Monday, September 19, 2011

LOVE Phuket!...Again and Again and Again.....

DSC_0215
Ini merupakan kali ke 4 aku bercuti di Phuket yang terletak di selatan negara Gajah Putih,Thailand. Bukan perancangan asal sebenarnya bercuti di Phuket, tetapi disebabkan beberapa faktor seperti musim monsoon yang membawa hujan lebat dan taufan di Boracay, Phillipines dan semenanjung Vietnam, aku menukar destinasi di saat-saat akhir. Tersenarai juga Sri Lanka sebagai salah sebuah destinasi berpotensi untuk aku pergi bercuti tetapi memandangkan aku hanya ingin bersantai dan bukan ingin menjelajah, maka sekali lagi Phuket menjadi pilihan terbaik. Aku agak arif dengan selok-belok di Phuket dan walaupun ramalan cuaca mengatakan ini bukan musim terbaik ke sana, aku teruskan sahaja rancangan dan pilihan aku memang tepat, cuaca di Phuket amat baik sekali, hujan cuma turun sekali-sekala pada lewat malam atau lewat pagi. Sepanjang siangharinya cuaca panas tropika membuatkan segala aktiviti di pantai mahupun laut berjalan dengan lancar.

DSC_0003
Apa yang aku suka mengenai Phuket? Jawapan tepat yang boleh aku beri ialah 'semuanya'! Phuket ada semua yang aku gemari; makanan yang sedap dan murah, tempat penginapan yang pelbagai pilihan dari murah sehingga mahal, barangan kraftangan yang unik, pantai-pantai yang bersih dan luas, pulau-pulau persekitaran yang masih terjaga rapi, aktiviti malam seperti pertunjukkan kebudayaan dan pentas serta kemeriahan sepanjang Jalan Bangla dan Rit-200. Penduduk di Phuket seperti lazimnya di kebanyakkan daerah di Thailand amat peramah, sopan dan mudah untuk didekati.

DSC_0076
Mencari makanan halal di Phuket tidaklah begitu sukar tetapi perlu tahu lokasi-lokasi tertentu. Tidak jauh dari Jungceylon Mall, ada sederetan restoran Arab yang menjual pelbagai makanan dari Timur Tengah dan tempatan, di sini harganya agak mahal tetapi mudah untuk di cari. tempat kegemaran aku ialah di Kusuma Restoran, makanan Thai-Malaysia. kalau mahu ke sini, keluar sahaja dari Jungceylon Mall, terus menyusur jalan ke arah kanan sekitar 1 batu (tetapi tidak terasa jauh kerana banyak kedai-kedai beraneka di sepanjang jalan). Perhatikan perkataan Kusuma dan bendera Malaysia serta Thailand yang dipasang di depan restoran terbuka itu. Makanan di sini amat sedap, berkualiti serta sangat berpatutan.

DSC_0114
Selain dari Kusuma, aku juga gemar membeli makanan tengahari di sebuah gerai makan 'bergerak' yang berada tidak jauh dari Hotel Impiana di pantai Patong. Kalau dari Bangla Street, keluar menuju ke arah pantai, jalan terus ke arah kanan. Pergi waktu tengahari sekitar pukul 12 sehingga 2 petang. Nasi putih berserta lauk-pauk yang diletakkan dalam periuk-periuk belanga besar di usung dengan kenderaan kecil. Dua orang wanita Muslim bertudung menjual makanan ini amat peramah dan boleh berbahasa Inggeris. Makan tengahari dengan pelbagai lauk-pauk untuk 6 orang cuma sekitar RM35 sahaja. Selain dari itu, ada juga gerai-gerai di tepian pantai menjual makanan lauk yang dibakar, sepanjang pantai menuju ke Kemala dari arah Patong. Cuba menaiki motosikal atau kereta ke sini, dan jelas kelihatan wanita-wanita bertudung berjualan di sekitar kawasan ini.

DSC_0002
Banyak barangan kraftangan dijual di sini, datang dari setiap pelusuk negara Thai. Walau di Phuket harganya agak sedikit mahal dari Bangkok, namun masih berbaloi lebih-lebih lagi kalau pandai tawar-menawar. Apa yang boleh dibeli di sini? Banyak! terpulang kepada minat dan citarasa masing-masin. Ada yang membeli barangan tiruan dari jenama terkenal seperti pakaian, beg tangan, kasut, topi dan sebagainya. Barangan ukiran dari kayu, buluh, rotan serta seramik juga banyak pilihan di sini, dan unik kepada negara Thai. Barangan penjagaan peribadi dari Spa juga banyak dijual memandangkan Thailand memang antara negara pengeluar produk herba terkenal di dunia. Apa yang aku beli? Adalah sedikit ole-ole untuk diri sendiri seperti sebuah ukiran daun-daunan dan burung serindit di atas panel kayu jati Thai. Tidak ketinggalan aku juga membeli beberapa produk herba Spa serta sedikit cenderahati kraftangan.

