Friday, May 29, 2009

New Zealand Trip: Melbourne-Christchurch-Greymouth

DSC_0003

Pesawat Malaysia Airlines MH129 bertolak dari KLIA tepat pada waktunya membelah angkasa tanahair menuju ke Melbourne, Australia. Kurang 8 jam kemudian, aku sudah berada di Tullamarine International Airport, dalam keadaan suhu di luar sekitar 8’C – sudah cukup sejuk untuk menembusi jaket tebal yang aku pakai. Berlegar-legar keluar masuk lobi Tullamarine sementara menunggu Dr.DBI datang menjemput. Terserempak dengan seseorang yang sangat familiar wajahnya, dia tersenyum terlebih dahulu, aku membalasnya, beberapa ketika kemudian kami bertegur sapa dan tidakku sangka dia kini berada di Melbourne dalam sesi latihan sepanjang tahun. Dia menghulurkan bantuan untuk menghantar ke rumah Dr.DBI, ataupun tumpang sahaja tidur di rumahnya. Perbualan kami sangat singkat, walau apapun aku doakan semoga dia akan menjadi Juara Dunia suatu hari nanti.

DBI

Nikmatnya makan malam berulam keropok ikan Terengganu dan lada tumbuk hasil masakan isteri Dr.DBI. Lauk-pauk yang panas dalam cuaca malam gelap yang dingin di bumi asing- syukur! Cuma sempat berbual pendek dengan tuanpunya blog Dari Bilik Ini ini, lagi pun Dr.DBI kena bangun amat awal dan agak sibuk dengan kehidupan barunya di sana. Selesai menikmati sarapan nasi goreng serta keropok ikan, Dr.DBI menghantar aku ke Tullamarine Airport yang terletak cuma 15 minit perjalanan dari tempat tinggalnya. Pagi itu pesawat DJ62 Pacific Blue bertolak menuju ke Christchurch, New Zealand – destinasi pertamaku di bumi Kiwi.

DSC04834

Lapangan Terbang Christchurch tidaklah begitu besar kalau dibandingkan dengan lapangan terbang Miri atau Senai, Johor. Perjalanan pesawat memakan masa lebih 4 jam dan sesampai di sana cuaca sudah agak gelap dengan tiupan angin yang sangat kencang berserta sedikit gerimis. Aku terus dihantar ke tempat penginapan yang terletak betul-betul di tengah kota Christchurch. Beberapa ketika kemudian Ms.Pinky datang menjemput, destinasi pertama ialah Starbucks sebelum kami dan 2 orang rakan beliau turut serta makan malam di Nando’s. Terima kasih kepada Ms.Pinky yang sangat peramah dan baik hati – patutlah ramai blogger yang senang dengan beliau.

My creation

Keesokkannya, seawal jam 6 pagi aku sudah bangkit dari tidur namun ada beberapa orang penghuni sudahpun berada di dapur menyediakan sarapan masing-masing. Sebelum jam 8 pagi, aku sudah dihantar ke Christchurch Railway Station untuk check-in dan seterusnya menaiki keretapi TranzAlpine menuju ke pekan kecil Greymouth di pantai barat. Perjalanan keretapi ini memakan masa selama 5 jam dan sejauh 225km merentasi South Island di celah-celah kawasan pergunungan Southern Alps, merentasi Canterbury Plains, mengekori aliran sungai yang menuju ke Tasman Sea.

DSC_0214


Perjalanan keretapi berhenti seketika di Arthur Pass bagi memberi peluang kepada para penumpang untuk melihat kawasan pergunungan Southern Alps dengan lebih dekat sambil bermain dengan salji yang sedang renyai-renyai turun. Pemandangan sepanjang perjalanan menuju ke Greymouth memang amat indah dan menakjubkan. Dari kawasan tanah rendah di Christchurch , lembah, sungai, pergunungan bersalji, perkampungan, ladang, tasik-tasik membiru, hutan menghijau...semuanya cukup sempurna bak poskad!

