Tuesday, February 03, 2009

From Miri to Tip of Borneo: A Journey to Remember.....

Crocker Range

Foto: Antara destinasi menarik yang kami kunjungi - Banjaran Pergunungan Crocker.

Hajat yang sekian lama terpendam - memandu dari Bandaraya Miri di Sarawak menuju ke Simpang Mengayau di Sabah, akhirnya terlaksana jua. Cuti bersempena dengan Tahun Baru Tionghua digunakan sebaik mungkin dengan rehlah di Negeri Di Bawah Bayu, menziarahi beberapa orang kenalan di sepanjang perjalanan dan menghayati indahnya bumi Malaysia Timur ciptaan Allah Maha Agung. Perjalanan aku dan Wan Hidayat bermula pada Sabtu 24 Januari 2009, sekitar jam 11 pagi.

Lawas

Foto: Kami menyeberangi sungai dengan menggunakan feri dari dalam wilayah Brunei, dan di sebelah sana ialah wilayah Malaysia.

Kami meninggalkan Miri dengan cuaca yang agak suram, melintasi sempadan negara memasuki Negara Brunei Darussalam di Pos Imigresen Kuala Belait. Memandangkan kami sudah mempunyai peta perjalanan yang lengkap dan terperinci, lantas membuatkan perjalanan kami lancar dan seperti bertanding di dalam rancangan realiti 'Amazing Race'. Kami memilih untuk ikut jalan pintas dengan membuat pusingan 'U' di Lebuhraya Jerudong menuju ke Simpang Maya - Lamunin. Tidak terlintas di fikiran yang kami akan melalui perkampungan tradisional Melayu Brunei, deretan sawah padi, sungai-sungai, jejambat sempit, kebun buah-buahan, hutan dara dan pekan-pekan kecil. Agak sedikit keliru dan mencabar melalui jalan-jalan kampung sepanjang lebih 30km ini menuju ke Pos Imigresen Kuala Lurah di Brunei dan Pos Imigresen Tedungan di Limbang, Sarawak. Kami berhenti untuk makan tengahari di bandar Limbang sambil ditemani oleh seorang rakan Arman Shah yang bertugas sebagai Polis Marin di sana. Dari bandar Limbang, kami memandu pula ke terminal feri yang akan membawa kami melintasi sempadan Malaysia - Brunei di Sungai Pandanuman. Beberapa kilometer dari terminal feri di jajahan Brunei, kami menghala pula ke pondok Pos Imigresen Puni di dalam wilayah Brunei. Lebih kurang 12km memandu dari Puni/Labu, kami berhenti sekali lagi di Pos Imigresen Temburong/Labu untuk keluar dari wilayah Brunei. Lebih kurang 2km dari situ, kami sekali lagi menggunakan feri untuk melintasi Sungai Trusan memasuki wilayah Sarawak, Malaysia.

DSC_2917

Foto: Pemandangan kenderaan yang menaiki feri menyeberangi Sungai Trusan di daerah Lawas.

Kami memandu dalam keadaan cuaca yang mendung dan hujan, menuju ke pekan Lawas untuk mengisi petrol. Kami di sambut dengan jalanraya yang dipenuhi banjir dan hujan yang sungguh lebat. Kami redah semuanya dalam pekat awal malam sekitar jam 7pm. Memandu Mr. LeX dalam keadaan hujan lebat dan berkabus di lereng-lereng bukit Lawas tidak mendatangkan kebimbangkan, lebih-lebih lagi Mr. LeX telah diperiksa secara terperinci sebelum berlepas. Sejam memandu dari Lawas, kami tiba di Pos Imigresen Merapok dalam wilayah Sarawak, beberapa langkah ke hadapan, kami disambut pula oleh kakitangan Pos Imigresen Sindumin dalam wilayah Sabah pula. Perjalanan diteruskan menuju ke Papar untuk bertemu Hani dan seterusnya ke Kota Kinabalu untuk makan malam di tepian pantai Likas, kemudian check-in di hotel dan berehat sepanjang malam.

