Saturday, April 21, 2012

Melts in The Melting Pot of San Francisco

DSC_0713

"Tuah ayam nampak di kaki, tuah manusia siapa yang tahu" begitu ungkapan pepatah Melayu apabila bercakap soal tuah dan nasib seseorang, tuah ayam nampak pada taji yang ada di kakinya, buat menang bersabung, manakala manusia pula tidak tahu nasib mendatang yang sudah tertulis sejak azali lagi. Namun percayalah, tuah itu hanya 1% manakala bakinya 99% adalah berkerja keras, berusaha bersungguh-sungguh, doa dan seterusnya tawakkal. Begitu juga dengan perjalanan hidup ini, kita hanya mampu merancang namun Allah jua yang menentukan kejayaan setiap perancangan tersebut. Bercakap mengenai tuah ini, memang aku amat bersyukur kerana baru-baru ini berkesempatan menjejakkan kaki di negara Amerika Syarikat, secara tepatnya di kota San Francisco di sebelah barat dan New York yang terletak di sebelah timur negara tersebut. 

DSC02874

Ceritanya begini, aku merupakan ahli professional sebuah persatuan pengurusan maklumat (Information Professionals) yang berpengkalan di Amerika Syarikat. Setelah lebih 10 tahun persatuan ini tidak menganjurkan sebarang konferens peringkat antarabangsa (selalunya hanya seminar-seminar kecil, latihan, piawaian dan konsultasi dijalankan di merata tempat), maka pada tahun ini sebuah konferens peringkat antarabangsa dianjurkan di kota San Francisco. Setelah berbincang dengan pihak pengurusan syarikat di mana aku bertugas, mereka bersetuju untuk menghantar aku ke konferens tersebut sambil aku boleh menjalani latihan persiapan menduduki peperiksaan kelayakan Certified Information Professional. Alangkah gembiranya hati kerana ini merupakan kunjungan pertama ke bumi Amerika, melengkapkan perjalanan kelima-lima buah benua. 
DSC_0777

Penerbangan dari Doha ke New York mengambil masa sekitar 14 jam dan transit sekitar 4 jam lagi sebelum meneruskan hampir 6 jam penerbangan ke San Francisco menggunakan pesawat United Airlines. Semuanya berjalan lancar, dari pemeriksaan oleh pegawai Imigresen (beliau hanya menanyakan satu soalan) sehinggalah kepada urusan transit dan bagasi. Kalau sebelum ini aku diceritakan akan kesukaran berurusan di setiap lapangan terbang di negara Uncle Sam ini, dengan interogasi, temuduga dan soal-jawab yang memakan masa berjam-jam dan pelbagai pengalaman tidak selesa, tetapi alhamdulillah urusan aku sangat lancar. Sampai di San Francisco sekitar 9.30 malam 16 Mac 2012, disambut dengan hujan renyai-renyai, teksi kuning menghantar langsung ke Crescent Hotel yang terletak di Union Square, betul-betul di tengah kota ibu negeri California yang menghadap ke Lautan Pasifik.
DSC02872

Kerana aku hanya tidur di sepanjang perjalanan ke sini, maka setelah meletakkan semua bagasi dan membersihkan diri, aku keluar berjalan menyusuri jalan-jalan di sekitar Union Square. Walau jam sudah menunjukkan sekitar pukul 12 tengahmalam namun kota ini masih bernyawa dengan restoran-restoran kecil yang masih beroperasi. Terasa berselera dan lapar pula melihat pengunjung-pengunjung yang menjamu selera pelbagai jenis pizza, hotdog dan french fries di restoran-restoran ini. Dalam mengharung sejuk malam, dan perut yang sedikit lapar serta keinginan menjamah pizza panas, aku teruskan berjalan menuju pulang dengan sedikit hampa (kerana makanan tadi tidak halal), sehinggalah aku terserempak dengan sebuah restoran kecil yang memaparkan perkataan 'HALAL' dalam tulisan rumi dan jawi. Aku tersenyum sambil memasuki restoran tersebut, pelbagai jenis pizza terhidang dan aku terus memberi salam dan meminta dua potong pizza berlainan jenis serta minuman. Aku duduk berkongsi meja dengan seorang lelaki tua berbangsa Arab yang sudah lama bermastautin di sini.
DSC02851

Keesokan harinya, setelah selesai menjamu selera makan tengahari di sebuah restoran Thai Muslim yang terletak di Geary St, aku berjalan kaki menuju ke Civic Center dimana berlangsungnya perarakan sempena sambutan St.Patrick's day. Perarakan ini disertai oleh pelbagai kumpulan dan majoritinya penduduk dari keturunan Irish dari Ireland yang mengenakan pelbagai aksesori berwarna hijau. Pelbagai jenis kenderaan dihias mengikut tema, begitu juga dengan kumpulan-kumpulan yang mengambil bahagian. Di dataran berhadapan Civic Center ini, didirikan khemah-khemah yang menjual pelbagai jenis cenderamata dan makanan. Walaupun cuaca agak mendung dan berangin, namun pengunjung di pesta ini tetap santai dan ceria.