DSC_0438

Greymouth merupakan sebuah pekan kecil, perhentian terakhir bagi keretapi TranzAlpine dari Christchurch. Tidak ramai penduduk dan pekan ini tiada bangunan lebih tinggi dari 3 tingkat, kelihatan seperti sebuah pekan lama tetapi terjaga baik dan rapi. Tempat tinggal aku pula terletak beberapa ratus meter dari stesten keretapi, sebuah bangunan lama diperbuat dari kayu, di lereng sebuah bukit menghadap ke arah laut. Kainga-ra, nama rumah lama berusia lebih 75 tahun ini, amat bersih, teratur rapi, jauh dari hiruk-pikuk dan sedikit menyeramkan. Ludwig dari Sweden berkongsi bilik dengan aku dan kami bersama menuju ke Franz Josef keesokan harinya - sebuah kawasan pergunungan bersalji dan sesuai untuk membuat glacier hiking.

My creation

Sebahagian dari pemandangan di sekitar pekan kecil Greymouth di waktu petang. Foto di kiri ialah bekas bangunan Bank New Zealand tetapi kini merupakan sebuah galeri seni. Foto atas kanan merupakan pemandangan muara dan pelabuhan kecil di tengah-tengah pekan Greymouth. Foto seterusnya ialah bangunan yang dinamakan Kainga-ra, tempat penginapan aku ketika di sana dan akhir sekali ialah foto stesyen keretapi Greymouth, hentian terakhir TranzAlpine, stesyen keretapi kecil yang mempunyai rekabentuk seakan-akan stesyen keretapi di pekan Kulai. Hari ke-2 pengembaraan aku sudah pun selesai di Greymouth, masih berbaki 13 hari lagi untuk ditempuhi. Terima kasih kepada mereka yang sentiasa mendoakan keselamatan dan kesejahteraan aku sepanjang perjalanan ini.

DSC_0172

Salah satu pemandangan di sepanjang perjalanan keretapi TranzAlpine.

Tuesday, May 19, 2009

New Zealand: A Dream Adventure Come Alive.....

MYY-AKL Maps

Kurang dari 48 jam, aku akan terbang bersama pesawat MH129 dari Kuala Lumpur menuju ke Tullamarine Airport, Melbourne Australia. Sesampai aku di sana nanti akan disambut oleh salah seorang kenalan blogger DBI yang baru beberapa bulan berhijrah bersama keluarga beliau. Keesokan paginya, aku perlu bergegas menuju ke Tullamarine sekali lagi untuk menaiki pesawat Pacific Blue DJ62 menuju ke Christchurch, New Zealand dan akan berada di bumi Kiwi itu selama 16 hari. Penghujung kembara di New Zealand akan berakhir di kota Auckland (ambil peluang bertemu sahabat karib yang sudah berbelas tahun tidak ketemu, si blogger Ahau-Dee), dan seterusnya aku akan terbang menuju ke Australia semula untuk menikmati penghujung musim luruh/awal musin sejuk di kawasan pantai Gold Coast sebelum pulang semula ke Melbourne untuk menaiki pesawat MH128 menuju ke Kuala Lumpur dan seterusnya ke bumi Borneo. Begitulah mukaddimah ringkas rihlah aku pada tahun ini, seperti kebiasaannya bersempena menyambut hari lahir dan seperti biasa juga aku mengembara secara solo.

Dengan menularnya wabak flu N1H1, ramai yang memberikan pendapat supaya aku tangguhkan dahulu rihlah pada kali ini. Risau memang ada, tetapi aku berusaha untuk meminimakan risiko jangkitan. Banyak artikel boleh didapati di internet mengenai langkah-langkah pencegahan dan kerajaan New Zealand juga telah memberikan assurance bahawa penyakit itu terkawal di sana dan negara tersebut selamat untuk dikunjungi. Sila rujuk kepada laman ini New Zealand Government.

