Sunday, April 26, 2009

East Meets West at Rush's Living Room

Rush's Home
Mencari kedamaian dalam tenang malam, sunyi persekitaran dan sepi suasana. Sudut ini menjadi kegemaranku kini, menghilangkan lelah di waktu sianghari, sambil membaca dan mendengar alunan unggas dari tasik bersebelahan rumah. Wing chair kain baldu berwarna maroon berusia 5 tahun ini, baharu sahaja aku tukarkan kain pembalutnya, yang sebelum ini bercorak chekered. Walaupun deko ini kelihatan mirip citarasa Eropah, tetapi telah disimfonikan dengan alunan Asia seperti pasu Sarawak yang diangkat menjadi meja kecil meletakkan coffee table books di samping cepu tembikar Thai. Manakala Wine Cabinet pula diisi dengan bermacam hasil kerjatangan penduduk benua Asia, dan di atasnya tersusun rapi barangan tembaga seperti Tepak Sireh dan Bohemian Crystal.
Rush's Home
Projek untuk mengubahsuai deko rumah ini memang telah lama aku rancang, cuma baru-baru ini sahaja ianya dapat disempurnakan. Aku mulakan pengubahsuaian di ruang tamu dan bilik tidur secara serentak, diikuti ruang makan dan dapur serta bilik tetamu. Sofa 2 seater berwarna biru kelihatan amat lusuh walaupun kusyen masih lagi pejal dan dalam keadaan baik, maklumlah sudah 7 tahun aku membelinya dari Homelife semasa tinggal di Johor Bahru. Aku mengambil keputusan untuk menukar sahaja slip-cover, dan tidak membeli yang baru walau harga menukar slip-cover tidak banyak berbeza dengan membeli yang baru. Dengan menukar slip-cover, aku dapat memilih sendiri warna dan jenis fabrik yang hendak digantikan bersesuaian dengan konsep dan citarasa. Dua buah kerusi kayu jati Indonesia buatan tangan berlatarkan pemidang kayu dan disapukan lacquer dari China berlukisan tangan diletakkan rapat ke dinding bagi memenuhi ruang kosong menuju ke ruang makan.
Rush's Home
East meets West - Timur bertemu Barat, dari dulu lagi konsep ini aku terapkan dalam membuat deko di kediaman sendiri. Aku lebih selesa dengan deko sebegini, yang selalunya mudah untuk disesuaikan dan serasi dengan pemilihan perabot dan koleksi barangan kraftangan serta barangan hiasan. Contohnya kaki meja dari wrought iron ini mirip pertukangan Sepanyol manakala sofa kayu jati Jepara yang dianyam dari jut pula selesa dipadankan bersama sarung kusyen bercorak daun getah dari Thailand. Sementara tembikar buatan dari pelosok negara Asia, aku susunaturkan bersama bekas-bekas kristal dari Czech dan Jerman, sungguh harmoni.
Rush's Home
Aku gemar perabot yang diperbuat dari kayu, warna asli kayu dan mempunyai rona-rona asli corak usia kayu. Sebelah kiri, kayu Rosewood dari China berukiran naga di alam mistik merupakan tempat kaki lilin yang diletakkan di altar memuja nenek moyang dan dewa-dewa oleh masyarakat keturunan Cina. Wine Cabinet dari kayu getah ini dibuat di Malaysia tetapi untuk diekspot ke luar negara, sejenis kayu yang ringan dan mudah dijaga serta tahan lama. Pinggan pelbagai saiz diperbuat dari sejenis kayu dan dilekatkan kepingan-kepingan kecil seperti marmar pelbagai warna dan corak dari Bali. Salah satu cenderamata kegemaran aku yang dibeli di Bali semasa berkunjung ke sana sekitar hujung tahun lepas - kenangan yang sentiasa menggamit perasaan.
Rush's Home
"Rumahku Syurgaku" sesungguhnya mempunyai pelbagai tafsiran dan konsep tersendiri. Berada di dalam rumah yang kemas tersusun rapi serta bersih juga merupakan satu terapi terbaik untuk menghilangkan tekanan di tempat kerja dan di luar. Barangan kraftangan dan cenderahati yang menjadi koleksi di dalam rumah ini mengingatkan aku dengan pelbagai perkara dan cerita, dengan pelbagai tempat yang pernah aku jejaki, dengan bermacam jenis individu yang pernah aku jumpa dan sayangi, yang pernah singgah dalam hati dan hidup, dan setiap satunya unik serta bernilai. Deko terkini yang aku ilhamkan seakan memberi semangat baru, memberi nafas segar dalam menghirup kehidupan yang akhir-akhir ini sungguh menyesakkan diri dan minda. Di kelapangan akan datang, akan aku paparkan pula deko di ruang makan, dan mungkin juga di kamar beradu. Tujuan aku bukan untuk riak atau menunjuk-nunjuk, tetapi berkongsi ilmu dan meninjau kehidupan sederhana seorang bujang bernama Tepak Sireh....

