Sunday, August 15, 2010

1 day story in Doha, Qatar.

Ahad, 15 Ogos 2010, genap 3 minggu aku berada di bumi Qatar. Walaupun masih terlalu baru di sini, namun aku rasakan seperti sudah lama bermastautin di sini, mungkin kerana persekitarannya yang ‘mesra penghuni’, mungkin sekali kerana hampir setiap malam aku berjumpa rakyat Malaysia yang berkerja di sekitar sini, dan yang pasti aku telah ada beberapa orang rakan yang senasib – orang-orang bujang yang meninggalkan tanahair untuk mengembangkan profession, mencari pengalaman dan mengumpul rezeki.

Berikut ialah catatan hari pertama aku di tempat kerja; 25 Julai 2010, Ras Laffan yang terletak 80km dari bandaraya Doha.
Seawal jam 6.30 pagi aku sudah dijemput dari Movenpick Towesr & Suites menuju ke Doha Golf Club bagi menanti kenderaan khas untuk membawa para pekerja ke Ras Laffan. Setibanya aku di bangunan pentadbiran RasGas, aku dibawa bertemu Penasihat Bahagian Sumber Manusia, Shakeer Hussain. Orangnya tinggi, berjambang dan janggut panjang dan suka berseloroh. Ada beberapa jenaka beliau aku tidak dapat ‘tangkap’ dan mula menjadi terpingga-pingga. Proses seterusnya aku perlu menyerahkan beberapa dokumen kepada seorang lagi pegawai yang sudah agak berusia bernama Awad Hamza. Beliau yang berkulit hitam legam ini, bekerja agak santai, duduk bersandar sambil memegang cawan kopi di tangan. Ringkas berurusan dengan manusia bernama Awad ini “we will call you but don’t expect to be quick’, itu katanya.

DSC_0113

Tempat menunggu bas staff RasGas untuk ke Ras Laffan, terletak di belakang Umm-Bab Tower, West Bay, Doha.

Aku menuju ke kabin-kabin di tengah kawasan plant gas, pejabat rasmi aku. Tiada pohon-pohon menghijau, tiada bunyi-bunyian suara burung, tiada kucing atau anjing lalu-lalang, tiada sungai mengalir, tiada pemandangan bukit-bukau atau sungai atau laut. Yang ada cuma dataran lapang datar padang pasir dengan batu-batu kerikil, berdebu, cuaca panas yang melampau dan sesekali ditiup angin hangat melempar muka. Anne Salonga Garcia menyambut aku di muka pintu kabin, kali kedua aku bertemu beliau, gadis Filipina yang ayu dan lemah-lembut. Seketika kemudian aku bertemu Osama Mohamed, penyelia unit di sini, dan seterusnya berkenalan dengan beberapa orang staff yang akan bertugas bersama aku. Aku di tempatkan sebilik dengan Partha Sohoo, warga India yang seusia dengan aku.

Ada perkara yang menarik di sini, teaboy di sini semuanya memakai uniform seperti pelayan-pelayan di hotel, siap dengan bow-tie dan jaket vest hitam putih. Mereka sungguh cekap, ada seorang yang bernama Suresh berasal dari Sri Lanka, setiap kali bancuh minuman, pasti sangat manis. Aku memberi peringatan kepada beliau supaya jangan bancuh air minuman untuk aku jika masih terlalu manis, aku beri alasan yang aku ada penyakit kencing manis, nauzubillah min zalik.

Makan tengahari di kantin syarikat, aku ditemani rakan sepejabat, Gene Rivera dari Filipina dan Anar Musayev dari Azerbaijan. Staff di sini diberi subsidi makanan, cuma perlu sentuh kad pekerja di kaunter juruwang, dan bayaran dibuat melalui potongan gaji, QR4 sekali makan bagi lebih 40 jenis makanan dan minuman!!!!! Standard makanan di sini amat tinggi, sungguh berkualiti, pelbagai jenis makanan dari Asia Tenggara, India, Arab dan Barat. Salad bar sahaja mempunyai lebih 10 jenis salad, belum lagi peti sejuk yang mengandungi berpuluh jenis minuman. Kaunter Kebab dan Sandwich mempunyai tukang masaknya sendiri, ada pula masakan istimewa Nasi Kambing Ouszi – nasi berempah yang disumbat di dalam perut kambing panggang.

Pulang semula ke pejabat, Gilberto si budak pejabat sedang sibuk memasang PC, telefon dan perkakasan lain di meja aku. Aku juga menyuruh beliau memasang softboard dan menggantikan kerusi yang lebih elok. Aku mula menjenguk ke bilik-bilik lain di unit ini, bertemu semula denga Amir Ghabbur yang berbadan besar berasal dari Mesir. Dia pula memperkenalkan aku kepada seorang lagi warga Mesir, George Elias yang murah dengan senyuman tetapi agak sukar untuk aku fahami tuturkatanya (mungkin kerana itu dia lebih suka tersenyum).
Selesai tugas untuk hari pertama, pulang langsung ke Movenpick Towers & Suites di West Bay, Doha. Ada beberapa orang staff yang tidur sambil berdengkur di dalam kenderaan. Selesai minum petang di lobi hotel, aku bersiap-siap untuk keluar makan malam, di jemput oleh Syafei dan keluarganya. Kami ke Applebees, restoran makanan barat seakan Chilli’s. Aku dikenalkan kepada Rizal (yang memang sudah aku kenal melalui laman blog), Fairul, Shamsul (juga pernah aku menjengah ke blog beliau untuk mencari informasi Qatar), Zaireen dan Zila.

West Bay, Doha

Sebahagian dari banguanan/pemandangan West Bay area, Doha dari tingkat 19, Umm-Bab Tower.

15 Ogos 2010. Sudah 5 hari menyambut Ramadhan Kareem. Aku semakin selesa berada di bumi Qatar. Seminggu lalu aku telah pun berpindah ke kediaman rasmi, Umm-Bab Tower, West Bay Doha.