Monday, December 26, 2011

Dreaming 'The City of Dreams' in Vienna.

DSC_0451
Dalam kedinginan musim sejuk, aku bingkas dari tempat tidur agak awal pada pagi hari Ahad 6 November 2011 itu, walau sehari sebelumnya aku keletihan berkelana seharian di kota Plovdiv. Sisa-sisa waktu beberapa jam di kota Sofia, Bulgaria aku habiskan dengan mencari pelbagai cenderamata dan mengunjungi mana-mana tempat menarik yang masih belum dilawati. Lewat petang baru aku dijemput untuk dihantar ke  Letishte Sofia-Vrazhdebna yang jaraknya hanya 5km dari pusat kotaraya Sofia. Aku menaiki pesawat Niki menuju ke Vienna, yang memakan masa sekitar 2 jam setengah. Aku sampai di Vienna International Airport di Schwechat tepat pada waktunya, dan aku langsung mencari shuttle bus menuju ke tengah-tengah kota Vienna yang terletak sekitar 18km. Dari situ aku terpaksa pula berjalan kaki menuju ke hotel dengan berpandukan peta dan nota yang diberi. Aku mundar-mandir beberapa minit untuk menyesuaikan orentasi dan keadaan sekeliling yang agak kelam serta sejuk.

DSC02638
Selesai menguruskan hal daftar masuk ke Hotel & Guesthouse Kaiser 23, aku berehat sebentar sambil memerhatikan dekorasi di dalam hotel yang agak berlainan dan unik ini. Mengenai hotel ini, ianya merupakan sebuah chapel atau biara penganut Kristian yang telah diubah suai menjadi tempat penginapan kepada pelancong dalam dan luar negara. Namun rekahias serta fungsi biara ini masih dikekalkan, manakala bilik penginapan aku betul-betul terletak di sebelah bilik chapel atau ruang sembahyang. Selesai membersihkan diri ala kadar, aku cuba keluar menuju ke pusat bandar dengan berjalan kaki walau ketika itu jam sudah menunjukkan pukul 11 malam. Agak sunyi sepi sekitar jalan utama Mariahilfer Strasse ini, manakala semua kedai sudah pun menghentikan operasi kecuali beberapa buah kafe dan pub. Aku berjalan dalam samar malam, cuaca sejuk yang menyegarkan serta keheningan waktu tengah malam di kota Vienna.

DSC02601
Terlewat aku bangkit untuk mengambil sarapan pagi, namum minuman panas sentiasa tersedia untuk para tetamu. Kopi pekat yang dicampur susu segar sudah cukup untuk aku mengalas perut pagi itu. Aku tidak mempunyai itinenari khusus di kota Vienna yang dihuni oleh seramai 1.72 juta manusia ini. Semuanya aku berpandukan kepada brosur-brosur yang terdapat di kaunter penyambut tetamu hotel dan bertanya kepada petugas yang ada. Ringkas dan mudah semuanya, samada memilih untuk berjalan kaki, atau membeli kupon pengangkutan yang diintegrasi dengan semua jenis pengangkutan yang ada serta diskaun ke Muzium serta beberapa Opera serta restoran. Sistem pengangkutan di sini sungguh efisien dan pelbagai, mudah digunakan serta meliputi kawasan yang cukup luas. Pada tahun 2001, kota Vienna ini diangkat sebagai salah satu UNESCO World Heritage Site.

DSC02626
Aku mencuba menaiki Metro dari Westbanhof, destinasi pertama ialah Stephenplatz, yang merupakan titik mula atau starting point jelajah kota Vienna. Di sekitar Stephanplatz ini terdapat pelbagai bangunan bersejarah yang sungguh menarik, antaranya ialah Haas House, Burgtheater, Anchor Clock, Spanish Riding School, Hofburg Palace dan lain-lain bangunan bersejarah  dengan hanya berjalan kaki sahaja. Museumsquartier yang merupakan antara kompleks kebudayaan terbesar di dunia juga terletak berhampiran kawasan ini. Sehari suntuk aku habiskan masa di sini dengan menghayati senibina unik serta mempunyai nilai arkitektur yang cukup tinggi. Gereja besar St. Stephan's Cathedral tersergam kukuh dengan senibina Gothic, masih lagi dalam proses pelihara dan baikpulih.

market in vienna
Aku berjalan menuju sehingga ke kawasan tebing sungai Danube di mana terletak kawasan pasar dan bazaar Naschmarkt yang menjual pelbagai jenis makanan kering dan basah seperti sayur-sayuran, buah-buahan, makanan laut, daging, keju, jem, bunga-bunga segar, cenderamata dan pelbagai lagi. Terdapat juga beberapa buah restoran di sini, dan ada yang berstatus halal yang dikendalikan oleh warga Turki. Aku berhenti makan di Nordsee restaurant yang menghidangkan hanya makanan laut serta sayur-sayuran. Semuanya segar dan di masak di hadapan pengunjung, dengan harga yang sungguh berpatutan. Semangkuk sup makanan laut berperisa seperti tomyam, sepinggan pasta Fettuccine berkrim bersama potongan ikan Salmon dan sebotol air mineral cuma berharga sekitar Euro20.

vienna cafe
Suasana di sepanjang kawasan membeli-belah Mariahilfer Strasse amat meriah dengan para pengunjung dari pelbagai bangsa dan gaya. Dekorasi di sepanjang jalan utama Vienna ini juga tidak kurang hebatnya menambah seri sambutan Krismas yang bakal tiba. Pelbagai jenis butik terdapat di sini dan diselang-seli dengan deretan restoran serta cafe. Paling menarik ialah kedai-kedai yang menjual pelbagai jenis cokelat Vienesse bermutu tinggi, dengan pelbagai jenama, bentuk dan rasa. Selain dari cokelat, Vienna juga terkenal dengan produk kopi 'Vienesse' yang mempunyai campuran kopi unik dan rasa yang tidak begitu pahit. Aku berkesempatan mencuba beberapa cafe yang menghidangkan Vienesse coffee serta pastri asli Austria. Café Hawelka yang terletak di Dorotheergasse tidak jauh dari Stephanplatz merupakan sebuah warung kopi tradisional terkenal yang telah lama bertapak di kota ini. Karel Kolar seorang warga Czech yang aku kenali telah memperkenalkan cafe ini semasa aku ke Vienna.

