Sunday, August 21, 2011

Kisah Iftar Ramadhan Di Doha.....

Doha
Ini merupakan tahun kedua aku menyambut Ramadhan di Bandaraya Doha, Qatar. Walaupun suhu sianghari di bandaraya ini hampir mencecah 50'C, namun ianya langsung tidak mendatangkan masalah kepada aku. Di waktu malam sekalipun cuacanya masih panas dengan kadar kelembapan yang sangat tinggi. Beberapa minit berada di luar bangunan, sudah cukup untuk mengeluarkan peluh basah seperti berada di dalam steam room. Waktu kerja bagi petugas di pejabat dipendekkan dari jam 8 pagi sehingga pukul 1 petang sahaja, manakala mereka yang bertugas di kawasan lapang pula tidak dibenarkan bertugas dari jam 11 pagi sehingga ke 3 petang kerana suhu panas melampau yang boleh mendatangkan musibah.

souq waqif
Hari pertama menyambut kedatangan Ramadhan 1432 Hijrah di Masjid West Bay yang terletak hanya 200 meter dari Umm Bab Tower tempat di mana aku tinggal. Selesai mandi sunat dan membersihkan diri, aku kenakan pakaian Gamesh ringkas, dicalit beberapa kali minyak wangi Oud yang dihadiahkan oleh Habib serta beberapa titis minyak wangi Sultan yang aku beli di Makkah beberapa tahun dulu. Aku memandu perlahan ke arah masjid, tempat pakir masih lagi kosong dan masjid pula masih lengang walau azan Isya' sudah berkumandang. Setengah jam kemudian baharulah masjid mula dipenuhi pengunjung dari pelbagai bangsa. Hari pertama berterawih dengan semangat yang berkobar-kobar, ditambah lagi dengan alunan bacaan ayat-ayat suci Al-Quran yang cukup merdu dari Imam muda berasal dari Indonesia. Hari pertama bersahur dengan makanan yang cukup ringkas - beberapa biji kurma, air susu dan minuman panas. Alhamdulillah, sungguh nikmat!!!

bazaar ramadhan
Hujung minggu pertama Ramadhan, pihak Malaysian Association of Qatar atau MAQ menganjurkan Bazaar Ramadhan yang berlangsung di sebuah pusat beli-belah di tengah-tengah kota Doha. Aku dan beberapa orang rakan mengambil peluang untuk mencuba berniaga di bazaar ini dan beberapa hari sebelum itu kami sudah pun membuat pelbagai persiapan. Setelah berbincang serba ringkas, kami memutuskan untuk menjual Ayam Percik, Royal Pudding, Bubur ChaCha dan paling menarik ialah Air Kathira. Ramai yang tidak pernah mendengar nama Air Kathira dan ada sebahagian pula pernah mendengarnya tetapi tidak tahu pula bagaimana rupa dan rasa minuman popular di negeri Johor dan Singapura ini. Ini kali pertama aku cuba membancuh Air Kathira dan resepinya aku dapati dari beberapa laman web di Internet. Dipendekkan cerita, Air Kathira ini laris dan mendapat maklumbalas yang positif!

My creation
Agak kelam-kabut juga kami menyiapkan segala keperluan untuk berniaga di bazaar memandangkan kesuntukkan masa dan pelbagai faktor. Semalaman kami 'berkampung' di Umm Bab Tower untuk menyiapkan segala juadah. Remeh juga kerja-kerja untuk menyediakan makanan dalam kuantiti besar seperti ini ditambah pula dengan jenis makanan yang memerlukan banyak bahan-bahan yang beragam. Kami beramai-ramai bersahur dengan lauk-pauk yang ringkas tetapi dalam susasana yang cukup meriah dan mesra. Selesai bersahur, kami sambung semula menyiapkan bahan-bahan yang belum lengkap. Bayangkanlah, untuk membuat Bubur Chacha sahaja kami memerlukan 4-5 jenis bahan untuk direbus dan dipotong kecil-kecil seperti keledek, labu dan keladi, manakala Air Kathira pula sungguh renyah kerana perlu merebus air yang diisi dengan 'Jaggery' atau gula tebu mentah dan pati perahan pandan. Selain itu perlu dibuat agar-agar pelbagai warna dan rasa kemudian diracik-racik untuk menjadikan air minuman itu lebih menarik.

