Wednesday, July 27, 2011

Travelogue: Expectations & Surprises Collided in Istanbul

DSC01234
Istanbul sentiasa menjadi impian destinasi aku, sejak mula berjinak-jinak membaca buku-buku sejarah mengenai tamadun kerajaan-kerajaan besar Roman, Byzantium dan kebangkitan kekhalifahan Islam Uthmaniah/Ottoman sehinggalah tersungkurnya pemerintahan monarki terakhir di tangan pemberontak sekular Kamal Attartuk. Sebenarnya aku tidak bercadang untuk ke Turki dalam masa terdekat ini, perancangannya mungkin di awal tahun hadapan dengan menjelajah ke beberapa tempat lain di sana seperti Cappadocia, Troy, Izmir, Pamukalle dan sebagainya. Keputusan dibuat di saat-saat akhir untuk melawat kota Istanbul sahaja, sebagai melengkapi destinasi impian sementelah aku mendapat cuti lebih 2 minggu dari majikan (cuti ini asalnya ingin dihabiskan di Malaysia sahaja).
DSC01090
Istanbul, rata-rata rakyat Malaysia pernah dengar akan kegemilangan dan keindahan kota ini. Ramai rakyat Malaysia yang pernah berkunjung ke sini, samada semata-mata untuk bercuti ke Turki atau sebahagian dari itinerari umrah & ziarah mereka. Aku terbang ditemani oleh Hafiz yang kebetulan berkunjung ke Doha dalam rangka lawatan beliau menziarahi aku dan ingin menghilangkan 'stress' setelah berhempas pulas menghadapi peperiksaan LLM beliau. Penerbangan tanpa henti dari Doha ke Istanbul mengambil masa sekitar 4 jam. Cuaca ketika itu cukup baik sekitar 25'C di waktu siang dan 16'C di waktu malamnya, masih lagi dalam musim bunga atau 'spring'. Tempat penginapan kami di Blue Tuana hotel yang baru beberapa bulan beroperasi terletak di lokasi utama tarikan pelancong - Sultanahmet. Hotel ala-butik yang cuma beberapa minit berjalan kaki dari Hagia Sophia, Istana Topkapi dan Blue Mosque itu menghidangkan panorama yang sungguh menarik, Laut Marmara dan Selat Bosphorus yang membiru dan sibuk dengan bot, feri dan kapal layar yang lalu-lalang.
sultanahmet
Di sekitar kawasan Sultanahmet terdapat banyak tempat-tempat menarik untuk dilawati selain deretan kedai yang menjual pelbagai cenderamata dan restoran-restoran serta kafe. Selain Hagia Sophia (Ayasofia), Istana Topkapi, Basilica Cistern dan Masjid Biru, Grand Bazaar juga terletak di sekitar kawasan ini. Kami berjalan kaki sahaja menyusuri jalan sepanjang kawasan ini sehinggalah ke Grand Bazaar yang wajib dikunjungi. Hari pertama lagi kami sudah ke sana, melihat-lihat dahulu barangan yang dijual sambil menghayati kemeriahan dan keunikan bangunan yang dibina pada tahun 1455 ini. Grand Bazaar atau dalam bahasa tempatan disebut Kapalıçarşı merupakan pasar tertutup baling besar dan paling lama di dunia yang memuatkan 4,000 unit kedai. Penat berjalan dan tawar-menawar di dalam bazaar ini, kami berhenti seketika menikmati teh pekat atau chai di sebuah kafe yang sudah ratusan umurnya.
taksim istiklal
Kami tidak mempunyai itinerari tetap di Istanbul kerana kesuntukkan masa dan perancangan di saat-saat akhir. Maka segala macam brosur dan risalah pelancongan kami kutip dari hotel dan tempat-tempat tumpuan pelancongan. Kami merangka secara ringkas tempat-tempat yang wajib dikunjungi dan yang ingin kami jelajahi, lebih fleksibel dan santai. Hampir setiap malam kami mengunjungi kawasan di sekitar Dataran Taksim dan Istiklal, pusat tumpuan yang sibuk dengan pengunjung yang ingin membeli-belah barangan berjenama dan di sepanjang jalan Istiklal ini juga terdapat banyak restoran-restoran yang bagus serta kedai-kedai yang menjual cenderamata. Selain dari itu, di belakang lorong-lorong sempit terdapat pub-pub, disko dan pusat hiburan waktu malam. Di beberapa batang lorong juga boleh ditemui kedai-kedai menjual buah-buahan segar, sayur-sayuran, makanan laut dan pelbagai jenis rempah dan kekacang. Suasana di sepanjang Taksim-Istiklal bertambah meriah dengan lampu-lampu neon yang pelbagai dan tram khas yang menyusur di sepanjang jalan ini.
orakoy
