Saturday, October 22, 2011

Italy With Style - A Trip Not To Be Forgotten

DSC_0033
Entri yang 'tergendala' hampir setahun ini akhirnya siap juga walaupun kenangan bercuti bersama Anita dan Ai masih segar dalam ingatan. Rasa seperti baru beberapa bulan lalu kami ke ItalI pada penghujung November 2010, menghabiskan cuti hujung tahun dan cuti Hari Raya Aidiladha. Bagi aku pula, ini merupakan kesinambungan percutian di Sepanyol dan bakinya dihabiskan di Itali bersama mereka. Aku terbang menggunakan pesawat tambang murah Vueling dari Barcelona menuju ke Rome, manakala Anita dan Ai terbang dari Kuala Lumpur dan transit di Doha menggunakan pesawat Qatar Airways. Aku terlebih dahulu telah menyediakan itinerari 10 hari di Itali yang meliputi Rome, Florence, Venice dan akhirnya kota fesyen terkemuka dunia iaitu Milan.
DSC_0148
Aku terbang dari Barcelona di Sepanyol menuju ke kotaraya Rome yang kaya dengan sejarah peradaban beribu tahunnya. Kota Rome juga dikenali dengan nama lain seperti La Città Eterna (The Eternal City). Cuaca pagi itu sungguh sejuk dengan hujan renyai-renyai di lapangan terbang utama Rome - Leonardo da Vinci atau Fiumicino. Anita dan Ai sudah tiba di sana sekitar 2 jam lebih awal dari pesawat aku. Kami berjumpa dan terus menaiki teksi menuju ke Hotel Teti yang terletak tidak jauh dari stesyen keretapi utama Rome iaitu Stazione Termini. Setelah berehat sebentar, kami pun memulakan aktiviti pertama pada hari itu, menuju ke beberapa buah tempat menarik dengan menaiki bas Hop-on-hop-off. Antara tempat-tempat yang kami lawati ialah Colloseum yang terkenal dibina sekitar tahun 70-80 Sebelum Masehi. Kami juga sempat singgah di Vatican City walau dalam keadaan cuaca yang semakin mendung dan hujan rintik-rintik. Sebelah malamnya, hujan turun mencurah-curah dan kami yang sedang berada di sekitar Spanish Steps tiada tempat untuk berteduh dan akhirnya basah lencun dalam kesejukkan.

DSC_0105
Keesokan harinya kami memulakan aktiviti dengan membeli-belah dari Via dei Condotti sehingga jauh menuju ke sebuah kawasan yang dikatakan pusat beli-belah moden terbesar di Rome namun agak kecewa kerana tempat ini tidak ubah seperti Jaya Jusco di Bukit Tinggi dengan tidak banyak barangan berjenama. Kami membeli sepasang kasut kerana menggantikan kasut yang basah seperti direndam dalam perigi! Malamnya kami habiskan masa dengan berjalan di sekitar kawasan hotel, melihat bangunan-bangunan bersejarah dan makan malam di sebuah restoran India Muslim. Salah seorang pekerja di restoran tersebut sempat menegur kami "...mau teh tarik kah? sini ada..." Boleh berbahasa Melayu pekerja India tersebut kerana pernah bekerja di Malaysia sebelum ini. Mencari makanan halal tidak begitu susah, terutamanya di kawasan deretan bangunan lama berdekatan dengan Stazione Termini.
DSC_0284-1
Hari ke-4 kami di Rome, masa untuk meninggalkan kota ini dan menuju ke tengah-tengah bahagian negara Itali iaitu Florence atau Firenze dengan menaiki keretapi laju TrenItalia. Kami menetap di Hotel Lorena yang terletak betul-betul di Piazza Madonna, di tengah-tengah kawasan UNESCO World Heritage. Keadaan di Florence amat tenang, tidak begitu ramai pelancong seperti di Rome, dan banyak terdapat kawasan membeli-belah yang menjual pelbagai barangan kulit hasil kerjatangan penduduk tempatan. Beberapa jenama fesyen terkenal berasal dari kota ini seperti Ferragamo dan Gucci. Seluruh kawasan di sini mempunyai sejarah yang tersendiri sejak beribu tahun dulu, termasuklah jambatan yang merentangi Sungai Arno - Ponte Vecchio, Piazzale Michelangelo, dome Brunelleschi dan banyak lagi.
DSC_0352
Florence merupakan ibukota bagi wilayah Tuscany/Toscana, di mana terletaknya lokasi menara condong Pisa yang amat terkenal itu yang didirikan oleh Galileo Galilee pada tahun 1173. Kami ke sana dengan menaiki keretapi dari Florence, sejauh lebih kurang 2 jam perjalanan. Kami bertolak agak lewat menghampiri tengahari dan kami mempunyai masa sekitar 2-3 jam sahaja sebelum menaiki bas dan kemudian keretapi terakhir dari Pisa menuju ke Florence. Hasrat utama kami untuk sampai dan melihat menara condong Pisa dari dekat terlaksana juga. Sesampai kami di Florence, aktiviti membeli-belah barangan kulit pun bermula dan malam itu kami menjamu selera dengan makanan laut yang dimasak dengan style khusus Firenze. Kami cuma menghabiskan masa selama 2 malam di Florence dengan menyusuri jalan-jalan kecil berturap dan berbatu cobbler serta mengunjungi bangunan-bangunan bersejarah yang unik dan menarik.

