Wednesday, June 22, 2011

My Sister's Wedding: We painted the place RED!

rush & anita
Aku pulang ke Malaysia pada kali ini semata-mata untuk menghadirkan diri di majlis perkahwinan adik perempuan Siti Baizurah dan pasangannya Herman. Aku terbang pulang dari Doha sehari setelah tamat percutian di Istanbul, bayangkanlah betapa penat tubuh badan ini. Namun dek kerana perasaan gembira dan teruja ingin pulang bertemu kaum keluarga dan sahabat handai (baca: makanan yang sedap-sedap), rasa penat itu hilang dengan sendirinya. Sangat singkat percutian pulang ke tanahair pada kali ini, kurang lebih 10 hari dan perlu pula dibahagikan antara Johor dan Kuala Lumpur.
kiki9
Pesawat Qatar Airways mendarat tepat pada waktu yang dijadualkan di KLIA, walau waktu perlepasan lewat hampir sejam. Zaimi menjemput di lapangan terbang dan terus aku arahkan untuk berpatah balik ke KL, singgah di Kampung Baru terlebih dahulu untuk menjamu selera masakan Thai. Selesai makan bersama Hafiz dan Darr, kami memandu terus menuju ke selatan. Agak lewat juga kami sampai di Kulai kerana berhenti sebentar di R&R Yong Peng untuk merehatkan badan serta 'bersarapan' Nasi Ambeng dan kopi panas. Dari Yong Peng, giliran aku pula yang memandu, dan hampir waktu subuh baharu kami selamat sampai di Kulai.
akad nikah
Jumaat, 27 May 2011, majlis akad nikah diadakan di Masjid An-Nur, masjid di kawasan perumahan tempat keluarga aku tinggal, hanya sepelaung sahaja jaraknya. Seawal pagi lagi aku, Hafiz, Zaimi dan Anita sudah keluar rumah untuk menyelesaikan beberapa perkara. Pertamanya aku dan Hafiz perlu mencari Baju Melayu warna merah - warna tema majlis. Kami ke Plaza Angsana, di mana terdapat puluhan butik yang menjual pakaian tradisional dan batik, siap dengan aksesori seperti songkok, kain sampin, butang baju, kerongsang, pending dan sebagainya. Setiap kali pulang ke Johor (semenjak dari aku bekerja di Miri), aku pasti singgah di sini untuk mencari 'jajan' makanan kering tradisional untuk di bawa pulang.
DSC01503
Selesai solat Jumaat, rombongan pihak lelaki sudah pun berada di perkarangan masjid. Imam dan jurunikah pun sudah siap sedia cuma menantikan rombongan pihak sebelah perempuan dan tetamu lainnya. Acara Pernikahan Sakinah dijalankan dengan sempurna dan dengan satu lafaz akad sahaja, pasangan sah diijabkabulkan menjadi suami isteri. Ikrar dibaca oleh pengantin lelaki, diikuti oleh pengantin perempuan dan akhirnya oleh ibu pengantin perempuan. Mak membaca ikrar dan pesanan dengan begitu sayu, kadangkala tersekat-sekat kerana menahan sendu. Anak perempuan terakhir yang bernikah dalam keluarga kami. Namun masih ramai anak terunanya yang masih bujang, termasuklah aku!
My creation
Majlis jamuan ringkas diberikan kepada tetamu yang hadir pada petang itu, ringkas sahaja acaranya dan menu makanan juga ala-kampung lengkap dengan ulam-ulaman dan sambal belacan. Sebelah malamnya pula, acara majlis berinai berlangsung selepas waktu Isya'. Alunan berzanji memuji-muji Rasulullah berkumandang di setiap sudut rumah kami, acara 'potong jambul' juga diadakan sekali selain dari majlis khatam Quran. Selesai majlis, tetamu dijamu pula dengan makan malam sambil kumpulan muzik mendendangkan bermacam irama lagu. Diselitkan juga acara memotong kek bersempena dengan hari lahir aku yang jatuh beberapa hari lalu. Ramai juga rakan-rakan sekolah serta teman-teman rapat yang turut hadir.