Tip Of Borneo at sunset

Foto: Berdiri betul-betul di penghujung 'Tip of Borneo' - Simpang Mengayau sambil menikmati 'sunset'.

Keesokannya setelah selesai bersarapan, kami memandu menuju ke Kudat yang terletak hampir 200km dari Kota Kinabalu. Sekali lagi kami dibentangkan dengan panorama alam yang sungguh mendamaikan - deretan sawah-sawah padi yang menghijau, kampung-kampung penduduk yang berbilang suku, melewati kawasan bukit bukau dan gunung-ganang yang menguji kecekapan pemanduan. Memandangkan Wan sudah pun membuat tempahan bilik di Kudat, kami terus menuju ke Kudat Golf & Marina Resort untuk check-in lalu langsung keluar semula untuk makan tengahari di restoran Terminal Tomyam di Esplanad.

My creation

Selesai merehatkan badan, kami keluar semula menuju ke Simpang Mengayau untuk melihat matahari terbenam di ufuk barat dari tanah paling utara di Pulau Borneo ini. Dalam perjalanan ke sana, cuaca agak mendung dan sesekali ada rintik-rintik hujan yang turun, sungguh merisaukan takut-takut tidak dapat melihat sunset dan keindahan panorama di sana. Semasa kami sampai di Simpang Mengayau setelah 45 minit memandu dari pekan Kudat, orang-ramai sudah mula meninggalkan lokasi Tip of Borneo. Akhirnya, hanya kami dan beberapa orang pengunjung sahaja yang tinggal untuk menikmati waktu senja di sana. Dalam pada menunggu itu, langit tiba-tiba menjadi cerah dan matahari mula memunculkan diri dari celahan awan-gemawan - sungguh indah ciptaan Illahi!!! Setelah seketika, suasana sekeliling Northmost Tip of Borneo menjadi gelap gelita, lantas kami terus pulang ke pekan Kudat, membeli sedikit makanan dan berehat di dalam kamar sepanjang malam.

Kinabalu Park's trail

Foto: Trail yang bermula dari Timpohon Gate untuk mendaki ke puncak Gunung Kinabalu di Kinabalu Park.

Kami bersarapan di Kudat Golf & Marina Resort sambil menghadap Laut Sulu yang bertentangan dengan hotel, sebelum memulakan perjalanan menuju ke destinasi seterusnya - Kinabalu Park, Kundasang, Ranau dan Kolam Air Panas Poring. Sekali lagi kami menggunakan 'sign-board' yang ada di sepanjang jalan untuk mencari arah menuju ke destinasi seterusnya, kesimpulan yang dapat kami buat ialah; pihak pemerintah di Sabah telah menjalankan tugas yang amat baik kerana tunjuk arah dan papan tanda lengkap ada di setiap persimpangan dan bahu jalan. Sesampai kami di Kinabalu Park, kelihatan begitu ramai Pendaki yang baru selesai menuruni Gunung Kinabalu. Kami memandu melimpasi lereng-lereng bukit di kaki Gunung Kinabalu menuju ke Timpohon Gate, berhenti seketika untuk menikmati cuaca segar bersuhu sekitar 15'Celcius.

Poring Hot Springs

Kami meneruskan perjalanan menuju ke pekan Ranau, melalui Kundasang yang ketika itu sedikit berkabus dan sibuk dengan pengunjung di kiri-kanan jalan. Kami berhenti untuk berehat dan makan tengahari di sebuah restoran di pekan Ranau sebelum melanjutkan perjalanan menuju ke Poring Hot Springs - sebuah lagi destinasi yang telah kami rancang untuk dikunjungi. Aku membayangkan yang kolam air panas di sini cukup besar untuk menampung berpuluh pengunjung, tetapi apa yang disediakan ialah kolam-kolam kecil yang semi-privasi, 3 jalur kolam untuk merendam kaki dan sebuah kolam sederhana besar yang berisi air sejuk dari gunung. Kami menghabiskan masa beberapa jam di sana sehingga langit mula menjadi gelap, masa untuk meninggalkan Poring dan kembali ke Kota Kinabalu yang jaraknya lebih kurang 136km.

