Wednesday, February 25, 2009

Prolog: Apa khabar? I

Sudah mula membiasakan diri untuk bersarapan secara ala-kadar dan secara sihat. Kalau dulu kerap juga membaham Mee Jawa seawal pagi, kalau tidak pun sepinggan Bihun Goreng bersama telur mata lembu. Beberapa keping biskut Jacob's High Fibre sudah memadai kini. Baru mengunyah sekeping, datang pula Zoul yang mengendeng beberapa keping. Tidak cukup mengunyah di depan aku, diambilnya lagi kepingan-kepingan terakhir dan dibawa pergi. Aku hanya dapat melihat dengan muka terkulat-kulat.

Tidak sempat untuk membancuh Nescafe pekat pahit pagi tadi, Tea Lady sudah pun berlalu ke bahagian lain di bangunan yang aku gelar 'dungeon' ini. BOH 3-in-1 yang dibancuh sendiri menjadi pengganti Nescafe, rasanya seperti teh tarik pula cuma tiada buih-buih di bibir cangkir. Sambil mengunyah, aku memandang skrin leper komputer buatan Hewlett Packard, permainan Pet Society di dalam Facebook tidak berfungsi, hampa! Kesian pets aku yang bernama Wawan, lapar agaknya dia.

Tiba-tiba terasa sunyi sepi di dalam bilik yang aku tidak berkongsi dengan sesiapa ini. CD muzik kumpulan Letto album berjudul Lethologica aku mainkan, dari perasaan sunyi sepi menjadi rindu pula, rindu untuk bertanya perkhabaran rakan-taulan di seberang; apa khabar Rhoni yang sedang mengumpul duit di Batam? apa khabar Midi di Jogja? apa khabar Raihan di Jakarta? apa khabar Taufique yang masih di Jakarta? apa khabar Indra yang pastinya ada di Samarinda? apa khabar Fahmi yang bertahun-tahun menetap di Bali? apa khabar Bu' Igus yang masih cantik jelita? apa khabar Teuku Ryan yang masih berperan sinetron? apa khabar Mbak Wati yang banyak waktu di Hollanda? apa khabar Julia si anak Batak di kota Jakarta? apa khabar Marcell yang hilang-muncul-hilang? apa khabar semuanya....?!

Miri

"Life in itself is an empty canvas, it becomes whatsoever you paint on it. You can paint misery, you can paint bliss. This freedom is your glory." OSHO

Friday, February 06, 2009

Retorik: Mengata Dulang Paku Serpih.....

MASIHKAH kita ingat sebaik sahaja berakhirnya Pilihan Raya Umum Ke-12 pada 8 Mac tahun lalu, arena politik negara berada dalam keadaan tidak stabil apabila Barisan Nasional (BN) yang tidak mendapat majoriti dua pertiga di Parlimen 'telah diancam' akan tumbang.

Segalanya kerana karenah Datuk Seri Anwar Ibrahim yang meletakkan sasaran untuk memastikan kerajaan BN tinggal sejarah pada tanggal 16 September 2008. Ketika itu Anwar dengan penuh angkuh menyatakan bahawa ramai Ahli Parlimen BN akan menyertai pembangkang atau dalam istilah politiknya melompat parti.

Walaupun ketika itu usaha Anwar dianggap tidak demokratik tetapi beliau tidak mempedulikannya malah pilihan raya kecil di Permatang Pauh pada Ogos 2008 dijadikan medan untuk 'menggemparkan' lagi negara dengan slogan 'dari Permatang Pauh ke Putrajaya'.

Tetapi akhirnya impian hanya tinggal impian. Tanggal 16 September berlalu begitu sahaja dan BN terus memerintah. Namun malangnya apabila BN kembali menguasai Perak berikutan langkah tiga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dari PKR dan DAP mengisytiharkan keluar parti dan diikuti oleh ADUN Bota, Datuk Nasaruddin Hashim yang kembali kepada UMNO selepas 10 hari menyertai PKR, pembangkang menganggap apa yang berlaku adalah tidak demokratik.

