Friday, September 24, 2010

A Very Much Malaysian Ramadhan in Doha - 1432 Hijriah.

DSC_0473

Petang hari menyambut Ramadhan tahun ini aku berdua bersama Rizal. Kami bersolat Maghrib di sebuah masjid kecil yang terletak di lorong berdebu dan penuh dengan rumah-rumah kediaman tidak mewah. Walaupun masjid ini agak kecil, tetapi kemudahan di dalamnya serba lengkap, alat pendingin hawa berfungsi dengan baik, hamparan pula masih elok dan empuk, cat di dalamnya kelihatan baru namun tandas dan tempat mengambil wuduk agak menyedihkan. Tidak di jaga dengan baik dan berbau hancing, malah lantainya juga tidak dibersihkan seperti sepatutnya. Islam menganjurkan kebersihan, luar dan dalam, walau di sudut mana dalam tempat tinggal, apatah lagi di tempat beribadat. Selesai Maghrib dan Isya’, jemaah masih tertunggu-tunggu pengumuman puasa. Seperti kata Rizal, ini perkara biasa di sini, pengumuman agak lewat dan perlu menanti ‘isyarat’ dari Arab Saudi.

Ramadhan in Doha 2010

Bersahur di Four Seasons Hotel, lengkap berbaju Melayu dan baju Kurung. Alunan muzik Arab mengiringi juadah pelbagai rasa.

Hari pertama berpuasa, sama sahaja seperti hari-hari lain bekerja, tiada cuti umum di sini, tetapi waktu berkerja disingkatkan. Waktu mula berkerja di RasGas dilewatkan sejam dan waktu pulang pula diawalkan 2 jam. Terlalu pendek rasanya berada di tempat kerja sepanjang bulan ini, tidak banyak yang boleh dilakukan, ramai juga yang mengambil cuti panjang, dan tidak kurang juga yang 'masuk lewat balik awal', bekerja sekitar 4 jam sahaja terutamanya warga tempatan. Aku pula setiap hari seperti ayam berak kapur, tidak cukup tidur, maka sentiasa mengantuk dan menjadi kurang fokus. Pergi kerja dengan muka yang sembab, balik kerja juga muka masih sembab!


Ramadhan in Doha 2010

Majlis iftar di kediaman En. Mahadzir dan Pn. Ju. Meriah dengan makanan yang lazat-lazat dan gurau-senda tetamu.

Ramadhan di Doha agak berbeza berbanding pengalaman semasa di Miri mahupun di kampung halaman di Johor. Di sini, ada beberapa jemputan majlis berbuka puasa di rumah rakan-rakan senegara. Peluang ini aku ambil untuk berkenalan dengan lebih ramai warga Malaysia yang berkerja di sini. Selesai berbuka, kami akan bersolat maghrib bersama, samada di rumah ‘host’ atau di masjid berdekatan. Ada juga yang mengadakan solat terawih beramai-ramai di rumah ‘host’, selesai solat boleh sambung makan semula. Juadah berbuka pula amat pelbagai, maklumlah selain makanan yang disediakan oleh tuan rumah, konsep ‘pot-luck’ pula diamalkan. Maka di kejauhan ini sekalipun, aku masih boleh merasai Laksam, Kuih Cara, Mee Bandung, Ulam-ulaman kampung, Asam Pedas, Kari Ikan, Sambal Belacan, Pecal dan pelbagai kuih-muih serta masakan Melayu.

Ramadhan in Doha 2010

Majlis iftar di Holiday Villa Hotel, kami lengkap berpakaian tradisional Arab tempatan namun juadahnya ala-Malaysia. Juga sambutan hari lahir Yakie pada hari itu, 29 Ogos 2010, Mabrok!!!

Selain berbuka puasa di rumah-rumah rakan senegara Malaysia, aku juga sesekali berbuka puasa di luar, dengan rakan-rakan lain dan kadangkala dengan berkonsep atau tema, untuk kelainan barangkali. Ada sekali kami berpakaian lengkap ala-Arab dengan jubah, abaya dan segala aksesori untuk majlis berbuka puasa di Hotel Holiday Villa. Terselit keseronokkan dalam kelainan apabila sesekali berpakaian seperti orang tempatan. Dan kami juga berpakaian lengkap baju Melayu ke Four Seasons Hotel untuk makan sahur sambil menikmati indah dekorasi di dalam hotel mewah itu. Benar sekali seperti yang diberitakan oleh rakan-rakan yang sudah lama tinggal di sini, acara makan sahur di hotel-hotel atau restoran lebih meriah dan ramai berbanding semasa iftar. Iftar selalunya amat pendek kerana perlu segera mengerjakan solat Isya' dan seterusnya tarawih, manakala sahur boleh bermula selesai tarawih sehinggalah waktu imsa'.

Ramadhan in Doha 2010

Majlis iftar anjuran Malaysian Association of Qatar (MAQ) di sumbangkan oleh sebuah badan amal/NGO Qatar. Penuh informasi dan pertama kali melihat warga Malaysia berkumpul ramai.