Kundasang

Foto: Sebuah perkampungan tidak jauh dari pekan Kundasang di waktu penghujung petang.

Cuaca berkabus tebal dari Poring menuju ke Kundasang benar-benar menguji kecekapan dan kepekaan pemandu. Jarak penglihatan kurang dari 20 meter dan jalanraya pula agak licin dan sesekali ada runtuhan tanah serta lubang-lubang di atas jalanraya. Jumlah kenderaan juga agak banyak dari kebiasaan kerana musim cuti yang panjang dan paling ketara ialah kenderaan berdaftar di Miri ada di merata tempat. Kenderaan kami selamat sampai di Kota Kinabalu sekitar jam 9 malam dan sepatutnya kami terus menuju ke Papar untuk bermalam di rumah Hani, tetapi rancangan itu terpaksa dibatalkan kerana kami mempunyai perancangan lain di saat-saat akhir - melanjutkan percutian.

Jesselton Jetty

Kami berlegar-legar di sekitar bandaraya Kota Kinabalu untuk mencari tempat penginapan, dan akhirnya kami memilih Hotel Garden di Lorong Dewan (Australian Place) sebagai tempat penginapan kami pada malam itu. Selesai berehat dan membersihkan diri, kami menuju pula ke Jesselton Point untuk bertemu rakan-rakan yang bertugas di SKO Miri, juga mengambil kesempatan bercuti di sini. Kami bersantai sahaja di sekitar kawasan jeti sambil minum teh tarik sambil ber'shisha', menikmati angin malam dan merehatkan tubuh badan serta minda yang keletihan. Keesokkannya kami berdua sempat lagi berlegar-legar di sekitar bandaraya Kota Kinabalu sebelum berlepas ke pekan Papar bertemu dengan Hani dan sepupunya Dr. Safwani.

Crocker Range

Foto: Wan seperti seorang 'stuntman' semasa mengambil foto ini; berdiri di dalam kereta dan menjengah dari bumbung terbuka, MERBAHAYA!

Kami bertemu di pekan Papar, ber'kopitiam' di Dapur Ayah yang baru sahaja menjalankan operasi di situ. Kami memujuk Hani dan Saf untuk sama-sama 'mendaki' Banjaran Crocker, menjadi pemandu arah dan menjadi teman berbual-bual. Memang curam dan berbengkang-bengkok keadaan jalanraya di sini, jalan yang menuju ke bandar Keningau dan Tenom. Sekiranya kenderaan anda tidak berada dalam keadaan baik serta pemandu tidak 'berani' - jangan sesekali melalui laluan ini. Kesekian kalinya kami dihidangkan dengan panorama alam yang sungguh menakjubkan, muncung gunung-ganang berkabus, lembah dan lurah, jurang tirus dan pepohonan yang hijau. Memang berbaloi rasanya dapat ke daerah ini, kalau sebelum ini hanya membacanya dari buku-buku Geografi semasa di sekolah menengah, tetapi kini ianya terbentang di depan mata. Kami bermalam di rumah Hani di Kampung Benoni, makan malam yang sedap disediakan oleh ibu beliau dan kudap-kudapan yang belum pernah kami rasa. Terima kasih tak terhingga kepada Hani sekeluarga!

DSC_2915

Foto: Kami berhenti di bahu jalan sebaik melihat fenomena alam yang indah ini, untuk dirakamkan dan dikongsi bersama.

Selesai Subuh dan bersarapan, kami bertolak pulang dari Kampung Benoni, melalui beberapa kawasan perkampungan, pekan-pekan dan bandar kecil seperti Beaufort, Sipitang, Sindumin, Merapok dan lain-lain. Laluan yang sama juga kami gunakan semasa datang beberapa hari lalu, cuma kali ini kami berkelana dalam terang cuaca dan panas mentari. Kami tidak berhenti di mana-mana untuk berehat, hanya seketika di Pos Imigresen Merapok untuk menunaikan 'hajat kecil'. Kurang dari 6 jam, kami sudah selamat sampai di kawasan kediaman kami di Senadin, Miri - alhamdulillah!!! Sepanjang perjalanan kami dipermudahkan olehNya.