Wednesday, April 15, 2009

Tenang dan damai di sini....

Senadin

Pulang dari bekerja petang tadi, tiba-tiba teringin pula ingin mengambil gambar di lorong jalan hadapan rumah. Cuaca yang sungguh baik, terang benderang dan cerah. Teringat pula insiden di dalam lif semasa pulang dari rehat tengahari tadi. Ada seorang wanita separuh umur yang tergesa-gesa untuk masuk ke dalam lif, sambil merungut "it's very hot outside!", aku pun mengiyakan sambil diiringi senyuman kelat. Wanita tersebut menyambung lagi "the weather is so terrible!!! Malaysian weather...". Aku hanya merenung muka wanita tersebut sambil di dalam hati berkata-kata "apa yang teruknya dengan cuaca di Malaysia? kau tak rasa lagi cuaca melampau di Eropah atau Afrika...". Betapa sesetengah dari kita tidak mensyukuri dengan nikmat yang ada di sekeliling, dengan rahmat yang diberikan, kerapkali kita hanya tahu merungut......

Dorsett Regency

Minggu lepas aku berada di sekitar Kuala Lumpur, menziarahi rakan-rakan, menghadiri acara dan tujuan utama ialah mencari beberapa barangan yang sudah lama tersimpan dalam senarai "MUST BUY". Beberapa gedung membeli-belah aku terjah dari Pavilion sehinggalah ke Mid-Valley, dari Bangsar Village yang sudah bertahun aku tidak jejak sehinggalah ke Lot10 yang semakin suram. Terima kasih kepada teman-teman yang sudi menemani aku sepanjang berada di sana, keberadaan kalian menemani aku sangat-sangat dihargai. Selain 'retail therapy', bertemu dan berbual dengan kalian juga merupakan satu terapi terbaik ketika ini. InsyaAllah, kita akan berjumpa lagi dalam masa terdekat ini, ke destinasi lain pula?

ZARA Jacket

Antara persiapan terakhir aku untuk 'mengembara' pada bulan depan ialah membeli beberapa pasang baju tebal, cardigan, turtle neck shirt dan pastinya jaket tebal. Beberapa kali aku keluar masuk butik pakaian, akhirnya jaket jenama Zara ini menjadi pilihan, selain beberapa helai baju untuk musim luruh/sejuk berjenama yang sama. Memandangkan negara yang akan aku kunjungi kelak akan mengalami awal musim sejuk, maka persiapan pakaian kali ini agak berlainan sedikit. Kali terakhir aku berkunjung ke negara yang sedang mengalami awal musim sejuk ialah pada tahun 2005, ke Sydney dan Melbourne, Australia. Seperti kebiasaan, aku berkelana seorang diri menghayati keindahan bumi asing dan kepelbagaian ragam manusia. Sangat-sangat bersyukur aku dibesarkan di bumi Malaysia dengan lingkungan masyarakat dan budaya luhur serta aman-damai.

Cup Cakes

Malam minggu, di Jalan Tebu, Ampang, majlis meraikan hari lahir YAM Tunku Shahariah. Majlis serba sederhana tetapi meriah dan santai diserikan dengan nyanyian karaoke oleh sanak-saudara yang hadir. Terima kasih kepada Farah yang menyediakan juadah yang sangat-sangat sedap dan menyelerakkan - dari Lamb Stew, Rusa Panggang, Laksa, Spaghetti, sehinggalah pencuci mulut epok-epok, kuih koci dan pelbagai jenis manisan. Pastinya majlis pada kali ini meninggalkan kenangan manis yang tersendiri. Pulang dari majlis, kami bersambung pula bertemu Abang Yazlan dan rakan-rakan di Bukit Bintang, berurut kaki sehingga lewat malam, sehingga ada yang tertidur kerana kepenatan berjalan seharian.

Soto Ayam Johor

Soto yang dibeli di Pavilion, tidak boleh menandingi Soto yang dibuat oleh Mak. Tak sabar rasanya ingin pulang ke Johor hujung bulan nanti, dan menu Soto sudah pun tersenarai untuk Mak mengolahnya. Asam pedas ikan Sembilang, satu lagi makanan kegemaran aku selain dari sayur lodeh bersantan. Banyak juga perancangan bila pulang singkat ke Johor nanti, selain mahu menghadiri kenduri doa selamat keluarga, ada juga majlis untuk aku yang disediakan oleh seseorang serta rancangan bersiar-siar di Kota Singa. Harap-harap semuanya berjalan lancar, sepertimana lancarnya dan tenangnya kunjungan aku ke Kuala Lumpur baru-baru ini.Semoga tenang dan damai yang sedang aku rasai ini berpanjangan......