Monday, January 18, 2010

Re-visit Similajau National Park

DSC_0839

A Black Magpie trapped inside our hostel, overlooking the outside ground and open seas.

Pelawaan pada saat-saat akhir oleh seorang rakan untuk menyertai 'weekend escapade' aku terima tanpa perlu banyak fikir, sementelah aku juga sedang memikirkan apa mahu dibuat pada hujung minggu itu. Amalia dan beberapa orang rakan telahpun merangka aktiviti hujung minggu di Similajau National Park yang terletak dalam daerah Bintulu, sekitar 2 jam memandu melalui lebuhraya pantai Miri-Bintulu. Aku pula menghebahkan kepada beberapa orang rakan lain untuk sama-sama menyertai aktiviti 'nature' ini. Akhirnya pada 9 Januari 2010, seramai 15 orang rakan ikut serta; Amalia, Amie, Ernyza, Diyana, Faizal, Izmet, Wilson, Ritz, Izmet, Adaha, Colin, Aidil, Azhari, Hilmi dan Yakie.

Sunset at Similajau, North Borneo. Malaysia

Beautiful sunset in Similajau, the small flare seen on the left corner is the Liquefied Natural Gas plants in Bintulu.

Selesai bersarapan di Miri, kami memulakan perjalanan dengan 3 buah kereta, menyusuri lebuhraya pantai, melalui beberapa perkampungan nelayan di daerah Miri, langsung menuju masuk ke kawasan penempatan pelbagai suku bangsa yang terdapat di sekitar daerah ini. Kelihatan rumah-rumah panjang dengan pelbagai nama dan rupa, namun rata-rata ianya telah dimodenkan dengan infrastruktur yang baik dan menarik. Perjalanan selama 2 jam itu tidak membosankan aku, pertamanya kerana kehijauan pemandangan di kanan-kiri jalan, keduanya aku ditemani rakan-rakan yang rancak berbual di dalam Mr. Lexus; Izmet, Adaha dan Yakie, ketiganya perasaan seronok dan teruja kerana kali terakhir aku ke sana ialah lebih 3 tahun dahulu.

Similajau 2010

Nature photos taken around Similajau National Park.

Menjelang tengahari, kami sudahpun sampai ke destinasi, Taman Negara Similajau, Bintulu. Ini merupakan Taman Negara yang ke-5 telah aku jejaki di Negeri Sarawak Bumi Kenyalang, sebelum aku berpindah ke Miri, aku pernah ke Bako National Park "The Oldest Park", bulan ke-dua aku di Miri, aku menjejaki pula Niah National Park "The Archeological Site of Sarawak", kemudian aku dengan beberapa teman termasuk Rhoni yang datang dari Batam, meneroka pula Similajau National Park "Where the Rapids Meet the Sea", setelah beberapa tahun di Miri, aku menjengah beberapa kali ke taman negara paling hampir dengan bandaraya Miri iaitu Lambir National Park "The Virgin Rainforest of Sarawak" dan perjalanan paling jauh dan sungguh mencabar pula ialah ke Loagan Bunut National Park "The Largest Natural Lake in Sarawak". Aku masih lagi mencari waktu untuk melawat Mulu National Park dan juga kawasan bukit-bukau di Bario, insyaAllah jika ada kelapangan.

Similajau 2010

Setelah diberikan penerangan oleh pegawai yang bertugas di sana, kami mula mengemas barang memasuki chalet panjang yang mempunyai lebih sepuluh kamar, dan setiap kamar pula boleh memuatkan 4 orang. Kesemua ahli rombongan ini sepakat untuk melakukan 'jungle trekking' ke beberapa destinasi/trail yang berbeza, Azahari pula memutuskan untuk ke Bintulu dan terus pulang, aku dan Yakie juga ke bandar Bintulu untuk mencari bahan-bahan untuk dibuat BBQ petang nanti. Lewat petang, kumpulan pertama yang mengikuti trail Batu Anchau telah selamat pulang, dan membawa cerita terserempak dengan beberapa ekor babi hutan. Kumpulan kedua yang menuju sehingga ke Turtle Beach I sejauh 14km pergi-balik tiba agak lewat namun tergambar kepuasan di wajah mereka.