DSC_0552
Seawal pagi kami sudah meninggalkan Florence menuju ke Venice. Aku sudah ke Venice sebelum ini, kali terakhir sekitar 15 tahun lampau. Masih teringat ketika itu aku berkelana sendirian di Venice, memberanikan diri melihat dunia dan merasai keunikan 'dunia lama' yang amat terkenal itu. Tidak banyak bezanya Venice jika dibandingkan 15 tahun dulu, Villa Martha yang pernah aku diami dulu masih di situ, jambatan-jambatan kecil berjumlah sekitar 400 buah masih terpelihara dan bangunan-bangunan pelbagai bentuk penuh sejarah serta unik masih berdiri megah muncul di celah-celah terusan yang beratus jumlahnya. Dari stesyen keretapi Santa Lucia, kami mengheret beg-beg besar kami menuju ke jeti untuk mengambil vaporetti - pengangkutan utama di sini, bot berenjin yang berfungsi sebagai teksi laut.

DSC_0809Vaporetti membawa kami menyusuri terusan dan berhenti di beberapa lokasi sebelum sampai di jeti San Toma. Kami menuju ke Happy Venice B&B yang terletak di celah-celah bangunan yang amat menggelirukan namun lokasinya amat strategik. Wanita tua yang mahu dipanggil Gina dan berumur lebih separuh abad menyambut kami dalam bahasa Itali dengan begitu peramah sekali, seolah-olah kami faham setiap butir bicaranya. Aku yang faham bahasa Itali sedikit-sedikit memudahkan urusan daftar masuk dan sebagainya. Rumah sederhana besar ini menjadi 'kepunyaan' kami sepanjang berada di Venice, di dapur sudah tersedia pelbagai jenis biskut dan roti serta minuman. Bersih, kemas dan cantik susunan rumah 3 bilik ini. Bilik utama betul-betul menghadap ke terusan yang agak sibuk dengan lalu-lalang vaporetti dan bot serta sampan kecil.

DSC_0525

Venice dinaiki air pasang besar (Acqua Alta) sehingga mencecah parah lutut, maka didirikan pelantar-pelantar atau landasan seperti 'catwalk' di sepanjang lorong-lorong di sini. Kami menuju ke Piazza San Marco yang masih digenangi air dengan hujan yang semakin lebat. Lalu kami memutuskan untuk minum petang di Caffe Florian  - Caffè alla Venezia trionfante yang sudah beroperasi beratus-ratus tahun lamanya sambil didendangkan alunan muzik biola dan piano (ianya merupakan coffee house yang pertama di Eropah dibina pada 1720) - kopi panas ala-Venetian, 2 cawan coklat pekat panas, 2 keping sandwich udang dan sekeping kek yang dihidangkan di atas dulang perak berkilau, semuanya berharga sekitar RM400, namun berbaloi. Sehingga hari ini Anita dan Ai tidak dapat melupakan kelazatan cokelat panas tersebut!

