Tuesday, March 31, 2009

Puisi: Berjuta

Berjuta maaf aku minta darimu
Berjuta ampun juga ku pohon dariMu

Berjuta kesal aku zahirkan keranaMu
Berjuta kesal juga perasaan ini menghambatku

Berjuta rasa ikhlas aku panjatkan doa hanya keranaMu
Berjuta ikhlas hati ini mengharapkan kemaafan darimu

Berjuta sayang masih wujud untukmu
Berjuta kasih aku harapkan dariMu

Rush Murad, Miri. 30 April 2009.

Monday, March 30, 2009

Morning Dew in Bintulu.....

Bintulu

Manusia boleh merancang, manusia boleh berusaha tetapi hakikatnya Allah yang menentukan segala-galanya. Selama hampir 3 bulan aku bersiap-sedia untuk berpindah kerja di Kuala Lumpur, masih di Syarikat yang sama tetapi berlainan portfolio, akhirnya aku diberitahu bahawa perpindahan itu terpaksa dibatalkan atas sebab-sebab tertentu. Memang agak kecewa dan sedih perasaan aku ketika itu, sebab sudah banyak perancangan dan persediaan yang telah aku buat. Rakan-rakan di Miri ada yang gembira kerana mereka masih boleh bercanda dengan aku di sini, dan ada juga yang tidak gembira kerana masih perlu menatap susuk tubuh aku yang dipandang jelek ini. Dengan tidak menjadinya aku berpindah ke Kuala Lumpur, aku pasti ada hikmah yang tersembunyi.... dan ianya memang benar belaka dan terjawab semenjak hari Jumaat yang lepas, syukur padaMu ya Allah!

Bintulu

Seawal minggu lepas, terlalu banyak senario berlaku dalam kehidupan seharian aku. Aku redha dan tabah serta tawakkal dengan semua ujian ini. Kita tidak boleh mengharapkan kehidupan akan sentiasa sempurna sepanjang masa, tetapi kita boleh berusaha untuk memastikan ianya sempurna walau kita tahu tiada yang sempurna lebih-lebih lagi diri kita sebagai manusia yang sentiasa dalam kekurangan. Tidak perlu kita mendabik dada mengaku kita sudah cukup sempurna, tidak perlu kita berkokok nyaring mengatakan kita hebat dan sebagainya, hakikatnya ayam yang berkokok nyaring itu di ekornya penuh terpalit najis. Akui kelemahan diri kita, sentiasa bermuhasabah sebelum kita tuding jari ke arah orang lain, dan sentiasalah bersikap jujur kepada diri sendiri sebelum kita mengharapkan kejujuran dari orang lain. Sentiasalah bersyukur dengan setiap nikmat dan hikmat yang Allah berikan kepada kita, sebab bila-bila masa sahaja ianya bisa ditarik semula.

Puisi: Malam Larut

Hujung minggu lepas, setelah menghantar seorang rakan pulang ke Semenanjung Tanah Melayu, aku, Khairul dan Haizul memulakan perjalanan darat menuju ke bandar Bintulu. Perjalanan yang memakan masa selama 2 jam memang tidak terasa dek kerana sembang-sembang kami yang bertali-arus. Di Bintulu, seorang lagi rakan kami si Saiful telah siap sedia menunggu dan membantu mencari tempat penginapan. Kami sengaja memilih untuk 'berhibernasi' di bandar Bintulu, mencari kelainan, mencari damai dan mengeratkan silaturrahim. Tidak banyak aktiviti yang dilakukan di sini, selain membeli-belah dan makan-makan. Kami kunjungi juga beberapa tempat menarik dan mercu tanda di Bintulu seperti Wisma Bintulu, Bintulu Port, menara tinjau dan sebagainya.

Bintulu

Bandar Bintulu terletak kira-kira 215km dari bandaraya Miri, hanya beberapa kilometer dari Taman Negara Similajau yang pernah aku jejaki beberapa tahun dulu. Bintulu is a major industrial centre. Its port area to the east of the main town hosts the Petronas Liquified Natural Gas (LNG) Complex, currently the world’s largest liquefied natural gas production facility on a single site, with an annual production of 23 million tonnes. Dua hari di Bintulu yang serba aman-damai, sudah cukup rasanya untuk menghilangkan sedikit stress, lebih-lebih lagi apabila dapat memandu laju di jalanraya yang tidak banyak kenderaannya. Bak kata Khairul, ziarah ke Bintulu ada lagu temanya sendiri - Cuba nyanyian Faizal Tahir.....

