Thursday, December 24, 2009

Tetamu-tetamu Bertandang ke Lot 4375, Lorong Desa Senadin.....

bbq

Entri ini merupakan entri blog Tepak Sireh bagi menutup tirai tahun 2009 Masihi. Beberapa cebisan aktiviti yang pada pendapat aku mempunyai significant tersendiri, yang perlu aku masukkan di dalam online-diary ini. Pertamanya aktiviti BBQ Santai di rumah aku di Senadin, Miri yang dihadiri oleh orang bujang dan separa bujang. Julung kali aku membuat acara BBQ di halaman rumah, walau telah beberapa kali memasang niat semenjak tinggal di sini hampir 4 tahun dulu. Acara ringkas, santai dan penuh dengan pelbagai macam juadah yang sedap-sedap belaka. Aku pula hanya menyediakan beberapa menu yang serba ringkas dan mudah untuk diolah selain kudap-kudapan yang pelbagai.

BBQ

Selain acara santai dan makan-makan, diselitkan juga aktiviti Karaoke, ramai peminat dan bakat terpendam terserlah pada malam itu. Terima kasih kepada Zul Brawi Lee yang bertungkus-lumus menyediakan perkakasan karaoke. Kami berkaraoke sehingga ke lewat tengah malam, sehingga bara arang untuk BBQ menjadi malap dan dingin. Hisham datang dengan membawa perkakasan BBQ elektrik, dan beberapa jenis skewer/Kebab yang sedap. Khairul dengan home-made agar-agar yang paling sedap di Miri, tak puas rasanya agar-agar sedulang tu. Haizul pula membawa beberapa puluh cucuk Sate yang pada selera aku antara yang paling enak di Miri. Ada yang membawa roti jala dan kari ayam (terima kasih kepada anda!), kek lapis, minuman, kuih-muih dan bermacam lagi. Anai pula bertungkus-lumus menghidupkan bara api untuk memanggang kepak ayam, daging kambing, ikan, sotong dan sosej. Terima kasih teman-teman yang hadir pada malam itu kerana merealisasikan BBQ Santai di Senadin! Ini kali pertama dan terakhir kita berBBQ di Senadin, selepas ini kita tukar lokasi pula.

DSC_0020

Penghujung November, sambutan Hari Raya Aidiladha jatuh pada 27 haribulan. Petang menyambut 10 Zulhijjah 1430, aku dan Yakie menuju ke masjid berdekatan untuk menunaikan solat dan sama-sama mengalunkan takbir "Allah Maha Besar, Allah Maha Besar, Allah Maha Besar, Tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Allah dan Allah Maha Besar, Allah Maha Besar dan segala puji-pujian hanya layak bagi Allah. Allah Maha Besar Yang Teramat Besar, Segala Puji bagi Allah Yang Teramat Banyak.....". Tiba-tiba petang itu, hati menjadi sungguh sayu, banyak perkara menjelma dalam benak fikiran dan yang pastinya aku rindu Mak dan Abah yang sedang berada di Tanah Suci Makkah menunaikan fardhu Haji ketika itu. Ini kali yang ke-5 berturut-turut aku menyambut Aidiladha bukan di kampung halaman di Kulai, tetapi perasaan pada kali ini sungguh berlainan sekali, mungkin cuma perasaan sedangkan fikiran masih lagi waras mengimbang realiti!

Hari Raya Aidiladha, selesai bersolat sunat di Masjid Lutong, kami berangkat ke rumah Suhai untuk menziarahi beliau. Kali pertama beliau meraikan Aidiladha tanpa ibu tercinta yang telah pulang ke rahmahtullah pada awal tahun ini. Dari rumah Suhai di Pujut, kami berangkat ke rumah Khairul di Strawberry Park di Luak dan langsung bersolat Jumaat di Kampung Luak. Seterusnya ke rumah Datuk dan Nenek Zoul Brawi Lee yang berdekatan masjid tersebut. Setelah menjamah juadah yang disediakan serba sedikit, kami bergegas ke rumah Izmet yang terletak di tengah-tengah bandaraya Miri. Ziarah pada hari itu tidak berkesudahan di rumah Izmet, tetapi berlangsung terus di rumah Nurul Hafilah di Piasau bersama rakan-rakan lain. Alhamdulillah! syukur kehadrat Allah yang mengurniakan teman-teman dan keluarga mereka yang hebat di Miri.