DSC_0555
Keesokannya kami menaiki Gondola yang agak mahal harganya bagi perjalanan sekitar 15-20 minit melalui terusan dan merentasi Jambatan Rialto melalui Grand Canal. Cuaca pada hari ke-2 amat baik dan sesuai untuk berjalan kaki sekitar Venice. Selain dari makanan laut, kami juga mengalas perut dengan kebab halal yang dijual oleh warga Turki tidak jauh dari tempat penginapan kami. Selain itu, kek, pastri, cokelat dan pelbagai jenis roti juga mudah didapati dengan harga yang sungguh berpatutan serta enak. Ahad, 28 November 2010, kami menuju ke Milan dengan menaiki keretapi laju kelas pertama yang mengambil masa sekitar  2 jam melalui kawasan berbukit-bukau dan perkampungan tradisional yang suram dek kerana musim sejuk yang baru menjelma serta awan-awanan yang masih mendung. Rata-rata penumpang coach ini merupakan ahli perniagaan tempatan dan golongan kelas pertengahan yang berulang-alik Venice-Milan.

DSC_0631
Setiba kami di stesyen keretapi utama Milan - Milano Centrale, kami terus menuju keluar dan mencari teksi terus ke Comfort Hotel & Suites Pasteur yang terletak di sekitar kawasan perumahan Pasteur namun mudah untuk ke serata tempat kerana perkhidmatan keretapi bawah tanah tersedia dalam jarak 100 meter dari pintu hotel. Setelah berehat sebentar, kami menuju ke Il Duomo (Milan's main cathedral, a massive late Gothic church (started in 1386) in white marble, with hundreds of spires and thousands of statues on its exterior and a famous façade) yang terkenal dek kerana senibina Gothic. Sekali lagi kenangan berada di Milan 15 tahun dulu menjelma, aku berada di situ dengan beberapa orang pelajar tempatan bergambar mesra dan berkenalan. Dan tidak lupa juga apabila aku sesat di dalam kegelapan malam semasa pertama kali menjejak kaki di sini dan terpaksa bermalam di 'pension' murah yang seakan tempat penginapan Dracula!

DSC_0610
Kali ini aku ke Milan dengan stylo-mylo, datang ke sini semata-mata untuk membeli-belah, dari bangunan bersejarah Galleria Vittorio Emanuele, La Rinascente, Via Montenapoleone sehinggalah ke Via Serravalle Scrivia yang terletak beberapa jam jauhnya dan memerlukan sehari suntuk untuk berbelanja. Aku keluar masuk beberapa kali di butik Gucci dan Ralph Laurent, Anita pula ke butik Salvatorre Ferragamo kegemarannya, Ai pula tidak sudah-sudah dengan pelbagai jenis sepatu pelbagai jenama dan hampir semua butik di sepanjang Via Montenapoleone kami terjah beberapa kali!
DSC_0618
Aku punyai kenalan baru di sini, wanita warga Malaysia yang sudah beberapa tahun menjadi penghuni Milan. Fairuz yang kecil molek ini sangat peramah dan ceria orangnya sewaktu kami bertemu di Via Montenapoleone. Beliau membawa kami ke beberapa tempat membeli-belah dan sempat menghirup kopi Itali bersama-sama sambil bercerita. Keesokkan harinya beliau membekalkan kami dengan nasi putih berlaukan sambal tumis ikan bilis, sungguh sedap dan nikmat lebih-lebih lagi setelah lebih 2 minggu aku di Eropah. Anita dan Ai pula tidak cukup-cukup membeli-belah di butik-butik terkenal di sini, dari beg tangan, kasut, pakaian dan aksesori. Harga di sini lebih murah dan lebih banyak pilihan berbanding di Malaysia. Kami juga sempat menonton persembahan classical music dan makan malam bersama dengan Fairuz dan teman lelakinya warga tempatan. Sewaktu kami hendak meninggalkan hotel di Milan pada awal paginya, salji turun dengan agak lebat dan kami pula teruja untuk bermain salji seperti anak-anak kecil.

DSC_0705
Alhamdulillah, perjalanan kami selama 10 hari di Itali berjalan dengan lancar dan selamat. Terpancar di wajah Anita dan Ai keseronokkan bercuti bersama aku kali ini. Apa tidaknya, selain aktiviti membeli-belah dan sightseeing, mereka juga aku bawa menjamu selera di beberapa buah restoran yang bagus dan menghidangkan makanan asli Itali. Walau keadaan awal musim sejuk membawa hujan yang agak lebat di Itali, namun ianya tidak menghalang kami untuk memenuhi itinerari atau perancangan rapi yang telah sedia dibuat. Dari Malpensa, Milan kami terbang menuju ke Doha dengan seribu-satu kenangan yang sebahagian besarnya tidak tergambar di blog Tepak Sireh ini.