Crocker Range

Dan sepanjang perjalanan pada kali ini, aku sekurang-kurangnya telah belajar erti sebuah keikhlasan persahabatan, didedahkan dengan kebobrokan sifat dan naluri manusia, debat atas dasar kewajaran dan kedewasaan akal, berpegang pada prinsip dan sifat sabar, menghargai dan syukur akan nikmat yang diberi, perlunya kekukuhan sifat dan sikap kasih-sayang sesama manusia, sesama alam dan Tuhan Maha Pencipta. Sebuah lagi kenangan dibukukan di dalam benak ini dan dizahirkan di dada Tepak Sireh.....

"When you make a mistake, don't look back at it long. Take the reason of the thing into your mind and then look forward. Mistakes are lessons of wisdom. The past cannot be changed. The future is yet in your power." Hugh White

29 comments:

Shopaholic Mama said...

Actually, with those beautiful pics you took during yr travels, boleh masuk contest Silkair organised by our local Straits Times.

Best pic for the month can win free trip bi Silkair!

Luaq Dome Ezplanade said...

Salam. Wah! bila baca entry nie mcm i terikut sekali dalam pengembaraan ini. Insyallah jika umur panjang, aku pun nak pi sana jugak laa and menghayati keindahan alam flora. Gambar2 yg cantik buatkan hati tak sabar nak ke sana....jomm kita pi ramai2...heheh

Hidney said...

wah jauh perjalanan dgn mr lex...

fzy fuzzy said...

Salam en. tepak,
Lagi bagus kalau ader video klip or short documentary. Peh! sure kaw-kaw punye.
Kalau tak de pun, paparan gambar2 tu dah cukup membuatkan orang teruja.
Balik semenanjung bole la buat entry pasal utara tanahair n thailand pulak ek

orangbukit said...

Ni betul2 test drive Mr LeX..

Rush Murad said...

Shophaholic Mama - nanti i nak check la if they hv this online on Silkair website... manalah tauuu kan... lagipun Silkair memang ada fly KK-Spore..

Luaq Dome - Salam. tu laaaaa... bila lagik kita nak buat rombongan cik kiah pi Sabah?


Hidney - uji pandu sebenarnya....


fzy - Salam. I ni tak gemar plak ambik v-cam.... ni pun tak byk sgt snap pics coz susah nak berhenti kat tepi2 jalan... yesss... dah macam2 plan bila balik semenanjung nanti... :D

mOhD^.^rAz said...

InsyaAllah next year kalau panjang umur and diberi kesempatan, sampai lagi di bumi Sabah. Untuk posting plak InsyaAllah..

Nurul said...

whoah.. ! finally!
gambar best.. best giler2..
tau tak ni first time org baca this entry from the first word "hajat" tuu.. til end. without miss any of it.. hee.. :p (nurul kan malas membaca..) tp this entry berjaya buat nurul baca the whole thing laa!!!
kene ajak along drive to KK gak nih!=D

ct_Pe`ah said...

OMG, canteqss nyer...jom kita pi kerol..kalau encik Tepak jd guide kami lagi best kan kan kan...

tyah said...

Salam.. Marvellous pics Rush! Cara penulisan hebat menggambarkan diri saat menyusuri perjalanan dan percutian ni.Syukur semua dipermudahkan. Tyah tetap suka Ranau & Kundasang; kenangan terindah di situ.

Yoshi Aiko said...

wah...time kat KK tak berkesempatan pun ketemuan dgn awak n dayatkan???hihi

rhymee suhaili said...

wah...indah sgt pemandangan ... lagi ramai sure lagi best

momilo said...

You never fail to come up with very beautiful, interesting pictures. Real test drive tu Mr. LeX, terus bawak jalan jauh dan lasak. Nice car, very comfy interior and good choice. :)

Rush Murad said...

mohd raz - mintak posting ke Sabah ke cikgu? hope u will enjoy ur stay kat sana nanti...