Ortakoy, kami ke sini dengan menaiki tram dari Sultanahmet dan berhenti di Kabatas. Dari situ kami mengambil bas awam menuju ke Ortakoy yang jarak perjalanannya cuma sekitar 30 minit melalui jalan di sepanjang tepian laut Selat Bosphorus. Ortakoy merupakan sebuah pekan kecil yang bersih dan cantik, pengunjungnya adalah warga tempatan yang ingin bersantai di tepian laut sambil melihat-lihat bot-bot dan kapal yang sibuk lalu-lalang di selat tersebut. Ada bazaar kecil yang menjual pelbagai barangan tempatan, ada deretan restoran yang menyediakan makanan Turki dan Mediterranean. Kami mencuba Kumpir yang menjadi makanan kegemaran di sini, rata-rata pengunjung di sini dilihat sedang menikmati Kumpir. (Kumpir is a snack which can easily be a full meal. It is originated from Albania but is quite unique to Istanbul in its present form. It consists of a baked potato with various fillings such as grated cheese, mayonnaise, ketchup, pickles, sweetcorn, sausage slices, carrots, mushrooms, and Russian salad among others, any of which can optionally be added to or omitted from the mix. While kumpir can be had at many cafes throughout the city, it is best had from one of the cafes in Ortaköy, which have a long tradition of preparing kumpir and offer really filling and tasty ones.
DSC_0263
Anita yang pernah ke Istanbul semasa en-route mengerjakan umrah pada tahun lepas mencadangkan kami ke Bursa. Kami memperuntukkan sehari-suntuk untuk ke sana, tetapi pada hari kami ingin berlepas menaiki kapal dari Yenikapi Feribot Terminali ke Bursa, kami terlepas kapal yang pertama dan terpaksa menunggu kapal seterusnya yang cuma bertolak beberapa jam kemudian selepas waktu tengahari. Kami kesuntukkan masa tetapi tetap juga gigih untuk menjejakkan kaki di Bursa. Sesampai sahaja di Bursa, kami mempunyai masa yang sangat-sangat terhad, cuma beberapa jam sahaja. Walaupun kami sudah membeli tiket pergi-pulang, rasanya kami seperti tidak sempat pula untuk pulang menggunakan jalan laut. Dari pelabuhan Yalova, kami menaiki shuttle bus menuju ke stesyen bas di Bursa, dari sana kami perlu menaiki teksi pula untuk ke tengah-tengah kota. Semasa di stesyen bas ini, kami lihat ada perkhidmatan bas dari sini ke Istanbul, kami cuba mencari alternatif sekiranya tidak sempat untuk pulang ke pelabuhan Yalova. Tidak ramai yang boleh berbahasa Inggeris di sini, secara tiba-tiba ada seorang pemuda di kaunter tiket bas bercakap dalam bahasa Arab. Hafiz yang pernah menuntut LLB di UIA mula berkomunikasi dengan pemuda tersebut dalam bahasa Arab. Pendek cerita, kami perlu pulang ke Istanbul melalui Yalova!
Bursa Turkey
Di Bursa kami agak hilang arah, tidak tahu apa perlu dibuat dan tempat mana harus dikunjungi. Setelah berhenti seketika di hadapan arca besar Kamal Attartuk yang berkuda, kami berjalan kaki menuju ke arah Bazaar. Dari Bazaar tersebut kami menuju pula ke Koza Han, sebuah bazaar yang menjual pelbagai jenis sutera. Nama Koza Han itu sendiri bermaksud 'silk coccon market' dan di belakang pintu gerbang Koza Han ini terletak pula Koza Park yang menghijau dan amat cantik serta tenang. Kami berhenti sebentar di sini sambil menikmati teh Turki yang terkenal. Hanya beberapa minit sahaja di sini, dan terus meninggalkan bangunan klasik yang dibina pada tahun 1491 oleh Sultan Bayazit I itu. Kami menaiki teksi dan mengarahkan pemandu untuk memandu dengan pantas menuju ke stesyen bas. Terasa seperti di dalam rancangan Amazing Race pula. Dari sana kami berlari-lari anak mencari bas yang akan menuju ke Yalova, Hafiz hampir-hampir masuk ke dalam perut bas yang salah, dan aku pula sibuk bertanya dengan orang yang lalu-lalang di sana. Dipendekkan cerita, kami sempat menaiki bas yang mengambil masa 1 jam 15 minit menuju ke Yalova melalui kebun-kebun zaitun yang berbukit bukau. Dari Yalova pula kapal atau feri tersebut mengambil masa hampir 2 jam untuk sampai di pelabuhan Yenikapi, Istanbul.
Food in Istanbul
