Sunday, February 28, 2010

Incredible India Trip - Delhi: Day 3

DSC_0165

The Qutb Minar (also spelled Qutab or Qutub, Urdu: قطب منار), a tower in Delhi, India, is at 72.5 meters the world's tallest brick minaret.

Seawal pagi lagi aku sudah bangun tidur dan bersiap-siap walaupun malam sebelumnya aku tidur lewat kerana menghabiskan masa berbual mesra dengan warga di Pahar Ganj. Cuaca pagi yang berkabus tebal dan dingin memerlukan aku mengenakan jaket tebal dan penutup kepala. Aku berjalan kaki menuju ke Metro, langsung turun di stesyen Rajiv Chowk yang terletak di Connaught Place, untuk singgah bertemu Boon Chun dan Henky di hotel penginapan beliau. Mereka telah menempah teksi sedari semalam untuk membawa kami melawat beberapa kawasan menarik di sekitar Delhi pada hari itu.

Qutb Minar

Tempat pertama yang kami tuju ialah Qutub Minar yang terletak hampir sejam perjalanan menaiki teksi menyusur jalan sibuk di kotaraya Delhi. Qutub Minar ini merupakan antara tarikan utama pelancong ke India selain Taj Mahal, dan ianya juga tersenarai di dalam UNESCO World Heritage. Kompleks Qutub ini menempatkan pelbagai bangunan bersejarah Hindu dan Jain, dan kemudiannya Islam. Menara atau minaret ini mula dibina pada tahun 1193 oleh pemerintah Islam yang pertama di India, Qutb-u-ddin Aibak dan diselesaikan beberapa ratus tahun kemudian oleh pemerintah Firuz Shah Tughluq pada 1386. Menara Qutub ini mempunyai pengaruh awal Indo-Islam Delhi dan sebahagian batu yang digunakan merupakan runtuhan kuil-kuil agama Hindu dan Jain.

DSC_0236 (2)

Di kompleks ini, bukan sahaja terdapat menara tinggi tersebut, tetapi juga masjid lama yang dipanggil Quwwatul-ul-Islam, makam-makam Islam keluarga Maharaja Mughul Delhi, pembesar-pembesar dan alim-ulama. Kompleks yang luas ini juga mempunyai taman yang berusia ratusan tahun dengan pohon-pohon tua yang masih menghijau serta bekas saliran air buatan manusia di sekitarnya. Ketika kami tiba di sana, pelancong masih tidak ramai maka lebih mudah kami menyusuri setiap penjuru kompleks ini. Kalau berada di sini, jangan lupa mencari 'Tiang/Menara Besi" yang terletak di salah satu sudut kompleks ini. Tiang/Menara Besi atau Iron Pillar: one of the world's foremost metallurgical curiosities, standing in the famous Qutb complex. According to the traditional belief, anyone who can encircle the entire column with their arms, with their back towards the pillar, can have their wish granted. Sebelum pulang, kami sempat melihat ke kawasan pemakaman keluarga Maharaja yang dipelihara dengan baik walaupun telah berusia beratus tahun, lebih tua dari Tugu A'Farmosa di Melaka. Selesai aku sedekahkan surah al-fatihah, kami berangkat keluar dari Kompleks Qutub Minar yang amat unik dan menarik itu.

DSC_0440 (2)-1

Humayun's Tomb complex. Chamferred edges add to the over all symmetrical design of the mausoleum

Teksi yang dipandu oleh Ali meluncur meninggalkan selatan Delhi untuk menuju ke Old Delhi, rancangannya untuk mengadu nasib kalau-kalau India Gate dan Red Fort sudah dibuka untuk pengunjung. Memang kami tidak berkesempatan kali ini untuk mengunjungi ke tempat tersebut kerana masih ditutup oleh alasan keselamatan. Lalu kami mengikut jadual seterusnya, iaitu melawat Humayun's Tomb yang terletak setengah jam perjalanan dari India Gate. Memandangkan kami semua sudah kelaparan, Ali menghantar kami ke sebuah kawasan 'posh' berdekatan Humayun untuk berhenti makan. Sederet restoran-restoran berbintang yang mempunyai dekorasi menarik menyambut kami. Selesai puas makan tenghari dengan masakan India seperti Lamb Rogan Josh, Butter Chicken, Grilled Fish, Salads dan Lime Juice yang sungguh lazat (dan berjumlah beberatus Ringgit Malaysia), kami meneruskan semula perjalanan.

