Monday, July 27, 2009

New Zealand Trip: The Finale

Sudah lebih sebulan blog Tepak Sireh tidak dikemaskini, terutamanya mengenai pengalaman kembara di New Zealand dan Australia lalu. Terima kasih kepada teman-teman yang sentiasa mengunjungi blog ini dan memberi komen serta teguran "dah bersawang", maaf kerana ada sedikit kekangan dan juga perubahan mood menulis. Entri kali ini tidak akan begitu terperinci, sekadar melengkapkan jalan cerita dan berkongsi pengalaman serta rasa jiwa....juga foto-foto buat santapan pancaindera. Entri ke 298 ini juga merupakan entri terpanjang pernah tersiar di blog Tepak Sireh.

QUEENSTOWN

Lake HaweaAlign Center

Perjalanan jauh dan panjang dari Franz Josef singgah melimpasi Danau Hawea ini. Lihatlah betapa indahnya bumi ciptaan Allah ini, terlalu sempurna dan amat menarik, sehingga sebahagian dari kita seperti lupa bahawa dunia ini hanya tempat persinggahan sementara, dan seperti dunia ini destinasi abadi. Setelah mata dijamu pemandangan Danau Hawea ini, kami sekali lagi dihamparkan dengan sebuah lagi tasik yang tidak kurang menakjubkan - Tasik Wanaka.

Lake Wanaka

Pekan kecil Wanaka kami singgahi, berhenti rehat sambil membasahkan tekak dengan secangkir kopi susu. Pemandangan menakjubkan dari arah kafe Turki itu benar-benar mencuit perasaan, apatah lagi dengan suhu yang dingin dan angin sepoi bahasa menghembus sekali-sekala. Ini kopi susu yang keempat aku teguk hari itu, seawal pagi di hostel, kemudian di Tasik Matheson yang terkenal dengan "Lake Mirror'nya, secawan lagi di Makarora semasa berhenti makan tengahari.
DSC04894

Lewat petang baru kami sampai di bandar peranginan Queenstown yang amat terkenal itu. Kali pertama bersua pandang, hati sudah mula terpikat. Segala urusan untuk beraktiviti di Milford Sound segera diatur. Malam itu aku sendirian, sengaja ingin sendiri mengecapi keindahan bandar cantik ini. Makan malam yang sungguh enak di sebuah restoran yang menghidangkan makanan India utara; Lamb Ragosh, Briyani Rice, Mango Chutney dan Fresh Salads. Beberapa cenderahati untuk insan tersayang juga sempat dibeli di sebuah kedai empunya orang Jepun, sambil beberapa kerat kelibat orang Melayu kelihatan sedang membelek T-Shirt All Black.

DSC_0904

Seawal jam 6 pagi aku sudah bersiap untuk bergerak menuju ke Milford Sound, melalui pelbagai pemandangan yang sungguh 'menggetarkan' jiwa dan minda. Selesai bersarapan di sebuah pekan kecil, kami singgah menuju di Mirror Lakes, tasik yang memantulkan imej sekitarnya dek kerana bahan kimia semulajadi yang terdapat di dalam tasik. Suhu pagi itu sekitar 2'Celcius, dan sedikit salji sudahpun turun di sepanjang perjalanan kami. Pelbagai fauna dengan warna berencam menghidupkan lagi jejak perjalanan kami. Ingin sahaja semuanya dirakam dalam kotak kamera dan kotak memori menjadi kenangan abadi.

DSC04883

Kami sampai di Milford Sound tepat pada waktunya kapal persiaran untuk berlepas menerjah selat yang sungguh tenang airnya. Kami disambut dengan mesra serta diberikan makan tengahari berupa Sandwich, dessert dan minuman. Udara sekitar amat segar dengan suhu yang tidak begitu sejuk berbaur dengan sedikit panas cahaya matahari, semuanya sungguh sempurna. Bree dari Canada, Vitali, dari Russia dan Nagier berasal dari Brazil yang turut bersama di atas kapal persiaran ini masing-masing tersenyum lebar menandakan puas dan gembira dengan pengalaman ini.

