Friday, December 31, 2010

Re-cap the year 2010 as Rush Murad....

End of Sunset

Betapa pantasnya waktu berlalu, samada kita sedar atau tidak diari kehidupan 2010 akan diakhiri, dengan pelbagai cerita dan peristiwa yang pastinya tercatit sebagai nostalgia untuk kita kenang-kenang di kemudian hari. Entri khas kali ini cuba untuk menyingkap semula sebahagian rentetan perjalananku sepanjang tahun 2010. Tanggal 1 Januari 2010, datang dengan seribu pengharapan baru namun peristiwa silam 1 Januari 2009 segera menyambar kotak ingatan. Ianya menjadi satu teladan dalam menilai sikap dan sifat manusia, membuka ruang lebih luas untuk bermuhasabah diri dan akur dengan qada' dan qadar Illahi. Kerana akur serta tawakal akan qada' dan qadar Illahi inilah juga yang akan mencorakkan perjalanan hidup aku sepanjang 2010, yang pastinya berlaku jauh dari luar jangkaan dan perkiraan diri sendiri yang amat daif ini.

DSC_0209

Januari - Perasaan 'kebas' itu masih ada dalam hati walau ianya beransur pergi mengikut momentum. Ada perasaan lain yang saban hari rancak diperbualkan - perasaan dan peluang untuk berhijrah ke Kuala Lumpur dek kerana Syarikat akan distruktur semula. Ramai yang gembira, aku pula menaruh harapan yang sangat tinggi untuk di tempatkan di Cyberjaya atau KLCC. Semuanya menanti dengan penuh kesabaran dan terpaksa menunggu beberapa bulan lagi untuk menjadi kenyataan. Perjalanan hebat yang penuh dengan cerita yang berwarna-warni di India mengajar aku untuk menjadi lebih terbuka akan hal-hal yang tidak dirancang, menjadi lebih faham akan cerita-cerita tentang bangsa India yang pelbagai ras sambil menjejaki susur-galur DNA ditubuh badan sendiri. Sambil berdiri di suatu sudut lapangan Taj Mahal, diri berkata "mungkin moyang-moyang pernah sampai ke sini, mungkin pernah berada di sini, mungkin dia juga seperti aku yang datang ke sini hanya untuk menziarahi bangunan hebat ini, mungkin juga pernah bertegur sapa dengan Maharaja Shah Jahan, mungkin juga dia hamba abdi atau peminta sedekah di lorong-lorong hanyir dan sesak di Agra...". Bertemu dengan Ikram si pemandu teksi di Jaipur juga satu kenangan yang terpahat. Aku dibawa bertemu sekumpulan 'militan' di kawasan tersorok, marijuana disedut berkepul-kepul dan terpegun mendengar kemakmuran rakyat Malaysia. Bukan itu sahaja, aku juga dijamu dengan makanan istimewa Jaipur di rumah Ikram sambil melihat wajah seribu cerita dari ibu beliau.

DSC_0830

Februari - Agak gelisah memandangkan nama aku masih tidak tersenarai untuk ke Cyberjaya atau ke mana-mana lokasi lain yang aku pohon, sementelah sebahagian besar (hampir kesemua) rakan-rakan sepejabat telah mengetahui keputusan pengstrukturan semula atau permohonan mereka. Aku sangat bertawakal ketika ini dan aku serahkan kepada takdir, tetapi tetap positif dengan kata hati dan cuba untuk memujuk diri. Buat kali kedua aku melakukan perjalanan darat Miri-Brunei-Sabah, tetapi kali ini tidak ke Kudat. Yakie menjadi peneman aku dalam perjalanan, sambil kami berkonvoi bersama Faizal dan rakan-rakan dari Shell. Ingin ku rakamkan jutaan terima kasih kepada rakan-rakan yang kutemui semasa di sana; Chell, Dr. Shah, Yazeed, Asli dan Ramzi. Aku sentiasa mengintai peluang untuk ke Sabah, terutamanya ke Kota Kinabalu, banyak cerita di sana dan tentunya banyak rasa pernah aku tinggalkan bersama-sama pengunjung dan penghuninya.