gardens in vienna
Beberapa hari seterusnya, aku meneruskan jelajah kota Vienna dengan mengunjungi ke beberapa buah tempat menarik lain seperti muzium, opera house, taman-taman terkenal seperti Rathauspark, Volksgarten dan Burggarten. Aku juga sempat berkunjung ke sebuah bath house yang terkenal di sini, yang telah berusia hampir seratus tahun. Sebuah bath house yang dibina khas untuk golongan bangsawan ketika itu dan pada sekitar tahun 1940'an bayaran sekali masuk ke tempat ini ialah 500 shillings atau Euro5000 pada nilai hari ini! Memang cantik dan sungguh menarik dekorasi di dalam tempat ini, terserlah kemewahannya dengan tiang-tiang Roman di sekitar kolam mandi, seramik bermotif unik dari Turki, marmar Itali di setiap dinding dan lantai, candelier kristal dari Czech dan Jerman, permaidani dari Parsi dan pelbagai ornament menarik dari serata dunia. Yang lebih mengkagumkan ialah bangunan 3 tingkat ini terletak di bawah aras jalan, 3 tingkat ke bawah!

vienna
Malam terakhir aku di Vienna, dibawa berjalan oleh Karel yang kebetulan sedang dalam rangka business trip ke Vienna. Dia telah banyak kali ke sini atas urusan kerja dan sangat arif dengan selok-belok kota ini. Pelbagai topik kami bualkan dan topik paling hangat ialah mengenai agama serta politik. Banyak perkara tentang Islam yang beliau dengar dan hampir semuanya tidak tepat dan terpesong. Namun beliau sangat kagum dengan Malaysia serta Tun Dr. Mahathir. Beberapa cangkir kopi Vienesse telah aku habiskan sambil bercerita hingga lewat malam, termasuklah hal-hal peribadi, apatah lagi beliau yang baru sahaja bergelar duda. Usia kami yang hampir sebaya menjadikan perbualan di Vienna itu sungguh menarik, terbuka dan sedikit sebanyak membuat aku berfikir tentang perlunya (baca: wajib) setiap dari kita mempunyai ilmu dan maklumat tepat dalam banyak perkara, terutamanya tentang agama yang kita anuti.
 DSC_0301
Hari terakhir di Vienna terasa sungguh pantas dengan suhu di luar sekitar 5 darjah Celcius. Seawal pagi aku sudah bersiap sedia untuk meninggalkan kota ini dan menuju ke destinasi seterusnya. Aku menaiki tram yang padat dengan penumpang menuju ke Sudbanhof, stesyen keretapi bagi destinasi ke negara Slovakia dan Hungary. Aku membeli tiket sehala menuju ke ibunegara Slovakia iaitu Bratislava. Sambil menunggu keretapi berlepas, aku duduk dibangku logam yang kejung membeku sambil menikmati kopi Vienesse terakhir di kota ini. Dalam usia sebegini, dengan kudrat dan rezeki yang dikurniai oleh Allah, berjaya juga aku menjejakkan kaki ke kota ternama Vienna, Austria.

Tuesday, December 20, 2011

An Afternoon In Tanjung Puteri.....

Taman Bunga Istana
Ini bukan pemandangan taman bunga di Holland, tetapi di Kebun Bunga Istana, Johor Bahru. Antara aktiviti yang kami lakukan semasa cuti berhari raya beberapa minggu lalu, sementelah Wan Hidayat masih berada di sana. Membawa beliau bersiar-siar melihat keindahan bandaraya Johor Bahru sambil mencuba kamera Sony DSLR-A200 yang baru dibelinya. Pokok bunga Inai Merah yang juga menjadi bunga rasmi Bandaraya Johor Bahru ini, berbunga sepanjang tahun dan ditanam di merata tempat di bandaraya ini. Cuaca petang yang berawan mendung dan sesekali turun hujan gerimis menjadikan suasana petang itu sungguh damai.
Taman Bunga Istana, Johor Bahru
Ini bukan pemandangan di sebuah taman di Okinawa, Jepun. Di belakang Istana Besar Johor, terletak kebun bunga kecil yang berkonsepkan Japanese Garden, terletak di atas bukit menghadap Selat Tebrau. Ianya menjadi tumpuan para penduduk bandaraya ini yang ingin melakukan aktiviti senaman ringan seperti berjogging dan 'brisk walking'. Dari tempat ini juga, boleh kelihatan dengan jelas pulau Singapura dan beberapa bangunan penting di sekitar bandaraya. Di penghujung taman ini menghala ke arah tepian selat, terdapat sebuah 'jetty' lama yang hampir tidak kelihatan lagi - Tangga Duke yang dahulunya merupakan tempat di mana para pembesar mudik ke darat menggunakan sampan dan kapal dari pulau Singapura dan kawasan sekitarnya.
Taman Bunga Istana
Ini bukan pemandangan di sebuah taman 'botanical' di Australia, tetapi di sekitar kawasan Istana Besar Johor Bahru yang juga merupakan sebuah Muzium di-Raja - Muzium Sultan Abu Bakar. Cuaca yang agak redup selepas hujan renyai-renyai menjadikan kawasan sekitar taman tersebut berkabus dan sedikit dingin walau tiada angin bertiup sepoi bahasa dari Selat Tebrau. Masa beberapa jam yang tinggal sebelum Wan berangkat pulang ke Pahang, dimanfaatkan dengan sebaik mungkin - melawat beberapa mercu tanda bandaraya sambil aku bercerita serba sedikit sejarah bandaraya ini.
Facade of Masjid Sultan Abu Bakar

