Tuesday, April 27, 2010

Travelogue: Loveable Phuket 2010

DSC_1610

Phuket, seindah yang diperkabarkan oleh hampir setiap pelancong yang pernah menjejak kaki ke sana. Ini kunjungan kali ke-3 bagi aku ke kawasan peranginan pantai yang menjanjikan sejuta kenangan serta keseronokkan. Kali ini aku ke sini membawa bersama 3 orang rakan, Yakie, Khairul dan Hazanny, manakala Zoul dan Malim menyusul sehari kemudian. Penerbangan awal pagi dari LCCT mengambil masa cuma 1 jam 20 minit, merentasi utara Semenanjung Tanah Melayu. Tidak hairanlah sekiranya kita masih boleh terserempak dengan ramai orang Melayu Thailand di sekitar Phuket, bahkan nama asal Phuket ini merupakan loghat Bahasa Melayu - Bhuket (Bukit) dek kerana muka buminya yang berbukit-bukau.

DSC_2038

Perairan Phuket yang pernah musnah dilanda Tsunami Andaman pada Disember 2004, merupakan sebuah perkampungan nelayan sebelum bertukar menjadi destinasi pelancongan utama di Thailand bermula pada abad ke-20. Kesan-kesan ganas Tsunami hampir tidak kelihatan lagi di sekitar Patong Beach kerana usaha-usaha gigih dan berterusan pelbagai pihak untuk membangunkan semula infrastrukturnya.

Rico's Hotel, Phuket

Kami sampai di Bangla Road sekita jam 9.30 pagi, terlalu awal untuk check-in di hotel, namun pihak pengurusan Rico's Hotel membenarkan kami untuk terus masuk dan berehat. Selain menawarkan harga yang bilik yang sungguh berpatutan, hotel ini juga mempunyai sebuah restoran ala-Itali dan sebuah pub di bahagian bawahnya. Bilik kami menghadap ke arah laut, namum ianya terlindung dek bumbung-bumbung bangunan yang lebih tinggi dari bangunan 4 tingkat ini. Selesai melepaskan lelah kami keluar semula untuk makan tengahari di Jung Ceylon, sebuah kompleks beli-belah utama di Phuket.

DSC_1647

Selain makan dan membeli-belah, kami berjalan di sekitar pantai Patong dan Bangla Road untuk mencari ejen pelancongan yang menjual pelbagai pakej dan aktiviti di sekitar Phuket. Kami memutuskan untuk menonton persembahan FantaSea pada malam itu, persembahan kebudayaan berserta makan malam. Kompleks FantaSea itu juga menyediakan pelbagai persembahan jalanan, pertunjukkan, ekspo dan sebagainya secara percuma.

DSC_1679

Kami meluangkan masa dengan mengunjungi setiap lokasi pelbagai tema dan antara yang menarik perhatian ialah telatah 2 ekor harimau putih yang hanya diletakkan di dalam kandang kaca. Selain itu ada jugak diletakkan kijang putih, burung merak, ular sawa albino, burung undang dan lain-lain haiwan unik. Suasana sekitar kompleks FantaSea menjadi semakin meriah apabila menjelang malam dengan kerlipan pelbagai lampu yang berwarna-warni serta bunyi-bunyian dari segenap ceruk.

FantaSea, Phuket

Sejam sebelum persembahan bermula, kami mengisi perut dengan pelbagai hidangan tempatan yang sungguh enak. Dikhaskan bahagian untuk umat Islam, di mana makanan yang dihidangkan adalah halal dan dimasak oleh orang Islam tempatan. Makanan tempatan Thailand tidak banyak berbeza dengan makanan orang Malaysia, berlemak, pedas, ulam-ulaman, sambal belacan serta pencuci mulut seperti pulut, sagu, pisang dan sebagainya. Suasana di dalam dewan makan terasa seperti berada di dalam dewan bankuet di-raja, dan memang sengaja mereka hiasi sebegitu serta di panggil Royal Banquet Hall.

DSC_1684

Persembahan di balai Palace of the Elephants bermula tepat jam 9.00 malam dan selesai hampir 2 jam kemudian. FantaSea merupakan salah satu aktiviti/lokasi yang wajib dikunjungi jika datang ke Phuket. Selesai terpesona menonton persembahan yang cukup mengasyikkan itu, kami sempat lagi meluangkan masa untuk berfoto di sekitar kompleks. Pemandu teksi bernama Pong yang kami kenali semasa di Lapangan Terbang pagi tadi, datang menjemput dan terus menghantar ke sekitar Bangla Road. Malam itu kami habiskan masa dengan melihat gelagat manusia yang penuh sesak di sekitar Patong.