DSC_1661

Mac - Pertengahan Mac, aku diberikan tugas khas untuk melaksanakan sebuah projek Information Management di SMDS, Bintulu selama beberapa bulan. Berada di Bintulu pada ketika ini pula memberikan aku suatu ketenangan yang sukar untuk diungkapkan, damai dan semuanya teratur rapi. Terima kasih kepada rakan-rakan di Bintulu terutamanya Saiful Sarwar, Khairulanam, Fifie, Suariani,Tarmizi dan lain-lain. Namun ada peristiwa trajis berlaku di penghujung bulan ini. Suatu pagi, aku memandu dari Bintulu menuju ke Miri, perjalanan yang amat santai dan tenang ini mengambil masa sekitar 2 jam. Namun beberapa kilometer sebelum sampai di bandaraya Miri, kereta yang aku pandu hilang kawalan dengan tiba-tiba dan tanpa sebab. Ketika dalam situasi cemas itu, aku cuba untuk tidak panik sambil mengucapkan "Allahuakbar!!!" beberapa kali, manakala Yakie yang duduk di sebelah aku agak panik tanpa sepatah kata. Kereta sewa Waja yang dipandu berputar menukar arah, masuk ke lorong bertentangan dan dalam sekelip mata terhumban ke dalam parit. Kami merangkak keluar melalui tingkap pemandu, sementara kereta tersebut berkeadaan terbalik dan mengalami kerosakkan yang serius. Maha Suci Allah, kami tidak mengalami kecederaan, aku yakin ini berkat mengamalkan Ayat-ul-Kursi setiap kali memulakan pemanduan.

DSC_1578

April - Salah seorang insan yang paling rapat dengan aku di Miri, Awang Haizul pula melangsungkan perkahwinan dengan pilihan hati Shilla, seorang gadis periang yang berasal dari Brunei. Aku amat berbesar hati kerana diberi tanggungjawab untuk mengacarakan majlis yang gilang-gemilang itu. 16 April, percutian yang telah lama dirancang menuju ke Phuket bersama Yakie, Fizz Zaquan, Malim dan Zoul. Tidak banyak bezanya berbanding yang sebelum ini iaitu sekitar November 2007, cuma orang yang turut serta kali ini lebih ramai dan tentunya lebih meriah, bak kata seorang rakan "...the more, the merrier...". Bercerita tentang status permohonan aku ke Cyberjaya, ianya menjadi semakin samar-samar, tidak tahu mana silapnya, tidak tahu apa perancangan Allah untuk aku. Seorang rakan memberitahu 'Rush, rezeki bukan di tangan manusia, tetapi di tangan Allah...". Aku rakam kemas-kemas nasihat seorang rakan itu, sehinggalah ke saat ini.

DSC_0844

Mei - Bulan kegemaran aku, bulan di mana aku dilahirkan, bulan dimana kerap berlaku perkara-perkara yang menggembirakan dan bulan yang selalunya punya pintu-pintu rezeki yang terbuka buat aku. Memang sukar untuk dijelaskan di sini, tetapi itulah hakikatnya sepanjang aku sudah boleh mengingati peristiwa-peristiwa, Mei dan angka 5 sentiasa aku tunggu-tunggu. 1 Mei, aku terbang dari Miri ke Kuala Lumpur, berhenti sebentar namun sempat pula diwawancara oleh wartawan Kosmo. Kuala Lumpur menuju ke Doha, Qatar bagi menghadirkan diri sesi temuduga pekerjaan dengan sebuah Syarikat gas gergasi dunia. Ini jawapan dan ketentuan dari Allah untuk diri kerdil ini, harapkan ke Cyberjaya, namun nun jauh dibawaNya aku ke bumi Arab, bumi yang sangat hampir dengan makam dan kota kegemaran junjungan besar kita Nabi Muhammad S.A.W. Terima kasih kepada Syafei dan isterinya Hani yang ketika itu sedang sarat mengandung kerana memberikan tips-tips bagus mengenai hidup di Doha. Tanggal 24 Mei, aku terbang dari Miri menuju ke Kuala Lumpur, bertemu rakan-rakan rapat dan tanggal 26 pula aku bersama Mak, Abah, Noreen, Zurah, Linda dan si kecil Sara terbang ke Langkawi. Terlalu lama aku tinggalkan Langkawi, banyak sungguh perubahan namun masih kelihatan beberapa tempat 'permainan' aku dulu. Teringat suatu ketika dulu aku kerap berkunjung ke sini, bertemu dengan Che Bab yang merupakan saudara dan teman. Seluruh Langkawi aku merambu dengan motosikal 'kapchai', ada sekali aku menaiki sampan ke pekan Satun sehingga tersesat ke Phuket yang jauhnya berbelas jam!!!