DSC01983
Terima kasih kepada rakan-rakan yang ringan tulang membantu menjayakan program berjualan di bazaar; Fandi, Shamsul, Farhan, Ali, Pijot dan Anne. Ini merupakan pengalaman pertama aku berjualan di bazaar Ramadhan dan ianya memang seronok. Selama dua Jumaat berturut-turut kami menyertai jualan di bazaar ini dan tentunya ianya menjadi kenangan menarik di sini. Sebahagian dari keuntungan jualan kami sedekahkah kepada mereka yang memerlukan seperti rumah anak-anak yatim, rumah orang-orang tua, untuk perubatan, persekolahan dan sebagainya di negara-negara Islam yang miskin. Sebahagian lagi digunakan untuk membeli juadah berbuka puasa kami. Semoga sedekah kami ini diterima Allah lebih-lebih lagi di bulan mulia Ramadhan Al-kareem.
Berbuka puasa
Ministry of Interior of Qatar dengan kerjasama Yayasan Al-Thani menganjurkan majlis Iftar dengan rakyat Malaysia di sini. Ini merupakan acara tahunan semenjak 3 tahun dulu. Selain dari majlis Iftar bersama wakil dari MOI dan Yayasan, ada juga diselitkan ceramah agama dan tayangan slide mengenai keselamatan jalanraya di Qatar serta solat terawih. MAQ menjadi pengantara bagi majlis ini dengan menghebahkan kepada rakyat Malaysia dan membuat beberapa persiapan. Jamuan disediakan oleh pihak penganjur tetapi pihak MAQ memutuskan untuk menambah beberapa jenis lauk-pauk seperti dalca daging, acar darat dan sedikit kuih muih. Acara gotong-royong beberapa orang ahli MAQ di rumah Adam bermula seawal sebelum Zohor lagi dengan aku membantu membeli bahan-bahan untuk dimasak. Dalca yang dimasukkan pelbagai jenis sayuran dan daging serta tulang ini aku yang selenggarakan dan menggunakan resepi aku sendiri, kiranya aku yang menjadi Chef hari itu. Alhamdulillah, semuanya berjalan lancar dan dalca 'Chef Rush'mendapat pujian!

My creation
Majlis Iftar yang sederhana di kediaman aku di Umm Bab Tower khas untuk ahli-ahli MAQ dan keluarga mereka. Semenjak aku terpilih memegang jawatan Secretary bagi MAQ, banyak acara-acara terpaksa aku sertai dan sesi berkumpul sesama keluarga AJK MAQ juga sudah beberapa kali diadakan. Iftar kali ini aku menyediakan Nasi Putih, Ayam Percik, Royal Pudding dan Air Kathira manakala tetamu yang lain membawa pelbagai jenis juadah seperti Sambal Tumis Udang, Sup Sayur, Daging Salai Lemak Cili Api, Ayam Panggang serta Roti, pelbagai jenis kuih-muih Melayu, buah-buahan dan banyak lagi. Selesai beriftar, kaum lelaki menunaikan solat sunat terawih di Masjid West Bay yang berdekatan dan setelah selesai solat kami sambung moreh dengan kuih-muih yang masih berbaki dan minuman panas.