Mencari makanan yang sedap dan halal di Istanbul amat mudah. Kebanyakkan restoran-restoran di sini menghidangkan alkohol walau makanan yang dijual adalah halal, dan kami pula selalu sahaja disarankan untuk mengambil bir bersama kebab yang dipesan. Walaupun kami berulang-kali memberitahu yang kami ini Muslim, tetapi mereka agak kurang faham, memang sekular sungguh negara Turki ini. Malam terakhir di Istanbul, aku bercadang untuk menikmati makanan istimewa di sekitar Istiklal, dan juga bersempena dengan menyambut 24 Mei. Sejak beberapa hari lepas aku sudah mengidam ingin ke sebuah restoran mewah Thai dan kami mula membelek menu yang diberikan. Sebelum itu aku ada menanya jika mereka menghidangkan makanan halal dan jawapannya ialah 'Ya'. Namun aku agak kecewa apabila ada menu yang menghidangkan pork, tomyam pork, grilled pork dan sebagainya. Aku menuju ke kaunter dan alasan yang diberikan ialah mereka akan mengasingkan pork-pork tersebut semasa memasak, menggunakan perkakasan yang berbeza. Dengan nada yang agak sedikit marah aku memberi penjelasan ringkas dan keluar dari sana. Akhirnya kami menjumpai sebuah restoran makanan India utara tidak jauh dari restoran tadi. 
Hagia Sophia
Selama 6 hari dan 5 malam di Istanbul, banyak juga tempat yang dapat kami lawati selain dari Bursa yang merupakan kota pertama Kerajaan Uthmaniah. Kami melihat kawasan-kawasan bersejarah di sekitar Sultanahmet, di bahagian Eropah dan runtuhan kota-kota peninggalan zaman Rome yang berselerak di merata Istanbul. Kami juga merasai kemodenan Istanbul apabila menaiki Metro menuju ke Sisli-Mecidiyekoy dan Osmanbey untuk ke pusat membeli-belah terbesar di Eropah; Şişli Kültür ve Ticaret Merkezi atau Istanbul Cevahir. Hari terakhir di Istanbul, kami melawat tempat paling sinonim dengan Istanbul dan Turki; Hagia Sophia. Hagia Sophia is a great architectural beauty and an important monument both for Byzantine and for Ottoman Empires. Once a church, later a mosque, and now a museum at the Turkish Republic, Hagia Sophia has always been the precious of its time. Istanbul merupakan sebuah kota yang amat mistik dan sejak berzaman merupakan lokasi beberapa buah empayar besar seperti Byzantium dan Ottoman/Uthmaniah. Maka tidak hairanlah jika bangunan-bangunan bersejarah di sini mempunyai kepelbagaian senibina dan unsur-unsur kebudayaan yang beragam.
DSC_0466-1
Istanbul juga merupakan syurga membeli-belah terutamanya barangan kraftangan seperti seramik, lampu-lampu kaca dan kristal, permaidani, manisan dan sebagainya. Pinggan-pinggan seramik pelbagai corak dan warna dijual dalam pelbagai saiz dan berbeza-beza pula harganya. Selalunya pengunjung akan membeli di Grand Bazaar, namun di sini agak mahal harganya berbanding di tempat-tempat lain. Di sepanjang jalan dari Sultanahmet ke Sirkeci banyak terdapat kedai cenderamata dengan harga yang lebih berpatutan. Tidak jauh dari hentian tram Eminonu, terdapat Egyptian Bazaar yang khusus menjual pelbagai jenis manisan Turki seperti halwa, Turkish delights atau Lokum, rempah-ratus, kopi, teh dan juga sedikit cenderamata. Turki juga amat terkenal dengan industri tekstil yang berkualiti, maka di sini boleh didapati butik dan kedai jahit lelaki yang berselerakkan di setiap jalan dan lorong. Harga pakaian siap yang dijual amat murah dengan kualiti yang tinggi. Permaidani pula mempunyai pelbagai corak mengikut dari daerah mana ianya dibuat dan disalin dari pelbagai era. Harganya dari ratusan Ringgit sehinggalah ke ratusan ribu Ringgit! Selain dari itu bagi peminat-peminat buku sejarah berkaitan Turki dan kerajaan empayar yang memerintah, Galeri Kayseri di Sultanahmet ada menyediakan pelbagai buku khas dalam pelbagai bahasa. Antara pengunjung yang pernah ke sini ialah YB Menteri Besar Johor yang membeli pelbagai koleksi buku sejarah.
Istanbulus
Istanbul menghidangkan pelbagai tempat yang menarik untuk dikunjungi selain penduduknya yang ramah-tamah, makanan yang sedap dan sistem transpotasi yang bagus serta cekap. Selain penduduknya yang mempunyai wajah kacukan yang menawan, tingkah-laku mereka terhadap pelancong juga amat terpuji, berbudi-bahasa, mudah untuk didekati dan boleh dipercayai. Istanbul dikurniai alam semulajadi yang amat indah di sepanjang Selat Bosphorus dan Laut Marmara, taman-taman bunga yang berwarna-warni, pohoh-pohon rendang dan menghijau di sepanjang jalan serta iklim mediterranean yang sempurna. Rehlah ke Istanbul melengkapkan hajat sedari dulu untuk melihat kesan sejarah pertembungan dua tamaddun besar dunia, pertembungan dua agama besar dunia serta percampuran kebudayaan Asia dan Eropah. Istanbul yang juga merupakan bandaraya berkembar Johor Bahru, meninggalkan banyak nostalgia menarik dan unik buat aku kali ini.