Thursday, March 26, 2009

Makan-Makan with Kawan-Kawan in Kuala Lumpur....

DSC04797

Sudah agak lama juga tidak mengemaskini blog Tepak Sireh ini, ada beberapa kekangan dan kerja yang perlu diberi tumpuan terlebih dahulu. Beberapa keping gambar memenuhi entri kali ini, menjadi kenangan terindah yang akan sentiasa tersemat di dalam diari hidup. Awal bulan Mac, Wan Hidayat dan aku terbang ke Kuala Lumpur, begitu juga dengan Zoul - kami mempunyai beberapa misi dan agenda. Alhamdulillah, kami berkesempatan berjumpa dengan beberapa orang rakan dan pastinya aku dapat menghilang rindu setelah berjumpa dengan kedua orang tua dan ahli keluarga lain walaupun hanya sebentar. Gambar di atas diambil semasa makan tengahari di Chilli's KLCC - dari kiri Ai, Anita, aku, Zoul dan Malim.

DSC04808

Dari kiri Zoul, Malim, Art, Wan Hidayat dan aku - 'mengopi' dan 'mengeteh' di Dome, Lot10. Sudah lama aku tidak menjejakkan kaki di sekitar kawasan Lot10 ini. Banyak kenangan di pusat membeli-belah berwarna hijau tersergam ini, kenangan semasa muda remaja dulu-dulu, inilah tempat yang aku tuju untuk membeli-belah bersama orang tersayang. Sebelum ke sini, kami sempat ke Low Yatt Plaza mencari gadget IT dan sebelumnya di sebelah tengahari pula, kami menghadiri majlis persandingan Lily dan Nurman di Ampang.

DSC04800

Dari kiri; Malim, Zaimi, Wan Hidayat, aku, Rosli, Michael dan Zoul - makan tengahari di Shogun Restaurant, 1Utama. Rosli yang merupakan sahabat paling rapat dengan aku di Johor Bahru baharu sahaja sampai dari JB bersama Michael, juga turut bersama bercuti singkat di KL. Ini merupakan cadangan Rosli untuk makan masakan Jepun ala-buffet, kegemaran kami sejak dari dulu lagi. Sempat pula kami membeli-belah serba sedikit di beberapa buah kedai - yang pasti butik pakaian kegemaran aku, Zara, Timberland juga di Guess dan mencari jenama KAPPA di Metrojaya.

DSC04802

Walaupun penat bershopping di siang harinya, kami masih lagi ada kudrat untuk keluar malam menikmati gemerlapan lampu neon Kuala Lumpur sambil memerhati gelagat warganya. Kami makan malam di La Bodega, Pavillion, kali ini kami ditemani oleh Habib yang sentiasa menjadi mentor dalam hidup aku - mentor dan inspirasi dan segalanya. Banyak perkara yang kami bualkan dalam masa beberapa jam berada di sana, walau keadaan sekitar agak sedikit riuh rendah dengan para pelanggan. Sesekali menikmati makanan ala-Sepanyol memang agak menarik dan berbeza, tetapi ianya tetap menepati citarasa dan selera aku.

DSC04806

Selesai di La Bodega, kami berkumpul sekali lagi untuk ke suatu destinasi. Penghujung malam itu kami sudahi dengan minum-minum di sebuah kopitiam di Jalan Yap Kwang Seng. Ramai juga rakan-rakan yang kami jumpa pada malam itu, rakan baru dan lama yang sudah 'hilang' dari radar sosial. Aku mula terimbau kenangan lampau, kenangan sewaktu muda remaja di KL dengan pelbagai dugaan dan godaan. Alhamdulillah, ketika itu aku sedar siapa diri aku, mengapa aku berada di KL, dengan siapa aku tinggal dan harapan keluarga untuk melihat aku berjaya dalam pelajaran dan hidup. Dan inilah aku hari ini, berjaya melepasi segala halangan dan rintangan di sebuah kota besar yang serba-serbi mencabar.