My New Zealand's Travel route

Peta di atas menunjukkan route yang akan aku lalui sepanjang kembara di New Zealand nanti. Mudah-mudahan aku mempunyai banyak masa terluang untuk mencatat segala kenangan semasa di sana melalui blog Tepak Sireh ini. Itinerari ini aku siapkan dalam masa beberapa bulan, dan cuma 2 minggu terakhir ini segala tiket, mod pengangkutan, tempat penginapan, tempat makanan halal (click here for NZ Halal Directory), masjid dan waktu solat (click here for masjid and other Islamic related information in New Zealand) dan sebagainya berjaya dikemaskini dan confirmed. Kembara kali ini pasti amat mengujakan, selain menaiki beberapa buah kapal terbang, aku juga bercadang untuk menaiki bot, kapal persiaran, keretapi, feri dan kuda selain dari Magic Bus yang akan membawa aku di sepanjang perjalanan yang bermula di Christchurch dan berakhir di Auckland.
Aku mengambil kesempatan untuk bermalam di Gold Coast dalam perjalanan pulang dari New Zealand ke Australia. Percutian singkat kurang lebih 24 jam di Gold Coast nanti pasti mencabar minda dan kreativiti aku untuk memaksimakan masa yang ada dengan pelbagai tarikan yang pastinya sungguh mengujakan. Memandangkan aku pernah ke Melbourne sebelum ini iaitu sekitar penghujung Mei 2005, juga bersempena menyambut hari lahir (Blue Mountain yang dingin meninggalkan kenangan tersendiri), aku cuma jadikan kota metropolitan ini sebagai titik transit.

Milford%20Sound

Sepertimana dua tahun berturut-turut sebelum ini, aku menemukan kedamaian dan ketenangan yang terlalu istimewa dan indah di kota Makkah dan Madinah. Semoga rihlah di bumi di mana orang Māori menggelarkannya Aotearoa ini juga akan menemukanku akan ketenangan dan kedamaian dalam pada menikmati serta mensyukuri nikmat Allah. Doakan kesejahteraan dan keselamatan aku di sepanjang perjalanan ini nanti.......

Friday, May 08, 2009

Weekend with the Loved Ones....

Kenduri di Kulai
Salam Jumaat, hari yang penuh keberkatan dan keampunan. Hari ini genap seminggu aku pulang ke kampung halaman bertemu ibubapa dan kaum keluarga serta sahabat handai. Bak nasihat seorang Sahabat tercinta, adalah dianjurkan supaya memulakan perjalanan atau bermusafir sebaiknya di awal pagi Jumaat. Sesampai di rumah, aku dijamu dengan makan tengahari - Asam Pedas Ikan Parang, sayur lodeh, sambal tumis sotong, sambal belacan kuini dan bermacam-macam aneka lauk-pauk. Kali terakhir aku pulang ialah sekitar bulan Disember tahun lalu. Selesai solat Jumaat di masjid berdekatan kawasan perumahan kami, kelihatan jemaah tahlil sudahpun berpusu-pusu menuju ke rumah untuk majlis doa kesyukuran.

DSC_0029

Majlis kesyukuran yang dianjurkan oleh Mamat dan Anita - bersyukur ke atas kejayaan yang mereka perolehi baru-baru ini. Beberapa ratus orang dijemput untuk meraikan bersama kejayaan mereka, sebagai tanda terima kasih dan menghargai sokongan mereka. Majlis pula berlangsung selepas solat Jumaat sehinggalah ke Asar, memang ramai yang hadir terutamanya kaum-keluarga, sahabat handai dan jiran tetangga yang tinggal di sekitar Bandar Kulai. Aku mengambil kesempatan untuk beramah-mesra dengan mereka yang hadir, sesetengahnya memang sudah lama tidak bertemu, dalam riuh rendah itu terdengar pula orang berbisik "itu abang Rush Tepak Sireh..." tertoleh-toleh aku mencari punca suara itu - ada juga peminat Tepak Sireh di Kulai ni. Alhamdulillah, majlis berjalan sungguh lancar, lauk-pauk yang dimasak oleh kaum keluarga sendiri memang sedap dan hadirin yang datang pula semuanya berwajah ceria.