IMG_7521

Jun - Bersama Yakie, Zoul dan Malim, kami berkunjung ke Universal Studio, Singapura. Memang menarik dan teruja dengan senibina di dalam taman tema ini. Seharian kami menghabiskan masa di sini, walau penat tetap masih tidak puas. Aku pulang semula ke Miri, buat kali terakhir untuk menyelesaikan beberapa perkara penting. 16 Jun merupakan hari terakhir bersama Shell, berbaur perasaan gembira, sedih, duka, dan terkilan. Terima kasih kepada rakan-rakan di Miri dan Brunei (terlalu panjang senarai nama mereka ini, hanya Allah yang dapat balas segala jasa kamu), terima kasih juga kepada Zaliha kerana faham akan situasi aku ( I never meant to make you cry when I told you my stories). 18 Jun, kelam-kabut cuba selesaikan segala hal pindah-randah, bungkus membungkus segala barangan peribadi semuat 1 lori kontena menuju ke Johor Bahru dan kemudiannya ke Doha. Aku tinggalkan Miri dengan kenangan paling indah dalam hidup juga kenangan paling pahit dan memeritkan. Parut yang ditinggalkan cukup dalam sehingga kadang-kala aku kurang pasti jika ianya telah benar-benar sembuh. Pesawat pagi itu terbang langsung menuju ke KLIA, terima kasih buat Nurul, Balqiz, Haizul dan Along kerana menghantar sehingga ke pintu balai berlepas. Aku seakan tidak percaya yang akhirnya aku meninggalkan bandaraya Miri. "Di sini jua memori tercipta, walau seketika terjalin kasih kita, mungkin di sini kita kan terpisah, kenangan bersama tiadaku lupa".

DSC_1059

Julai - Aku memandu turun naik Kuala Lumpur-Johor Bahru beberapa kali, pertamanya untuk menyelesaikan hal berkenaan LHDN dan wang saguhati yang diberikan Syarikat, sambil bertemu dengan rakan-rakan yang 'tenggelam-timbul' untuk bertanya perkhabaran. 15 Julai, aku dan Anita terbang dari Johor Bahru menuju ke Pulau Pinang, bertemu beberapa orang sanak saudara atas seperkara yang maha mustahak ketika itu. Terima kasih kepada sepupu kami Kak Ani yang sempat bawa menjamu Mee Udang Sungai Dua dan mempertemukan kami dengan saudara-mara yang lain. 19 Julai pula aku dan beberapa orang ahli keluarga menuju melalui jalan laut ke Tanjung Balai, Indonesia. Ada beberapa misi sebenarnya kami ke sini, selain mengintai peluang perniagaan. Seawal pagi 24 Julai, kami sekeluarga berkonvoi ke Kuala Lumpur, pertamanya menghantar adik lelaki bongsu si Naim melanjutkan pengajian di sebuah Univeristi tempatan dan keduanya menghantar aku ke KLIA keesokkan harinya. 25 Julai, aku terbang dari Kuala Lumpur menuju ke Doha. Dalam keterujaan membuka lembaran hidup baru di bumi asing, masih terselit perasaan 'sayang' untuk meninggalkan negara tercinta. Aku amat-amat pasrah akan ketentuan ini, fikiran masih tertanya-tanya jika ini pilihan yang terbaik buat aku, apakah aku akan bertemu 'bahagia' di Qatar nanti?......