Ini bukan bangunan Istana di England, tetapi pintu-pintu yang terbina di Masjid Sultan Abu Bakar, masjid negeri yang telah dibina sekitar tahun 1892-1900 ini mengikut ciri-ciri senibina Islam dan Barat Neo-Klasik dimana juruteranya ialah merupakan anak tempatan; Datuk Yahaya Awaludin. Masjid ini dibina di atas sebuah bukit di sepanjang Jalan Skudai-Jalan Sultan Abu Bakar, juga menghadap Selat Tebrau dan bersebelahan dengan Zoo Negeri - antara Zoo tertua di Malaysia dibina pada tahun 1928. Masjid yang boleh memuatkan 2000 jemaah pada satu-satu masa ini, diwarnakan dengan warna putih polos dan atapnya pula berwarna biru, merupakan antara destinasi tarikan utama pelancong asing ke bandaraya ini. Kami menikmati keindahan matahari terbenam dari sini, walau cuaca sedikit mendung tetapi keindahan Selat Tebrau dan Pantai Lido tetap terserlah.
Wan Hidayat
Tidak berapa jauh dari Istana Besar dan di penghujung Taman Bunga Istana, terletak sebuah bangunan lama yang usang dan tidak terjaga - Istana Tengku Zaharah. Pernah menjadi markas tentera Jepun semasa mereka menjajah Malaya, dan kemudian menjadi Sekolah Ugama Bukit Zaharah sebelum ianya didapati tidak selamat dan dibiarkan begitu sahaja sehingga ke hari ini. Nilai senibina klasik dan bermutu tinggi menjadikan bangunan ini tidak jemu dipandang dan pihak yang bertanggungjawab ke atas bangunan ini perlu melakukan sesuatu untuk memuliharanya.
Johor Bahru
Foto besar sebelah kanan; Bangunan Sultan Ibrahim di Bukit Timbalan yang dibina sekitar tahun 1940, menjadi ikon bandaraya Johor Bahru sejak dahulu lagi. Ianya merupakan pejabat pentadbiran Kerajaan Negeri Johor dan terletaknya Pejabat Menteri Besar dan Ketua-ketua Jabatan Kerajaan Negeri. Foto atas kiri; Istana Besar yang juga merupakan Muzium Di-Raja Johor yang dibina pada tahun 1864-1866. Walaupun Sultan Johor tidak lagi bersemayam di Istana ini, acara-cara penting Di-Raja seperti Majlis Perkahwinan Di-Raja, Majlis sambutan Aidilfitri dan sebagainya masih lagi dilangsungkan di sini. Parti UMNO secara rasminya juga telah ditubuhkan di Istana Besar ini pada 11 Mei 1946 dengan Sultan Johor ketika itu bertitah "Umno tidak dilahirkan di tepi jalan tetapi di istana". Foto seterusnya; ini merupakan arca atau pintu gerbang menuju ke Istana Besar berlatarbelakangkan Bangunan Mahkamah Besar Johor yang bercirikan Eropah dan Pejabat Pos Besar bandaraya ini. Foto akhir; antara pemandangan menarik di Taman Bunga Istana.
Semoga entri mengenai Bandaraya Johor Bahru @ Tanjung Puteri ini menggamit para pembaca untuk datang berkunjung ke Negeri Ujung Tanah.......