Selesai Maghrib petang itu, kami memulakan aktiviti BBQ - makan sehingga puas; daging kambing, ayam, ikan, udang dan lain-lain. Setelah itu, dilanjutkan pula dengan sesi 'charades' di balik bayang unggun api yang dibina oleh Wilson dan Colin. Teringat kenangan semasa di sekolah menengah dahulu dan juga perkhemahan aku di Mersing apabila bermain charades ini. Kami semua kembali menjadi 'anak-anak' sekolah, dengan gelagat dan perangai masing-masing. Cuaca malam yang bagus dihembus bayu Laut China Selatan mengizinkan kami berada di tepian pantai sehingga lewat malam, menghayati indah alam ciptaan Allah.

Tamu Bintulu

Aku bangkit dari tidur seawal jam 6 pagi, sedang yang lain masih lena diulit mimpi dengan kedinginan dan susasana permai hutan Similajau. Selesai mengerjakan Subuh, aku terus mengenakan pakaian dan kasut, menghirup udara segar di sepanjang kompleks taman negara ini, memerhatikan matahari muncul di ufuk timur dalam kelam awan tebal, sambil ditemani nyanyian burung-burung dan unggas-unggas di sekeliling.

Agak awal juga kami semua meninggalkan Similajau untuk menuju ke bandar Bintulu, mencari gerai untuk bersarapan dan aktiviti seterusnya. Kami sempat juga mengunjungi pasar besar, melihat hasil-hasil penduduk tempatan dijual, memerhatikan keunikan pelbagai produk yang dijual sudah cukup menggambarkan kepelbagaian etnik di sini dan juga kegigihan mereka yang menjalani hidup dikelilingi hutan belantara dan sungai. Kami berkonvoi meninggalkan Bintulu setelah singgah sebentar di masjid besar Bintulu; Masjid As-Syakirin yang berbumbung biru, mengharungi hujan lebat di sepanjang perjalanan, berhenti rehat di pekan Niah sambil membeli buah Salak Madu yang dijual oleh penduduk keturunan Bugis, dan akhirnya selamat tiba di Miri sebelum lewat petang. Alhamdulillah, perjalanan kami semuanya selamat, lancar dan pastinya penuh dengan keseronokkan!

11 comments:

CAHAYA said...

bestnya! dah lama tak traveling.

ZBL said...

wow..best nya..terkilan rasa tak leh pi..:(

nurarinab said...

u have a nice blog!!! :)

fzy fuzzy said...

Salam cik tepak,

Sy sekarang dalam rangka lawatan menjelajah penempatan orang2 dayak (iban, penan, bidayuh) di Sarawak.

Baru balik dari sibu tengok orang iban. Bulan 3, ke penempatan penan pulak. In between mungkin tengok bajau laut n bajau darat.

Kalau nak ajak u, our schedule selalu berubah2 sebab suka-suka hati je kitaorang nak pergi. Hehehehehe..

The biggest trip might seeing previous kiblat sebelum kaabah, jika diizinkanNya. Insyallah...

Anonymous said...

singgah...

YAM tengku

Chef Aduka said...

Bestnya ada ungun api...lamanya tak camping back to nature....

KHALILA said...

salam

wah abg tepak mmg x leh duk diam ada je destinasi yg bikin hati ini panas tak pe 2 saya nya turn tiba sikit lagi tengah bakar line nak g bandung ni harap 2 jadi lah. Anyway selamat tahun baru w/pun lewat 22 hari. daaa...

hajah zainab bt abdullah said...

salam Rush,

interesting sangat tengok gambar2 yang Rush 'tembak' tu...well done!

kczura said...

Salam...Blog yang cukup menarik dengan paparan gambar dan perjalanan cerita cukup membuatkan saya teruja. Saya sendiri bagaikan berada di dalam percutian 'tepak sireh'& rakan2..Lantas, saya terus berkeputusan untuk melihat keindahan dan keunikan yang terdapat di bumi Sarawak sebelum saya berpindah ke Semenanjung. Tahniah skali lg...opss, b4 that's, asalnya saya ingin mencari blog kawan saya tetapi tertera blog 'tepak sireh', sorry meilhatnya...

Wahidah said...

lepas ne nak p jenjalan ke mana pulak???

sheikh mustafa kamal al aziz said...

salam sdr,
blogger sdr entertaining... saya suka melayarinya kerana saya juga suka travel. tq

sila layari blogger saya: http://sheikhmustafakamal.blogspot.com/ anda juga akan mengalami satu pengalaman baru...