Monday, December 26, 2011

Dreaming 'The City of Dreams' in Vienna.

DSC_0451
Dalam kedinginan musim sejuk, aku bingkas dari tempat tidur agak awal pada pagi hari Ahad 6 November 2011 itu, walau sehari sebelumnya aku keletihan berkelana seharian di kota Plovdiv. Sisa-sisa waktu beberapa jam di kota Sofia, Bulgaria aku habiskan dengan mencari pelbagai cenderamata dan mengunjungi mana-mana tempat menarik yang masih belum dilawati. Lewat petang baru aku dijemput untuk dihantar ke  Letishte Sofia-Vrazhdebna yang jaraknya hanya 5km dari pusat kotaraya Sofia. Aku menaiki pesawat Niki menuju ke Vienna, yang memakan masa sekitar 2 jam setengah. Aku sampai di Vienna International Airport di Schwechat tepat pada waktunya, dan aku langsung mencari shuttle bus menuju ke tengah-tengah kota Vienna yang terletak sekitar 18km. Dari situ aku terpaksa pula berjalan kaki menuju ke hotel dengan berpandukan peta dan nota yang diberi. Aku mundar-mandir beberapa minit untuk menyesuaikan orentasi dan keadaan sekeliling yang agak kelam serta sejuk.

DSC02638
Selesai menguruskan hal daftar masuk ke Hotel & Guesthouse Kaiser 23, aku berehat sebentar sambil memerhatikan dekorasi di dalam hotel yang agak berlainan dan unik ini. Mengenai hotel ini, ianya merupakan sebuah chapel atau biara penganut Kristian yang telah diubah suai menjadi tempat penginapan kepada pelancong dalam dan luar negara. Namun rekahias serta fungsi biara ini masih dikekalkan, manakala bilik penginapan aku betul-betul terletak di sebelah bilik chapel atau ruang sembahyang. Selesai membersihkan diri ala kadar, aku cuba keluar menuju ke pusat bandar dengan berjalan kaki walau ketika itu jam sudah menunjukkan pukul 11 malam. Agak sunyi sepi sekitar jalan utama Mariahilfer Strasse ini, manakala semua kedai sudah pun menghentikan operasi kecuali beberapa buah kafe dan pub. Aku berjalan dalam samar malam, cuaca sejuk yang menyegarkan serta keheningan waktu tengah malam di kota Vienna.

DSC02601
Terlewat aku bangkit untuk mengambil sarapan pagi, namum minuman panas sentiasa tersedia untuk para tetamu. Kopi pekat yang dicampur susu segar sudah cukup untuk aku mengalas perut pagi itu. Aku tidak mempunyai itinenari khusus di kota Vienna yang dihuni oleh seramai 1.72 juta manusia ini. Semuanya aku berpandukan kepada brosur-brosur yang terdapat di kaunter penyambut tetamu hotel dan bertanya kepada petugas yang ada. Ringkas dan mudah semuanya, samada memilih untuk berjalan kaki, atau membeli kupon pengangkutan yang diintegrasi dengan semua jenis pengangkutan yang ada serta diskaun ke Muzium serta beberapa Opera serta restoran. Sistem pengangkutan di sini sungguh efisien dan pelbagai, mudah digunakan serta meliputi kawasan yang cukup luas. Pada tahun 2001, kota Vienna ini diangkat sebagai salah satu UNESCO World Heritage Site.

DSC02626
Aku mencuba menaiki Metro dari Westbanhof, destinasi pertama ialah Stephenplatz, yang merupakan titik mula atau starting point jelajah kota Vienna. Di sekitar Stephanplatz ini terdapat pelbagai bangunan bersejarah yang sungguh menarik, antaranya ialah Haas House, Burgtheater, Anchor Clock, Spanish Riding School, Hofburg Palace dan lain-lain bangunan bersejarah  dengan hanya berjalan kaki sahaja. Museumsquartier yang merupakan antara kompleks kebudayaan terbesar di dunia juga terletak berhampiran kawasan ini. Sehari suntuk aku habiskan masa di sini dengan menghayati senibina unik serta mempunyai nilai arkitektur yang cukup tinggi. Gereja besar St. Stephan's Cathedral tersergam kukuh dengan senibina Gothic, masih lagi dalam proses pelihara dan baikpulih.

market in vienna
Aku berjalan menuju sehingga ke kawasan tebing sungai Danube di mana terletak kawasan pasar dan bazaar Naschmarkt yang menjual pelbagai jenis makanan kering dan basah seperti sayur-sayuran, buah-buahan, makanan laut, daging, keju, jem, bunga-bunga segar, cenderamata dan pelbagai lagi. Terdapat juga beberapa buah restoran di sini, dan ada yang berstatus halal yang dikendalikan oleh warga Turki. Aku berhenti makan di Nordsee restaurant yang menghidangkan hanya makanan laut serta sayur-sayuran. Semuanya segar dan di masak di hadapan pengunjung, dengan harga yang sungguh berpatutan. Semangkuk sup makanan laut berperisa seperti tomyam, sepinggan pasta Fettuccine berkrim bersama potongan ikan Salmon dan sebotol air mineral cuma berharga sekitar Euro20.