DSC_3577

Beberapa keping gambar di sekitar majlis persandingan Lily dan Nurman, di Ampang. Selain dari Wan Hidayat yang menemani aku, Zaimi, Rosli serta Michael juga turut serta. Aku dan ahli YKWYA berpakaian serba 'pink'!!!!! Inilah pertama kali aku mengenakan Baju Melayu berwarna Merah Jambu, khas aku tempah di Kuala Belait, Brunei. Beberapa orang blogger juga kelihatan hadir di dalam majlis yang meriah itu, antaranya ialah Dr. Shah, fendiosman, Vimmy, Anne, Ara, Aidit dan lain-lain.

My creation

Majlis serba sederhana tetapi meriah, makanan yang sungguh sedap dan layanan yang sempurna. Doa kami kepada pasangan mempelai, semoga kehidupan berkeluarga kamu dirahmati Allah, sentiasa diberikan hidayah, aman damai, kekal sehingga ke akhir hayat.

Banyak kenangan terindah terpahat pada kunjungan ke Kuala Lumpur pada kali ini. Terima kasih kepada Malim kerana sudi menjemput kami tinggal di Kondo beliau, membawa kami ke merata tempat, menemani kami mengunjungi Tunku di kediamannya dan menghantar kami pulang sehingga ke Lapangan Terbang. Terima kasih kepada rakan-rakan yang sudi bertemu dengan kami dan pastinya terima kasih tidak terhingga kepada Wan Hidayat yang sentiasa menjadi sahabat yang setia walau ke mana sahaja dan dalam keadaan apa pun......

Wednesday, March 11, 2009

A Day To Remember With SEPAH.....

Final Raja Lawak-3 - SEPAH

Para peminat program realiti tv Al-kisah Raja Lawak pasti sudah tahu siapakah yang telah dinobatkan sebagai Raja Lawak musim ke-3 pada Jumaat 6 Mac yang lalu. Aku berkesempatan untuk terbang pulang ke semenanjung untuk mengikuti rancangan final RL3 ini secara langsung dari Dewan Sivik, MBPJ. Setibanya aku di perkarangan letak kereta MBPJ, sudah kelihatan kelibat penyokong-penyokong trio Sepah yang berbaju merah dan jingga, didatangkan khas dari Kulai, Johor. Mereka nampak sungguh bersemangat dan ceria walau ada tanda-tanda keletihan setelah beberapa jam didalam perjalanan dari Kulai ke Petaling Jaya. Kedua orangtua aku juga sudah berada bersama mereka di sana, selain dari adik-beradik, sepupu-sepapat, jiran tetangga.... macam sekampung pula dibawa ke sini. Trio Sepah sempat menjenguk berjumpa kami di luar dewan, minta restu keluarga dan rakan-rakan sebelum persembahan bermula. Pesanan aku kepada Mamat, buat yang terbaik dan all the best.

SEPAH Raja Lawak 3

Setelah beberapa jam menunggu di luar dewan, kami yang mempunyai tiket khas dipanggil masuk terlebih dahulu sebelum acara red carpet bermula. Para penyokong Sepah yang berbaju jingga dan nampak dominan pada petang itu diberi penghormatan untuk menyambut ketibaan para jemputan di karpet merah sambil bersorak. Beberapa minit sebelum acara bermula, kesemua penyokong Sepah dan penonton yang berada di luar dewan dijemput masuk, maka semakin gamat dan riuh-rendah dewan sivik dengan sorakan dan laungan mereka. Persembahan bermula dan penonton memberikan komitmen yang bagus dan sporting, yang pasti suara penyokong Sepah memang menggegarkan dewan. Memang tidak disangka, begitu ramai penyokong dan peminat trio Sepah, lebih separuh dari penonton di dalam dewan merupakan penyokong Sepah!

