Thursday, November 18, 2010

Travelogue: How can I forget Madrid?

DSC_0218

Pesawat QR 69 yang berlepas dari Doha siap sedia untuk mendarat di lapangan terbang Barajas, Madrid setelah terbang hampir 8 jam merentas 3 benua. Aku meninjau keluar dari tingkap pesawat, yang kelihatan hanya kegelapan awal pagi diterangi lampu-lampu jalan. Menjejak kaki buat pertama kali di bumi Sepanyol, walau telah bertahun-tahun aku menyimpan hasrat untuk ke sini. Negara Sepanyol yang sarat dengan sejarah dan kebudayaan tersendiri, bumi yang menyimpan khazanah Islam pernah mekar di seluruh pelosok Eropah, airmata suka-duka kekhalifahan Umayyad dan tersungkurnya kerajaan Islam paling maju dan makmur ketika abad itu. Ikuti perjalanan Tepak Sireh dari kota besar Madrid, Seville, Cordoba, Granada dan seterusnya Barcelona.

DSC_0009

Kota Madrid yang berasal dari nama Mayrit telah diasaskan oleh Muhammad I (852-886) sebagai sebuah kubu pertahanan (al-mudayna). Namun pada 1085 kota ini telah ditawan oleh Alfonso VI of Castilla. Cukup panjang sejarah kota Madrid ini sehinggalah ianya menjadi ibu Negara Sepanyol. Dari Barajas, aku menuju ke tengah-tengah kota Madrid, dengan menaiki Metro yang mengenakan harga €1. Hostel Lauria terletak hanya 2 minit berjalan kaki dari Metro Callao, berhadapan dengan Gran Via, jalan utama kota ini. Selesai mendaftar masuk, aku langsung berjalan kaki meneroka kota ini berpandukan peta dan cadangan dari pihak hotel.

DSC_0149

Di sekitar Gran Via terdapat banyak tempat membeli-belah, terutamanya butik-butik pakaian yang diasaskan di Sepanyol seperti Zara, Cortefeil, Massimo Dutti, Camper, Bimba & Lola, Springfield, Bershka, MANGO, Sfera, Loewe dan banyak lagi. Aku pula memang memerlukan sekurang-kurangnya sepasang jaket, baju, seluar, pakaian dalam, stokin dan sebagainya memandangkan beg pakaian yang aku bawa dari Doha tidak sampai di lapangan terbang Madrid. Kali pertama aku menghadapi situasi ini, namun aku memang tidak panik kerana antara tujuan aku ke Sepanyol selain dari melawat tempat-tempat menarik ialah untuk berbelanja membeli pakaian baru, terutamanya pakaian musim sejuk. Aku juga sempat menuju ke pejabat Qatar Airways untuk menanyakan status bagasi serta mendapatkan wang klaim dari kecuaian mereka. Aku diberikan wang saguhati sebanyak €76 atau $100.

DSC_0056

Selesai membeli-belah, aku meneruskan berjalan, kali ini menuju ke Palacio Real atau Royal Palace, dan bayaran untuk masuk ke sini ialah €8. Setiap kali aku memandang keindahan senibina dan kehalusan ukiran istana ini, hati aku mula berdetik “”Maha Suci Allah yang memberikan manusia akal dan pengetahuan untuk mencipta dan mengukir sebegini indah”. Banyak ukiran-ukiran menarik dan unik serta mengagumkan dipaparkan di dalam istana ini, ada yang bersalut emas dan permata, batu-batan serta mamar mahal dari pelusuk dunia, sutera dan permaidani, barangan kaca, tembaga, porselin semuanya nampak mewah dan menakjubkan. Namun sekali lagi hati aku berdetik “…ini semua hasil dari titik peluh bangsa yang dijajah, negara yang mereka jarah yang diambil kekayaan dari perut bumi negara jajahan, hasil dari korupsi perdagangan berat sebelah dan penipuan…mereka bawa semua ke sini untuk bermegah-megah..”.

DSC_0102

Hari semakin lewat petang, namun cuaca di kota Madrid amat nyaman dan tidak terlalu dingin sekitar 18’C dengan pancaran matahari suram. Kaki ini tidak mahu berhenti berjalan, langsung terus menuju ke Plaza Mayor, antara dataran utama di Madrid. Ramai pelancong di sini, sama ada untuk berehat-rehat untuk minum, membeli-belah atau hanya melihat-lihat gelagat manusia yang ramai lalu-lalang. Dari sini aku menuju ke Puerta de Sol, dataran paling utama di Madrid. Kelihatan begitu ramai manusia di sini, ada beberapa pemuzik jalanan memainkan alunan Maracas yang rancak. Di sini juga terletak ikon kota Madrid, iaitu seekor beruang yang memanjat pohon strawberry . Dataran ini dikelilingi oleh bangunan-bangunan lama yang penuh bersejarah, masih baik dan terjaga rapi.