vienna cafe
Suasana di sepanjang kawasan membeli-belah Mariahilfer Strasse amat meriah dengan para pengunjung dari pelbagai bangsa dan gaya. Dekorasi di sepanjang jalan utama Vienna ini juga tidak kurang hebatnya menambah seri sambutan Krismas yang bakal tiba. Pelbagai jenis butik terdapat di sini dan diselang-seli dengan deretan restoran serta cafe. Paling menarik ialah kedai-kedai yang menjual pelbagai jenis cokelat Vienesse bermutu tinggi, dengan pelbagai jenama, bentuk dan rasa. Selain dari cokelat, Vienna juga terkenal dengan produk kopi 'Vienesse' yang mempunyai campuran kopi unik dan rasa yang tidak begitu pahit. Aku berkesempatan mencuba beberapa cafe yang menghidangkan Vienesse coffee serta pastri asli Austria. Café Hawelka yang terletak di Dorotheergasse tidak jauh dari Stephanplatz merupakan sebuah warung kopi tradisional terkenal yang telah lama bertapak di kota ini. Karel Kolar seorang warga Czech yang aku kenali telah memperkenalkan cafe ini semasa aku ke Vienna.

gardens in vienna
Beberapa hari seterusnya, aku meneruskan jelajah kota Vienna dengan mengunjungi ke beberapa buah tempat menarik lain seperti muzium, opera house, taman-taman terkenal seperti Rathauspark, Volksgarten dan Burggarten. Aku juga sempat berkunjung ke sebuah bath house yang terkenal di sini, yang telah berusia hampir seratus tahun. Sebuah bath house yang dibina khas untuk golongan bangsawan ketika itu dan pada sekitar tahun 1940'an bayaran sekali masuk ke tempat ini ialah 500 shillings atau Euro5000 pada nilai hari ini! Memang cantik dan sungguh menarik dekorasi di dalam tempat ini, terserlah kemewahannya dengan tiang-tiang Roman di sekitar kolam mandi, seramik bermotif unik dari Turki, marmar Itali di setiap dinding dan lantai, candelier kristal dari Czech dan Jerman, permaidani dari Parsi dan pelbagai ornament menarik dari serata dunia. Yang lebih mengkagumkan ialah bangunan 3 tingkat ini terletak di bawah aras jalan, 3 tingkat ke bawah!

vienna
Malam terakhir aku di Vienna, dibawa berjalan oleh Karel yang kebetulan sedang dalam rangka business trip ke Vienna. Dia telah banyak kali ke sini atas urusan kerja dan sangat arif dengan selok-belok kota ini. Pelbagai topik kami bualkan dan topik paling hangat ialah mengenai agama serta politik. Banyak perkara tentang Islam yang beliau dengar dan hampir semuanya tidak tepat dan terpesong. Namun beliau sangat kagum dengan Malaysia serta Tun Dr. Mahathir. Beberapa cangkir kopi Vienesse telah aku habiskan sambil bercerita hingga lewat malam, termasuklah hal-hal peribadi, apatah lagi beliau yang baru sahaja bergelar duda. Usia kami yang hampir sebaya menjadikan perbualan di Vienna itu sungguh menarik, terbuka dan sedikit sebanyak membuat aku berfikir tentang perlunya (baca: wajib) setiap dari kita mempunyai ilmu dan maklumat tepat dalam banyak perkara, terutamanya tentang agama yang kita anuti.
 DSC_0301
Hari terakhir di Vienna terasa sungguh pantas dengan suhu di luar sekitar 5 darjah Celcius. Seawal pagi aku sudah bersiap sedia untuk meninggalkan kota ini dan menuju ke destinasi seterusnya. Aku menaiki tram yang padat dengan penumpang menuju ke Sudbanhof, stesyen keretapi bagi destinasi ke negara Slovakia dan Hungary. Aku membeli tiket sehala menuju ke ibunegara Slovakia iaitu Bratislava. Sambil menunggu keretapi berlepas, aku duduk dibangku logam yang kejung membeku sambil menikmati kopi Vienesse terakhir di kota ini. Dalam usia sebegini, dengan kudrat dan rezeki yang dikurniai oleh Allah, berjaya juga aku menjejakkan kaki ke kota ternama Vienna, Austria.

11 comments:

Mimie said...

tak pegi "Sound Of Music" city.. Salzburg?

Norae said...

Wow... bestnyaaa....
Lpeas nie nak g mana pulak?.. Can't wait for the next update :-)

NuyuL said...

thanks for sharing!!!thsi morning saw ur post pasal this blog..semangaaatttt turun opis cepat2 n bukak this blog!! heuehuehe.. gambar ur place of stay takde?

Lily Riani said...

i ahve always wanted to visit austria.. hemmm... perhaps next yr or so.

Rush Murad said...

Mimie - tak sempat ke sana... melencong ke tempat lain... :)

Rush Murad said...

Norae - next update will be on Bratislava, Slovakia dan Budapest, Hungary......malasnya nak update. next vacation dah approved by boss... business + vacation = :D

Rush Murad said...

nuyul - terima kasih...harap2 entri ni tak mengecewakan... pic tempat stay tu ada dalam fb rasanya...

Rush Murad said...

Lily - pray u will setting ur foot on Vienna... beautiful place indeed... i shud have stayed longer :D

Hajah Zainab bt Abdullah said...

bestnyer....mama tumpang gembira melihat gambar2 yang cantik menawan tu..

Anonymous said...

Nice pictures..do you mind to share with me your camera model and also what type of lens you use during the visit? Thank you.

Mimie said...

Xpe...i thought i could read your own version of Salzburg...next time perhaps?
Save the best for last..rite?