Tuesday, July 26, 2011

Persediaan Menyambut Ramadhan Al-Kareem

DSC_0369-1

Kita berada pada hari-hari terakhir bulan Syaaban. Dalam sedar atau tidak, kita semakin mendekati bulan yang penuh kebaikan, keberkatan, dan rahmat - Ramadhan 1432 Hijriah. Bergema di serata dunia doa orang-orang yang beriman; Allahumma Ballighna Ramadhan. Doa yang diwarisi dari kekasih yang dicintai Ar-Rasul s.a.w.

Allahumma Ballighna Ramadhan. Inilah doa yang diulang-ulang oleh Rasulullah s.a.w apabila mendekati bulan yang mulia ini. Diriwayatkan bahawa apabila tibanya bulan Rejab, maka Rasulullah akan berdoa ‘Ya Allah Berkatilah kami di bulan Rejab dan Sya’ban, dan sampaikanlah kami ke bulan Ramadhan’ (Riwayat Al-Bazzar, At-Thabrani, Al-Baihaqi).

Diriwayatkan dari Abu Hurairah ra: Bahwa sesungguhnya Rasulullah saw. pernah bersabda : Ketika datang bulan Ramadhan: Sungguh telah datang kepadamu bulan yang penuh berkat, diwajibkan atas kamu untuk puasa, dalam bulan ini pintu syurga dibuka, pintu neraka ditutup, Syaitan- Syaitan dibelenggu. Dalam bulan ini ada suatu malam yang nilanya sama dengan seribu bulan, maka barangsiapa diharamkan kebaikannya ( tidak beramal baik didalamnya), sungguh telah diharamkan (tidak mendapat kebaikan di bulan lain seperti di bulan ini). ( HR. Ahmad )

Sebenarnya terlalu banyak persediaan yang patut kita lakukan menjelang Ramadhan. Antara yang lain ialah:

1) Persediaan ilmu agama.
Ramai orang yang berpuasa tanpa ilmu di dada. Dikhuatiri ibadah yang diharapkan mendapat pahala sebaliknya tidak diterima malahan mendapat dosa. Menjelang Ramadhan, kita diseru meluangkan masa menuntut ilmu agama. Sama ada dengan cara membaca buku, menghadiri kuliah-kuliah agama atau melayari internet. Perkara yang perlu diberi keutamaan ialah berkaitan dengan ibadah puasa seperti rukun, syarat sah, perkara yang membatalkan puasa, adab dan juga akhlak orang berpuasa. Hal ini begitu penting untuk mendapat kesempurnaan ibadah puasa.