Monday, November 28, 2011

City of Saint Sofia & Historical Plovdiv in Bulgaria

DSC02386-1
Keputusan untuk melawat kota Sofia di Bulgaria dibuat pada saat-saat terakhir, hanya 2 hari sebelum aku berangkat terbang. Perancangan awal ialah untuk ke Athens, Greece melawat kesan-kesan sejarah peninggalan tamadun Greek yang sungguh terkenal itu. Athens masih lagi bergelumang dengan tunjuk-tunjuk perasaan di jalanraya, kekacauan masih lagi memuncak dan kemarahan rakyatnya diatas kegawatan ekonomi berlanjutan berbulan-bulan malah hingga bertahun lamanya. Walau aku sudahpun membeli tiket penerbangan dari Doha ke Athens, dari Athens ke Vienna pula dan bilik hotel juga sudah ditempah di Athens, terpaksa semuanya aku batalkan. Aku tidak mahu ambil risiko. Bukannya aku tidak adventurous atau penakut, tetapi risiko yang lebih besar menanti di Athens dan juga atas nasihat teman-teman traveller yang masih terperangkap di sana.
DSC02436
Sofia, memang ingin aku lawati sementelah ke Istanbul, Turki beberapa bulan lalu, tetapi terpaksa aku pendamkan dahulu niat itu kerana kesuntukkan masa. Bermain difikiran, alangkah eloknya kalau aku dapat merancang perjalanan menggunakan keretapi dari Istanbul ke Sofia, ke Bucharest, ke Budapest dan seterusnya ke Warsaw dan Krakow di Poland. Mungkin di lain kesempatan dan aku memerlukan perancangan destinasi yang berbeza pula nanti.
DSC02553
Seperti biasa, aku berkelana seorang diri menjelajah kota-kota yang sebelum ini belum pernah aku jejaki. Kali ini aku ke Sofia dan Plovdiv di Bulgaria, negara Eropah Timur pertama yang aku jejaki. Dari Sofia aku akan terbang ke kota 'muzikal' Vienna di Austria, seterusnya singgah di kota lama Bratislava di negara Slovakia dan akhirnya di kotaraya hebat Budapest, Hungary. Entri kali ini akan aku ceritakan pengalaman di Bulgaria, negara Eropah yang masih lagi terkebelakang dari aspek sosio-ekonomi, masih lagi murah untuk para backpackers dan pelancong seperti aku amnya, namun mempunyai banyak 'permata' yang tersembunyi buat para pengunjung.
DSC02375
Penerbangan aku dari Doha menuju ke Budapest, dari Budapest pula aku menaiki pesawat menuju ke Munich, German untuk transit beberapa minit (hanya berlari-lari menjinjit beg galas dari satu pesawat ke pesawat lainnya tanpa perlu masuk ke bangunan terminal) dan seterusnya ke Sofia, ibukota negara Bulgaria. Di lapangan terbang Sofia, seorang jejaka tinggi lampai sudahpun menunggu aku untuk dibawa terus ke hotel di tengah-tengah kota Sofia (sekali lagi luggage aku tidak sampai bersama penerbangan!). Dim Dukov, pemuda warga tempatan yang berkongsi bersama pasangannya menjalankan perniagaan boutique hotel berbintang ini sangat peramah, sambil memandu beliau menerangkan serba-sedikit perihal Sofia, bangunan-bangunan bersejarah dan tips-tips yang berguna. Aku ditempatkan di kamar yang dinamakan Moscow, bersaiz kecil khas untul seorang penghuni, tetapi mempunyai segala kelengkapan serta balkoni yang menghadap ke bahagian dalam courtyard atau taman hotel. Dari balkoni hotel, sayup-sayup kelihatan bangunan-bangunan yang hanya diterangi cahaya dari mentol yang malap, dengan suhu sekitar 10 darjah Celcius dan angin sepoi-sepoi bahasa. Sambil putung rokok di celah-celah jari, aku tersenyum puas sambil berbisik "I'm in Sofia.....Bulgaria!!!".
DSC_0036
Sarapan pagi dihantar ke dalam bilik, ringkas sahaja menunya; sekeping Croissant, sebotol homemade jem strawberry, seketul mentega, secangkir kopi panas dan susu. Cukup buat aku di waktu pagi begini. Berhadapan dengan hotel ini ialah sebuah Synagogue, tempat beribadah orang-orang Yahudi. Bangunan unik ini merupakan Synagogue yang terbesar di kawasan Balkan. Aku melintas sahaja sambil melihat-lihat dari luar. Aku meneruskan jalan tanpa tujuan sebenarnya, melalui kawasan pasar pagi yang menjual pelbagai jenis sayur-sayuran dan buah-buahan, makanan kering dan sebagainya. Dari satu lorong ke satu lorong lainnya, aku teruskan berjalan seolah-olah aku arif tentang daerah di sini. Waktu pagi, aktiviti di sekitar ini berkisar dengan penduduk tempatan yang sibuk menguruskan keperluan seharian, dari membeli-belah di pasar, menghantar anak-anak ke sekolah, berjualan di kaki lima jalan mahupun restoran-restoran kecil yang menjadi tumpuan untuk minum pagi. Suasananya tidak ubah seperti di mana-mana bandar kecil di dunia, waimah di Malaysia sekalipun.
DSC02562
Di sebelah belakang Synagogue, terletak pula Hali Market, atau Central Market, sebuah pasar lama tertutup yang diubahsuai dan diperbaiki. Kemas dan teratur kedai-kedai di dalam bangunan ini, menjual pelbagai macam produk tempatan, dari daging beku dan sosej serta salami, biskut serta kek, buah-buahan, hasil kerjatangan dan pertukangan, makanan serta beberapa buah kafe. Aku duduk sebentar di sebuah kafe Itali, menghirup cafe latte panas berserta sepotong kek sambil mata merayau-rayau memandang keindahan senibina bangunan serta manusia yang lalu-lalang. Indah dan unik! Para peniaga di Hali Market ini juga agak peramah serta mudah memberikan senyuman. Aku dapati, hanya aku satu-satunya 'manusia' dari Asia sepanjang aku berjalan pada hari itu! Sudah tentunya aku mendapat perhatian yang sedikit lebih dari para pelancong yang berambut perang.
DSC_0003
Beberapa hari aku habiskan masa di Sofia, melihat pelbagai bangunan lama yang sungguh menarik. Antaranya sebuah masjid peninggalan Empayar Uthmaniyyah atau Ottoman. Bentuk senibina masjid ini tidak ubah seperti yang kerap dilihat di Turki. Masjid ini melaungkan azan sebanyak 5 kali sehari di tengah-tengah kota Sofia. Aku amat kagum! Masjid ini didirikan di atas tapak sebuah bangunan Roman Bath yang berusia ribuan tahun. Begitu juga dengan kebanyakkan bangunan bersejarah di kota Sofia, didirikan di atas runtuhan bangunan peninggalan zaman Roman beribu tahun lampau, samada mereka sedar mahupun tidak. Kerja-kerja ekskavasi untuk membuat terowong bagi LRT juga dihentikan di beberapa lokasi kerana terjumpa bangunan peninggalan zaman Roman yang tertanam di bawah permukaan bumi Sofia.
DSC02424
Di sekitar Sofia, banyak terdapat bangunan Gereja Orthodox, ada yang berusia hampir seribu tahun lamanya. Senibinanya pula sungguh unik berbanding dengan kawasan Eropah lain, percampuran pelbagai tamaddun seperti Byzantium dan Balkan. Di bandaraya ini juga boleh kelihatan golongan Gypsy, yang merupakan pendatang di sebahagian besar negara Eropah Timur. Mereka telah berada di sini ratusan bahkan ribuan tahun dulu, dan dikatakan mereka ini berasal dari benua India. Memang benar, rupa paras muka dan bentuk badan mereka mirip orang-orang India, kulit yang agak gelap, mata besar dan anak mata yang hitam, rambut sedikit kerinting dan ikal hitam lebat, badan sederhana besar - amat jauh berbeza dengan orang keturunan Eropah.
DSC02415 
Mencari makanan halal di sini juga agak sukar, namun aku sungguh bertuah, dalam kelaparan mencari makanan halal, terserempak pula dengan satu-satunya restoran yang dijamin 100% halal tidak jauh dari tempat penginapan. Makanan ala-Turki dan tukang masak pula boleh berbahasa Arab, dapatlah kami berkomunikasi serba-sedikit. Restoran Bosfor ini kelihatan seperti baru sahaja dibuka dan menghidangkan makanan ala-Mediterranean yang lazat. Terdapat banyak juga kiosk yang menjual Kebab dan aku amat meragui kehalalan makanan mereka.
PLOVDIV
DSC02524
Sehari sebelum aku meninggalkan Sofia, di atas cadangan seorang gadis tempatan Nathalie yang aku jumpa sehari sebelumnya di sebuah kafe unik 4 tingkat, supaya aku pergi melawat ke bandar Plovdiv. Memang benar, Plovdiv sangat cantik, bersih dan mempunyai sebuah perkampungan bersejarah yang juga sebaagian dari World Heritage UNESCO. Di sini dikatakan bermulanya sejarah Bulgaria, pelbagai bangsa kuno sudah mula bertapak di sini semenjak 8 ribu tahun dahulu sehinggalah Kerajaan Uthmaniyyah memerintah beberapa abad lamanya dan akhirnya jatuh semula ke tangan kesatuan pemerintah Bulgaria.
DSC_0077
Plovdiv merupakan kota kedua terbesar di Bulgaria. Untuk ke sana amat mudah, menaiki bas ekspress setiap satu jam berlepas dari terminal pengangkutan yang bersebelahan stesyen keretapi Sofia, atau menaiki keretapi yang memakan masa lebih kurang 4 jam, berbanding bas yang cuma 2 jam setengah. Di kawasan yang telah digazzetkan sebagai kawasan sejarah, terletak pelbagai bangunan yang masih dijaga rapi. Begitu juga dengan kesan runtuhan peninggalan kaum Neolithic yang berusia 6000 Sebelum Masihi. Terdapat perkampungan kaum Yahudi serta sebuah masjid yang agak serupa senibinanya seperti di Sofia. Terdapat juga Roman Amphitheatre yang terletak di atas bukit dan hanya beberapa tahun lepas sahaja ianya dijumpa tertimbus di bawah tanah.
DSC02507
Memang menarik sekali kunjungan di Plovdiv, walaupun singkat tetapi cukup bermakna. Melihat sendiri kesan sejarah di Bulgaria, bagaimana aset sejarah dipelihara dan pulihara dengan baik serta dibangunkan perkampungan tersebut untuk tatapan generasi akan datang. Di sepanjang jalan menuju ke perkampungan tersebut, dibina deretan bangunan moden menjual pelbagai cenderamata, restoran, kafe, butik dan sebagainya. Cukup meriah dengan pelancong yang rata-ratanya warga tempatan. Petang itu aku menghirup udara nyaman dari ruang balkoni tingkat atas sebuah kafe terkenal di sini, secawan latte, sepotong kek red cherries berserta aiskrim vanilla dan sebotol air mineral dari pergunungan berdekatan. Lawatan ke Plovdiv melengkapkan perjalanan aku di negara Bulgaria.
plovdiv bulgria
Plovdiv (Bulgarian: Пловдив) is the second-largest city in Bulgaria, and one of the oldest cities in Europe. It is located in the large plain between the Rhodope Mountains in the south of Bulgaria and the Balkan Range, or Old Mountains (Stara Planina) that runs through the center of Bulgaria. Both ranges are visible on clear days. The Maritsa River flows through the city on its way southeast before forming the Greek/Turkey border to the Aegean Sea. Plovdiv is the oldest continually inhabited city in Europe.