Final Raja Lawak-3 - SEPAH

Gelagat dan persembahan Sepah memang mencuri perhatian, bersahaja tetapi mempunyai mesej yang berguna, diselangseli pula dengan peribahasa dan kiasan. Lihat sahaja persembahan mereka semasa di bahagian kedua segmen Muzikal Komedi, pasti ada yang mencuit hati dan memberi kesan, sehinggakan juri Adlin dan Shamsul turut sama tersenyum melihat keletah mereka. Punchline mereka sentiasa mengena dan jitu, walau ada double-meaning dan kadang-kala lucah. Seperti yang aku jelaskan semasa ditemuramah oleh wartawan selepas rancangan itu; lucah, kasar atau tidak itu bergantung kepada penerimaan penonton, latarbelakang keluarga dan keterbukaan fikir individu. Bagi sesetengah orang atau masyarakat terutamanya di selatan semenanjung, apa yang Sepah lakukan tidak terlalu kasar, perkara biasa, dan biasa-biasa sahaja - realiti seharian golongan marhaen bila bercampur-gaul. Ini mungkin menjadi trademark mereka, sesuatu yang baharu berbanding sesetengah pelawak kini yang gemar membuat mimik muka tertentu atau membuat lawak 'bodoh'.

SEPAH Raja Lawak 3

Setelah hampir 2 jam menyaksikan persembahan peserta-peserta final RL3, kini detik-detik yang ditunggu semakin hampir, kesemua peserta dipanggil ke atas pentas bagi sesi pengumuman pemenang. Seperti dijangka, Amir diumumkan sebagai pemenang ditempat ketiga (dengan wajah yang seperti tidak puas hati), kemudian Johan dan Zizan mengumumkan terlebih dahulu juara Raja Lawak Musim ke-3, trio Sepah, diikuti dengan pengumuman tempat kedua iaitu Jihan. Secara spontan dewan menjadi terlalu gamat dengan sorakan, tepukan dan jeritan para penonton yang rata-rata berdiri untuk memberikan penghormatan. Terima kasih tak terhingga kepada semua penyokong Sepah, terutamanya kepada kaum keluarga di Kulai, keluarga Aman Shah yang turut sama hadir, kepada rakan-rakan blogger Tepak Sireh dan Facebook-Rush Murad yang tak henti-henti sms, kepada sponsor t-shirt jingga (Nirwan dan Desy), banner-banner yang bertaburan di bandar Kulai, skrin besar yang ditayangkan secara percuma kepada penduduk Kulai dan mereka yang terlibat secara langsung ataupun tidak sehingga Sepah diangkat sebagai Juara Raja Lawak-3.

Final Raja Lawak-3 - SEPAH

Tuah ayam nampak di kaki, tuah manusia tak siapa yang tahu, begitu bunyi peribahasa Melayu yang amat kena dengan trio Sepah. Masih terngiang-ngiang di telinga apabila Mamat meluahkan rasa "...orang tak dapat hadiahkan mak dan abah dengan segulung ijazah, tetapi...", serta-merta kami semua menjadi sebak dan ada yang menitiskan airmata -ini rezeki dia, perjalanan hidup dia yang telah ditentukan olehNya. Walaupun kami abang dan kakak-kakak beliau belajar hingga ke menara gading, tetapi kami tidak pernah membeza-bezakan, cuma ada ketikanya kami memberi tekanan supaya dia melakukan sesuatu yang berfaedah dan menjadi orang yang berjaya. Semoga trio Sepah terus berjaya di dalam arena seni negara, yang tentunya penuh dengan pelbagai dugaan dan godaan serta ranjau yang berliku. Doa Along buat Mamat, Jep dan Syuaib - sejauh mana kita melangkah, setinggi mana kita melompat, jangan lupa dari mana kita datang, jangan lupa keluarga dan mereka yang menyokong selama ini, jangan lupa siapa diri kita kepada Tuhan dan masyarakat.....

SEPAH

NOTA: Anda semua boleh meninggalkan ucapan dan komen membina di dalam entri ini. Mamat @ trio SEPAH akan membaca Tepak Sireh dari semasa ke semasa....

Thursday, March 05, 2009

Raja Lawak-3: SEPAH

Terkini: SEPAH Juara RL3. Cerita dan gambar akan dikemaskini......