Ada beberapa hari aku berbuka puasa di rumah dengan menu yang sungguh ringas; ikan bilis goreng, ikan kering dan nasi putih yang ditaruh kicap. Nikmat tak terhingga, terasa seperti berada di tanahair sendiri. Ada sekali Syafei membawa aku ke rumah seorang Arab tempatan, berbuka puasa ala Qatari. Juadah yang disediakan memang bukan citarasa selera orang Malaysia, namun aku masih boleh menghargai kepelbagaian makanan itu. Syafei pula terkulat-kulat untuk menelan setiap juadah yang disediakan, semuanya tidak serasi.

Ramadhan in Doha 2010

Majlis iftar di kediaman Hj. Ramdzan dan Pn. Melissa. Kami sempat menunaikan solat Tarawih bersama-sama di sini.

Solat tarawih di sini sama juga seperti di Malaysia, ada imam yang membaca surah-surah pendek dengan pantas, ada yang beralun syahdu dengan surah-surah tertentu, ada imam Arab, ada juga yang dari India. Namun kebanyakkan mereka cuma melaksanakan 8 rakaat solat tarawih. Ketika di bulan mulia ini juga, kebanyakkan masjid-masjid mengadakan tadarus Al-Quran, berkumandang dari corong-corong alat pembesar suara ke segenap pelusuk, sehinggakan pasaraya-pasaraya besar juga memutarkan alunan bacaan ayat-ayat suci Al-Quran. Tiada lagu-lagu khusus menyambut Aidilfitri di sini, tiada dendangan lagu Saloma atau P.Ramlee atau Sanisah Huri mahupun Sharifah Aini, maka tiada terasa kemeriahan sambutan menjelang Aidilfitri.

Ramadhan in Doha 2010

Bazar Ramadhan Malaysia kelolaan MAQ. Pelbagai juadah tempatan Melayu dijual di sini, rambang mata!

Sepanjang bulan Ramadhan juga, waktu perniagaan disusun kepada 2 shif, dibuka sebelah pagi sehingga tengahari, kemudian ditutup sementara sehingga selepas waktu Maghrib atau sekitar waktu Isya’. Kecuali pasaraya-pasaraya besar seperti Carrefour, Lulu, Mark & Spencer, Hyatt Plaza dan lain-lain. Selalunya selepas waktu solat tarawih, akan kelihatan berpusu-pusu warga tempatan menyerbu pusat-pusat beli-belah, restoran-restoran serta café-café untuk bersosial, duduk-duduk sambil menghirup kopi dan bershisha atau merokok (walau di kawasan atau café yang dilarang merokok!). Tidak ramai yang membeli-belah pakaian dan kelengkapan rumah atau kuih-muih, biskut dan kek seperti di Malaysia, yang kelihatan di sepanjang Ramadhan ialah mereka lebih banyak membeli-belah bahan-bahan makanan, pelbagai jenis manisan dan jus.

Ramadhan in Doha 2010

Antara kenangan manis di bulan Ramadhan kali ini ialah majlis berbuka puasa dan sahur bersama pemain bolasepak kebangsaan Malaysia di Restoran Sri Kebaya yang dikendalikan oleh seorang wanita Malaysia yang gigih - Sunyta Ali. Pasukan ini bertandang ke Qatar kerana memenuhi jadual perlawanan bersama pasukan dari Oman dan perlawanan persahabatan bersama pasukan tentera Qatar. Aku dijemput oleh Abang Dwan tatkala sedang menjamu selera di sebuah restoran Thai bersama beberapa orang rakan. Aku diminta untuk menjadi fotografer untuk acara-acara yang melibatkan mereka semasa berada di Doha. Aku juga berkesempatan untuk menonton kedua-dua perlawanan tersebut.

DSC_0605

Sebelum menyambut kedatangan Syawal, aku sempat untuk menggunting rambut di sebuah kedai gunting yang terletak di Souq Waqif - sebuah souq terbesar di Qatar - macam-macam ada!

Suatu pengalaman yang berbeza menyambut Ramadhan kali ini, di bumi Qatar yang masih banyak belum aku terokai rahsianya. Perjalanan hidup yang diatur oleh Allah, Yang Maha Bijaksana dan Maha Mengetahui. Aku tawakal dengan segala ketentuanNya, aku redha dengan segala hikmah dan natijahnya. Tidak terlintas di fikiran yang aku akan berada di bumi Arab ini, menyambut Ramadhan dan seterusnya Syawal 1431. Walau apa pun kisahnya, aku sungguh bersyukur dengan nikmat dan peluang yang diberikan olehNya untuk aku bertemu sekali lagi dengan Ramadhan yang penuh barokah.

Nota: Hari ini genap 2 bulan aku berada di Qatar, namun terasa seperti sudah berbulan-bulan lamanya.