Nurul - ingatkan u start baca dari 'hajat kecil' tuuu... hahaha.. thanks for reading, teruja??

ct pe'ah - jom kita buat rombongan cik kiah pi Sabah... kali ni singgah pulau2 plak..

Rush Murad said...

tyah - salam...thanks... dudlu Tyah dating di ranau n Kundasang ekkk?? :)


Yoshi - yess.. lepas dayat call u, we all pi beli shorts utk main2 air laut kat pulau2 tu, tetiba dia kata uol pi kundasang plak.. tu yg we all pi crocker...


rhymee - i'm soooo soriiii.. memang plan asal nak ajak uol reramai... tetapi... nanti ler i bgtau alasannya... :/


momilo - thanks!!! glad that i've chose the right car for my kind of lifestyle... akan datang jelajah semenanjung pulak.. :)

Nurul said...

teruja sangat!!!!maybe pas dgr korang citer gak kot.. tu yg jadi cam excited nak bace.. plus gambo lagi.. plan nak gi la naik keta lembu kamek ya.. nak lawan mr.Lex! (konon..) sib baik mr.Lex tak cultural shock ekkk?? :p

ps : org suke tgk gambar sunrise n crocker range n tip of borneo (lagi cantek kalau kmk yg kat dalam gambo tu.. hahaha.. *leputtt :p)

tyah said...

Dating kat Ranau & Kundasang ?? Ntah! biarlah rahsia;)) hehe

anne said...

hi rush...agak ngeri je kalau i nak bawak kereta naik feri tu...hehe. macam very open je.

anyway, i love the sunset picture

zara said...

Interesting. Adventurous. Tempting!

Dan byk new vocab here. One of them "Kebobrokan". Ape tu?

*akan ada ke rombongan cik kiah?

Terompah Biru said...

Subhanallah... memang chantek gambo2 kat Crocker Range tu yerkk.. Teringat masa mlm tu korang cerita.. Dah tengok gambo tu boleh ler imagine sekali nie.. *wooowwwww memang best ohhh ;D

Nak pergi gak ler lepas nie.. Juh Nurul.. Juh ramei2 kita ;D

SABAH memang banyak tempat chantek2 laa... Sib baik Sabah & Sarawak dekat jer... Azam nak tawan Gunung Kinabalu tu entah bila la nak tercapai ;D

Nannntiiiikan.. kalu U ke Sabah lagi singgah2 la jenguk kite org kat Miri nie gak :( *tah ape kes tiba2 sedih nie...

Anonymous said...

salam rush..kota marudu/pitas tak pergi ker???.. :-)

dbi

[danial][ma] said...

hej! rush...what a great scenery along your trip...i miss travel arond malaysia and hope one day i have anothjer chance to travel agian and this time will take a lot of pics...hahahaha...last time only keep on my mind...well, travelling with others will show the true colours of the people we thought we know them very well...that's why i like to travel alone...;-)

NONIE AZIZ said...

Cantik, tenang, sejuk pemandangan dia Rush...Rasa macam i pun ikut ada kat dalam gambo ni...seriussss...mmg jatuh cinta dengan ciptaan Allah...

Chef Aduka said...

What a adventure!Suka la!Paling suka tgk pic sunset dgn pic gunung2tuh!Ayah iwan dulu pernah bertugas di sabar 11 tahun....abg cheq org sabah ba!Pandai menari sumazau...Bila la boleh sampai???Ermmmmmm

Kisah Hati hamba said...

cantik2 giler ah gambar2 dalam blog ni,,..
nice to view here...

Lily.Lulu said...

teringat masa kita pergi KK 3 tahun lepas

mmg best sangatttttt !!
:D

jeles la tgk gambar . cun !!!!

Muhafis said...

asyik jln2 je ye.. byk duit tue.. huhuh

riqzmie said...

hi,can we exchnage our banner,if u done have banner i still can post yur link,please let me know after it done.thank

Anonymous said...

jom gune widget radiobox ni,..
kecik tapi ade macam2,..
music video pun ade!..

www.radioboxfan.blogspot.com