DSC_0311 (2)

The complex encompasses the main tomb of the Emperor Humayun, which houses the graves of his wife, Hamida Begum, and also Dara Shikoh, son of the later Emperor Shah Jahan, as well as numerous other subsequent Mughals, including Emperor Jahandar Shah, Farrukhsiyar, Rafi Ul-Darjat, Rafi Ud-Daulat and Alamgir II

Di kompleks Humayun inilah terletak batu nesan atau perkuburan salah seorang Maharaja Mughal yang terkenal, iaitu Humayun yang memerintah di sekitar abad ke-16. Kompleks ini telah dibina oleh balu beliau iaitu Permaisuri Hamida Banu Begum pada 1562 dengan senibina bercirikan Parsi dan diilhamkan oleh Mirak Mirza Ghiyas yang berbangsa Parsi berasal dari Herat, Afghanistan. Ianya menempatkan beberapa buah makam termasuklah makam Dara Sikoh, putera kepada Shah Jahan, sebuah taman bunga Parsi yang luas dan cukup terkenal ketika itu dipanggil Charbagh, saliran air bertentangan dengan pintu masuk serta sebuah balai peninjau menghadap Sungai Yamuna.

DSC_0288 (2)

The near by tomb of Isa Khan Niyazi, a noble in Sher Shah Suri's court.

Matahari terang-benderang yang melimpah ke atas bangunan berwarna kemerah-merahan itu, amat memukau pancaindera kami. Suasana tenang di sekeliling berserta lamannya yang menghijau menggamit nostalgia di beberapa percutian sebelum ini. Kami memasuki dewan utama untuk melihat batu nesan Maharaja Humayun, sambil aku bersedekah al-fatihah. Berdekatan dengan bangunan utama, terletak pula tempat persemadian Isa Khan Niyazi, seorang bangsawan di istana Sher Shah Suri. Juga terdapat sebuah masjid kecil yang dahulunya berhias indah dengan batu permata yang menghadap ke arah barat (Makkah) dan Sungai Yamuna.

DSC_0412

Aku berdiri di verandahnya sambil merenung jauh ke arah Sungai Yamuna yang menjadi nadi negara India. Dalam benak fikiran mula tertanya-tanya, apakah nenek-moyang aku pernah berdiri di verandah ini sambil menghadap Sungai Yamuna yang sama? Mungkin juga......

DSC_0362 (2)

The symbolically cut out, mihrab facing West or Mecca, over the marble lattice screen.

Kompleks ini sengaja dibina berhampiran tebing Sungai Yamuna kerana ianya berhampiran dengan lokasi Nizamuddin Dargah, tempat dimana disemadikan seorang Wali Sufi terkenal Delhi suatu ketika dahulu; Hazrat Nizamuddin Auliya yang wafat pada tahun 1325. Selesai berada di Humayun's Tomb, kami bergerak semula menuju ke jalanraya yang sudah mula sesak dengan manusia yang sibuk dengan aktiviti harian mereka. Pelbagai jenis kenderaan boleh dilihat di jalanaraya, tunggangan kuda, lembu, keldai, basikal, motorsikal, kereta, lori bersaiz besar dan bermacam lagi. Hingar-bingar dan berdebu serta bermacam bau......

DSC_0485 (2)

"In Allah's garden you gather roses, Being drunk with divine mysteries: Hazrat Mehboob-e-Elahi -- the beloved of Allah, O, how I long for the attar of your company."