SEPAH DI FINAL RAJA LAWAK-3
Saksikan kumpulan SEPAH beraksi di final Raja Lawak Musim ke-3, bertempat di Dewan Sivik MBJP, Jumaat 6 Mac 2009. Anda juga boleh menonton di Astro Prima 105 pada tarikh dan waktu yang sama. Jangan lupa untuk menyokong dan mengundi: UNDI SEPAH SMS: Taip LAWAK SEPAH; LAWAK<3/5/10> SEPAH untuk 3/5/10 undian ke 32999. Contoh: LAWAK5 SEPAH
TERIMA KASIH KEPADA SEMUA YANG MENYOKONG DAN MENGUNDI SEPAH!!!
Dari kiri: Mohd Noor Murad @ Mamat, Shahmira @ Syuib dan Mohd Nadzri @ Jepp.
KUALA LUMPUR, 27 FEB 2009: Kumpulan Sepah, Jihan dan Amir berjaya mara ke final Raja Lawak 3 pada 6 Mac depan apabila kumpulan LNJ tewas pada peringkat separuh akhir yang ke udara secara langsung menerusi saluran Astro Prima, sebentar tadi.Pengumuman keputusan ini dibuat oleh juri tetap, Fauziah Nawi dan Zaibo yang mengadili pertandingan itu bersama juri undangan, Radhi Khalid tanpa juri yang sinonim dengan Mantop iaitu Shamsul Ghau Ghau.
Sekali pun kecundang, LNJ tetap memberikan persembahan yang menghiburkan dan sebelum mengundur diri, Zaibo meminta semua hadirin memberikan tepukan hormat berdiri kepada kedua-dua anggota LNJ.Minggu ini keempat-empat peserta dikehendaki membuat persembahan bertemakan Cinta selain membuat jenaka dengan sejenis benda yang diberikan kepada setiap mereka pada segmen kedua beberapa jam sebelum persembahan. Turut hadir menyaksikan Gelanggang Raja Lawak 3 bagi minggu ke-9 tadi ialah Lisdawati, Fauzi Nawawi, Leeya AF4 bersama tunang, Fida Pantene serta penyanyi terkenal, Uji Rashid.
Pujian banyak diberikan oleh juri kepada Sepah dan Jihan manakala Amir dikritik tidak menunjukkan banyak peningkatan. Persembahan Amir juga masih tersekat-sekat dan dia diminta oleh Zaibo untuk menghargai undian SMS peminat yang masih lagi berpihak kepadanya. Murai.com.my



Kumpulan trio SEPAH yang berasal dari Kulai, Johor membawa cabaran untuk bergelar Raja Lawak 3 dengan penampilan yang bersahaja tetapi mempunyai mesej tersendiri dan 'intelektual' . Ahli kumpulan SEPAH terdiri dari Shahmira @ Syuib, Mohd Nadzri @ Jepp dan Mohd Noor Murad @ Mamat. Setiap kali SEPAH membuat persembahan selama lebih kurang 3-4 minit, penonton pasti tidak akan kering gusi dan memberikan sorakkan gemuruh, tanda kumpulan ini diterima lawaknya.

Nota: Mamat @ SEPAH merupakan adik kepada Tepak Sireh. Jom sama-sama memeriahkan lagi final RL3 di Dewan Sivik MBPJ, Jumaat 6 Mac 2009. Penyokong-penyokong SEPAH sila memakai baju warna Merah + Hitam. Jumpa di sana!!!!!

Tuesday, March 03, 2009

Loagan Bunut National Park - A Journey To Share.....

Loagan Bunut Trip 2009

Left to right; Rush, Wan, Adaha, Zoul, Anura, Echal, Farah, Antz, Aidil, Rit, Amalia & Nazri.

Kalau bukan kerana emel yang dihantar oleh Amalia berkenaan dengan jelajah ke Loagan Bunut, rasanya sehingga kini aku masih lagi 'kempunan' untuk ke sana. Sebaik sahaja selesai membaca butiran jelalah ke Loagan Bunut, aku langsung setuju untuk ikut serta. Beberapa orang rakan dipelawa untuk turut serta, dan akhirnya 12 orang bersetuju untuk bersama menjejaki kawasan penempatan kaum Berawan, Kayan dan Kenyah di sekitar Loagan Bunut yang terletak di kawasan pedalaman Bahagian Miri.