DSC_0472

Ogos - Orang baru di negara asing, sudah tentulah memerlukan banyak penyesuaian diri dengan persekitaran. Tidak begitu banyak masalah yang aku hadapi dalam bulan pertama di sini, selain cuaca yang sangat panas dan perubahan waktu, semuanya OK. Beberapa hari sebelum kedatangan Ramadhan, aku berpindah dari hotel ke kediaman tetap di Umm-Bab Tower & Residences di tengah-tengah kepesatan kota moden West Bay, Doha. Nikmat Ramadhan di sini memang berbeza, ada ketika aku rasa seperti dilahirkan semula, mungkin juga perasaan itu dinamakan 'rejuvenation' dan bukannya 'rebirth', atau mungkin juga seperti satu sesi 'refreshing'. Dengan kehadiran teman-teman baru di sini, Rizal, Shamsul, Farhan, Feeza, Zaireen, Fairul dan beberapa keluarga Malaysia, menjadikan perasaan rindu akan kampung halaman tidak terasa. Alah bisa, tegal biasa!

DSC_1160

September - Terus-terang aku katakan bahawa tidak terdetik langsung hati ini ingin menyambut Syawal di Malaysia. Perasaan teruja untuk sambut Syawal juga tidak ada bezanya semasa berada di tanahair sendiri, cuma sambutan Syawal kali ini tanpa dikelilingi oleh ahli keluarga, sanak saudara dan rakan-taulan yang lama sudah aku kenali. Tidak kurang meriahnya sambutan Syawal warga Malaysia di sini, semuanya serba lengkap dari berpakaian sehinggalah kepada makanan yang dihidangkan (dan juga lampu lip-lap di rumah Feeza). Aku rindu suasana Syawal di Malaysia? tidak juga, tetapi aku amat rindu suasana menyambut Ramadhan, segala kenangan sedari kecil pasti menggamit perasaan.

DSC_0248

Oktober - Aku semakin serasi berada di Doha, walau baru 3 bulan di sini, namun terasa seperti sudah beberapa tahun menetap dan berkenalan dengan kota dan warganya. Memandangkan aku sudah mempunyai kenderaan sendiri, Volvo S40 yang baru, maka semakin panjang langkah dan semakin jauh perjalanan. Aku memang suka memandu dan pada masa yang sama juga gemar 'meneroka' kawasan-kawasan baru, segenap lorong-lorong, setiap deretan kedai dan kejutan-kejutan yang aku lihat. Semakin ramai kenalan dari pelbagai bangsa juga aku kumpul dalam masa sesingkat ini, rata-rata semuanya memuji Malaysia, memuji rakyatnya dan kerajaan yang mentadbir - bangga menjadi rakyat Malaysia, apatah lagi seorang Melayu Islam di negara multi-etnik yang sedang membangun. Di kesempatan sambutan Syawal juga seperti tahun-tahun sebelumnya, aku menjemput rakan-rakan ke rumah terbuka dan di bulan Oktober ini juga aku menganjurkan acara 'makan-makan' house warming party di kawasan kolam renang Umm-Bab Tower.

DSC_0215

November - November kali ini dinanti-nanti kerana percutian panjang aku akan bermula, 3 minggu lamanya. Sepanyol atau Spain, negara yang sentiasa menduduki carta tertinggi di antara negara-negara yang ingin aku lawati. 13 November aku menjejaki kaki di kota Madrid, dan selama 11 hari aku menjelajah wilayah selatan Andalusia iaitu Seville, Cordoba dan Granada serta kota besar Barcelona di wilayah Catalonia. Dari Barcelona pula, aku terbang menuju ke kota lama Rome di Italy, bercuti bersama Anita dan Ai, dari Rome ke Florence ke Venice dan akhirnya sampai ke kota Milan yang mempunyai sejarah dan kenangan tersendiri buat diri aku. Hampir 15 tahun aku meninggalkan jejak di Milan, dan akhirnya aku muncul semula di depan Il Duomo, masih kemas ingatan aku kali terakhir di sana dulu. Aku cuba mengutip jejak-jejak lama sambil berjalan berseorangan di Piazza IV Novembre berdekatan Centrale Milano, terasa seperti baru beberapa tahun lalu aku di sini, menaiki keretapi berkoc dari sini ke Venice bersama Juneka.