DSC_0063
Adik ipar aku si Aman datang ke rumah bersama kedua orangtuanya, sama-sama meraikan majlis kesyukuran dan kemudian majlis kecil sambutan Hari Ibu untuk Mak kami berdua. Acara serba ringkas tetapi penuh makna dan ceria. Mak merupakan insan terhebat, anugerah dari Allah yang tidak ternilai, semoga Mak terus bahagia dalam menjalani hidup di dunia, dan kekal cekal menghimpun keredhaan Allah untuk hari kemudian. Semoga Mak gembira dengan hadiah-hadiah kecil yang tak seberapa itu, berbanding dengan segala kasih sayang yang di curahkan oleh Mak kepada aku, pastinya seribu tahun lagi belum tentu aku dapat membalasnya.

DSC_0098

Memandangkan malam masih muda dan peluang inilah aku gunakan untuk bersantai bersama adik-beradik dan teman, kami menuju ke Red Box di Plaza Pelangi untuk berkaraoke. Terima kasih kepada Rosli kerana dalam keadaan tidak sihat sanggup juga bertemu dan menemani kami di sana. Terima kasih Ira kerana menyanyikan lagu Matahariku, walau sedikit sumbang tetapi along tetap terhibur. Terima kasih Sahabat kerana meluangkan masa berkaraoke bersama kami dan menyahut cabaran untuk menyanyikan beberapa buah lagu, terutamanya lagu Fatamorgana - insaf!. Pakej karaoke di sini sungguh berpatutan, pakej bilik berserta makanan dan minuman termasuklah buffet supper yang ringkas tetapi sedap. Hari yang sungguh panjang dan meletihkan tetapi aku tetap ceria dan bersyukur!

My creation
Seawal pagi kami sudah bangkit, dihidangkan Mee Bandung sebagai sarapan. Inilah Mee Bandung paling sedap pernah aku nikmati, Mee Bandung olahan Ira, gerai kecil di Stesyen Keretapi Kulai, wajib cuba kalau ke bandar Kulai. Seperti yang dirancang, kami bersiap-siap untuk memandu menuju ke Kota Singapura, ditemani Anita dan Zurah. Tiada perancangan khusus untuk kemana, hanya ingin memandu melepaskan 'gian' dan menjenguk Orchard Road. Seperti biasa aku akan pakir kereta di Arab Street, berdekatan dengan Istana Kampung Glam, kemudian mengambil MRT Bugis menuju ke destinasi seterusnya. Memandangkan Zurah belum pernah ke beberapa kawasan di sini, kami membawanya melihat ikon Singapura - Merlion, dan kawasan sekitarnya.

Singapore

Orchard Road, masih tidak banyak perubahan semenjak 20 tahun lampau. Masih mempunyai tarikan tersendiri untuk para pelancong terutamanya yang suka membeli-belah. Beberapa buah butik kami jenguk dan beberapa keping beg kertas kami jinjing bawa pulang. Setelah mengalas perut di Burger King, kami beransur pulang kerana ada majlis yang perlu dihadiri pada malam itu. Kami sempat singgah di Masjid Sultan untuk menunaikan tanggungjawab sebelum memecut laju di sepanjang lebuhraya Singapura menuju ke Johor Bahru. Di sepanjang perjalanan, banyak perkara yang aku fikirkan., terutamanya nostalgia di zaman kecil membeli-belah untuk persiapan Aidilfitri di sini.

