Saturday, June 13, 2009

New Zealand Trip: Greymouth-Hokitika-Franz Josef

DSC_0425-2

An antique car was seen passing-by in Greymouth town at late afternoon.

Kami meninggalkan Greymouth seawal jam 8 pagi, cuaca di luar masih lagi suram dan mendung dengan sedikit limpahan cahaya matahari. Aku menyediakan sendiri sarapan pagi, hasil dari beli-belah sehari sebelumnya di pasaraya berdekatan stesyen keretapi Greymouth – bersarapan dengan sandwich keju dan salad. Ludwig dan Sarah yang berasal dari England juga ada bersama dalam route ke Franz Josef ini, kami lebih selesa bersama.

DSC_0477-1

One of the prominent landmarks in Hokitika - the Clock Tower. It is a memorial to the soldiers who fell in the Boer War (1899-1902) and also commemorates the coronation of King Edward VII.

Setelah lebih sejam perjalanan, Magic Bus berhenti untuk minum pagi sambil melihat hasil kerjatangan khusus ‘Greenstone’ (batu berwarna hijau seperti Jade) di sebuah pekan bernama Hokitika. Sekali lagi pekan di New Zealand ini kelihatan seperti tiada berpenghuni, hanya ada 5-6 orang sahaja berada di jalanraya. Kami langsung menuju ke sebuah kedai yang juga merupakan galeri pameran ‘Greenstone’. Ditunjukkan lokasi di mana terdapat batuan ini, sejarah penemuan dan seterusnya cara memproses sehingga terbentuknya figura-figura mistik kaum Maori yang amat menarik.

DSC_0459-2

Hokitika Carnegie Free Public Library was opened in 1908, (currently is the West Coast Historical Museum) from patio of Cafe de Paris.
Dalam pada meninjau-ninjau pekan Hokitika sambil mengambil foto, terpandang pula aku akan sebuah kafe kecil yang amat menarik, langsung berhajat pula untuk mencuba secawan Cappucino. Cafe de Paris – “Awarded the Best Cafe in New Zealand 2007 & 2008” terpampang di pintu masuk kafe deko ala-Peranchis ini. Cappucino berharga NZ$4.50 itu memang sedap!

DSC_0483-1

Setelah hampir sejam di Hokitika, kami beransur untuk menuju ke sebuah lagi pekan kecil yang diberi nama Ross – pekan lama ‘gold mining’. Beberapa orang dari kami cuba untuk mendulang dengan sedikit bayaran, manakala aku, Ludwig serta Sarah hanya berlegar-legar di kawasan sekitarnya yang diwartakan sebagai salah sebuah penempatan bersejarah dan pusat pelancongan. Amat sepi sekali persekitaran di sini, ada beberapa rumah lama yang masih terjaga rapi dan sedikit kesan peninggalan pelombong emas yang terdahulu.

DSC_0489-1

Kami sampai di destinasi seterusnya iaitu Franz Josef sekitar tengahari, langsung terus check-in di hostel. Beberapa minit kemudian aku terus menuju ke pekan kecil Franz Josef yang terletak beberapa minit berjalan kaki dari hostel, untuk menempah aktiviti seterusnya - Half-day Glacier Hiking. Ludwig ikut serta dalam aktiviti ini manakala Sarah memilih untuk melakukan Franz Josef Heli Hike, yang lebih menarik dan tentunya jauh lebih mahal.

DSC_0498-1
Setelah diberikan taklimat dan memilih serta mengenakan pakaian yang dibekalkan, kami pun bertolak dengan menaiki bas yang disediakan. Perjalanan yang menyeronokkan seperti rombongan bas sekolah itu memakan masa kurang dari 30 minit untuk sampai ke lokasi dan sekali lagi kami diberikan taklimat oleh Glacier Hiking Guide yang akan memandu arah kami mendaki gunung berglacier.