Te Anau

Pemandangan di sepanjang perjalanan pulang juga tidak kurang hebatnya. Kami berhenti rehat di sebuah pekan tasik Te Anau yang sungguh aman damai serta indah. Sebenarnya dalam perjalanan pergi di awal pagi tadi kami ada berhenti sebentar di pekan ini, tetapi memandangkan ianya terlalu awal, maka keindahan pekan ini tidak begitu terserlah berbanding di waktu petang. Lihat sahaja foto di atas, cukup sempurna langit dan tasik yang membiru! Kami sampai di Queenstown agak lewat, matahari sudah mula tenggelam, namun masih ada masa untuk berjalan-jalan menyusuri lorong-lorong sempit bandar indah bersih ini. Agak lewat aku pulang ke hostel pada malam itu, sengaja ingin menghabiskan sisa masa yang terhad menghayati keindahan bandar yang membuat aku jatuh cinta. Bertambah hebat agaknya pengalaman di sini sekiranya bersama orang tercinta; berbulan madu barangkali. Selamat tinggal Queenstown - jiwaku tertinggal di sini dek kerana kurniaan Illah kepadamu.....

DUNEDIN

Dunedin

Perjalanan dari Queenstown ke Dunedin tidaklah berapa jauh, dan tidak melalui kawasan pergunungan salji. Semuanya sangat lancar, dan kami juga sempat singgah ke beberapa tempat dalam perjalanan ke Dunedin, bandaraya paling tua di New Zealand serta mempunyai jumlah pelajar/penuntut paling ramai di sana. Sesampai aku di Stafford Gables, hostel penginapan kami yang merupakan sebuah rumah banglo besar bercirikan Scottish, aku terus menghubungi Dr.Wan Masuud. Beliau yang berasal dari Johor tetapi bertugas di Miri sebelum ini, baru seminggu berpindah/migrate ke sana untuk bekerja di Hospital Dunedin. Setelah menunjukkan rumah baru beliau, kami ke pusat bandar untuk makan malam sambil berbual mesra. Ada rezeki, insyaAllah, aku akan ke sana lagi. Terima kasih kerana melayan aku sambil berkongsi cerita serta pengalaman.

LAKE TEKAPO


Lake Tekapo

Aku cuma berada satu malam sahaja di Dunedin, cukup rasanya berada di Student City itu yang sarat dengan bangunan lama yang unik dan amat menarik ala-Scotland. Seawal jam 8 pagi kami sudah mula bergegas bertolak menuju ke Lake Tekapo, juga terletak beberapa ratus kilometer dari Dunedin. Kami singgah di Baldwin Street untuk mendaki 'world's steepest street', langsung deras menuju Omarama untuk makan tengahari serta melihat kehidupan para petani di sini. Kami sempat juga singgah di beberapa pekan kecil lain di sekitar Waitaki Valley.

DSC_0205

Lakefront Backpacker, di sini tempat aku menginap semasa berada di Lake Tekapo. Hostel ini terletak betul-betul menghadap ke Tasik Tekapo yang berwarna biru pekat dipagari gunung-ganang bersalji. Keadaan sekitar tasik ini amat sunyi sepi, dan tidak ramai pengunjung, memang amat sesuai dijadikan tempat untuk berehat menenangkan fikiran. Tiada aktiviti menarik malam itu, hanya berbual kosong bersama beberapa orang traveller dari UK dan Jerman, sehingga ke lewat pagi. Keesokannya aku perlu meneruskan perjalanan menuju ke Christchurch, destinasi yang amat aku nantikan, destinasi pertama aku di New Zealand seminggu yang lalu, destinasi yang pasti menggembirkan kerana kehadiran wajah-wajah comel dan ceria.


CHRISTCHURCH


DSC_0254

Perjalanan dari Lake Tekapo ke Christchurch amat pantas dan selesa, melalui Canterbury Plains yang subur dan rata. Seawal tengahari kami sudah pun berada di bandar Christchurch, aku pula menunggu kehadiran Pinky dan Syikin untuk aktiviti seterusnya yang sudah dirancang mereka. Kehadiran aku disambut dengan sebiji kek keju dan senyuman manis serta ucapan selamat hari lahir; aku sangat-sangat terharu. Kami bergegas menuju ke Cathderal Square untuk bergambar, kemudian ke sebuah restoran untuk menjamu selera dengan pelbagai makanan yang sungguh enak. Sambutan hari lahir aku yang sungguh ringkas tetapi amat bermakna untuk tahun ini, tetapi akan tetap aku kenang untuk tahun-tahun yang mendatang....