seri kebaya restaurant
Sunyta Ali, tuanpunya satu-satunya restoran Malaysia di Qatar menganjurkan majlis berbuka puasa di Sri Kebaya Restaurant yang terletak di kawasan ekslusif Souq Waqif. Sunyta menjemput beberapa rakan rapat beliau untuk menikmati makanan tempatan Malaysia sambil menghebahkan mengenai rupabentuk menu terkini Sri Kebaya. Seperti biasa, ramai rakan-rakan di Doha ada bersama di majlis ini dan tentunya banyak cerita dikongsi bersama terutamanya tentang persediaan berhari raya serta pengalaman menyambutnya di Doha. Terima kasih kepada Sunyta kerana sudi menjemput ke majlis Iftar di Sri Kebaya, semoga Sri Kebaya terus bertahan di bumi Qatar serta terus maju jaya dalam memperkenalkan makanan Malaysia kepada dunia dan warga Arab khasnya.
My creation
Majlis Iftar anjuran pihak Kedutaan Malaysia di Qatar berlangsung pada minggu kedua bulan Ramadhan, khusus buat wakil-wakil perniagaan, ahli jawatan kuasa MAQ dan beberapa wakil warga Malaysia. Acara Iftar yang sungguh sederhana diadakan di pejabat kedutaan di West Bay, bermula dengan jamuan ringan sebelum kami bersolat jemaah beramai-ramai. Selesai solat maghrib, kami menjamu selera dengan pelbagai juadah yang dimasak oleh Chef yang bertugas di residens Malaysia, serta pelbagai kuih-muih pencuci mulut yang dibawa oleh para jemputan. Kami beramah mesra dengan TYT Duta yang baru beberapa bulan ditugaskan di Qatar, dan berkenal-kenalan dengan warga Malaysia yang lainnya. TYT Duta mesra dan peramah orangnya, semasa memberi ucapan alu-aluan memberi pesan supaya warga Malaysia menjaga nama baik negara, berkerja secara professional dan mencari peluang seluas-luasnya di tanah Arab yang kaya raya ini. Kami berjemaah melakukan solat Terawih pula dan kemudian disambung dengan sesi moreh.
Malay iftar in doha
Aku menerima jemputan melalui Facebook dari Aizal sekeluarga untuk menghadiri majlis Iftar dan majlis sambutan hari lahir beliau. Aizal dan isteri yang bertugas dengan stesyen media terkenal Al-Jazeera sudah beberapa tahun menginap di Doha dan seringkali juga menjemput tetamu datang ke rumah beliau untuk pelbagai majlis. Ramai juga tetamu yang hadir dan hampir kesemuanya aku kenal kerana kami dari satu 'grup' yang sama di Doha. 'Grup' yang selalu melakukan aktiviti bersama, aktiviti 'makan-'makan', beriadah dan sebagainya. Pelbagai juadah disediakan oleh tuanrumah selain dari yang dibawa oleh rakan-rakan, antaranya Nasi Ayam, Pecal, Cendol, Tau Foo Fah, Bubur Jagung, Pengat Pisang, Apam Balik dan macam-macam lagi juadah Melayu. Terima kasih kepada Aizal sekeluarga kerana menjemput ke majlis beliau, semoga Allah terus mencurahkan lebih banyak lagi rezeki buat kamu dan dipanjangkan usia dalam rahmat dan rahimNya.

Iftar at Kak Pah
Aku dan Fandi mencadangkan supaya Kak Ipah memasak Asam Pedas untuk berbuka puasa bagi kumpulan Angry Birds yang sama-sama berniaga di Bazaar Ramadhan tempohari. Kak Ipah yang memang terkenal sebagai tukang masak yang handal dan selalu sahaja mendapat pujian dari 'client' beliau di Doha, sangat peramah orangnya. Kak Ipah ke sini bersama keluarga kerana mengikut suami beliau yang bertugas dengan Qatar Petroleum. Tepat pada harinya, kami sampai ke villa yang terletak agak jauh dari West Bay. Kak Ipah dan anak gadis beliau berpesan kepada aku supaya membawa bersama Air Kathira kerana mereka tidak berkesempatan merasa tempohari kerana sudah kehabisan. Aku, Fandi, Ali, Shamsul, Farhan dan Feeza berkonvoi ke sana, sementara Zuera dan Asyraf yang turut dijemput sampai sedikit lewat dengan membawa daging bakar dan sambal asam. Menu yang dihidangkan sungguh mengujakan; Ikan Salmon Asam Pedas, Ikan Kerapu 3 Rasa, Soto Ayam, Sambal Pelam serta ulam-ulaman. Tidak ketinggalan juga ialah pencuci mulut seperti Cream Caramel, Puding berkuah, buah-buahan dan pelbagai jenis minuman. Kami menjamu selera sambil bersembang pelbagai hal terutamanya kisah Kak Ipah yang kerap-kali berkelana bersama keluarga. Terima kasih kepada Kak Ipah sekeluarga kerana memberikan layanan yang baik dan sempurna kepada kami, makanan yang dihidangkan semua memang sedap dan sungguh menyelerakan. Semoga bertambah-tambah rezeki Kak Ipah sekeluarga.