Saturday, October 22, 2011

Italy With Style - A Trip Not To Be Forgotten

DSC_0033
Entri yang 'tergendala' hampir setahun ini akhirnya siap juga walaupun kenangan bercuti bersama Anita dan Ai masih segar dalam ingatan. Rasa seperti baru beberapa bulan lalu kami ke ItalI pada penghujung November 2010, menghabiskan cuti hujung tahun dan cuti Hari Raya Aidiladha. Bagi aku pula, ini merupakan kesinambungan percutian di Sepanyol dan bakinya dihabiskan di Itali bersama mereka. Aku terbang menggunakan pesawat tambang murah Vueling dari Barcelona menuju ke Rome, manakala Anita dan Ai terbang dari Kuala Lumpur dan transit di Doha menggunakan pesawat Qatar Airways. Aku terlebih dahulu telah menyediakan itinerari 10 hari di Itali yang meliputi Rome, Florence, Venice dan akhirnya kota fesyen terkemuka dunia iaitu Milan.
DSC_0148
Aku terbang dari Barcelona di Sepanyol menuju ke kotaraya Rome yang kaya dengan sejarah peradaban beribu tahunnya. Kota Rome juga dikenali dengan nama lain seperti La Città Eterna (The Eternal City). Cuaca pagi itu sungguh sejuk dengan hujan renyai-renyai di lapangan terbang utama Rome - Leonardo da Vinci atau Fiumicino. Anita dan Ai sudah tiba di sana sekitar 2 jam lebih awal dari pesawat aku. Kami berjumpa dan terus menaiki teksi menuju ke Hotel Teti yang terletak tidak jauh dari stesyen keretapi utama Rome iaitu Stazione Termini. Setelah berehat sebentar, kami pun memulakan aktiviti pertama pada hari itu, menuju ke beberapa buah tempat menarik dengan menaiki bas Hop-on-hop-off. Antara tempat-tempat yang kami lawati ialah Colloseum yang terkenal dibina sekitar tahun 70-80 Sebelum Masehi. Kami juga sempat singgah di Vatican City walau dalam keadaan cuaca yang semakin mendung dan hujan rintik-rintik. Sebelah malamnya, hujan turun mencurah-curah dan kami yang sedang berada di sekitar Spanish Steps tiada tempat untuk berteduh dan akhirnya basah lencun dalam kesejukkan.