Mereka mengecam BN dan UMNO habis-habisan seolah-olah apa yang mereka hendak lakukan pada 16 September lalu adalah sesuatu yang dihalalkan dalam amalan demokrasi. Bagi pembangkang, BN tidak berhak memerintah Perak dan kuasa penentu harus dikembalikan kepada rakyat.

Persoalannya, ketika Anwar bercakap soal menubuhkan kerajaan pada 16 September, apakah ketika itu pembangkang berfikir soal demokrasi dan hak rakyat? Tidakkah mereka sama-sama begitu beria-ia menantikan detik yang dijanjikan oleh Anwar tersebut?

Bagaimana pula dengan langkah mereka baru-baru ini yang menganggap tindakan Nasaruddin meninggalkan BN untuk menyertai PKR sebagai satu langkah bijak? Kenapakah Anwar yang mengadakan sidang akhbar bersama-sama Nasaruddin tidak menyebut pula soal tidak demokratik?

Justeru kita juga berhak bertanya, seandainya pakatan pembangkang berada dalam kedudukan BN seperti di Perak, apakah mereka akan mengambil jalan tengah meminta dibubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN)? Malah kita juga ingin bertanya, kalau DUN dibubarkan dan BN memenangi pilihan raya negeri yang diadakan mahukah pembangkang berjiwa besar untuk mengiktirafnya, apa jaminan bahawa pembangkang tidak akan berkata ia pilihan raya 'paling jijik' pernah diadakan?

Pembangkang tidak harus mengamalkan sikap 'kalau mereka buat tidak apa, kalau orang lain buat salah'. Inilah mungkin yang boleh dikatakan sebagai mengata dulang paku serpih, mengata orang awak yang lebih.

Oleh itu, tidak perlu pembangkang berusaha untuk menunjukkan merekalah paling demokratik sedangkan selama ini tindakan mereka menunjukkan sebaliknya. Pembangkang terutama Anwar harus memahami bahawa walaupun BN memperoleh semula kuasa di Perak melalui sokongan ADUN Bebas namun segalanya dilakukan mengikut prosedur dan undang-undang.

Apa yang paling penting, langkah BN mendapat perkenan Sultan Perak yang sudah pastinya mengkaji pelbagai aspek sebelum membenarkan parti itu kembali berkuasa. Berikutan keadaan itu, pembangkang harus belajar menerima hakikat politik. Tidak usahlah cuba meracuni rakyat dengan menggalakkan mereka untuk mengadakan demonstrasi yang sudah pasti tidak akan mewujudkan kestabilan politik.

Segala yang berlaku bukan salah BN, ketiga-tiga ADUN berkenaan keluar parti kerana merasakan PKR dan DAP sudah tidak sehaluan lagi dengan mereka, BN tidak ada masa hendak memporak-perandakan pentadbiran kerajaan negeri di Perak sebelum ini.

Sebenarnya, apa yang berlaku di Perak adalah kesilapan pakatan pembangkang sendiri, selepas pilihan raya umum mereka tidak menumpukan perhatian kepada usaha memperkukuhkan kedudukan sebaliknya terus teruja dengan 'impian 16 September' Anwar. Akhirnya mereka bergembira di Permatang, bersorak di Kuala Terengganu tetapi tergadai satu negeri di Perak.

Apa pun tafsirannya, keputusan muktamad sudah dibuat. BN telah pun menubuhkan kerajaan negeri maka hormatilah keadaan itu. Kalau benar pembangkang begitu yakin bahawa rakyat Perak masih menyebelahi mereka maka bersabarlah sehingga Pilihan Raya Umum Ke-13. Jangan kucar-kacirkan lagi kehidupan rakyat.

zulkifli.bakar@utusan.com.my

Tuesday, February 03, 2009

From Miri to Tip of Borneo: A Journey to Remember.....

Crocker Range

Foto: Antara destinasi menarik yang kami kunjungi - Banjaran Pergunungan Crocker.

Hajat yang sekian lama terpendam - memandu dari Bandaraya Miri di Sarawak menuju ke Simpang Mengayau di Sabah, akhirnya terlaksana jua. Cuti bersempena dengan Tahun Baru Tionghua digunakan sebaik mungkin dengan rehlah di Negeri Di Bawah Bayu, menziarahi beberapa orang kenalan di sepanjang perjalanan dan menghayati indahnya bumi Malaysia Timur ciptaan Allah Maha Agung. Perjalanan aku dan Wan Hidayat bermula pada Sabtu 24 Januari 2009, sekitar jam 11 pagi.

