Sunday, May 30, 2010

Langkawi Island - Malaysia's Treasure Island

DSC_0783

Langkawi,(Jawi:لانكاوي ) officially known as Langkawi, the Jewel of Kedah (Malay: Langkawi Permata Kedah is an archipelago of 99 islands (an extra 5 temporary islands are revealed at low tide in the Andaman Sea, some 30 km off the mainland coast of northwestern Malaysia. The islands are a part of the state of Kedah, which is adjacent to the Thai border. On July 15, 2008, Sultan Abdul Halim of Kedah had consented to the change of name to Langkawi Permata Kedah in conjunction with his Golden Jubilee Celebration. By far the largest of the islands is the eponymous Pulau Langkawi with a population of some 64,792, the only other inhabited island being nearby Pulau Tuba. Langkawi is also an administrative district with the town of Kuah as the capital and largest town. Langkawi is a duty-free island.

--------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------

Percutian bersama sebahagian ahli keluarga kali ini bertempat di pulau lagenda - Langkawi Permata Kedah di utara Semenanjung Tanah Melayu. Seawal bulan Februari lagi aku sudah merancang untuk membawa kedua orangtua pergi melancong, destinasi pilihan utama ialah Perth, Australia, keduanya ke Phuket, Thailand dan akhirnya kami putuskan untuk ke Pulau Langkawi sahaja atas sebab-sebab tertentu. Memandangkan aku sudah lama tidak ke sana dan bagi Mak pula ini kali pertama beliau berziarah ke pulau yang cukup terkenal dengan biodibersiti dan Geopark bertaraf dunia yang diiktiraf UNESCO.

DSC_0524

Mak, Abah, Zurah dan anak saudara Sarah berlepas seawal pagi 26 Mei dari Lapangan Terbang Sultan Ismail, Johor Bahru (cuma sekitar 15 minit dari rumah kami), manakala aku dan Linda (ibu kepada Sarah) menunggu di LCCT. Kami sama-sama berlepas dari LCCT menuju ke Langkawi, semuanya lancar dan seperti yang telah dirancang. Sesampai di Lapangan Terbang Langkawi, aku terus menuju ke kaunter menyediakan perkhidmatan sewa kereta, setelah tawar-menawar, aku bersetuju dengan harga dan jenis kereta. Tips: perlu lihat dahulu kondisi kenderaan yang hendak di sewa sebelum bersetuju. Aku terus memandu menghala ke Pantai Cenang berpandukan peta yang diberi, dan mencari Sunset Beach Resort di mana kami akan menginap sepanjang berada di sini.

Sunset Beach Resort Langkawi

Sunset Beach Resort, aku cuma membuat tempahan di sini beberapa hari sebelum ke sana. Puas aku melayari Internet untuk membuat tempahan tempat tinggal, akhirnya aku membuat keputusan untuk mencari di TripAdvisor.com, sepertimana selalu aku lakukan jika ingin ke luar negara. Sepertimana komen dan cadangan-cadangan pengunjung di dalam tripAdvisor.com, memang benar Sunset Beach Resort ini bersih, kemas, cantik, lengkap dan paling pasti ialah kakitangan dan pekerja di sini cukup peramah dan efisien. Kami merupakan satu-satunya orang Asia yang menginap di sini, mungkin kerana publisitinya dan promosi hanya di luar Malaysia. Aku gembira kerana memilih tempat tinggal yang tepat dan dengan harga yang sungguh berpatutan serta persekitaran yang berkonsepkan taman Bali di Indonesia.

DSC_0530

Petang itu, kami hanya menghabiskan waktu di sekitar pekan Kuah, melihat arca gergasi Helang Kawi, membeli-belah cokelat dan pinggan-mangkuk sambil merancang untuk aktiviti-aktiviti seterusnya. Pekan Kuah sudah banyak berubah berbanding kali terakhir aku ke sana 12 tahun lalu. Namun aku masih lagi ingat beberapa jalan lama serta kampung-kampung tradisional Melayu yang terletak di sepanjang jalan. Semuanya menggamit nostalgia di mana aku banyak menghabiskan cuti semester di pulau ini ketika menuntut di UiTM Shah Alam. Setiap kali cuti, aku akan ke sini, menginap di The Gates, beberapa kali rakan-rakan sekuliah ikut serta menemani aku. Pernah sekali dari Langkawi aku ke pekan Satun menaiki bot kecil, dipendekkan cerita aku akhirnya 'terdampar' beberapa ratus kilometer di Phuket!!! Itulah kali pertama aku menjejakkan kaki ke Phuket.