DSC02091
Sudah hampir 3 minggu Ramadhan menjenguk kita. Pelbagai aktiviti dilakukan sepanjang bulan ini, selain dari ibadah berpuasa dan solat terawih. Entri kali ini khusus menceritakan sebahagian dari aktiviti Iftar atau berbuka puasa aku bersama teman-teman di Doha, takut nanti ada yang bertanya di mana aktiviti ibadah dan sebagainya yang sangat dituntut. Biarlah cerita aktiviti ibadah dan sebagainya itu aku simpan buat diri sendiri.

Semasa entri ini ditulis, ada beberapa lagi undangan Iftar di sekitar Doha termasuklah yang akan aku anjurkan di Umm Bab Tower. InsyaAllah akan dikemaskini kemudiannya sebelum aku merasa berbuka puasa di Kuala Lumpur dan Johor pada hujung minggu nanti.

---------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------

Dikemaskini pada 24 Ogos 2011.

My creation
Hampir kesemua jemputan yang dijemput telah hadir ke majlis iftar yang serba sederhana di kediaman aku di Umm Bab Tower & Residences, West Bay, Doha. Sebagai host, aku cuma menyediakan lauk-pauk ringkas seperti Asam Pedas Ikan Merah, Sambal Belacan, ikan kering bulu ayam, keropok sayur dan ikan, keropok lekor, Twisted Tiramisu (yang aku baru cipta :D), buah tembikai, dan pelbagai jenis minuman panas dan sejuk. Agak letih juga menyediakan segala menu di atas tetapi ianya menjadi sedikit ringan dengan bantuan Ali yang menjadi rakan serumah sementara di sini. Tersenyum puas apabila melihat lauk Asam Pedas mendapat sambutan walaupun ada yang tidak tahan pedas. Itu belum bercerita lagi fasal Sambal Belacan yang 'super pedas sehingga berpeluh-peluh dibuatnya. Rakan-rakan yang hadir juga membawa pelbagai jenis juadah antaranya daging masak kicap, kari ayam, pajeri nenas, bihun goreng, ulam-ulaman serta pelbagai pemanis mulut seperti cream caramel, kek cokelat, bubur chacha dan paling istimewa ialah Baklava Azerbaijan yang dimasak khas oleh Jamila, isteri kepada Anar yang menjadi rakan sepejabat aku di sini.

My creation
Seperti biasanya, kami berbuka ala-kadar terlebih dahulu dengan memakan buah kurma, buah-buahan dan kali ini ramai yang berbuka dengan keropok dahulu, tempting agaknya melihat keropok-keropok terhidang di atas meja berserta dengan sosnya sekali. Kaum Hawa solat di dalam bilik tidur aku (malu juga memperlihatkan bilik orang bujang), manakala kaum Adam berjemaah di dalam bilik tamu di hadapan. Selesai solat, semuanya mula menjamah nasi putih beras Basmathi berserta dengan pelbagai lauk-pauk yang dibawa. Dalam pada itu, aku terlupa pula hadirnya anak-anak kecik yang tidak tahan makanan pedas dan kebetulan pula Zaireen ada membawa sebucket ayam goreng KFC.

Terima kasih kepada teman-teman yang sudi hadir beriftar bersama sehinggalah selesai solat terawih dan moreh dengan manisan yang masih berbaki. InsyaAllah, semoga semua tetamu yang hadir bersama rahmat dan berkat, diberi ganjaran ziarah sesama Muslim dan semoga segala amal kebaikan kita di bulan Ramadhan ini diterima oleh Allah. Dan hendaknya silaturrahim serta mahabbah kita semakin berkekalan serta kukuh walau berada jauh dari bumi Tanah Melayu.