Lawas

Foto: Kami menyeberangi sungai dengan menggunakan feri dari dalam wilayah Brunei, dan di sebelah sana ialah wilayah Malaysia.

Kami meninggalkan Miri dengan cuaca yang agak suram, melintasi sempadan negara memasuki Negara Brunei Darussalam di Pos Imigresen Kuala Belait. Memandangkan kami sudah mempunyai peta perjalanan yang lengkap dan terperinci, lantas membuatkan perjalanan kami lancar dan seperti bertanding di dalam rancangan realiti 'Amazing Race'. Kami memilih untuk ikut jalan pintas dengan membuat pusingan 'U' di Lebuhraya Jerudong menuju ke Simpang Maya - Lamunin. Tidak terlintas di fikiran yang kami akan melalui perkampungan tradisional Melayu Brunei, deretan sawah padi, sungai-sungai, jejambat sempit, kebun buah-buahan, hutan dara dan pekan-pekan kecil. Agak sedikit keliru dan mencabar melalui jalan-jalan kampung sepanjang lebih 30km ini menuju ke Pos Imigresen Kuala Lurah di Brunei dan Pos Imigresen Tedungan di Limbang, Sarawak. Kami berhenti untuk makan tengahari di bandar Limbang sambil ditemani oleh seorang rakan Arman Shah yang bertugas sebagai Polis Marin di sana. Dari bandar Limbang, kami memandu pula ke terminal feri yang akan membawa kami melintasi sempadan Malaysia - Brunei di Sungai Pandanuman. Beberapa kilometer dari terminal feri di jajahan Brunei, kami menghala pula ke pondok Pos Imigresen Puni di dalam wilayah Brunei. Lebih kurang 12km memandu dari Puni/Labu, kami berhenti sekali lagi di Pos Imigresen Temburong/Labu untuk keluar dari wilayah Brunei. Lebih kurang 2km dari situ, kami sekali lagi menggunakan feri untuk melintasi Sungai Trusan memasuki wilayah Sarawak, Malaysia.

DSC_2917

Foto: Pemandangan kenderaan yang menaiki feri menyeberangi Sungai Trusan di daerah Lawas.

Kami memandu dalam keadaan cuaca yang mendung dan hujan, menuju ke pekan Lawas untuk mengisi petrol. Kami di sambut dengan jalanraya yang dipenuhi banjir dan hujan yang sungguh lebat. Kami redah semuanya dalam pekat awal malam sekitar jam 7pm. Memandu Mr. LeX dalam keadaan hujan lebat dan berkabus di lereng-lereng bukit Lawas tidak mendatangkan kebimbangkan, lebih-lebih lagi Mr. LeX telah diperiksa secara terperinci sebelum berlepas. Sejam memandu dari Lawas, kami tiba di Pos Imigresen Merapok dalam wilayah Sarawak, beberapa langkah ke hadapan, kami disambut pula oleh kakitangan Pos Imigresen Sindumin dalam wilayah Sabah pula. Perjalanan diteruskan menuju ke Papar untuk bertemu Hani dan seterusnya ke Kota Kinabalu untuk makan malam di tepian pantai Likas, kemudian check-in di hotel dan berehat sepanjang malam.

Tip Of Borneo at sunset

Foto: Berdiri betul-betul di penghujung 'Tip of Borneo' - Simpang Mengayau sambil menikmati 'sunset'.

Keesokannya setelah selesai bersarapan, kami memandu menuju ke Kudat yang terletak hampir 200km dari Kota Kinabalu. Sekali lagi kami dibentangkan dengan panorama alam yang sungguh mendamaikan - deretan sawah-sawah padi yang menghijau, kampung-kampung penduduk yang berbilang suku, melewati kawasan bukit bukau dan gunung-ganang yang menguji kecekapan pemanduan. Memandangkan Wan sudah pun membuat tempahan bilik di Kudat, kami terus menuju ke Kudat Golf & Marina Resort untuk check-in lalu langsung keluar semula untuk makan tengahari di restoran Terminal Tomyam di Esplanad.