Sekitar 2 kilometer dari Humayun's Tomb, terletak pula Nizamuddin's Tomb, seorang Wali Sufi yang sungguh terkenal di India sehingga ke hari ini. Dari seberang jalan lagi sudah kelihatan ramai pengunjung yang memasuki sebuah jalan kecil dengan pelbagai bunyi seperti bacaan ayat-ayat suci Al-Quran di corong-corong pembesar suara. Kami bertiga mula memasuki jalan kecil dan sempit serta agak lecak, kelihatan ramai yang mengenakan pakaian jubah putih, berserban putih, ada juga yang berkopiah sahaja, yang wanita semuanya menutup aurat. Di kiri-kanan terdapat kedai-kedai makan kecil, barangan keperluan harian dan semakin jauh ke dalam lorong yang semakin sempit, semakin wangi pula bau semerbak bunga-bungaan terutamanya bunga Mawar. Ramai penjual bunga Mawar ini, bersama dijual ialah kain-kain yang tertulis ayat-ayat Al-Quran untuk diletak di atas makan, rose-water, rose-bud, rose-powder, kalungan bunga dan bermacam lagi.

DSC_0512

Sheikh Hazrat Nizamuddin Aulia Chishti merupakan salah satu tempat ibadah yang sangat dihormati, bukan sahaja oleh penganut Islam bahkan penganut-penganut Hindu juga. Bangunan di atas menempatkan makam beliau yang telah dibina pada tahun 1562 oleh seorang saudagar kaya Farid'un Khan, walaupun beliau telah meninggal sekitar 200 tahun terlebih dahulu. Di sekitar makam beliau, terdapat juga makam-makam lain kepunyaan pembesar-pembesar dan putera-puteri Maharaja yang ingin disemadikan berdekatan Wali ini, untuk mengambil barokah dari seorang Wali terkenal. Pelbagai cerita menarik mengenai Nizamuddin ini, yang juga merupakan salah seorang penasihat agama kepada kerajaan Mughal.

DSC_0497 (2)

Aku diberi kesempatan untuk masuk ke dalam makam ini. Beberapa meter dari kawasan makam ini, pengunjung dikehendaki untuk tidak memakai sebarang kasut atau alas kaki. Walaupun ramai 'penjaga' kasut berupah berada di setiap penjuru, aku tetap menyimpan kasut di dalam beg sandang, takut-takut kalau hilang kasut yang baru dibeli. Aku juga mengenakan kopiah putih yang memang aku bawa ke mana-mana, maka aku tidak kelihatan terlalu asing kepada penduduk tempatan yang berkunjung ke makam tersebut. Pengunjung yang datang ada yang mencium tangga makam, ada yang melakukan beberapa perbuatan bida'ah (pada pengetahuan aku yang amat cetek ilmu ini), ada yang mengikat tali berwarna-warni di pagar-pagar makam dan sebagainya. Aku memerhati gelagat pengunjung di dalam makam, aku sedekah al-fatihah dan membaca ayatul-kursi, mengambil beberapa keping gambar lalu terus beredar.

DSC_0540

Dari daerah Nizamuddin, kami terus menuju ke Connaught Place, Henky dan Boon Chun mengambil bagasi mereka dari Concierge hotel lalu disimpan sementara di dalam teksi. Kami sempat membersihkan diri ala-kadar sebelum meluncur laju menuju ke New Delhi Railway Station. Mereka berdua perlu bertolak awal malam itu, menuju ke Agra. Aku menemani mereka sehingga keretapi yang 2 jam lewat itu sampai.

DSC_0536

Aku berjalan menuju ke Pahar Ganj, berkalan kaki sekitar 20 minit untuk sampai ke Vivek Hotel. Malam itu, aku hanya berada di sekitar Pahar Ganj, melihat manusia dengan aktiviti berjual-beli, tawar-menawar dan makan-minum. Aku perlu bangun awal, giliran aku pula menaiki keretapi menuju ke Agra - salah satu destinasi utama perjalanan ke India ini.