Christchurch

Selesai makan, kami sambung aktiviti melawat sekitar bandaraya Christchurch, menaiki Gondola menyusuri sungai, ke taman botani dan sebagainya. Lewat petang kami beransur menuju ke Lincoln, tempat belajar dan tinggal Pinky serta rakan-rakannya. Sebelum itu kami sempat singgah di sebuah pasaraya untuk membeli-belah cokelat Whittaker's, buah-buahan dan sedikit makanan mentah untuk dimasak malam itu. Setelah berehat sebentar di rumah Pinky, kami memulakan acara memasak bersama-sama. Kami tidur agak lewat kerana bersembang bercerita pengalaman masing-masing, sambil Pinky tidak henti-henti menyediakan pelbagai makanan ringan. Awal pagi setelah Subuh, kami memandu semula ke Christchurch, aku perlu meninggalkan bandar ini untuk jelajah seterusnya, kali ini ke pekan kecil tepi laut yang dikenali sebagai Kaikoura.

KAIKOURA


Kaikoura

Pekan kecil ini amat tenang, terlalu sedikit rumah-rumah yang kelihatan. Tiada banyak aktiviti yang boleh dilakukan di sini melainkan untuk melihat koloni anjing laut dan ikan Paus dan Dolphin. Kami ditempatkan di YHA Maui, yang terletak betul-betul di tepian pantai berbatu keras. Dari tingkap hostel, bisa terlihat kelibat anjing-anjing laut atau Seal ini sambil berlatarbelakangkan gunung-ganang bersalji yang berbalam. Sesekali hujan rintik membasahi jalan-jalan di sini, menjelang malam pula salji turun mendinginkan lagi suhu sekitar. Petang itu aku hanya berjalan santai bersama David yang berasal dari UK, menikmati indah alam tepian laut sambil bermain-main dengan lensa kamera. Awal pagi aku sudah bergerak keluar dari Kaikoura menuju Picton untuk mengambil kapal laut petang menuju ke Wellington. Kami sempat berhenti di sebuah kawasan air terjun untuk melihat anak-anak anjing laut ini berkumpul dan bermain-main. Air di kawasan ini lebih hangat berbanding di laut, maka anak-anak kecil ini berendam dan tidur di sekitar kawasan itu.

PICTON-WELLINGTON


DSC_0578

Picton, merupakan sebuah pekan Pelabuhan Maritim utama di New Zealand. Cuaca tengahari di sini sungguh baik dengan limpahan sinaran matahari yang lebih banyak berbanding tempat-tempat yang aku kunjungi sebelum ini. Aku berjalan-jalan meninjau sekitar pekan yang mempunyai pelbagai dermaga serta sebuah Muzium Maritim yang menempatkan bahtera pedagang Inggeris abad ke-17. Taman-taman awam yang menghijau di sini juga terjaga rapi serta cantik. Banyak terdapat kedai cenderamata yang unik serta cafe-cafe ala-alfresco di sekitar wharf. Kapal persiaran yang aku naiki ini diberi nama Arahura; mempunyai beberapa tingkat, bertolak petang itu sekitar jam 1 petang dan mengambil masa 3 jam untuk sampai di Wellington. Disediakan kaunter minuman serta makanan, bilik atau lounge santai sambil menonton tv, persembahan percuma pemuzik dan ruang berehat di atas dek.

Cook Straits

Beberapa minit setelah berlepas, cuaca sekitar teluk amat baik, cerah dan terang. Setelah setengah jam berlalu, hujan rintik-rintik mula turun, menjelmakan pelangi di celahan awan dan berlatarkan bukit-bukau Selat Cook. Tidak sampai 15 minit, hujan menjadi lebih lebat, disertai angin kuat. Aku yang sedang leka merakam gambar di atas dek, segera masuk ke dalam. Dalam berjalan itu, hujan air batu atau hailstorm mula turun seperti dilontar-lontar ke seluruh badan. Aku sempat berlindung sebelum angin menjadi lebih kencang, ombak besar mula menghempas menjadikan kapal sedikit terumbang-ambing. Agak cemas juga ketika itu, disamping aku sudah mula merasakan mual ingin muntah. Hampir satu jam berikutnya, aku kerap keluar masuk ke dalam tandas untuk muntah, tanda-tanda ribut dan ombak besar untuk reda masih tidak kelihatan sehinggalah kami hampir menuju ke perairan Wellington.