semua
Sabtu, 28 may 2011, majlis walimatul-urus pun berlangsung di halaman rumah keluarga. Seawal jam 11 pagi sudah ada tetamu yang datang berkunjung dan semakin ramai membanjiri khemah-khemah yang disediakan menjelang waktu makan tengahari. Sebanyak 6 buah khemah didirikan untuk majlis ini, dan semuanya penuh diisi dengan para pengunjung. Suasana menjadi begitu meriah dengan pelbagai ragam tetamu yang hadir, dari dekat mahupun jauh. Aku berkesempatan bertemu dengan jiran-jiran lama yang sudah berpuluh tahun tidak ketemu, begitu juga dengan rakan-rakan sekolah dan guru-guru yang pernah mengajar aku, masing-masing tidak percaya yang berdiri di depan mereka itu adalah aku, bekas rakan dan pelajar mereka (baca: aku lebih kacak sekarang berbanding zaman sekolah). Affandi, pegawai kedutaan Malaysia di Qatar yang pulang bercuti di Kulai juga hadir sama bersama Fendi Derius. Zul Brawi Lee dari Miri dan Malim memandu ke Johor untuk bersama di majlis ini.
My creation
Cuaca pada hari majlis tersebut sungguh baik, tidak terlalu panas kerana ada awan-awanan tebal berarak di atas langit Kulai. Selesai waktu Zohor, rombongan pihak lelaki tiba diiringi paluan kompang dan jadur. Mereka disambut di tengah halaman oleh wakil pihak tuan rumah - maka acara berbalas pantun pun bermula. Berpeluh-peluh juga wakil pihak lelaki ingin membalas pantun serta perlu pula membayar 'tol' sebelum boleh meneruskan langkah. Beberapa orang rakan Mamat turut sama hadir, termasuklah pelawak Yassin yang meminta wakil pihak lelaki menjawab beberapa soalan lucu. Keadaan agak tegang seketika dengan orang ramai meminta wakil pihak lelaki menjawab soalan-soalan tersebut. dipendekkan cerita, wakil memberikan kesemua 'tol' kepada aku sebagai hadiah untuk dikongsi, tol untuk pengantin lelaki bertemu pasangannya di atas pelamin. Acara menepung tawar dan berfoto diteruskan diikuti dengan majlis makan berdamai.

kiki3
Majlis yang sepatutnya selesai sekitar jam 4 petang diteruskan lagi memandangkan masih ada tetamu yang datang berkunjung, ini termasuklah Tarmizi yang sama-sama bertugas di Doha, datang bersama isteri dan mertua. Kumpulan muzik atau live band pula tidak henti-henti memainkan pelbagai lagu dan penyanyinya pula bersilih-ganti. Setelah hampir kesemua pengunjung telah bersurai, beberapa orang ahli keluarga dan sepupu-sepapat mula membuka langkah untuk berpoco-poco pula, disambung dengan joget lambak. Penutup majlis petang itu ialah nyanyian ala-koir oleh semua adik-beradik aku, kami menyanyikan lagu 'Kasih' ditujukan khas buat Mak & Abah kami.
DSC01669
Malam itu, walau dalam kepenatan, aku, Hafiz, Zaimi, Zul, Malim, Affandi dan Fendi memandu menuju ke bandaraya Johor Bahru. Agenda utama ialah untuk melihat kota ini, kerana sebahagian dari kami sudah belasan tahun tidak jejak di sini. Tempat pertama dituju ialah Dataran Bandaraya, untuk menikmati 'steamboat', rojak buah, bihun sup gearbox, tauhu bakar dan macam-macam lagi. Setelah itu kami singgah di Pasar Karat dan berjalan di sekitar Segget. Sebelum pulang semula ke Kulai, kami sempat singgah minum di Restoran Banafe, bershisha sambil mendengar persembahan muzik. Aku memang rindukan bandaraya Johor Bahru, walau wajahnya telah banyak berubah namun auranya masih kekal. Tempat jatuh lagi dikenang, inikan pula tempat bermain!
My creation
Tanggal 29 Mei 2011, rombongan kami sudah bersedia untuk acara bertandang ke rumah pihak lelaki. Perjalanan ke rumah pihak lelaki melalui lebuh-raya memakan masa kurang dari 1 jam, terletak di sebuah kampung di daerah Pontian. Majlis di sini juga tidak kurang meriahnya walaupun kami sampai agak terlewat. Kami disambut dengan paluan kompang, manakala pasangan pengantin disambut dengan pencak silat sebelum melangkah masuk ke rumah. Acara bersanding diadakan, dan Hafiz pula menjadi pengapit pengantin lelaki secara 'bidan terjun'. Setelah acara merenjis dan makan berdamai, rombongan kami meminta izin untuk beransur pulang, kecuali pengantin perempuan yang ditinggalkan bersama keluarga pihak lelaki. Alhamdulillah, selesai sudah majlis perkahwinan yang berjalan dengan lancar dan sempurna. Mudah-mudahan Allah memberkati perkahwinan ini, diberikan rahmat dan dipenuhi dengan kasih-sayang. Semoga mereka tabah, sabar dan cekal dalam melayari bahtera kehidupan berkeluarga, dan sentiasa beroleh kejayaan di dunia dan akhirat.



4 comments:

ckLah said...

Assalam Rush...
Selamat pengantin baru buat adik mu. Tahniah....



Tahniah juga buat adik Mamat atas kejayaan Sepah.

Janggel said...

Merahnya! Rasanya tak terlambat nak wish selamat pengantin baru kepada adiknya. Semoga bahagia hingga ke akhir hayat.

cityiklan said...

merah itu indah..
merah itu saga
merah itu bergaya..banyaknya merah :)

Harap X mengganggu sangat lah ye..
pertama kali datang blog ni

Anonymous said...

Anita u ur sis ke? Dia sama badge dengan i ;)

Hana