Sunday, October 31, 2010

My First Syawal in Doha.....and its O.K.!

Syawal Doha 2010

Menyambut ketibaan Syawal di bumi Qatar memang berbeza berbanding di tanah air sendiri. Malam terakhir Ramadhan, tidak semeriah yang dijangka, kami cuma menghabiskan masa bersama rakan-rakan yang tidak pulang bercuti di Malaysia, memerhati gelagat warga tempatan dan asing di pusat beli-belah yang suasananya tiada berbeza dengan malam-malam sebelumnya. Terasa sedikit 'kosong' tanpa aktiviti-aktiviti lazim di malam raya seperti merebus ketupat, keliling kampung melihat keindahan lampu pelita dan lampu moden berkerlipan, ke bazar-bazar mahupun menjenguk rakan-rakan lama yang pulang bercuti.

Syawal farhan rush yakie n dell

Pagi 1 syawal 1431, Farhan datang menjemput aku dan Yakie untuk ke Kedutaan Malaysia bagi menunaikan solat sunat Aidilfitri. Kami berkonvoi bersama keluarga Feeza yang datang dari Miri, Sarawak. Kelihatan ramai warga Malaysia sudah berada di tempat solat, bertakbir sambil menunggu bermulanya solat. Selesai khutbah dan bersalam-salaman, kami berkumpul dan mula menyanyikan lagu kebangsaan bersempena dengan sambutan Hari Kemerdekaan baru-baru ini. Pelbagai jenis juadah disediakan untuk warga Malaysia yang terdiri bukan sahaja orang Melayu di sini. Walau dengan cuaca yang sungguh panas dan 'humid', namun meriah kelihatan suasana di perkarangan kedutaan dengan rakyat Malaysia yang mengenakan baju Melayu pelbagai warna terang dan sesi berfoto beramai-ramai.

Syawal Doha 2010

Memandangkan seluruh keluarga Feeza beraya di Doha, maka segala jenis juadah hari raya telah disediakan, lengkap dengan Kelupis yang menjadi kegemaranku. Sedap dimakan dengan serunding, atau dicecah dengan kuah kari ayam atau dimakan begitu sahaja. Pelbagai jenis kuih-muih dan kek lapis sarawak yang terkenal dibawa bersama ke Doha. Terasa sungguh kemeriahan Aidilfitri di rumah mereka, lebih-lebih lagi apabila semuanya termasuk beberapa orang tetamu datang lengkap dengan baju Melayu.

Syawal Doha 2010

Di kediaman Che Mazlan dan Sharifah Ija.

Sepanjang Syawal kami menerima banyak jemputan rumah terbuka, sehingga lupa berapa banyak rumah sudah kami kunjungi. Gambar-gambar di bawah memaparkan kemeriahan sambutan Aidilfitri di rumah warga-warga Malaysia di sekitar Doha dan juga di kediaman keluarga Megat di Al-Khor yang terletak 60km dari Doha.

DSC_0965

Di kediaman Aizal dan Yeen.







Syawal Doha 2010

Di kediaman Syafei dan Hani.

Syawal Doha 2010

Di kediaman Tuan Affandi.

Syawal Doha 2010

Di kediaman Hj.Ramzan dan Melissa.

Syawal Doha 2010

Di kediaman Megat sekeluarga di Al-Khor Community.

Syawal Doha 2010

Aku juga tidak ketinggalan menjemput beberapa orang rakan sepejabat dan rakan-rakan di sekitar Doha untuk majlis rumah terbuka di Umm-Bab Tower. Majlis yang serba sederhana, buat pertama kalinya aku membuat majlis rumah terbuka dalam skala yang kecil dan kurang persiapan. Juadah yang aku sediakan juga tidak pelbagai dek kerana tersilap strategi dan 'kehilangan' para pembantu. Terima kasih kepada yang membantu terutamanya Farhan, Diba dan Yakie. Ramai tetamu yang hadir di kediaman yang agak sempit ini, sehingga ke tengah malam masih ada yang datang berkunjung dan menikmati makanan yang terhidang. Alhamdulillah, semuanya lancar dan yang pasti sangat meriah dengan gelak-tawa dan gurau-senda rakan-rakan yang hadir.

Syawal Doha 2010

Ini merupakan majlis rumah terbuka terakhir yang aku hadiri, pada hari terakhir Syawal, di kediaman Naguib dan Ruby. Majlis meriah ini juga diserikan lagi dengan kehadiran pasangan pengantin baru, Rizal dan Cik Kiah. Hingar-bingar dengan telatah mengusik pasangan ini, diminta beri ucapan, diminta berfoto dan diminta bercerita pengalaman baru menjadi suami-isteri. Makanan yang dihidangkan juga memang lazat-lazat belaka, apatah lagi dengan hidangan Satay dan kuih-muih tradisional Melayu yang lain. Terasa amat akrab silaturrahim kami di sini, mesra dan saling membantu.

DSC_0224

Gendang-gendut tali kecapi,

kenyang perut senang hati,

bila ketawa nampak gigi,

sambil erat silaturrahmi,

di bumi asing negara Qatari,

insyaAllah tahun hadapan bersua kembali.






2 comments:

Wahidah said...

meriah sungguh sambutan raya di Doha..rs nya di sini lg kurang meriah n lg tk rs pape kot...


btw,thn dpn blk raya tk..:)

Rizqi Mukhriz said...

selamat hari raya (bealated)..hehehe...saw some familiar faces