DSC_1800

Keesokkan pagi, kami sudah pun bersiap-siap untuk melakukan aktiviti seterusnya, menaiki 'cruise' untuk ke Phang Nga serta beberapa pulau lain. Pemandu van datang menjemput di depan Rico's Hotel seperti waktu yang dijanjikan. Kami bersama 7 orang pelancong dari Eropah meneruskan perjalanan selama hampir sejam mengikut jalan darat sehingga sampai ke sebuah jeti. Di sana kelihatan berpuluh-puluh pelancong lain sedang menunggu giliran untu dimuatkan ke dalam kapal-kapal persiaran. Kami pula dikumpulkan dalam satu kumpulan bersama hampir 20 orang pelancong lain, tidak terlalu sesak dan amat selesa.

DSC_1739

Cuaca pada hari itu sungguh baik, cerah dan panas. Dari jauh sudah kelihatan deretan pulau-pulau batu kapur yang membentuk lanskap persekitaran Phang Nga yang terkenal itu. Kami berhenti di sebuah pulau batu kapur untuk melakukan aktiviti berkayak di bawah 'lorong-lorong' kecil dan sempit serta gelap. Setiap kayak akan dibantu oleh seorang pengemudi yang juga bertindak sebagai 'tour guide' menerangkan nama serta lagenda setiap tempat yang dikunjungi.

DSC_1768

Kami berhenti di beberapa buah lokasi sepanjang aktiviti ini, selain berkayak kami juga dibenarkan untuk berenang dan turun ke sebuah teluk untuk melihat pemandangan kawasan sekitar. Menjelang tengahari, kami dihidangkan dengan makanan laut yang sungguh sedap dan menyelerakan, terutamanya ikan kerapu masak masam manis, nenas goreng bersalut tepung serta pelbagai jenis sayaur-sayuran. Sebelah paginya sebelum itu, kami dihidangkan dengan sarapan yang ringkas berserta minuman panas dan sejuk, semuanya sudah termasuk di dalam kos pakej bernilai RM110 ini.

DSC_1740

Lihatlah keindahan pulau-pulau batu kapur ini yang mempunyai pelbagai bentuk semulajadi dan unik. Ada sebuah pembetukan batu kapur yang berbentuk Penyu, ada juga ditunjukkan sebuah bentuk seperti Buddha sedang bertapa duduk di atas bongkah batu, ada juga yang berbentuk seperti Mummia di Mesir dan tidak kurang menarik juga ditunjukkan bentukan seperti manusia sedang menggantung diri di hujung tebing. Cukup indah bumi ciptaan Allah, dengan pelbagai misteri yang tidak terjangkau oleh akal manusia!

DSC_1771

Sebelum pulang, kami berhenti di sebuah pulau yang terkenal dengan panggilan James Bond Island, kerana di situ pernah menjadi lokasi penggambaran filem James Bond "The Man with the Golden Gun" pada tahun 1974. Masyarakat tempatan pula memanggil pulau tersebut dengan nama Ko Tapu, namum gelaran James Bond Island itu lebih popular dan agak komersil. Di atas pulau kecil ini juga ada didirikan gerai-gerai kecil beratap nipah menjual pelbagai jenis cenderamata dan makanan ringan.

DSC_1789

Kami meninggalkan pulau-pulau itu dengan perasaan yang cukup puas, aku pula seperti tidak mahu lepas dari kedamaian air laut, seperti tidak cukup berenang dan berkayak, tidak cukup menyusuri lorong-lorong sempit di pulau batu kapur. Sepanjang perjalanan pulang, aku banyak menghabiskan masa berdiri di muncung kapal, menikmati keindahan Phang Nga, menyedut udara laut yang segar dan berselimut dengan bayu hangat dipanah mentari petang. Semuanya cukup indah untuk dirakam dikotak memori ini.

DSC_1937

Sesampai kami di hotel, Zoul dan Malim sudah pun berada di sana. Kami berehat sebentar sebelum bersiap-sedia untuk makan malam. Mereka yang pernah ke sini tahun lepas, mencadangkan kami ke Restoran Kusuma, masakan Thai-Malaysia. Memang ramai pengunjung dari Malaysia sedang menikmati hidangan di situ. Kami memesan pelbagai macam juadah dan semuanya memang sedap. Selesai makan malam, kami langsung pulang ke kawasan Patong, menyaksikan persembahan ala-cabaret di salah sebuah kelab di sana. Persembahan mereka memang mencuit hati sehingga tak kering gusi kami dibuatnya.

DSC_2034

Keesokannya, kami hanya bersiar-siar di sekitar Patong, membeli-belah di Jung Ceylon dan kedai-kedai cenderamata yang berderet di sepanjang jalan. Makan tengahari pula, di jalan menuju ke Kemala Beach, kami terserempak dengan dua orang wanita Islam yang sedang sibuk melayan tetamu. kami berhenti, melihat-lihat langsung memesan nasi dan lauk-pauk. Semuanya nampak sedap dan ternyata memang sedap serta harganya cukup berpatutan. Kami makan tengahari sambil pemandangan pantai yang luas dan membiru menjamu pancaindera. Semuanya sempurna walau cukup sederhana!