Cuaca di Wellington pada lewat petang itu amat baik walaupun angin bertiup agak kencang. Dalam keadaan yang masih pening, aku dan beberapa orang rakan berlegar-legar di pelabuhan untuk mencari teksi menuju ke Wellington International YHA. Malam itu aku hanya menghabiskan waktu untuk tidur dengan lenanya di dalam kamar.

My creation

Awal pagi keesokannya, aku sudah bangkit untuk menunaikan tanggungjawab. Kali ini aku ditempatkan di dalam bilik untuk seorang, ini semua kerana kesilapan mereka membaca tempahan. Aku lebih selesa sendirian, mengqada' segala solat, mengemas bagasi dan sebagainya. YHA Wellington ini aku berikan taraf 5 bintang hostel, terbaik pernah aku jumpa sepanjang mengembara ke pelusuk dunia, dan mereka juga diiktiraf antara terbaik di dunia!. Tidak banyak aktiviti yang aku lakukan, pertamanya mencari sarapan di sebuah restoran, kemudian ke Muzium Te Papa, wajib ke sini untuk mengetahui sejarah awal Maori serta pendatang Eropah dan bermacam maklumat lain. Petang itu aku hanya santai di Spa H berdekatan hostel sambil menikmati keindahan ibu negara New Zealand ini.

NAPIER-MT. MANGANUI-ROTORUA-TAURANGA

My creation

Selesai bersarapan ringkas di Wellington, kami bertolak menuju ke Napier, sebuah bandar yang musnah dilanda gempa bumi sekitar tahun 1930'an tetapi dibina semula dengan bergaya 'Art Deco'. Sebelum sampai di Napier, kami singgah sebentar di Mt Bruce Wildlife Center untuk melihat dengan lebih dekat beberapa jenis haiwan unik yang hanya terdapat di New Zealand, seperti Kiwi dan Tuatara. Hostel yang kami diami di Napier pula dibuat dari papan, sangat bersih dan strategik menghadap ke laut, lihat saja di dalam foto di atas, paling bawah hujung. Malam itu, aku dan seorang rakan mengunjungi Ocean Spa Hot Pools, sebuah kompleks kolam air panas yang dibuka untuk orang awam. Memang menyegarkan berendam di dalam kolam air panas yang dibuat secara terbuka menghadap ke laut, sementara suhu di luar pula sekitar 15'Celcius!

DSC_0201

Keesokannya dalam perjalanan menuju ke Mt Maunganui, kami singgah sebentar di Sungai Waikato, sungai yang mempunyai aliran deras, jernih dan berlatarkan kehijaun yang indah. Sungai yang panjangnya 425 kilometer ini merupakan sungai terpanjang di New Zealand. Selesai di River Waikato, kami berhenti untuk sarapan dan seterusnya menuju ke Rotorua sebelum akhirnya bermalam di Tauranga yang tenang dan mempersonakan.

DSC_0223

Kami sampai di pekan Rotorua tepat untuk waktu makan tenghari, dan kami berlima berlegar-legar di pekan yang tersusun rapi ini mencari restoran. Aku yang lebih awal mencari maklumat mengenai restoran halal di negara ini, telah pun memilih Mecca Kebabs sebagai destinasinya. Alhamdulillah, di pekan yang majoritinya bukan beragama Islam ini, masih terdapat 2 buah restoran Turki yang menjual pelbagai jenis makanan timur tengah yang lazat dan harganya juga berpatutan. Restoran yang terletak di jalan utama deretan kedai di pekan Rotorua ini mudah untuk ditemui.

Tauranga

Selesai menurunkan beberapa orang penumpang dari Magic Bus ini, kami meneruskan perjalanan singkat menuju ke Tauranga melalui lebuhraya yang mirip di Malaysia. Selesai daftar-masuk ke hostel yang mempunyai 'back garden' yang menghijau dan bersih itu, aku mula berjalan kaki menuju ke bandar kecil Tauranga yang terletak di tepi muara tetapi berbukit-bukau. Aku berhenti seketika di kawasan dermaga untuk menikmati biru laut dan langit awal petang itu. Terkesima dengan keindahannya serta kebersihan kawasan persekitaran serta keramahan penduduk di sini.