2) Persediaan kesihatan.
Ibadah puasa melibatkan kesihatan tubuh badan. Kesihatan tubuh badan yang sempurna menjamin kesempurnaan ibadah puasa. Kecerdasan seluruh anggota badan diperlukan kerana pada bulan puasalah tubuh badan dikerah bekerja kuat melaksanakan solat sunat tarawih, qiamullail , membaca al –Quran, iktikaf dan sebagainya.

Penjagaan kesihatan ini termasuklah menjaga pemakanan yang seimbang, riadah dan menjauhkan diri dari perkara yang mendatangkan penyakit seperti tabiat merokok.
3) Persediaan dari sudut kewangan.
Di antara amalan yang begitu mulia dalam bulan Ramadhan ialah bersedekah. Rasulullah SAW merupakan seorang yang paling dermawan dan baginda lebih dermawan di dalam bulan Ramadhan. Hal ini diceritakan oleh Ibnu Abbas r.a:
“Rasulullah saw ialah orang yang paling dermawan. Dan beliau lebih dermawan lagi di bulan Ramadhan di saat beliau bertemu Jibril. Jibril menemuinya setiap malam untuk mengajarkan Al- Quran. Dan kedermawanan Rasulullah SAW melebihi angin yang berhembus.” (HR. Bukhari)

Mereka yang jarang-jarang bersedekah dikhuatiri tidak memanfaatkan peluang memperbanyakkan sedekah pada bulan Ramadhan. Sebagai persediaan, kita disarankan agar mula berjinak-jinak dengan amalan bersedekah. Mungkin ia boleh dimulakan dengan jumlah yang kecil atau menderma di tabung-tabung masjid dan surau. Mudah-mudahan lama kelamaan sifit kikir dan bakhil itu dapat dibuang secara beransur-ansur.

Bagi mendapat kelebihan bulan Ramadhan , kita juga harus menangguhkan sedekah pada bulan-bulan lain semata-mata untuk disedekahkan pada bulan Ramadhan dengan syarat ia bukanlah sedekah yang dihajati seperti orang fakir miskin yang memerlukan dan orang dalam keadaan susah dan berhutang.

4) Memperbanyak menyebut hal berkaitan kelebihan dan kemuliaan Ramadhan.
Di antara persiapan lain yang perlu ada ialah memperbanyakkan bercerita tentang kemuliaan bulan Ramadhan. Hal ini bertujuan memberi rangsangan dan semangat kepada kita untuk membuat persediaan bertemu Ramadhan. Bukankah sesuatu acara itu akan menjadi lebih meriah dan suasananya dapat dirasai jika diwar-warkan. Contoh mudah, bagaimanakah perasaan kita di saat diwar-warkan sesuatu sambutan yang besar, seperti Piala Dunia Bola Sepak. Pada ketika itu seluruh saluran media hebat membuat promosi. Kesannya seluruh masyarakat dunia termasuk rakyat Malaysia ternanti-nanti dan merasai bahang temasya tersebut. Apatah lagi bulan yang begitu mulia ini sepatutnya lebih layak disebut-sebut kemulian dan ganjarannya oleh media massa dan seluruh umat Islam.

Di kesempatan ini juga saya menyusun sepuluh jari memohon ampun dan maaf atas segala keterlanjuran tuturkata, perbuatan dan tingkahlaku serta penulisan-penulisan di dalam blog-blog saya mahupun di laman-laman sosial. Yang korek itu kendi, yang merah itu saga, yang molek itu budi, yang indah itu bahasa. Selamat menjalani ibadah puasa di bulan Ramadhan, semoga kita semua memperolehi keredhaanNya, mendapat kebaikan dan keuntungan di dunia dan di akhirat, ameen.
Ramadhan - A Month Full of Blessing & Rewards From Allah
The fourth pillar of Islam which is fasting is also called Ramadhan - or Ramzan in several countries – and it is the ninth month of the Islamic (''Hijri'') calendar, established in the year 638. It is considered the most venerated, blessed and spiritually-beneficial month of the Islamic year. Prayers, fasting, charity, and self-accountability are especially stressed at this time; religious observances associated with Ramadhan are kept throughout the month. God prescribes daily fasting for all able, adult Muslims during the whole month of Ramadhan, beginning with the sighting of the new moon.
I would like to take this opportunity to wish all Muslims "Have a blessed Ramadhan!"