DSC_0132

Waktu malam di Madrid tidak banyak aktiviti yang boleh dilakukan selain dari menonton persembahan teater, minum-minum di bar atau pub yang puluhan banyaknya, ataupun hanya duduk-duduk di bangku taman yang terang-benderang dengan lampu jalan. Aku berhenti makan malam di sebuah restoran Turki yang menghidangkan makanan halal (dipaparkan sijil halal di premis ini). Kebab daging yang besar dan segelas air nenas, sudah cukup untuk mengalas perut yang kosong ini sehingga keesokkan harinya.

DSC_0066

Hari kedua di Madrid aku banyak habiskan dengan hanya bersiar-siar sekitar Gran Via, Fuencaral sehingga menuju ke Chueca dan Santo Domingo. Aku sambung membeli-belah sambil mencari cenderamata dan beberapa barangan yang dipesan. Dalam pada berjalan-jalan di kaki lima dan lorong-lorong bangunan yang berusia ratusan tahun itu, aku terserempak pula dengan sebuah pasar yang menjual pelbagai jenis barangan keperluan harian seperti buah-buahan, sayur-sayuran, hasil lautan, pakaian, kuih-muih dan biskut, rempah ratus dan pelbagai lagi. Pasar ini sungguh unik, tertutup dan berbumbung, sangat bersih dan tidak berbau busuk atau hanyir. Aku berhenti sebentar untuk menikmati Cappuccino berserta dengan biksut-biskut 'homemade' yang dijual di pasar ini. Banyak mata yang melihat seorang lelaki Asia ini duduk minum di tengah-tengah masyarakat tempatan, agak asing mungkin pada mereka.

DSC_0182

Aku berkenalan dengan dua orang sahabat dari Sepanyol, Cristobal dan Pedro yang tinggal di sekitar kota besar ini. Cristobal yang pernah menuntut di England ini sangat fasih berbahasa Inggeris, maka mudah bagi kami untuk berinteraksi. Rakyat Sepanyol rata-rata tidak fasih berbahasa Inggeris, sangat sukar ingin berkomunikasi, walau di tempat-tempat tumpuan pelancong. Pedro yang bertugas sebagai guru di sekolah menengah sangat teruja ingin tahu tentang Malaysia dan banyak mendengar tentang keindahan Malaysia dan kemajuan yang dicapai. Aku pastinya ketika itu berasa sanggat bangga menjadi warga Malaysia, dan aku jelaskan bukan mudah untuk kami menjadi maju seperti hari ini, banyak halangan dan dugaan perlu ditempuhi. Kami seterusnya makan malam bersama di sebuah restoran India yang menghidangkan makanan India utara seperti Butter Chicken, Lamb Roganjosh, King Prawn Salads, Pilau rice dan bermacam lagi. Satu kepuasan bagi aku kerana dapat menikmati makanan yang sedap lagi halal di tengah kota besar Madrid!

DSC_0208

Hari terakhir di Madrid, aku bangun agak awal untuk menuju ke pasar terbuka atau flea market yang dinamakan El Rastro yang telah berusia ratusan tahun. Pasar ini dibuka hanya pada hari Ahad dari 9 pagi sehingga 2 petang. El Rastro ini sangat besar dan kedudukannya di lorong-lorong bangunan dan berbukit-bukau pula. Pelbagai barangan ada terjual di sini, terutamanya barangan antik dan kraftangan. Aku hanya sempat berada di sini sekitar sejam kerana perlu bergegas ke stesyen keretapi menuju ke destinasi seterusnya pula; kota Seville.

DSC_0079

Madrid, kota Eropah yang berkebudayaan tinggi hasil gabungan pemerintahan Islam sebelumnya dan Kristian. Kini yang tinggal hanya catatan sejarah dan monumen-monumen yang mengingatkan kita akan kewujudan mereka, zaman gemilang dan zaman gelap serta pergolakan rakyat marhain yang menuntut kebebesan. Aku tinggalkan Madrid untuk menuju ke destinasi seterusnya di wilayah Andalusia, selatan negara Sepanyol. Andalusia, pastinya nama ini sangat terkenal dan tersohor, dan pastinya lebih menarik perjalanan aku selepas ini.