DSC_0891

Memandangkan aku sampai 2 hari lebih awal dari tarikh kursus dimulakan, aku ambil kesempatan ini untuk menjelajah kota San Francisco. Seawal hari kedua aku di sini, aku menuju ke Hyde and Powell Street untuk menaiki kereta kabel yang sangat sinonim dengan kota yang topografinya berbukit-bukau. Sebelum itu aku membeli 'transportation pass' di San Francisco Tourist Center yang berdekatan untuk digunakan menaiki semua jenis kenderaan awam atau disebut MUNI tanpa had, yang sah laku selama 7 hari. Dari semua jenis bas, tram, Subway (LRT) serta kereta kabel, semuanya termasuk dalam pakej pengangkutan ini, boleh digunakan seberapa banyak kali, 24 jam sehari, ke semua destinasi sekitar kota San Francisco.

DSC02917

Perjalanan menaiki kereta kabel dari stesyen Hyde & Powell street ini sungguh menyeronokkan dan amat berlainan. Ianya melalui pelbagai kejiranan, dari kawasan tengah kota, kawasan kejiranan Chinatown yang saling tak tumpah seperti di Petaling Street, Kuala Lumpur, kawasan Little Italy di Lombardo, Nob Hill yang berada di puncak bukit dan boleh kelihatan pemandangan pelabuhan serta Fisherman's Wharf dari sini serta pasar-pasar terbuka seperti Pasar Tani dan sebagainya. Segala aktiviti harian penduduk di kota ini boleh disaksikan sepanjang hari hanya dengan menaiki kereta kabel ini. Kereta kabel ini juga berhenti di beberapa hentian di mana terletaknya kawasan tarikan pelancong utama di San Francisco.

DSC_0830

Aku berhenti di penghujung stesyen, menikmati kawasan taman menghijau yang indah permai menghadap ke lautan membiru. Bersebelahan taman ini terletak gedung Ghirardelli yang terkenal sebagai pembuat cokelat terkemuka di USA. Aku berjalan kaki menyusuri kawasan tepi pantai sehingga ke Fisherman's Wharf yang terkenal itu. Di sini terdapat pelbagai kedai menjual cenderamata, muzium maritim, dermaga kapal layar serta restoran-restoran yang rata-rata menjual makanan laut.

DSC_0715

Aku sempat makan di sebuah restoran yang dipanggil Bubba Gump yang berinspirasikan dari filem Forrest Gump. Restoran ini hanya menghidangkan makanan laut dan mempunyai pelbagai menu menarik namun ketam dari Lautan Pasifik merupakan tarikan menu utama di sini. Selain itu dekorasi serta pemandangan dari dalam restoran ini sungguh mempersonakan, seolah-olah berada di dalam kabin kapal besar di tengah-tengah lautan. Selesai di Fisherman's Wharf, aku menuju pulang ke Union Square yang merupakan pusat membeli-belah utama di sini. Banyak gedung beli-belah besar terletak berdekatan antara satu sama lain seperti Macy's dan Bloomingdale, serta deretan butik mewah seperti LV, Gucci, Ferragamo, Chanel, Saks, Versace dan sebagainya.

DSC_0988

Beberapa hari seterusnya aku di sini, dipenuhi dengan pelbagai aktiviti menarik. Dari pagi sehingga jam 5 petang, aku akan berada di dalam konferens, dan selesai sahaja acara, aku terus pulang ke hotel untuk menukar pakaian dan terus keluar semula. Memandangkan beberapa hari sebelumnya aku telah mengenali seorang warga Mexico di sini, maka aku dibawa ke beberapa buah tempat di mana hanya penduduk tempatan sahaja yang sering kunjungi. Aku mahu melihat dengan lebih dekat kehidupan masyarakat di sini, dan beberapa kawasan kejiranan di sini agak merbahaya untuk dikunjungi terutama di sebelah malam. Kawasan yang biasanya didiami oleh penduduk kulit hitam, pendatang Hispanic atau Latino dari Mexico, Caribbean dan Amerika Latin. Setelah melihat kawasan kejiranan atau ghetto golongan ini, ada ketikanya aku hampir mengalirkan airmata kerana betapa bersyukurnya membesar dan tinggal di bumi Malaysia!