DSC_0105
Keesokan harinya kami memulakan aktiviti dengan membeli-belah dari Via dei Condotti sehingga jauh menuju ke sebuah kawasan yang dikatakan pusat beli-belah moden terbesar di Rome namun agak kecewa kerana tempat ini tidak ubah seperti Jaya Jusco di Bukit Tinggi dengan tidak banyak barangan berjenama. Kami membeli sepasang kasut kerana menggantikan kasut yang basah seperti direndam dalam perigi! Malamnya kami habiskan masa dengan berjalan di sekitar kawasan hotel, melihat bangunan-bangunan bersejarah dan makan malam di sebuah restoran India Muslim. Salah seorang pekerja di restoran tersebut sempat menegur kami "...mau teh tarik kah? sini ada..." Boleh berbahasa Melayu pekerja India tersebut kerana pernah bekerja di Malaysia sebelum ini. Mencari makanan halal tidak begitu susah, terutamanya di kawasan deretan bangunan lama berdekatan dengan Stazione Termini.
DSC_0284-1
Hari ke-4 kami di Rome, masa untuk meninggalkan kota ini dan menuju ke tengah-tengah bahagian negara Itali iaitu Florence atau Firenze dengan menaiki keretapi laju TrenItalia. Kami menetap di Hotel Lorena yang terletak betul-betul di Piazza Madonna, di tengah-tengah kawasan UNESCO World Heritage. Keadaan di Florence amat tenang, tidak begitu ramai pelancong seperti di Rome, dan banyak terdapat kawasan membeli-belah yang menjual pelbagai barangan kulit hasil kerjatangan penduduk tempatan. Beberapa jenama fesyen terkenal berasal dari kota ini seperti Ferragamo dan Gucci. Seluruh kawasan di sini mempunyai sejarah yang tersendiri sejak beribu tahun dulu, termasuklah jambatan yang merentangi Sungai Arno - Ponte Vecchio, Piazzale Michelangelo, dome Brunelleschi dan banyak lagi.
DSC_0352
Florence merupakan ibukota bagi wilayah Tuscany/Toscana, di mana terletaknya lokasi menara condong Pisa yang amat terkenal itu yang didirikan oleh Galileo Galilee pada tahun 1173. Kami ke sana dengan menaiki keretapi dari Florence, sejauh lebih kurang 2 jam perjalanan. Kami bertolak agak lewat menghampiri tengahari dan kami mempunyai masa sekitar 2-3 jam sahaja sebelum menaiki bas dan kemudian keretapi terakhir dari Pisa menuju ke Florence. Hasrat utama kami untuk sampai dan melihat menara condong Pisa dari dekat terlaksana juga. Sesampai kami di Florence, aktiviti membeli-belah barangan kulit pun bermula dan malam itu kami menjamu selera dengan makanan laut yang dimasak dengan style khusus Firenze. Kami cuma menghabiskan masa selama 2 malam di Florence dengan menyusuri jalan-jalan kecil berturap dan berbatu cobbler serta mengunjungi bangunan-bangunan bersejarah yang unik dan menarik.

DSC_0552
Seawal pagi kami sudah meninggalkan Florence menuju ke Venice. Aku sudah ke Venice sebelum ini, kali terakhir sekitar 15 tahun lampau. Masih teringat ketika itu aku berkelana sendirian di Venice, memberanikan diri melihat dunia dan merasai keunikan 'dunia lama' yang amat terkenal itu. Tidak banyak bezanya Venice jika dibandingkan 15 tahun dulu, Villa Martha yang pernah aku diami dulu masih di situ, jambatan-jambatan kecil berjumlah sekitar 400 buah masih terpelihara dan bangunan-bangunan pelbagai bentuk penuh sejarah serta unik masih berdiri megah muncul di celah-celah terusan yang beratus jumlahnya. Dari stesyen keretapi Santa Lucia, kami mengheret beg-beg besar kami menuju ke jeti untuk mengambil vaporetti - pengangkutan utama di sini, bot berenjin yang berfungsi sebagai teksi laut.

DSC_0809Vaporetti membawa kami menyusuri terusan dan berhenti di beberapa lokasi sebelum sampai di jeti San Toma. Kami menuju ke Happy Venice B&B yang terletak di celah-celah bangunan yang amat menggelirukan namun lokasinya amat strategik. Wanita tua yang mahu dipanggil Gina dan berumur lebih separuh abad menyambut kami dalam bahasa Itali dengan begitu peramah sekali, seolah-olah kami faham setiap butir bicaranya. Aku yang faham bahasa Itali sedikit-sedikit memudahkan urusan daftar masuk dan sebagainya. Rumah sederhana besar ini menjadi 'kepunyaan' kami sepanjang berada di Venice, di dapur sudah tersedia pelbagai jenis biskut dan roti serta minuman. Bersih, kemas dan cantik susunan rumah 3 bilik ini. Bilik utama betul-betul menghadap ke terusan yang agak sibuk dengan lalu-lalang vaporetti dan bot serta sampan kecil.

DSC_0525

Venice dinaiki air pasang besar (Acqua Alta) sehingga mencecah parah lutut, maka didirikan pelantar-pelantar atau landasan seperti 'catwalk' di sepanjang lorong-lorong di sini. Kami menuju ke Piazza San Marco yang masih digenangi air dengan hujan yang semakin lebat. Lalu kami memutuskan untuk minum petang di Caffe Florian  - Caffè alla Venezia trionfante yang sudah beroperasi beratus-ratus tahun lamanya sambil didendangkan alunan muzik biola dan piano (ianya merupakan coffee house yang pertama di Eropah dibina pada 1720) - kopi panas ala-Venetian, 2 cawan coklat pekat panas, 2 keping sandwich udang dan sekeping kek yang dihidangkan di atas dulang perak berkilau, semuanya berharga sekitar RM400, namun berbaloi. Sehingga hari ini Anita dan Ai tidak dapat melupakan kelazatan cokelat panas tersebut!

DSC_0555
Keesokannya kami menaiki Gondola yang agak mahal harganya bagi perjalanan sekitar 15-20 minit melalui terusan dan merentasi Jambatan Rialto melalui Grand Canal. Cuaca pada hari ke-2 amat baik dan sesuai untuk berjalan kaki sekitar Venice. Selain dari makanan laut, kami juga mengalas perut dengan kebab halal yang dijual oleh warga Turki tidak jauh dari tempat penginapan kami. Selain itu, kek, pastri, cokelat dan pelbagai jenis roti juga mudah didapati dengan harga yang sungguh berpatutan serta enak. Ahad, 28 November 2010, kami menuju ke Milan dengan menaiki keretapi laju kelas pertama yang mengambil masa sekitar  2 jam melalui kawasan berbukit-bukau dan perkampungan tradisional yang suram dek kerana musim sejuk yang baru menjelma serta awan-awanan yang masih mendung. Rata-rata penumpang coach ini merupakan ahli perniagaan tempatan dan golongan kelas pertengahan yang berulang-alik Venice-Milan.