My creation

Selesai merehatkan badan, kami keluar semula menuju ke Simpang Mengayau untuk melihat matahari terbenam di ufuk barat dari tanah paling utara di Pulau Borneo ini. Dalam perjalanan ke sana, cuaca agak mendung dan sesekali ada rintik-rintik hujan yang turun, sungguh merisaukan takut-takut tidak dapat melihat sunset dan keindahan panorama di sana. Semasa kami sampai di Simpang Mengayau setelah 45 minit memandu dari pekan Kudat, orang-ramai sudah mula meninggalkan lokasi Tip of Borneo. Akhirnya, hanya kami dan beberapa orang pengunjung sahaja yang tinggal untuk menikmati waktu senja di sana. Dalam pada menunggu itu, langit tiba-tiba menjadi cerah dan matahari mula memunculkan diri dari celahan awan-gemawan - sungguh indah ciptaan Illahi!!! Setelah seketika, suasana sekeliling Northmost Tip of Borneo menjadi gelap gelita, lantas kami terus pulang ke pekan Kudat, membeli sedikit makanan dan berehat di dalam kamar sepanjang malam.

Kinabalu Park's trail

Foto: Trail yang bermula dari Timpohon Gate untuk mendaki ke puncak Gunung Kinabalu di Kinabalu Park.

Kami bersarapan di Kudat Golf & Marina Resort sambil menghadap Laut Sulu yang bertentangan dengan hotel, sebelum memulakan perjalanan menuju ke destinasi seterusnya - Kinabalu Park, Kundasang, Ranau dan Kolam Air Panas Poring. Sekali lagi kami menggunakan 'sign-board' yang ada di sepanjang jalan untuk mencari arah menuju ke destinasi seterusnya, kesimpulan yang dapat kami buat ialah; pihak pemerintah di Sabah telah menjalankan tugas yang amat baik kerana tunjuk arah dan papan tanda lengkap ada di setiap persimpangan dan bahu jalan. Sesampai kami di Kinabalu Park, kelihatan begitu ramai Pendaki yang baru selesai menuruni Gunung Kinabalu. Kami memandu melimpasi lereng-lereng bukit di kaki Gunung Kinabalu menuju ke Timpohon Gate, berhenti seketika untuk menikmati cuaca segar bersuhu sekitar 15'Celcius.

Poring Hot Springs

Kami meneruskan perjalanan menuju ke pekan Ranau, melalui Kundasang yang ketika itu sedikit berkabus dan sibuk dengan pengunjung di kiri-kanan jalan. Kami berhenti untuk berehat dan makan tengahari di sebuah restoran di pekan Ranau sebelum melanjutkan perjalanan menuju ke Poring Hot Springs - sebuah lagi destinasi yang telah kami rancang untuk dikunjungi. Aku membayangkan yang kolam air panas di sini cukup besar untuk menampung berpuluh pengunjung, tetapi apa yang disediakan ialah kolam-kolam kecil yang semi-privasi, 3 jalur kolam untuk merendam kaki dan sebuah kolam sederhana besar yang berisi air sejuk dari gunung. Kami menghabiskan masa beberapa jam di sana sehingga langit mula menjadi gelap, masa untuk meninggalkan Poring dan kembali ke Kota Kinabalu yang jaraknya lebih kurang 136km.

Kundasang

Foto: Sebuah perkampungan tidak jauh dari pekan Kundasang di waktu penghujung petang.

Cuaca berkabus tebal dari Poring menuju ke Kundasang benar-benar menguji kecekapan dan kepekaan pemandu. Jarak penglihatan kurang dari 20 meter dan jalanraya pula agak licin dan sesekali ada runtuhan tanah serta lubang-lubang di atas jalanraya. Jumlah kenderaan juga agak banyak dari kebiasaan kerana musim cuti yang panjang dan paling ketara ialah kenderaan berdaftar di Miri ada di merata tempat. Kenderaan kami selamat sampai di Kota Kinabalu sekitar jam 9 malam dan sepatutnya kami terus menuju ke Papar untuk bermalam di rumah Hani, tetapi rancangan itu terpaksa dibatalkan kerana kami mempunyai perancangan lain di saat-saat akhir - melanjutkan percutian.