DSC_0862

Aku masih mempunyai masa terluang selama 2-3 hari selepas selesainya konferens. Masa ini juga aku gunakan untuk melawat ikon utama kota San Francisco, iaitu The Golden Gate Bridge. Aku sengaja memilih waktu petang yang menghampiri senja untuk sampai ke sini, pertamanya aku ingin melihat matahari terbenam dari sini yang pasti akan membuatkan suasana sekeliling menjadi lebih indah. Namun memandangkan keadaan cuaca yang sejuk serta angin yang bertiup agak kencang petang itu, terpaksa aku batalkan hasrat untuk berada lebih lama di sana. Setelah puas berfoto dan melihat sekitar jambatan merah ini, aku beransur pulang ke Union Square untuk menyambung membeli-belah cenderamata dan makan malam di sebuah restoran Pakistan.

DSC_1071

Tidak lengkap kunjungan ke San Francisco jika tidak menaiki feri dan singgah di Alcatraz. Sebuah pulau kecil yang pernah didirikan sebuah rumah api untuk mengawal lalu-lintas kapal-kapal di laut, pernah menjadi penempatan kem askar dan kemudian menjadi pusat tahanan penjenayah berat lebih 150 tahun lampau. Institusi ini meninggalkan pelbagai nostalgia kepada warga San Francisco kerana pelbagai cerita sedih, pilu, tragis dan tidak kurang juga cerita mistik menyelubungi penjara besar ini. Aku sengaja memilih mengikuti rombongan di sebelah malam agar suasana di Alcatraz nampak lebih dramatik.

 DSC_1076

Berada di sekitar penjara ini agak menginsafkan, lebih-lebih lagi apabila berjalan di sekitar kawasan sel sambil mendengar audio-phone yang menerangkan sejarah serta aktiviti banduan. Persekitaran penjara Alcatraz dijaga dengan baik serta mengekalkan elemen-elemen asal. Dari pulau batuan ini, pemandangan kota San Francisco yang bergemerlapan di waktu malam amat indah ditambah pula dengan lampu-lampu yang menghiasi Golden Gate Bridge. Suasana hening dan sunyi di sekitar penjara ini menambahkan lagi kesan 'gerun' di Alcatraz ini.

DSC02914

Malam terakhir sebelum aku meninggalkan kota ini, aku dipelawa oleh seorang rakan berasal dari Puerto Rico, Gilberto untuk sama-sama menikmati muzik Salsa di sebuah kelab muzik tidak jauh dari hotel kami. Masyarakat Amerika Latin dan Puerto Rico khasnya memang sinonim dengan muzik Salsa, Chacha, Merengue, Tango dan Mariachi. Persembahan muzik live band dari pemuzik terkenal dari Puerto Rico ini memang bertenaga serta hebat, dan yang membuatkan aku agak kagum ialah bangunan yang dijadikan kelab ini merupakan sebuah gudang motokar besar yang diubahsuai menjadi sekolah tarian, dance floor yang boleh memuatkan beratus orang serta community hall. Memandangkan aku memang mempunyai skill menari Salsa (belajar menari Salsa dan Chacha dari seorang instructor terkenal di JB beberapa tahun lalu), maka tidak kekok untuk aku mengikut rentak dan menari bersama teman aku tadi. Kebanyakkan pengunjung di kelab ini terdiri dari golongan berusia 30'an sehinggalah ke warga-warga tua yang datang bersama pasangan. Mereka sangat tertib serta menghargai warisan muzik ini dengan bersemangat dan rasa bangga. (anggap sahaja aku menari zapin atau samrah di sebuah keramaian yang dihadiri oleh pelbagai lapisan usia masyarakat).

DSC_0960

Selama seminggu berada di kota San Francisco ini, puas rasanya dapat berkunjung ke merata tempat menarik serta unik. Pengalaman menonton premier Wilde Salome, sebuah Indie movie arahan aktor terkenal Al Pacino di kejiranan Castro juga meninggalkan kenangan yang tersendiri. Castro merupakan kawasan eksklusif golongan LGBT, namun tetap selamat dikunjungi oleh sesiapa pun dan tidak ada bezanya dengan kejiranan lain di kota San Francisco (kecuali bangunan-bangunan di Castro lebih berwarna-warni dan amat menarik dekorasinya). Embacadero pula merupakan kawasan dermaga yang wajib dikunjungi kerana terdapat pelbagai street market serta sebuah gudang pasar ikan serta terminal feri yang diubahsuai menjadi pusat jualan cenderamata dan makanan terutamanya yang dihasilkan oleh penduduk tempatan.