My creation

Secangkir Cafe latte double-shot serta sepotong kek keju dibeli di Starbucks yang terletak betul-betul di hadapan wharf yang mempunyai pemandangan yang tenang. Aku merancang untuk aktiviti pada malam itu, dan akhirnya memutuskan untuk memanjakan diri dengan menonton wayang di sebuah panggung yang agak eksklusif. Sebuah filem Peranchis berjudul The Grocer's Son yang berlatarbelakangkan keindahan desa Provence membuat aku berfikir dalam-dalam tentang kebahagiaan sesebuah kehidupan, taat seorang anak kepada orangtua, hubungan antara cinta dan cita-cita serta karier, halatuju hidup seorang insan di dunia dan pencarian jatidiri. Filem ini sungguh 'indah', 'cantik', 'kacak' serta sangat santai, membuatkan aku ingin menontonnya berulang kali (sudah ada dijual dvd filem ini di Miri!).

AUCKLAND

DSC04971

Selesai bersarapan ringkas di hostel, kami menuju pula ke destinasi terakhir percutian di New Zealand ini, kota besar Auckland yang yang memakan masa beberapa jam perjalanan dari Tauranga. Kami sempat singgah di beberapa buah pekan di dalam perjalanan ini, antaranya di Waihi di mana emas pernah dilombong, dan Paeroa yang terkenal dengan minuman Lemonnya. Sesampai di Auckland, aku terus menghubungi Zahidi dan aktiviti seterusnya dipenuhi dengan acara makan-makan (sehingga ke awal subuh) dan sembang-sembang bercerita kisah lama dan baru. Zahidi, teman yang aku kenali lebih 13 tahun dulu, ketika masih menuntut di Shah Alam manakala dia pula baru memulakan kerjaya sebagai Auditor. Masih teringat kenangan bersama ke Langkawi serta pulang ke kampung aku di Pulau Pinang. Zahidi sekarang sudah jauh berbeza, kerja pula di Auckland, bahasa Inggerisnya pula sudah 'berhabuk', dan badannya pula jauh lebih kurus sekarang. Tahniah buatmu rakan dan terima kasih tak terhingga di atas layanan istimewa.

My creation

Aku sempat berlegar-legar di bandaraya Auckland ini sebelum bertemu Zahidi di awal petang. Kota besar dan padat dengan manusia pelbagai bangsa dan rupa, rata-rata mereka muda belia, penuntut-penuntut Universiti agaknya. Kota ini agak santai walau ramai penghuni tak putus-putus mundar-mandir di setiap lorongnya. Banyak bangunan moden didirikan berselang-seli dengan bangunan lama ala-Eropah, menjadikan kota ini agak unik berbanding kota lain di New Zealand. Keesokannya, dari Auckland, aku terbang pula ke Gold Coast untuk transit kurang dari 24 jam, namun waktu yang sangat singkat itu aku manfaatkan secukupnya. Aku yakin yang Gold Coast akan aku kunjungi lagi dalam waktu terdekat ini. Seperti Queensland, cinta aku juga tertinggal di sini.....biarlah ianya menjadi rahsia diri. Terima kasih kepada Damian kerana memberikan sedikit nasihat dan menghembuskan kekuatan dengan cerita-cerita dan pengalamanmu. Transit juga di Melbourne sebelum terus terbang ke Kuala Lumpur. Terima kasih Kiara kerana menemani aku di lapangan terbang Tullamarine sambil bersembang membunuh waktu. InsyaAllah kita akan bertemu di Miri jika tidak di Brunei.

Pengalaman 'berkelana' di bumi New Zealand yang serba indah dan menakjubkan ini, sedikit-sebanyak mengajar aku tentang beberapa perkara terutamanya tentang nilai persahabatan serta jatidiri Tidak perlulah aku ulasnya di sini, mungkin dikesempatan lain dan di ruang yang berbeza. Alhamdulillah, syukur kehadrat Allah kerana perjalananku amat lancar, sempurna dan 'indah'. Bumimu ya Allah, amat aku kagumi, apatah lagi dunia di akhirat nanti....

Puisi: Perjalanan Ini.....

34 comments:

ChekguSekolah said...

Indahnya bumi NZ..
bila agaknya nak kesana?

solo molo said...

bnyk pemandangan2 yg cantik...
rs mcm nk pegi jer...

scrlett said...

salam... bro rush, mood dah ok lah tu.. hmmm... berjanggut gak tunggu entry ni actually... hehehehe..
hush.. panjangnya entry kali ini.. but cantiklah gambar2 tu...! very nice! alhamdulilah... selamat juga sampai di Bumi Malaysia... lama berblog membuatkan fikiran yang bukan2... sakitkah, ter'kena' wabak kah..? kena claim balik keje yg tertangguhkah..
hahahah... segala kemungkinan...

xiiinam said...

selamat memeriahkan tepak sieh kembali....