DSC_0631
Setiba kami di stesyen keretapi utama Milan - Milano Centrale, kami terus menuju keluar dan mencari teksi terus ke Comfort Hotel & Suites Pasteur yang terletak di sekitar kawasan perumahan Pasteur namun mudah untuk ke serata tempat kerana perkhidmatan keretapi bawah tanah tersedia dalam jarak 100 meter dari pintu hotel. Setelah berehat sebentar, kami menuju ke Il Duomo (Milan's main cathedral, a massive late Gothic church (started in 1386) in white marble, with hundreds of spires and thousands of statues on its exterior and a famous façade) yang terkenal dek kerana senibina Gothic. Sekali lagi kenangan berada di Milan 15 tahun dulu menjelma, aku berada di situ dengan beberapa orang pelajar tempatan bergambar mesra dan berkenalan. Dan tidak lupa juga apabila aku sesat di dalam kegelapan malam semasa pertama kali menjejak kaki di sini dan terpaksa bermalam di 'pension' murah yang seakan tempat penginapan Dracula!

DSC_0610
Kali ini aku ke Milan dengan stylo-mylo, datang ke sini semata-mata untuk membeli-belah, dari bangunan bersejarah Galleria Vittorio Emanuele, La Rinascente, Via Montenapoleone sehinggalah ke Via Serravalle Scrivia yang terletak beberapa jam jauhnya dan memerlukan sehari suntuk untuk berbelanja. Aku keluar masuk beberapa kali di butik Gucci dan Ralph Laurent, Anita pula ke butik Salvatorre Ferragamo kegemarannya, Ai pula tidak sudah-sudah dengan pelbagai jenis sepatu pelbagai jenama dan hampir semua butik di sepanjang Via Montenapoleone kami terjah beberapa kali!
DSC_0618
Aku punyai kenalan baru di sini, wanita warga Malaysia yang sudah beberapa tahun menjadi penghuni Milan. Fairuz yang kecil molek ini sangat peramah dan ceria orangnya sewaktu kami bertemu di Via Montenapoleone. Beliau membawa kami ke beberapa tempat membeli-belah dan sempat menghirup kopi Itali bersama-sama sambil bercerita. Keesokkan harinya beliau membekalkan kami dengan nasi putih berlaukan sambal tumis ikan bilis, sungguh sedap dan nikmat lebih-lebih lagi setelah lebih 2 minggu aku di Eropah. Anita dan Ai pula tidak cukup-cukup membeli-belah di butik-butik terkenal di sini, dari beg tangan, kasut, pakaian dan aksesori. Harga di sini lebih murah dan lebih banyak pilihan berbanding di Malaysia. Kami juga sempat menonton persembahan classical music dan makan malam bersama dengan Fairuz dan teman lelakinya warga tempatan. Sewaktu kami hendak meninggalkan hotel di Milan pada awal paginya, salji turun dengan agak lebat dan kami pula teruja untuk bermain salji seperti anak-anak kecil.

DSC_0705
Alhamdulillah, perjalanan kami selama 10 hari di Itali berjalan dengan lancar dan selamat. Terpancar di wajah Anita dan Ai keseronokkan bercuti bersama aku kali ini. Apa tidaknya, selain aktiviti membeli-belah dan sightseeing, mereka juga aku bawa menjamu selera di beberapa buah restoran yang bagus dan menghidangkan makanan asli Itali. Walau keadaan awal musim sejuk membawa hujan yang agak lebat di Itali, namun ianya tidak menghalang kami untuk memenuhi itinerari atau perancangan rapi yang telah sedia dibuat. Dari Malpensa, Milan kami terbang menuju ke Doha dengan seribu-satu kenangan yang sebahagian besarnya tidak tergambar di blog Tepak Sireh ini.









Monday, September 19, 2011

LOVE Phuket!...Again and Again and Again.....

DSC_0215
Ini merupakan kali ke 4 aku bercuti di Phuket yang terletak di selatan negara Gajah Putih,Thailand. Bukan perancangan asal sebenarnya bercuti di Phuket, tetapi disebabkan beberapa faktor seperti musim monsoon yang membawa hujan lebat dan taufan di Boracay, Phillipines dan semenanjung Vietnam, aku menukar destinasi di saat-saat akhir. Tersenarai juga Sri Lanka sebagai salah sebuah destinasi berpotensi untuk aku pergi bercuti tetapi memandangkan aku hanya ingin bersantai dan bukan ingin menjelajah, maka sekali lagi Phuket menjadi pilihan terbaik. Aku agak arif dengan selok-belok di Phuket dan walaupun ramalan cuaca mengatakan ini bukan musim terbaik ke sana, aku teruskan sahaja rancangan dan pilihan aku memang tepat, cuaca di Phuket amat baik sekali, hujan cuma turun sekali-sekala pada lewat malam atau lewat pagi. Sepanjang siangharinya cuaca panas tropika membuatkan segala aktiviti di pantai mahupun laut berjalan dengan lancar.

DSC_0003
Apa yang aku suka mengenai Phuket? Jawapan tepat yang boleh aku beri ialah 'semuanya'! Phuket ada semua yang aku gemari; makanan yang sedap dan murah, tempat penginapan yang pelbagai pilihan dari murah sehingga mahal, barangan kraftangan yang unik, pantai-pantai yang bersih dan luas, pulau-pulau persekitaran yang masih terjaga rapi, aktiviti malam seperti pertunjukkan kebudayaan dan pentas serta kemeriahan sepanjang Jalan Bangla dan Rit-200. Penduduk di Phuket seperti lazimnya di kebanyakkan daerah di Thailand amat peramah, sopan dan mudah untuk didekati.

DSC_0076
Mencari makanan halal di Phuket tidaklah begitu sukar tetapi perlu tahu lokasi-lokasi tertentu. Tidak jauh dari Jungceylon Mall, ada sederetan restoran Arab yang menjual pelbagai makanan dari Timur Tengah dan tempatan, di sini harganya agak mahal tetapi mudah untuk di cari. tempat kegemaran aku ialah di Kusuma Restoran, makanan Thai-Malaysia. kalau mahu ke sini, keluar sahaja dari Jungceylon Mall, terus menyusur jalan ke arah kanan sekitar 1 batu (tetapi tidak terasa jauh kerana banyak kedai-kedai beraneka di sepanjang jalan). Perhatikan perkataan Kusuma dan bendera Malaysia serta Thailand yang dipasang di depan restoran terbuka itu. Makanan di sini amat sedap, berkualiti serta sangat berpatutan.