DSC_0084
Kalau ke Phuket tidak lengkap sekiranya tidak mencuba Spa yang banyak terdapat di merata ceruk pekan ini. Spa professional mahupun rumah-rumah urut serta pondok-pondok yang banyak di sepanjang jalan menyediakan pelbagai perkhidmatan Spa seperti mandi lulur, pelbagai jenis urut, mandi wap, aromatheraphy, bodyscrub, Fish Spa dan sebagainya. Kali ini aku mencuba Fish Spa, kaki diletakkan di dalam akuarium kecil yang mengandungi sejenis ikan bersaiz kecil yang akan 'menghurungi' bahagian kaki yang mempunyai 'makanan' seperti kulit-kulit lupasan. Agak seronok juga dengan rasa geli-geli digigit oleh ikan-ikan kecil yang seakan kelaparan menghurung di bahagian hujung jari kaki sehingga ke betis. Selain itu aku juga melakukan manicure dan pedicure yang dilakukan dengan cukup cermat dan teliti serta bermutu tinggi manakala Hafiz yang berada di samping aku membuat foot massage dengan menggunakan krim dan minyak herba Thai.

DSC02233
Pastikan anda menonton pertunjukan hebat di Fantasea jika berkunjung ke sini. Sebuah taman tema dengan pertunjukkan hebat pasti memukau para penonton. Di luar auditorium sahaja sudah kelihatan kehebatan pertunjukkan yang akan diadakan selama hampir 2 jam. Taman teman yang sederhana besar ini cukup meriah dengan pelbagai aktiviti dan pertunjukkan. Selain dari Fantasea, pengunjung juga boleh menonton pertunjukkan kabaret di Simon Cabaret yang sungguh terkenal itu. Pertunjukkan di sini juga pasti memukau mata setiap penonton dengan kejelitaan penari-penari dan penyanyinya yang terdiri dari golongan pondan atau mak nyah. Tidak cukup dengan itu, di sepanjang Bangla Street terdapat banyak kelab-kelab malam yang menghidangkan penari-penari separa bogel terliuk-lentuk di atas meja sambil membuat pelbagai aksi ghairah. Pilihan aku pula ialah Hard Rock Cafe yang betul-betul terletak di hadapan hotel penginapan kali ini. Persembahan muzik secara live yang bertenaga serta menghiburkan dengan pelbagai lagu 'oldies' serta terkini.

DSC_0197
Menaiki bot bersama pelancong-pelancong lain menuju ke beberapa pulau di sekitar perairan Andaman juga merupakan aktiviti wajib di sini. Pulau wajib singgah ialah Phi Phi Island yang telah banyak berubah wajah semenjak beberapa tahun ianya tersadai setelah dilanda Tsunami. Selain itu aktiviti snorkelling, berenang di lautan biru, diving dan 'bersidai' di tepian pantai juga merupakan aktiviti wajib di sini. Keadaan di Phuket sungguh tenang dan mendamaikan, pantai pasir putih mulus, lautannya yang bersih dan membiru seakan mengajak pengunjung untuk sama-sama bercanda di tepian pantai. Pakej island hopping ini mempunyai beberapa itinerari yng berbeza dan harga yang dikenakan juga tidak begitu mahal. Setiap pakej lengkap dengan kudap-kudapan, makan tengahari, pengangkutan pergi-balik dari hotel ke jeti dan penggunaan peralatan snorkelling.
DSC_0004
Percutian aku sekali lagi ditemani oleh Wan Mohd Zulhafiz dan beberapa hari kemudian Zoul (yang telah beberapa kali ikut serta dalam percutian sebelum ini) berserta sepupu dan rakan-rakan dari Miri. Kami banyak habiskan masa di sekitar pantai Patong, serta di pulau-pulau berdekatan selain dari membeli-belah. Aku tidak pernah bosan untuk mengunjungi Phuket kerana setiap kali ke sini, pasti ada pengalaman yang berbeza walau di tempat yang serupa. Dan percutian selama 6 hari kali ini sungguh santai dan membuatkan aku ingin kembali ke Phuket bila ada kelapangan mendatang.