DSC_0203

Kami sampai ke majlis sambutan Hari Lahir ini tepat pada waktunya. Majlis diadakan di rumah Tunku Bakar dan isterinya Puteri Astrini, di Pasir Pelangi Johor Bahru. Ramai kenalan yang tururt hadir di majlis tersebut, aku berasa sungguh selesa dan amat gembira bertemu semula dengan mereka. Semenjak aku berpindah ke Miri, ada di antara mereka amat jarang aku temui, dan ada pula hanya berhubung melalui telefon atau di facebook sahaja. Dalam hati asyik membentak "aku ingin pulang!!!". Terlalu banyak yang ingin kami sembangkan dalam waktu yang amat terhad, insyaAllah akan dilanjutkan bila berkesempatan kelak. Terima kasih juga kepada YAM Tunku Shahariah yang asyik mengingatkan aku tentang majlis tersebut dan juga layanan yang diberikan.

Family

Agak lewat jugak pulang pada malam sebelumnya kerana sempat singgah di Danga Bay melihat-lihat penduduk Johor Bahru menghabiskan malam minggu mereka. Sebelum memandu pulang ke KLIA pada sebelah petangnya, aku sempat membawa Mak dan Abah ke Tebrau City untuk sedikit membeli-belah sambil makan tengahari. Paling lucu apabila aku perlu mengangkut 7 biji roti Gardenia Butterscotch yang dibeli di pasaraya Jusco untuk di bawa pulang ke Miri. Hati amat berbunga-bunga bila melihat Abah dan Mak sentiasa senyum dan bergurau senda - semoga Allah pelihara mereka berdua di dunia dan di akhirat...Amiiinn...

DSC_0251

Adik ipar aku si Aman menemani aku memandu pulang ke KLIA, kami bertolak sekitar jam 4 petang, cukup masa untuk sampai di KLIA jam 7 malam dan menaiki pesawat jam 8.40 malam. Kita merancang, tetapi Allah lebih mengetahui segalanya. Sebaik menghampiri lebuhraya di Pedas, Negeri Sembilan, keadaan kenderaan mula menjadi sesak, kereta dipandu dengan amat perlahan dan masing-masing membuntuti dengan rapat. Aku masih boleh lagi bertenang kerana mengharapkan akan tetap sampai tepat sebelum pesawat berlepas. Tetapi setelah lebih 1 jam keadaan di atas lebuhraya masih tidak berubah, aku mula ligat berfikir untuk strategi seterusnya. Terima kasih Siti Cha kerana membantu menyampaikan maklumat.

My creation
Beginilah keadaan di hentian Senawang yang tiba-tiba menjadi sesak dan seperti di sebuah tapak pesta atau pasar malam. Pengguna lebuhraya mengambil peluang untuk berehat dan melepaskan hajat di hentian kecil yang mempunyai kemudahan paling asas. Kami juga berhenti seketika untuk melepas lelah dan menunaikan tanggungjawab di Wakaf yang disediakan. Memang tidak disangka yang aku akan terperangkap dikesesakkan lebuhraya, lebih-lebih lagi ini bukan merupakan cuti panjang persekolahan atau perayaan.

DSC_0294

Jam 9 malam kami masih berada di dalam kesesakkan lebuhraya, sesak di kedua-dua arah menghampiri Seremban. Kami santai sahaja di dalam kereta, bersembang sambil mendengar alunan muzik di dalam kereta. Setelah menurunkan Aman di Damansara, aku menuju ke Shah Alam untuk menumpang tidur di rumah Dell. Sebelum itu kami sempat menjamu selera Nasi Kandar di Seksyen 9 yang tidak jauh dari rumah beliau. Sambil makan, sambil Dell membantu untuk mendapatkan tiket penerbangan esok hari. Terima kasih kepada Dell dan Ustaz Mohamad yang sudi menumpangkan aku dan menemani makan tengahari di The Curve. Terima kasih juga kerana ikut serta menziarahi Yazlan yang akan berangkat menunaikan Umrah dalam masa beberapa hari. Padat? Ya memang sungguh padat jadual aku setiap kali pulang ke Semenanjung, kepada mereka yang tidak sempat aku ziarahi dan temui, minta maaf dan jangan berkecil hati.. insyaAllah di lain kali.