Loagan Bunut Trip 2009

Kami bertolak dari pekan Lutong, Miri selepas selesai menikmati sarapan di Restoran Taj, sekitar jam 9.00 pagi. Kami merentasi jalanraya utama lama Miri-Bintulu sejauh lebih kurang 40 km, melimpasi pekan Bekenu sebelum berjumpa dengan persimpangan ke Loagan Bunut. Jalan seterusnya hanya berturap sekitar 20 km dan selebihnya bertanah selut, lumpur, batu kerikil, tanah gambut dan sebagainya sepanjang 60 km. Walaupun kami memandu kenderaan jenis 4WD dan SUV-4WD, ketangkasan dan kecekapan pemanduan memerlukan fokus yang amat tinggi. Beberapa kawasan rumah panjang dari pelbagai suku kaum juga dapat dilihat di sepanjang perjalanan kami selain dari kawasan pembalakan dan pekan-pekan kecil.

Loagan Bunut

Perjalanan kami memakan masa sekitar 3 jam tanpa henti. Keadaan jalan yang kebanyakkannya berlumpur dan berselut dengan sesekali air bertangkung serta mengalir di atas jalan, menyukarkan pemanduan dan memperlahankan waktu perjalanan. Amalia yang mengamanahkan Rit memandu kenderaannya Isuzu D-Max, Anura dengan kereta barunya Toyota Hilux-Commonrail dan aku pula dengan Mr. LeX, alhamdulillah semuanya dapat kami redah. Selesai mendaftar masuk di Taman Negara ini, kami berehat sambil menikmati makan tengahari dari kantin yang tersedia di sini. Untuk maklumat bayaran masuk dan penginapan, sila klik di halaman ini - Sarawak Forestry.

Loagan Bunut Trip 2009

Serba sedikit fakta mengenai kawasan Taman Negara Loagan Bunut yang mempunyai keunikannya yang tersendiri. Ianya merupakan taman negara ke-10 di bumi Kenyalang, diwartakan pada 1 Julai 1990. Sebelumnya kawasan ini merupakan sebahagian dari Lemiting Forest Reserve yang berkeluasan 10,736 ha. Ianya terletak 120 km dari Bandaraya Miri, dan taman negara ini mempunyai tasik semulajadi yang terbesar di Sarawak yang berkeluasan 650 ha. Sumber utama air di tasik ini adalah dari Sungai Teru (kawasan tadahan Teru). Sekurang-kurangnya 4 kali setahun, kawasan tasik ini akan kering kontang dan kepelbagaian flora dan faunanya juga akan turut berubah. Semasa kami berada di sana, tasik ini masih dipenuhi air tawar-kelat yang berwarna keperang-perangan tetapi jernih dan bersih.

Loagan Bunut

Selesai merehatkan badan, kami semua bersedia untuk aktiviti pertama hari itu - menyusuri Loagan Bunut dengan menaiki sampan atau bot kecil yang dipandu oleh salah seorang staff berketurunan Berawan di situ. Untuk perjalanan selama hampir 2 jam di sekitar tasik, kami dikenakan bayaran RM15 seorang, amat berpatutan harga yang dikenakan. Kami juga dibawa ke pesisir tasik untuk melihat tanah perkuburan masyarakat Berawan yang amat unik. Lejeng dalam bahasa Berawan adalah merupakan tapak perkuburan yang telah berusia ratusan tahun dan merupakan salah satu daya tarikan pelancong di Taman Negara Loagan Bunut. Lejeng diperbuat dari 2 batang kayu Belian yang telah diukir dan ditegakkan sebagai penyokong kepada keranda mayat di atasnya. Sepintas pandang, rupa bentuk kayu berukir ini seperti tiang-tiang kayu berukir dari masyarakat Red Indian di Amerika Syarikat.