NOTA: Artikel ini telah disiarkan di dalam akhbar Utusan Malaysia, Sabtu 20 Mac 2010. Sila klik di sini untuk melihat/membaca secara online. Terima kasih kepada saudara Abd.Halim Hadi kerana membantu menyiarkan artikel ini di akhbar Utusan Malaysia. Beliau juga mempunyai blog accrossplanet yang memaparkan pelbagai aktiviti pengembaraan yang menarik serta sukan lasak, sila klik di sini.








Monday, February 08, 2010

Incredible India Trip - Delhi: Day 1 & 2

Taj Mahal

Anda bukan seorang 'Pengembara' sekiranya belum lagi menjejakkan kaki di benua kecil India! Itu kata-kata dari seorang pengembara Eropah di dalam sebuah buku catatannya. Incredible India! merupakan slogan yang digunakan oleh Tourism India bagi mempromosikan negara yang terkenal dengan keajaiban senibina Taj Mahal serta industri perfileman Bollywood. India bukan setakat itu sahaja, malah terlalu banyak 'keajaiban' wujud dan berlaku di India di sepanjang zaman. Pengembaraan aku di India buat julung kalinya ini meliputi The Golden Triangles, iaitu New Delhi dan Old Delhi di wilayah Delhi, Agra yang terletak di negeri Uttar Pradesh serta Jaipur di negeri Rajasthan yang bersempadan dengan Pakistan.

DSC_0860

Penerbangan MH190 dari KLIA menuju ke Delhi lewat petang itu sungguh selesa walaupun pesawat padat dengan penumpang yang majoritinya warga keturunan India. Beberapa bulan sebelum itu, aku sudahpun membuat segala persiapan perjalanan, segala hotel dan pengangkutan utama sudah ditempah, peta tempat-tempat yang hendak dituju, segala macam tips dan nasihat dari TripAdvisor.com, dari Lonely Planet, dari http://www.indianmike.com/ dan sebagainya telah aku baca dengan teliti. Kiranya aku memang sudah cukup sedia dari segi mental dan fizikal serta material untuk menziarahi India, sebuah negara yang amat mencabar bagi pelancong, pengembara dan yang sewaktu dengannya.

Jama Masjid, Delhi

Pemandangan di dataran Jama Masjid, Delhi.

Seusai melepasi kaunter Imigresen dan Kastam di Indira Gandhi International Airport, aku terus menonong keluar sambil menggalas beg yang separuh kosong. Aku telah hafal segala tips sebelum turun dari pesawat tadi, "belok ke kiri setelah melepasi kaunter Imigresen dan anda akan terlihat booth yang terpampang perkataan Pre-Paid Taxi....", aku tercari-cari kaunter Pre-Paid Taxi, ada di satu sudut tersembunyi, segera membeli tiket teksi untuk ke Pahar Ganj, Old Delhi. Petugas kaunter memberikan wang pulang yang tidak cukup, aku menjegilkan mata sambil menadah tangan more balance please!, dipulangkan wang yang selebihnya. Menuju keluar pintu lapangan terbang juga suatu cabaran, kerana dek ramai orang yang menunggu di luar. Setelah tercari-cari teksi yang perlu aku naiki, dan setelah cuba dikelentong oleh 'ulat teksi', aku berjaya meloncat ke dalam teksi yang 'sah'. Ketika itu keadaan persekitaran berkabus sungguh tebal dan suhu udaranya pula sejuk. Sepanjang perjalanan ke Pahar Ganj yang memakan masa hampir sejam itu, jarak penglihatan hanya sekitar beberapa meter dan sungguh kelam.

Pahar ganj

Pahar Ganj, sebuah ghetto bagi backpacker di Delhi, hanya beberapa ratus meter dari Stesyen Keretapi New Delhi. Tidak jauh bezanya dengan keadaan Petaling Street sekitar tahun 1980an. Pemandu teksi itu berkata bahawa Vivek Hotel yang aku diami itu adalah antara yang terbaik di sekitar kawasan Pahar Ganj, begitu juga kata-kata rekomen di Lonely Planet (indah khabar dari rupa). Keadaan sudah agak lewat apabila aku sampai di sana, lecak, basah, sejuk, kabus, kotor dan sebagainya di kawasan sekitar. Malam pertama hanya berehat di dalam bilik setelah menyiram tubuh dengan air panas yang diangkut di dalam baldi oleh pekerja hotel tersebut, "I'm sorry Sir, your hot shower pipe is not working tonight...".