Memang meriah....

Nash Amad said...

Taniah Rush.....keluar jg entry terakhir g NZ nie...Cantik2 gambar2 nie rush......15 minit aku nak habiskan baca entry kali nie(entry terpanjangkan),padat dgn maklumat serta menarik sangat-sangat....

zara said...

Finally...the much awaited entry! NZ is a postcard country. Whichever angle and whatever view the lens captured will definitely give the viewers a taste of HIS wonderful creations. Bravo! You've captured it right and perfect.

Mana kuiz nye?? I tetap nak 'hadiah' tu!! :)

Akan ada perjalanan ke situ utk tahun2 yg mendatang, jika diizinkan-Nya. Insya Allah.. :)

Norae said...

salam...

akhirnya.. setelah sebulan menunggu..

cantiknya gambar2 di negara Kiwi sana.. tak puas mata memandang, tak jemu membaca entry berulang kali.. thanks kerana sudi berkongsi pengalaman..

tapi.. ada satu lagi tertinggal.. mana gambor bungee jumping tu..

Chef Aduka said...

impresses tgk anjing laut dok kat waterfall tuh....balik itu hari dari sana,bro kena quarantine tak????hehehe

adyri said...

Salam Ziarah. Maha suci Allah, tuhan sekelian alam. Menciptakan bumi yang indah buat tatapan hambanya yang lemah.

orangrawa said...

great experience and nice photos. Best.

Inah said...

nz sgt cantik kan :)..can't wait for my time to come :)

insyaAllah..kaki inah akan menjejaki bumi NZ tahun ni juga :)

x buat bungee ke?

zal said...

nice pictures...

Rush Murad said...

ChekguSekolah - insyaAllah....abg yg dah umur hampir 40 ni pun baru dapat jejak kaki..dari sekolah dulu dah pasang angan2 nak ke sana...

solo molo - bukan jauh sangat pun...jom ler! :)


scrlett - kena buat sikit2, actually ni 2 entry yg disatukan.... mana nak edit pic, nak selak2 itinerary..takut silap info...akhirnyaaa... sebenarnya FB yang 'menggangu'...

Rush Murad said...

CkLah - insyaAllah....kena lebih rajin selepas ni untuk mewarnakan TS..harap2 tak der yg 'muak'..


Nash - kau baca 15 minit, aku karang entry berbelas jam...hahahaa... puas dan gembira entry ni siap..


Zara - thanks! berjaya juga siapkan entry ni sebelum ada entri2 lain yg sedang que untuk dimasukkan..... mudah2an u dapat tips dari entri ni for ur future trip to NZ..

Rush Murad said...

Norae - thanks! actually banyak pics yg cantik2, tapi nanti too crowded pulak dalam ni..click the pics, then u akan masuk ke flickr.com... bungee? i pi tak tak buat..ada sebabnya...bukan kerana takut...tak ngeri pun sebenarnya..


chef aduka - anjing2 laut tu mendaki bukit dari laut ke atas bukit ni... tak kena kuarantin pun,....tapi i kena selsema yg sgt teruk selama 2 minggu.. sebelum pi dah ambil flu vaccine..


adyri - terima kasih kerana singgah di TS.. bumi Allah ini luas...dan cukup indah...semoga kita sentiasa ingat dan syukur..

Rush Murad said...

orangrawa - thanks! lepas ni Indo-China pulak.... :)


Inah - u dah dekat daaa.... anytime semester break boleh pi.. pi lah Fiji sekali, dah tak jauh tuu..


zal-thanks bro!

scrlett said...

hahahaha... FB? hehehehe.. whatever.. its really nice picture!! hmm.. nk jugak lah sampai kaki kat sana.. insyaallah... terharu sungguh tgk gambar2 tu... hmmm... err... gambar2 tu tak edit kan...?

Faisal Admar said...

wah bro.
pics memang superb.
memang macam selalu, memang asyik puji hasil kerja bro.
tumpuan utama mata ialah pada gambar-gambar yang boleh dikatakan perfect! :)

best kan vacation ke negara orang.
harap-harap tak lama lagi saya pun boleh sampai ke tempat-tempat macam ni.