Cable Car langkawi

Setelah menikmati sarapan pagi ala-Continental, sambil menjamu mata dengan keindahan Pantai Cenang yang tenang, kami beransur berangkat menuju ke kawasan Gunung Mat Cincang untuk menaiki Cable Car. Kawasan ini terletak sekitar 25 minit dari Pantai Cenang, dan memandu ke sini amat mudah dan kualiti jalan raya juga cukup baik. Pengunjung perlu memasuki kompleks Oriental Village untuk menaiki Cable Car ini, tiket boleh dibeli di sini atau dari ejen-ejen pelancongan (lebih murah beli melalui ejen). Selain ingin menaiki Cable Car ini, aku teringin untuk berada di tengah-tengah jambatan gantung, dan pastinya melakukan lompatan dramatik di atasnya.

DSC_0856

Aktiviti keesokkan harinya ialah mengikuti pakej Island Hopping - ke beberapa buah pulau seperti Pulau Beras Basah dan Pulau/Tasik Dayang Bunting. Linda tidak ikut serta pagi itu kerana beliau telah pun terbang pulang ke Kuala Lumpur petang sebelumnya untuk terbang bertugas di Hangzhou. Mak bersungguh-sungguh ingin mengambil sebotol air dari tasik ini untuk diberikan kepada seorang lagi adik aku yang tidak dapat turut serta - Noreen. Mak kata kalau minum air dari tasik ini, seseorang yang sukar untuk mengandung akan segera hamil. Aku cuma tersenyum dan berkata "kalau Mak yang minum air ni, macam mana?". Akhirnya Mak tidak jadi membawa pulang air dari tasik Dayang Bunting ini. Aktiviti hari ini berakhir di sebuah pangkalan kecil berdekatan dengan Awana Porto Malai. Walau agak memenatkan tetapi Mak dan Abah terasa seronok dan gembira, agaknya tidak mengapa kalau diteruskan sehingga petang.

DSC_0628

Malam terakhir di Langkawi, kami hanya bersantai di sekitar Pantai Cenang, makan Nasi Kandar yang sungguh sedap dan segar (gerai ini dibuka hanya pada waktu malam, lauk-pauk di masak petang itu dan hanya terhidang sekitar pukul 9 malam sahaja). Aku pula sempat memanjakan diri dengan mengunjungi salah satu pusat Urut Tradisional Melayu. Seorang anak muda tempatan yang mewarisi kepandaian mengurut dari orangtuanya bekerja dengan sebuah Spa di sekitar Pantai Cenang. Terasa benar picit-picitan dan kemahiran urutan beliau ke atas sendi-sendi anggota aku yang semakin menua.

Langkawi

Hari terakhir di Langkawi, terasa cepat sungguh masa berlalu. Seperti tidak puas menjelajah pulau lagenda yang mempunyai seribu kecantikkan alam semulajadi ini. Setelah check-out dari Sunset Beach Resort ini, kami menuju ke lokasi terakhir - Makam Mahsuri. Lain sungguh persekitaran makam ini berbanding kali terakhir aku ke sana. Semuanya lebih teratur, ada bangunan-bangunan baru dibina, nampak lebih terjaga dan lengkap. Kami menghabiskan masa beberapa jam di dalam kompleks ini, termasuklah makan tengahari Laksa Kedah yang sangat sedap dan nasi campur berlauk-pauk ala-kampung. Ada juga diselitakn persembahan Gamelan, Mini Muzium dan kedai cenderamata.

Dalam perjalanan pulang dari sini, aku sedikit tersesat kerana cuba untuk ikut jalan lain yang lebih jauh. Kami mempunyai masa yang sangat terhad sedangkan aku masih memandu di atas jalanraya menyusuri kawasan perkampungan, dan bendang sedikit panik tetapi aku sengaja tidak tunjuk kepada Mak dan Abah. Alhamdulillah, kami sampai di lapangan terbang tepat pada masanya.

DSC_0955

Sejak aku bertugas di Miri hampir 5 tahun lalu, aku selalu merancang ingin bercuti ke Langkawi. Tetapi ada sahaja perancangan lain yang memintas untuk aku ke sana. Seperti selalu, setiap kali menyambut hari lahir, aku akan ke luar negara, tetapi tidak pada kali ini, aku cekal untuk bercuti bersama keluarga walaupun hanya di dalam negara. Sementara aku masih ada di Malaysia, aku gunakan waktu yang ada untuk bersama keluarga, bercuti menikmati keindahan negara sendiri yang tidak kurang indah dan menarik serta memukau setiap pengunjung yang datang. Langkawi, aku tinggalkan sementara...mungkin 10 atau 12 tahun lagi aku kunjungi kamu. Semoga kerbau dan bendang itu masih di situ!







2 comments:

scrlettfr said...

salam... bro rush, waiting ur agra story.. n a luvely picture... huhuhu...

Chef Aduka said...

Langkawi...kalau dtg sehari 2 mungkin ok la....tapi kalau dok setahun 2...mungkin rasa bosan la....chef dah rasa dok sana setahun.....jauh dari dunia asing.