DSC_1953

Malam itu, kami mengunjungi Restoran Kusuma sekali lagi, kali ini lebih banyak makanan yang kami pesan, ikan, udang, sotong, tomyam dan pelbagai lagi. Kami juga terserempak dengan beberapa orang kenalan dari Miri yang juga sedang tercari-cari tempat makan halal. Selesai makan, kami terus menaiki kenderaan yang dipanggil tuktuk ini untuk menuju ke Hard Rock Cafe yang baru sahaja dibuka di Phuket. Premis Hard Rock Cafe ini mudah untuk dicari kerana terletak di penghujung jalan Patong Beach di sebelah kiri. Bangunan baru berwarna putih dan besar ini juga menempatkan hotel Marriot.

DSC_1973

Kami membeli beberapa helai baju serta cenderamata sebelum masuk ke dalam kafe untuk mendengar 'live band' yang sedang rancak mengalun muzik. Muzik-muzik segar dari era 80'an sehingga lagu-lagu terkini, terbuai-buai perasaan bila mendengar lagu-lagu era 80'an dan 90'an dimainkan terutamanya lagu-lagu dari Queen, Eagles, Pearl Jam, Rolling Stones dan lain-lain. Kami menonton persembahan kumpulan ini sehingga selesai dan sehingga kafe ini ditutup. Kami pulang ke hotel dengan berjalan kaki di sepanjang pantai Patong, sempat juga berhenti-henti melihat gelagat manusia di larut malam.

DSC_2029

Hari terakhir kami di Phuket, tetapi Zoul dan Malim masih mempunyai satu malam lagi di sini. Sekali lagi kami berjalan di persisiran pantai, menuju ke Kemala Beach mencari kakak yang menjual makanan tengahari semalam. Kami menunggu beberapa minit, sambil itu sempat pula berfoto di bawah terik panas matahari. Memang sekarang telah masuk musim panas di Phuket, namum malam sebelumnya ianya disimbah oleh hujan yang agak deras tetapi singkat.

DSC_2057

Sebaik selesai makan tengahari, kami berjalan menuju mencari cenderamata untuk dibawa pulang. Memang banyak kraftangan yang dijual disini, walaupun tidak semurah di Bangkok, namun ianya masih lagi dalam jangkauan. Begitu juga dengan farmasi dan kedai serbanika seperti Boots yang menjual barangan 'toiletteries' jenama fcuk dengan cukup murah. Kami singgah sekali lagi di Jung Ceylon, sambil duduk-duduk menikmati aiskrim dan kopi sejuk. Sebelum pulang, sempat lagi kami berehat dan melelapkan mata sementara menunggu Pong datang menjemput untuk ke Lapangan Terbang.

DSC_2051

Terasa tidak puas pula percutian kali ini, terasa terlalu singkat dengan banyak lagi aktiviti yang hendak dilakukan. Ditambah lagi dengan kehadiran teman-teman rapat di dalam percutian kali ini, bertambah seronok dan meriah. Pesawat AirAsia lewat malam itu meluncur laju meninggalkan Phuket menuju ke Kuala Lumpur, membawa bersama kenangan yang sarat dengan kisah gembira.

16 comments:

Chef Aduka said...

Bestnya island hopping!!!!Paling best tgk sunset....huahhhhhhhhhhhhhhhhhh,nak pegi la nanti.....

artisticklytouch said...

hmmm...tak sampai lagi

nadz said...

Indahnya alam kurniaan tuhan.

Faisal Admar said...

bro, best sangat baca 'pengembaraan' kali ni dan masih jeles dengan gambar-gambar yang diambil. kenapa warna dia cantik dan jelas? control saturation ke? contrast? ♥

CAHAYA said...

bestnya! tak pernah pegi thailand. macam seram je.

scrlettfr said...

dah sampai sana... 2 kali hehehhee... tapi klau dapat mengeliling pulau ngan kayak lag best.. walaupun penangannya 'gelap' hahhaha...

yatie sawanila said...

lawanye gambor.... anw.. we all belum sampai lagi.. one day

deekkyy said...

wah enak liburan...
visit back please

abd. halim hadi said...

Best Rush..never been there.Where is ur next adventure?

Syuzana said...

aiii...jauhnya perjalanan awk :)

lina said...

wah sgt cantik..i pi 16 thn yg lalu..

nazzman ibrahim said...

BESTnyaaaa .....sungguh indah bumi ciptaan yang maha Esa

asna ashraff said...

menarik!!!

Looking for used cars? said...

James bond island itu memang scenic view. Kalau pergi perlu ambil gambar betul betul.

Looking for a car? said...

a good place to travel=)
wonderful scenery!

nwati said...

bestnya dgr...
x pernah lagi p sana..
planning 4 my honeymoon kat sana bulan april next year...
flight dah beli...
u mcm banyak pengalaman melancong..
should i beli pakej or book hotel ja dr sini..n can u gv me idea which place best 2 stay??