DSC_0516-1

Semasa mendaftar untuk aktiviti 'santai' ini, aku tidak menduga bahawa ianya agak sedikit sukar bagi mereka yang tidak
fit dari aspek fizikal. Aku bayangkan ianya hanya sebuah aktiviti seperti leisure walk sambil bermain salji dan berguling-guling atas glacier. Sangkaanku merosot apabila Guide memberikan penjelasan ringkas mengenai aktiviti hari itu. Sekali pandang jarak dari tempat aku berdiri dan kaki gunung amat dekat, mungkin hanya beberapa minit perjalanan, namun ianya hanya sebuah ilusi, jarak sebenar ialah hampir 2 Kilometer! Itu belum lagi dikira jarak untuk mendaki dan sebagainya. Bermacam-macam perhitungan pula bermain di fikiran aku ketika itu - "Mampukah aku? Boleh ke sampai ke atas sana?"

Franz Josef Glacier

Setelah berjalan sejauh 2 Kilometer, kami dibekalkan pula dengan Crampons - iaitu sejenis peralatan sepatu untuk mendaki glacier. Sekali lagi penerangan mengenai cara-cara menggunakan Crampons, cara untuk mendaki menggunakan tali, tangga dan sebagainya. Di pertengahan pendakian, aku dan beberapa orang sudah kepenatan, hilang tenaga dan tumpuan. Kami berhenti rehat beberapa kali, rehat yang tidak lebih dari 5 minit dan perlu pula berhimpit-himpit. Walau fizikal aku sangat penat dengan berat beban but yang melebihi 3 Kilogram, aku gagahi juga, aku kuatkan mental dan semangat. Alhamdulillah! aku berjaya sampai ke puncak, dengan kepayahan tetapi berbekalkan mental yang amat fokus. Inil antara hadiah paling bermakna untuk aku bersempena hari lahir yang jatuh pada hari itu juga. Kenangan terindah di samping pemandangan yang sungguh mengasyikan dari puncak gunung glacier Franz Josef!!!

DSC_0529-2

Menuruni kawasan gunung tidak sesukar pendakian, aku seperti meluncur laju dan seolah-olah memperolehi tenaga baru. Langit agak sedikit gelap ketika kami sampai ke bawah gunung, sudah semakin lewat petang, matahari sudah mula menghilang bersama cahayanya. Suasana di pekan kecil Franz Josef amat tenang, sejuk yang teramat dan langit pula semakin berbalam bertukar warna kemerah-merahan. Indah sungguh ciptaan Allah di bumi sebelah sini. Aku sempat melihat kawasan sekitar, mencari-cari kedai menjual kopi panas dan kedai runcit untuk membeli sedikit bekalan makanan untuk malam nanti.


DSC_0530-1

Sesampai di hostel, aku terus menuju ke bilik Sauna yang disediakan, mandi wap sambil meregangkan otot-otot kaki. Max yang aku jumpa dan kenal sebelum ini juga sedang bermandi wap, kami saling berbual mengenai pengalaman mendaki glacier. Setelah selesai, aku menunaikan kewajipan terlebih dahulu di dalam bilik (Craig yang berasal dari Canada termanggu kehairanan melihat gelagat aku) dan langsung ke dapur untuk membancuh minuman sambil menunggu Max yang akan turut serta makan malam bersama. Restoran dan kafe di sini ditutup agak awal, dan sekitar jam 8 malam semuanya sudah sunyi sepi, kecuali hanya sebuah yang masih beroperasi.
DSC_0535

Semua makanan sudah habis dan dapur sudah ditutup, tetapi masih boleh memesan minuman. Max memberitahu kepada pelayan restoran bahawa hari itu merupakan hari lahir aku, dan Chef bersetuju untuk menyediakan kentang goreng dan
Blueberry Cheese Cake yang dihias menarik berserta sebatang lilin. Bukan itu sahaja, dimainkan juga lagu-lagu klasik selamat hari jadi di corong sound speaker restoran. Aku dan Max berbual pelbagai subjek dari politik, agama dan pengalaman hidup. Kemudian kami bermain pula Billiard di hostel sambil menyambung perbualan sehingga larut malam. Hari yang sungguh panjang dan amat meletihkan bagi aku, namun ianya meninggalkan banyak kenangan manis yang pastinya kekal terpahat dalam ingatan!

Mount Cook & Mount Tasman

One of many beautiful sceneries en-route Franz Josef - Queenstown.
Esok merupakan perjalanan paling jauh yang akan kami tempuhi, perjalanan sepanjang hari yang meliputi beberapa ratus kilometer untuk sampai ke destinasi yang sungguh menakjubkan - Queenstown. Bandar peranginan ini benar-benar telah membuat aku jatuh cinta!