci.... alhamdulillah, semoga u sampai ke sana...soonest!! :) aameen...

Rush Murad said...

DBI - ehhh...bila u pi sana??? tak bagitau pun... :D alhamdulillah...best kan? :)

Rush Murad said...

Wahidah - faezah pun cakap, best if ada u sekali.... alhamdulillah, dah jumpa pekjah :) nice person.... ni pakai camera comel Sony compact...

DBI said...

umarah on 10-22 april ..few ?days before yours..tak ada jodoh ..kalau tarik sama mungkin ketemu di sana kan..

cute PANDA said...

InsyaALLAH, nak ke sana lagi....

Rush Murad said...

DBI - tak der jodoh nak jumpa, actually ur date tu my initial plan but visa dapat lewat beberapa hari....insyaAllah kita jumpa di tempat dan kesempatan lain ekk... KT? :)

Rush Murad said...

cute PANDA - i still remember u did asked me about going to umrah in one of the 'website'....hehehee.. best kan pi umrah? sgt2 tenang jiwa raga kat sana... *eh ur blog sgt aktif...

baby_busyuk said...

seronoknye..harap dapat pi sana someday~ :D

Hajah Zainab bt Abdullah said...

alhamdulillah...seronoknya dapat kesana lagi dan lagi....mama pergi feb yg lepas...masa tu cuaca nyaman...

Tyah said...

Seronok membaca perjalanan umrah ni :)

Rush Murad said...

baby - insyaAllah...siapa tau tuah manusia kan? i ni pun dah umur 40 baru dapat jejak USA... :)

Rush Murad said...

Hajjah Zainab - alhamdulillah...rezeki dari Allah dan ketentuannya...saya pun tak merancang nak pergi dalam masa terdekat ni sebab ada perancangan lain di hujung tahun utk ke sana. Untung hajjah ke sana masa musim sejuk... :)

NuyuL said...

hmmm.. emosi bertuka bila baca this entry.. rasa cam syahdu... rindu...:( rindu nak ziarah umrah lagi..

zara said...

The most peaceful place on earth. Nak ke sana lagi soon. Insya Allah..

Rush Murad said...

Nuyul - berdoalah supaya diberi rezeki dan masa untuk ziarah ke sana lagi...

Rush Murad said...

zara - i doakan u ke sana lagi..soon :) aameen...

Zefrie Othman said...

tiada tempat yg lebih indah.dan tenang selain di Mekah

NAR said...

Semoga saya dipermudahkan untuk sana suatu hari nanti.