My creation

Jantar Mantar atau Yantra Mantra yang merupakan kompleks astronomi yang dibina pada awal abad ke-18.

Selesai bersarapan ringkas di rooftop hotel tersebut, aku memulakan misi mengembara hari itu, berjalan kaki beberapa minit melalui jalan-jalan sempit yang penuh sampah sarap, padat dengan manusia ke hulu-hilir, dengan peniaga yang menjual makanan dan buah-buahan menuju ke stesyen Metro (pengangkutan serupa LRT) RK Ashram Marg. Aku menuju ke Rajiv Chowk atau Connaught Place, sekali lagi petugas kaunter tidak memulangkan jumlah wang yang cukup kepada aku, dan aku perlu menadah tangan meminta dipulangkan wang lebih. Kawalan keselamatan yang sungguh ketat untuk memasuki kawasan Metro ini. Keluar dari stesyen Rajiv Chowk, aku mundar-mandir tidak tahu mahu ke arah mana sehingga aku dihampiri oleh seorang pemuda yang konon-kononnya ingin menghulur bantuan. Dipendekkan cerita, aku terus berjalan menuju ke Tourism Office of India, mengambil peta dan bertanya sedikit sebanyak sebelum berjalan kaki beberapa kilometer sehingga tiba di destinasi pertama; Jantar Mantar - A multimedia project and virtual museum about the astronomical observatories built in India during the early 1700's by Sawaii Jai Singh.

Jama Masjid, Delhi. India

Pemandangan di pintu masuk Bab Abdullah, Jama Masjid, Delhi.

Dari Jantar Mantar, aku menaiki Autorickshaw - beca roda tiga yang menggunakan enjin motosikal, menuju ke India Gate pula. Sebelum menaiki kenderaan tadi, aku telah pun tawar-menawar mengenai harga tambang dan destinasi yang hendak dituju. Sesampai di kawasan India Gate, kelihatan banyak askar dan polis sedang bertugas, di sekeliling monumen itu pula dipagar atau barricade serta dikawal dengan rapi. India Gate merupakan lokasi utama bagi perarakan sambutan Republik Day negara India pada setiap 26 Januari. Aku cuma sempat mengambil beberapa foto India Gate dari jauh. Seterusnya aku meminta pemandu yang berserban Sikh itu membawa aku ke Jama Masjid, masjid terbesar di India.

DSC_0089

Pintu atau jalan utama dari aras selatan untuk memasuki kawasan masjid ini terletak sekitar 150 meter dari jalan besar, melalui deretan penjual kaki-lima dan pondok-pondok yang menjual pelbagai barangan khususnya aksesori dan pakaian Muslim dan Muslimah. Masjid yang selesai pembinaannya pada 1656 ini dibina agak tinggi dari aras jalan raya, di atas sebuah bukit di Shahjahanabad. Pengunjung perlu mendaki beberapa puluh anak tangga sebelum benar-benar sampai ke pintu gerbang masjid. Masjid Jama ini mempunyai ruang solat terbuka yang sangat luas (hanya kawasan mimbar dan beberapa saf sahaja yang berbumbung) yang boleh memuatkan beberapa ribu jemaah pada satu-satu masa, dan di tengah-tengahnya terletak sebuah kolam untuk berwuduk. Setelah melihat-lihat pemandangan sekeliling, aku menunaikan pula solat di dalam kawasan berbumbung, betul-betul di hadapan mimbar yang bertangga marmar itu.