Jesselton Jetty

Kami berlegar-legar di sekitar bandaraya Kota Kinabalu untuk mencari tempat penginapan, dan akhirnya kami memilih Hotel Garden di Lorong Dewan (Australian Place) sebagai tempat penginapan kami pada malam itu. Selesai berehat dan membersihkan diri, kami menuju pula ke Jesselton Point untuk bertemu rakan-rakan yang bertugas di SKO Miri, juga mengambil kesempatan bercuti di sini. Kami bersantai sahaja di sekitar kawasan jeti sambil minum teh tarik sambil ber'shisha', menikmati angin malam dan merehatkan tubuh badan serta minda yang keletihan. Keesokkannya kami berdua sempat lagi berlegar-legar di sekitar bandaraya Kota Kinabalu sebelum berlepas ke pekan Papar bertemu dengan Hani dan sepupunya Dr. Safwani.

Crocker Range

Foto: Wan seperti seorang 'stuntman' semasa mengambil foto ini; berdiri di dalam kereta dan menjengah dari bumbung terbuka, MERBAHAYA!

Kami bertemu di pekan Papar, ber'kopitiam' di Dapur Ayah yang baru sahaja menjalankan operasi di situ. Kami memujuk Hani dan Saf untuk sama-sama 'mendaki' Banjaran Crocker, menjadi pemandu arah dan menjadi teman berbual-bual. Memang curam dan berbengkang-bengkok keadaan jalanraya di sini, jalan yang menuju ke bandar Keningau dan Tenom. Sekiranya kenderaan anda tidak berada dalam keadaan baik serta pemandu tidak 'berani' - jangan sesekali melalui laluan ini. Kesekian kalinya kami dihidangkan dengan panorama alam yang sungguh menakjubkan, muncung gunung-ganang berkabus, lembah dan lurah, jurang tirus dan pepohonan yang hijau. Memang berbaloi rasanya dapat ke daerah ini, kalau sebelum ini hanya membacanya dari buku-buku Geografi semasa di sekolah menengah, tetapi kini ianya terbentang di depan mata. Kami bermalam di rumah Hani di Kampung Benoni, makan malam yang sedap disediakan oleh ibu beliau dan kudap-kudapan yang belum pernah kami rasa. Terima kasih tak terhingga kepada Hani sekeluarga!

DSC_2915

Foto: Kami berhenti di bahu jalan sebaik melihat fenomena alam yang indah ini, untuk dirakamkan dan dikongsi bersama.

Selesai Subuh dan bersarapan, kami bertolak pulang dari Kampung Benoni, melalui beberapa kawasan perkampungan, pekan-pekan dan bandar kecil seperti Beaufort, Sipitang, Sindumin, Merapok dan lain-lain. Laluan yang sama juga kami gunakan semasa datang beberapa hari lalu, cuma kali ini kami berkelana dalam terang cuaca dan panas mentari. Kami tidak berhenti di mana-mana untuk berehat, hanya seketika di Pos Imigresen Merapok untuk menunaikan 'hajat kecil'. Kurang dari 6 jam, kami sudah selamat sampai di kawasan kediaman kami di Senadin, Miri - alhamdulillah!!! Sepanjang perjalanan kami dipermudahkan olehNya.

Crocker Range

Dan sepanjang perjalanan pada kali ini, aku sekurang-kurangnya telah belajar erti sebuah keikhlasan persahabatan, didedahkan dengan kebobrokan sifat dan naluri manusia, debat atas dasar kewajaran dan kedewasaan akal, berpegang pada prinsip dan sifat sabar, menghargai dan syukur akan nikmat yang diberi, perlunya kekukuhan sifat dan sikap kasih-sayang sesama manusia, sesama alam dan Tuhan Maha Pencipta. Sebuah lagi kenangan dibukukan di dalam benak ini dan dizahirkan di dada Tepak Sireh.....

"When you make a mistake, don't look back at it long. Take the reason of the thing into your mind and then look forward. Mistakes are lessons of wisdom. The past cannot be changed. The future is yet in your power." Hugh White