Leez said...

Bestnya...
Gambar cantik...
Cerita best...
pengalaman pengembaraan tu yg mahal....

Ahau - Dee said...

You are most welcome Shidy!!! Sorry sesangat sebab tak boleh ambil cuti untuk bawa you jalan ke Auckland. Anyway, best kan jumpa balik kawan2 lama?

Keep in touck okay. Kita jumpa lagi di Miri ker ... Muscat ker ... or di mana saja lah.

p/s : Cam ner you boleh publish gambar tu besau-besau. Bila aku buat kat my blog tak jadi besau macam tu pun? Thanks.

Rush Murad said...

scrlett - mcam tau2 jer....hahahahaa....im so very 'redha' at the moment... :) some of the pics tak perlu editing, some kena juga sikit2...cropping etc..but memang dah semulajadi cantik..


Faisal - thanks bro! hope ur enjoy the pics...insyaAllah, tiada yg mustahil..semoga u dapat ke sana one fine day..


Leez - pengalaman yg 'mahal'...lebih2 lagi bertemu insan2 yg sangat baik di sana.. :)

Dee - yup, kenangan indah di bumi asing kita cipta bersama...hahahahah.. sapa sangka kan? jgn lupa contact2i di Miri...if not kita jumpa di Muscat sahaja...insyaAllah...

mawar merah said...

Salam...been a silent reader for quite sometimes, ari ni gatal tangan nak tulis comment. Always love to peep in here, and reading ur blog inspired me to starts my own.

The stories are interesting and photos are superb...Bravo!!!

Mrs.Sheikh said...

bang tepak...
cantik laa gambar2 ni, cam best la nengok negara org..

sy kidnap gambar tauu... wallpaper nii!! :D

D'Rimba said...

Sungguh terpaku mata menatap keindahan alam ciptaan Allah....Terharu.....

zany said...

insyaAllah nak ke sana next year kot, boleh refer blog ni dengan tempat yang menarik sangat

:: NbC :: said...

Rush,

nice entry (the most awaited entry by most of ur readers).

do come again for our Bungee date yea ;-)

*pssst, ritu kita naik punting, bukan gondola.

Rush Murad said...

mawar merah - salam...thanks very much!!! nanti i jenguk ur new blog...and link urs as well... happy blogging :)


Mrs. Sheikh - sampai la ni i tak leh akses ur blog :(. kidnap ler pic tu, tapi jgn lupa Hotdog satuuuu...

Rush Murad said...

D'Rimba - kan? lagi2 kalau tengok live..depan2 mata... meremang bulu roma kadang2..

zany - thats gud... pi ler ke NZ...puasss... boleh refer to my blog and if nak tips...email jer to me..

Pinky - thanks...lagi nice sebab ada org berbaju pink dgn senyuman manis itu... punting ekk? lupa lerrr... nanti i tukar.. *MALU mode..

Nuyul said...

finally!!!yeay!!!

i) love the mirror lake!
ii) ramai kenal org kat byk tempat.. senang kan??
iii) next tour?? gi siney gik??

Rush Murad said...

Nuyul- yer cik adik, dah lama update...u jer yg tak perasan...
i)mirror lake tu boleh cermin muka kita sendiri... :D
ii) alhamdulillah, berkawan biar beribu2, berkasih sayang 3-4 org tak per, musuh jgn dicari... gituh..
iii)next tour, no plan...kena berjimat cermat. lagi pun orang rumah i tak suka travel, dia lebih suka simpan duit buat investment segala... :D

@xiM said...

ABANG TEPAK..
NAK GAMBAQ LAGI..

Pnut said...

kelezzzz gambo-gambo sumer...
bestnya ko asyik jalan sana sini..
jeles aiii tau...
buat cupcakes sampai lebam pun tak mampu pegi melancong macam ko..ahaks..

Cinda... said...

terpaku sejenak melihat keindahan alam ini.. subnallah..
lucky you're to be chosen to see it secara live..x semua berpeluang macam tu..

:D

Anonymous said...

boleh tanya tak, macamana keadaan di christchurch sekarang ini selepas dilanda gempa?
life back to normal atau masih dlm recovery mode?
satu lagi, macamana autumn di NZ (south and north), macamana keadaan pada bulan May..almost winter atau masih autumn?
thanx a lot in advance for your kind response ^-^