DSC_0116 (2)

Selesai menziarahi Jama Masjid, aku berjalan kaki turun ke bahagian kiri kompleks masjid, di mana terdapat restoran-restoran menjual pelbagai juadah nasi dan roti. Jawarhal Restaurant terletak di sebelah Karim's Restaurant, yang ada disebut di dalam Lonely Planet, di sebuah jalan atau lorong yang penuh sesak dengan manusia dan kenderaan kecil. Selesai menikmati Mutton Briyani, Green Salad dan Masala Chai (teh susu dicampur halia), aku berjalan kaki pula untuk ke Red Fort, tetapi malangnya aku hanya mundar-mandir di kawasan yang sama. Akhirnya aku melambai kepada rickshaw Walla dan minta untuk di hantar ke Red Fort. Rickshaw atau beca ini menggunakan basikal tanpa sebarang enjin atau motor, manakala tempat duduknya agak tinggi terjungkit serta tidak berbumbung.

Red Fort, Delhi

Agak kecewa setelah sampai di hadapan pintu masuk ke kompleks Red Fort kerana ianya di tutup untuk beberapa hari disebabkan oleh sambutan Republic Day. Beberapa kawasan utama di Delhi ditutup kepada orang ramai kerana khuatir akan ancaman pengganas dan pengebom berani mati. Aku mengambil keputusan untuk berjalan kaki pulang ke kawasan Jama Masjid kerana tidak jauh dari situ terletak stesyen Metro Chawri Bazaar. Melalui lorong dan jalan sempit yang berdebu serta penuh dengan manusia serta kenderaan yang hingar-bingar merupakan suatu pengalaman yang biasa di India. Sedang dalam terpingga-pingga melihat peta di tangan, aku di sapa oleh dua orang pelancong menanyakan arah ke destinasi yang sama. Kami berkenalan ringkas langsung berjalan menyusuri kedai-kedai yang beraneka ragam menuju ke Metro.

DSC_0133 (2)

Henky yang berasal dari Jakarta tetapi bekerja di Singapura, Boon Choon yang memang warga Singapura bertugas di sebuah syarikat IT menjadi teman perjalanan di Delhi semenjak berkenalan semasa sedang sibuk mencari Metro. Petang itu kami merehatkan diri di Costa Coffee cafe sebaik tiba di Connaught Place, sebuah kawasan perniagaan peninggalan Kolonial Inggeris. Bangunan dan gedung besar era Kolonial yang didirikan dalam bentul bulatan besar, beberapa tingkat dan sedang dalam proses baik-pulih secara besar-besaran. Selesai mengopi, kami berjalan di sekitar Connaught Place sehingga matahari tenggelam di ufuk barat. Mereka berdua pulang ke hotel penginapan yang tidak jauh dari situ, manakala aku pula menghabiskan malam di Connaught Place dengan menonton filem Hindi di sebuah panggung teater lama Regal Cinema. Filem bertajuk VEER, memang menikmati citarasa aku.

DSC_0488 (2)

Penjual kebab yang sedia menanti pelanggan.

Hari yang sungguh panjang buat aku di Delhi. Pulang ke Vivek Hotel, aku membersihkan diri dengan air panas yang diangkut oleh pekerja hotel ke kamar mandi. Selesai itu, aku turun ke seberang jalan, menikmati Banana Lassi dan Chai sambil melihat kerenah pelancong-pelancong backpackers berbual menceritakan pengalaman mereka mengembara. Aku berhenti di hadapan pintu masuk hotel untuk membeli sekotak rokok tetapi disapa mesra oleh budak penjual rokok dan Chai, Devan namanya. Dari sekotak rokok, aku duduk dibangku kecil di tepi lorong menghirup beberapa gelas kecil Chai panas, memerhati manusia lalu-lalang di Pahar Ganj sambil berbual kosong dengan Devan. Sesekali kenderaan bermotor melintas dengan bising, sesekali juga ada pengunjung berhenti membeli Chai dan rokok di situ. Kereta sorong penjual rokok dan Chai itu mula dihimpitkan ke lorong yang lebih kecil dan tersorok, beberapa orang rakan beliau mula muncul, dan dengan peramah berbual mesra dan akhirnya kami sama-sama berkongsi menghisap rokok bercampur ganja!