Loagan Bunut Trip 2009

Dalam perlahan-lahan menyusuri Loagan Bunut, kami bertemu dengan seorang nelayan yang sedang menangkap ikan dari atas sampan beliau. Dipendekkan cerita, Nazri memborong seekor ikan Betutu dan empat ekor ikan Baung yang masih hidup dan nampak segar. Ini kali pertama aku melihat ikan Betutu - rupanya seperti ikan Kerapu dan menurut Rit ikan ini agak mahal dijual di pasaran, jauh lebih mahal dari Kerapu. Selesai menikmati keindahan Loagan Bunut dari atas sampan dengan cuaca panas terik, kami pulang ke hostel dan bermula pula sesi BBQ, masing-masing sudah kelaparan.

Loagan Bunut

Bahan-bahan untuk BBQ seperti lamb shoulder, kepak ayam dan sausages memang sudah aku siapkan dari Miri lagi, cuma ikan-ikan yang dibeli tadi perlu di rencahkan dan di stim. Isi ikan Betutu memang sungguh enak, lembut, 'creamy' dan langsung tidak hanyir, begitu juga dengan ikan Baung yang mempunyai tekstur isi lembut. Selain dari BBQ, ada juga salad yang disediakan oleh Farah, dan kami juga menempah Nasi Goreng dari pengusaha kantin. Malam itu kami habiskan masa dengan bercerita, bergurau senda dan ada yang bermain 'bluff', yang memetik gitar sambil menanyi dan pelbagai ragam lagi - yang pastinya kami santai dan tenang fikiran sambil ditemani bunyi unggas-unggas hutan serta hujan yang jatuh di celah-celah ranting dan dedaunan.

Loagan Bunut

Masing-masing tidur agak awal, almaklum kuasa elektrik yang dijana menggunakan generator 'tamat perkhidmatan' tepat pukul 11 malam. Kami bergelap, cuma sedikit cahaya dari rembulan berbentuk sabit di luar sana, hujan yang turun menyejukkan sedikit hawa di dalam bangunan hostel. Keesokannya, ada yang bangun terlalu awal, sempat menghirup udara segar tanpa pencemaran di sekitar tasik. Selesai bersarapan, kami mula untuk bergerak pulang - Anura, Antz, Da'a dan Farah langsung menuju ke bandaraya Miri, manakala rombongan aku dan Amal berhajat untuk ke Long Lama yang dikhabarkan cuma 15 minit dari Loagan Bunut.

Loagan Bunut Trip 2009

Setelah hampir setengah jam memandu, kami masih lagi tidak bertemu dengan sebarang petanda pekan Long Lama yang terletak di delta Sungai Baram. Jika menggunakan jalan sungai dari Miri, ianya akan memakan masa berberapa hari untuk sampai ke kawasan ini. Kami melalui jalan lori balak yang becak, berselut dan dua kali terpaksa melalui jambatan kecil kayu dan satu jambatan besi. Kami berhenti untuk menanyakan arah ke Long Lama dari pemandu yang melintas, menurutnya kami memerlukan setengah jam lagi untuk sampai ke destinasi. Dalam pada itu kami ternampak sebuah bukit berbatu halus hitam, dan menurut Amalia ianya dipanggil 'shale' - a fine-grained sedimentary rock whose original constituents were clay minerals or muds. Kami sempat bergambar di bawah terik matahari, tetap terasa puas pula bila bertemu keindahan alam semulajadi secara tidak sengaja ini. Akhirnya, kami memutuskan untuk tidak meneruskan perjalanan ke Long Lama, langsung memandu pulang. Alhamdulillah, perjalanan pulang lebih mudah berbanding sehari sebelumnya kerana jalannya yang agak kering dan tiada lagi lopak-lopak bertakung air.

Loagan Bunut

Ini merupakan taman negara yang ke-5 aku kunjungi di negeri Sarawak Bumi Kenyalang. Sebelum ini aku pernah ke Bako, kemudian seawal aku menetap di Miri, aku telah jejaki Gua Niah, ke Similajau sebanyak dua kali, ke Lambir dan akhirnya ke Loagan Bunut. Aku masih lagi tidak berpeluang menjejaki Taman Negara Mulu, insyaAllah suatu hari nanti. Terima kasih kepada teman-teman yang merancang dan menjadikan perjalanan ke Loagan Bunut ini sesuatu yang indah untuk dikenang.