DSC_0114
Selain dari Kusuma, aku juga gemar membeli makanan tengahari di sebuah gerai makan 'bergerak' yang berada tidak jauh dari Hotel Impiana di pantai Patong. Kalau dari Bangla Street, keluar menuju ke arah pantai, jalan terus ke arah kanan. Pergi waktu tengahari sekitar pukul 12 sehingga 2 petang. Nasi putih berserta lauk-pauk yang diletakkan dalam periuk-periuk belanga besar di usung dengan kenderaan kecil. Dua orang wanita Muslim bertudung menjual makanan ini amat peramah dan boleh berbahasa Inggeris. Makan tengahari dengan pelbagai lauk-pauk untuk 6 orang cuma sekitar RM35 sahaja. Selain dari itu, ada juga gerai-gerai di tepian pantai menjual makanan lauk yang dibakar, sepanjang pantai menuju ke Kemala dari arah Patong. Cuba menaiki motosikal atau kereta ke sini, dan jelas kelihatan wanita-wanita bertudung berjualan di sekitar kawasan ini.

DSC_0002
Banyak barangan kraftangan dijual di sini, datang dari setiap pelusuk negara Thai. Walau di Phuket harganya agak sedikit mahal dari Bangkok, namun masih berbaloi lebih-lebih lagi kalau pandai tawar-menawar. Apa yang boleh dibeli di sini? Banyak! terpulang kepada minat dan citarasa masing-masin. Ada yang membeli barangan tiruan dari jenama terkenal seperti pakaian, beg tangan, kasut, topi dan sebagainya. Barangan ukiran dari kayu, buluh, rotan serta seramik juga banyak pilihan di sini, dan unik kepada negara Thai. Barangan penjagaan peribadi dari Spa juga banyak dijual memandangkan Thailand memang antara negara pengeluar produk herba terkenal di dunia. Apa yang aku beli? Adalah sedikit ole-ole untuk diri sendiri seperti sebuah ukiran daun-daunan dan burung serindit di atas panel kayu jati Thai. Tidak ketinggalan aku juga membeli beberapa produk herba Spa serta sedikit cenderahati kraftangan.

DSC_0084
Kalau ke Phuket tidak lengkap sekiranya tidak mencuba Spa yang banyak terdapat di merata ceruk pekan ini. Spa professional mahupun rumah-rumah urut serta pondok-pondok yang banyak di sepanjang jalan menyediakan pelbagai perkhidmatan Spa seperti mandi lulur, pelbagai jenis urut, mandi wap, aromatheraphy, bodyscrub, Fish Spa dan sebagainya. Kali ini aku mencuba Fish Spa, kaki diletakkan di dalam akuarium kecil yang mengandungi sejenis ikan bersaiz kecil yang akan 'menghurungi' bahagian kaki yang mempunyai 'makanan' seperti kulit-kulit lupasan. Agak seronok juga dengan rasa geli-geli digigit oleh ikan-ikan kecil yang seakan kelaparan menghurung di bahagian hujung jari kaki sehingga ke betis. Selain itu aku juga melakukan manicure dan pedicure yang dilakukan dengan cukup cermat dan teliti serta bermutu tinggi manakala Hafiz yang berada di samping aku membuat foot massage dengan menggunakan krim dan minyak herba Thai.

DSC02233
Pastikan anda menonton pertunjukan hebat di Fantasea jika berkunjung ke sini. Sebuah taman tema dengan pertunjukkan hebat pasti memukau para penonton. Di luar auditorium sahaja sudah kelihatan kehebatan pertunjukkan yang akan diadakan selama hampir 2 jam. Taman teman yang sederhana besar ini cukup meriah dengan pelbagai aktiviti dan pertunjukkan. Selain dari Fantasea, pengunjung juga boleh menonton pertunjukkan kabaret di Simon Cabaret yang sungguh terkenal itu. Pertunjukkan di sini juga pasti memukau mata setiap penonton dengan kejelitaan penari-penari dan penyanyinya yang terdiri dari golongan pondan atau mak nyah. Tidak cukup dengan itu, di sepanjang Bangla Street terdapat banyak kelab-kelab malam yang menghidangkan penari-penari separa bogel terliuk-lentuk di atas meja sambil membuat pelbagai aksi ghairah. Pilihan aku pula ialah Hard Rock Cafe yang betul-betul terletak di hadapan hotel penginapan kali ini. Persembahan muzik secara live yang bertenaga serta menghiburkan dengan pelbagai lagu 'oldies' serta terkini.

DSC_0197
Menaiki bot bersama pelancong-pelancong lain menuju ke beberapa pulau di sekitar perairan Andaman juga merupakan aktiviti wajib di sini. Pulau wajib singgah ialah Phi Phi Island yang telah banyak berubah wajah semenjak beberapa tahun ianya tersadai setelah dilanda Tsunami. Selain itu aktiviti snorkelling, berenang di lautan biru, diving dan 'bersidai' di tepian pantai juga merupakan aktiviti wajib di sini. Keadaan di Phuket sungguh tenang dan mendamaikan, pantai pasir putih mulus, lautannya yang bersih dan membiru seakan mengajak pengunjung untuk sama-sama bercanda di tepian pantai. Pakej island hopping ini mempunyai beberapa itinerari yng berbeza dan harga yang dikenakan juga tidak begitu mahal. Setiap pakej lengkap dengan kudap-kudapan, makan tengahari, pengangkutan pergi-balik dari hotel ke jeti dan penggunaan peralatan snorkelling.
DSC_0004
Percutian aku sekali lagi ditemani oleh Wan Mohd Zulhafiz dan beberapa hari kemudian Zoul (yang telah beberapa kali ikut serta dalam percutian sebelum ini) berserta sepupu dan rakan-rakan dari Miri. Kami banyak habiskan masa di sekitar pantai Patong, serta di pulau-pulau berdekatan selain dari membeli-belah. Aku tidak pernah bosan untuk mengunjungi Phuket kerana setiap kali ke sini, pasti ada pengalaman yang berbeza walau di tempat yang serupa. Dan percutian selama 6 hari kali ini sungguh santai dan membuatkan aku ingin kembali ke Phuket bila ada kelapangan mendatang.