DSC_0631

Disember - 3 Disember, kami meninggalkan Malpensa Airport, Milan dalam 'hujan' salji yang semakin lebat menuju ke Doha, sarat dengan hasil berbelanja dan buahtangan. Kami melancong dari Rome, Florence, Venice dan destinasi terakhir Milan yang banyak nostalgia buat aku. Beberapa hari Anita dan Ai di Doha, ingin melihat sendiri bandaraya ini katanya. Bak kata pepatah "lain padang, lain belalangnya" memang Doha berbeza dengan Johor Bahru mahupun Kuala Lumpur. Mereka cuma berada di sini untuk beberapa hari tetapi sempat pula berkenalan dengan beberapa rakan rapat aku. Terima kasih kepada Diba dan Farhan yang sudi menemani mereka dengan gelak-tawa dan macam-macam cerita ceria. Aku pasti yang Anita akan bercerita tentang kehidupan baru aku yang berbeza di Doha ini kepada kaum keluarga di Malaysia. Pasti Mak dan Abah tidak risau tentang aku di bumi Qatar yang serba baru ini.

Sunset in Bintulu

Hampir 5 tahun di Miri, sebuah bandar kecil di utara Sarawak, kepulauan Borneo, berhijrah ke sebuah negara padang pasir yang kaya raya dengan hasil minyak serta gas, yang semakin makmur serta berlumba-lumba membina bangunan pencakar langit pelbagai bentuk, sememangnya suatu penghijrahan yang memerlukan keazaman dan kekuatan. Dalam masa beberapa minggu sahaja aku memutuskan untuk berhijrah ke sini setelah mendapat peluang yang tidak pernah terlintas di fikiran. Aku yakin, inilah hikmah yang Allah ingin berikan setelah lebih setahun aku menanti dengan penuh kesabaran untuk berpindah ke Kuala Lumpur dan meninggalkan Miri. Namun begitu aku masih mengharapkan hidayah dariNya, kenapa aku di sini dan apa sebenarnya misi penghijrahan ini untuk aku. Disember juga menyaksikan mentari merah Zulhijjah 1431 Hijrah berlabuh, sinar Muharram 1432 Hijrah menjelma. Moga-moga segala amal ibadah kita pada tahun lalu diterimaNya dan kita semakin kuat mengumpul segala kekuatan pada 1432 buat bekalan dikemudian hari.

DSC_0779

23 Disember, aku terbang dari Doha ke Kuala Lumpur, transit beberapa jam di Muscat, Oman. Aku sengaja ingin membuat kejutan kepada kaum keluarga dengan tidak memberitahu tentang percutian balik ke Malaysia. Anita menjemput aku di KLIA langsung memandu pulang ke Kulai. Percutian singkat ini bagi mengubat rindu dengan keluarga, saudara-mara serta teman-teman. Sempat juga aku menziarah keluarga Pak Lang, Mak Ngah dan beberapa teman rapat lain. Sebelum berangkat pulang bercuti di Kuala Lumpur, aku sempat bertemu dengan beberapa rakan sekolah, yang sebahagian dari mereka tidak aku temui hampir 20 tahun lamanya. Alhamdulillah, masing-masing telah berkeluarga dan mempunyai kehidupan yang sempurna. Sempat juga aku habiskan masa sehari suntuk di Singapura seperti kebiasaanya apabila aku pulang bercuti di hujung tahun.

Doha, Qatar

Tirai 2010 aku labuhkan di bandaraya Kuala Lumpur, ibukota tanahair tercinta. Sebahagian ahli keluarga dan rakan rapat sama-sama menyambut tahun baru bersama aku, tiada yang istimewa atau signifikan, hanya makan malam bersama dan menikmati malam indah di Kuala Lumpur sambil berbual-bual merencana sesuatu. Tiada azam baru atau pembaharuan azam lama buat aku kali ini, malas ingin berazam segala, aku hanya mengikut apa yang telah diqada' dan qadar untuk aku oleh Maha Pencipta. Begitu juga dengan keberadaan aku secara tiba-tiba dan yang serba keseorangan dan dalam bermuhasabah diri di Doha ini, sudah tersurat di Luh-Mahfuz sejak azali jua. Aku amat yakin, Allah maha mendengar lagi maha melihat. Sukses buat semua yang mengenali diri ini dan pembaca Tepak Sireh!!!!