DSC_0984

Pengalaman berada selama lebih seminggu di San Francisco membuatkan aku lebih menghargai dan menyayangi Malaysia, kerajaan yang mentadbir ketika ini dan peluang, keselesaan serta kemajuan yang kita kecapi hari ini. Ramai penduduk San Francisco yang masih merempat, ramai juga yang kelihatan 'tidak sihat', ramai kutu rayau, setiap dollar yang mereka belanjakan amat berharga dan setiap makanan yang mereka makan jika tidak habis, akan dibungkus bawa pulang, tidak semua mampu menaiki kenderaan sendiri, masih ramai pendatang haram yang keluar masuk serta timbul pelbagai jenayah. Kota San Francisco mempunyai banyak ciri-ciri asli Eropah dan penduduknya pula amat pelbagai bangsa dengan warga keturunan Cina mendominasi urusan jual beli sehinggalah kepada pentadbiran kota ini (Datuk Bandar atau Mayor San Francisco berbangsa Cina). Namun, rata-rata warga kota ini agak peramah dan mudah melemparkan senyuman. Perbelanjaan berkunjung ke kota ini juga tidaklah semahal seperti di kota-kota besar Eropah serta makanan halal pula amat mudah dicari serta pelbagai. Secara tuntasnya, perjalanan di kota San Francisco amat santai dan amat berlainan.

17 comments:

Mimie said...

Somehow i feel proud reading this..even though i wasn't there..i know what u meant. Hujan emas negeri orang...hujan batu negeri sendiri kan...Great pics as always...Can't wait for the New York entry...

fzy fuzzy said...

As salam,

Gambar deretan rumah tu!!....saya sangat sukaaa....

Rush Murad said...

Mimie - u r absolutely right! banyak berjalan, luas pandangan dan kita ambil iktibar dari setiap perjalanan.... Malaysia still the best! *kena sabar sikit pasal NYC ni coz i'm bit busy dengan banyak perkara kat sini...dan esok saya akan keluar negara lagi selama seminggu - retreat!!! :)

Rush Murad said...

fzy - As salam. yup..gigih ke sana sebab wajib pergi. ini antara spot paling femes kat San Fran... :)

Zalia said...

terima kasih perkongsian cerita & sedikit muhasabah utk diri kite dalam catatan ini. Bangga menjadi rakyat Malaysia :)

Aku Seorang Pengembara said...

Salam ziarah

Best nye dah sampai sini...keme jenuh berangan, harap hujung tahun ni dapat la keme ke sana for auto exhibition dan menyelam sambil minum ayor macam kome. suke dapat info yg bagus.

DBI said...

salam rush

cantik..memang tau salsa ke hentam saja salsa..hahahaa

Norkiah shalatif said...

Salam adikku - i like the the salsa part (:

Rush Murad said...

Zalia - thanks to u too for visiting TS. memang niat blog TS untuk berkongsi cerita, pengalaman dan ambik sedikit iktibar dari setiap perjalanan... Malaysia is still the best country!!! :)

Rush Murad said...

Aku Seorang Pengembara - Salam... hope u will enjoy SanFran... makanan kat restoran Thai tu sgt sedap... :) all the best...

Rush Murad said...

DBI - salam Doc. eeehhhh...i belajar secara formal yaaa... salsa, chacha, merenge...tu belum masuk zapin n samrah...gifted dancer :D

Rush Murad said...

Kak Norkiah - salam...hahahaa...teragak2 jugak nak masukkan cerita salsa tu, nanti ada orang kata saya ni suka pi clubbing n disco dan sewaktu dengannya...but i think, kelab ni very clean n mcm community activity.. *rindu nak bersamrah arab johor :D

dilabangiWORLD said...

masyaallah.....lawonya bro. cerita yang padat fenuh info. tq 4 sharing

Rush Murad said...

dilabangi - yup, banyak tempat menarik yang cantik di sana.. thanks for visiting TS.. :)

NuyuL said...

baru berkesempatan nak baca... huhuhu..
golden date bridge.. before ni tgk lam tv jer.. now kitak dah tgk live.. best aar.. and so does arcatraz..
dah la kebetulan pegi time st.patrick day nyer celebration.. full of green.. seronok..
u are one of the luckiest person yg dah travel almost setiap corok tpt kat dunia ni.. tompang happy n berbangga... hihiks :-)

Rush Murad said...

Nuyul - thanks.... we never know... maybe u akan travel lebih banyak dari i suatu hari nanti...

Anonymous said...

sy belum berkesempatan utk belajar menari salsa ni,sb salsa ni baus utk kesihatan