My creation

Keesokkan harinya giliran aku pula menjemput rakan-rakan untuk menjamu selera di rumah, bersempena dengan sambutan Aidiladha. Seawal pagi lagi aku dan Yakie bergegas mencari bahan-bahan untuk dimasak, menu yang ringkas - Dalcha daging, ayam panggang buah Kiwi bersos mayonaisse Itali, pelbagai jenis roti, salad dan beberapa jenis kuih-muih. Ramai tetamu yang hadir dan lauk-pauk yang dihidangkan cukup sempurna serba menjadi. Nurizz dan Ummi yang datang dari Brunei menghadiahkan sebiji kek cokelat khas sempena hari Raya Aidiladha.

My creation

Izmet dan Rosdi datang bersama keluarga mereka, bersama anak-anak kecil mereka yang memeriahkan lagi majlis pada malam hari itu. Ketawa dan suara anak-anak kecil ini benar-benar membuatkan aku gembira, seakan suatu terapi pula. Wan Hidayat juga datang membawa anak kecil si NAQ yang sungguh comel dan montel. Sekali lagi, terima kasih kepada teman-teman yang sudi hadir pada malam itu, semoga ukhuwah kita semakin erat dan berkekalan dan semoga majlis itu diberkati Allah SWT. Ini majlis yang terakhir berlangsung di Lot 4375, Lorong Desa Senadin 2C-1D. InsyaAllah, kita berjumpa di lokasi yang berbeza selepas ini.






Monday, December 21, 2009

Kenduri-kendara di Johor, Jalan-jalan di Singapura.....

Kulai

Entri tertangguh yang memakan masa begitu lama untuk disiapkan, akhirnya muncul juga di penghujung tahun 2009. Banyak peristiwa menarik berlaku semenjak entri yang sebelum ini dipaparkan, namun hanya beberapa sahaja yang akan diceritakan, itu pun cuma sebahagian kecil dan seberapa ringkas yang boleh. Minggu pertama November, aku berada di Johor untuk beberapa hari, menghadiri majlis kenduri kesyukuran bersempena dengan keberangkatan Mak dan Abah ke Tanah Suci Makkah dan Madinah menunaikan fardhu Haji. Majlis kenduri diadakan secara sederhana, dihadiri oleh sanak-saudara, jiran-tetangga dan kariah masjid Taman Putri Kulai. Kami memutuskan untuk catering sahaja bagi penyediaan juadah pada malam itu, kecuali manisan kuih-muih dan buah-buahan yang disediakan sendiri. Majlis berjalan dengan meriah dan sempurna, alhamdulillah!

My creation

Dalam sedikit kepenatan selepas majlis kenduri tersebut, aku bersama beberapa orang teman, Anita, Kiki dan Yakie membawa sepupu kami Ani yang datang dari Penang untuk melihat sekitar bandaraya Johor Bahru pada waktu malam. Dalam mencari tempat untuk 'mengeteh', terserempak pula dengan bangunan bercahaya di dalam kawasan Zon Bebas ini, terlalu lama aku tidak ke kawasan ini. Sudah bertukar rupa dari sebuah Terminal Feri ke Batam, yang sebelum ini agak lesu, akhirnya menjadi tempat berhibur ada kelas yang berhias meriah dengan lampu-lampu neon seakan di Macau! Kami beredar setelah lewat malam, mencari tempat untuk 'supper' pula, dan pilihan kami bernoktah setelah terlihat restoran Singgah Selalu. Banyak sungguh kenangan di restoran ini; ada yang lucu, gembira, sedih dan menakutkan.....

Merlion

Keesokan paginya, awal-awal lagi kami sudah bangit. Seperti yang dirancang, aku dan Yakie meneruskan aktiviti di Singapura. Ini pertama kali Yakie menjejakkan kaki di Republik yang terkenal sebagai negara maju 'The 3 Dragons', syurga membeli-belah dan keunikan pelbagai bangsa budaya serta sejumlah bangunan pencakar langit. Perjalanan dari Johor Bahru ke Singapura memang amat mudah, kami menggunakan perkhidmatan pengangkutan awam. Dari Bandaraya Johor Bahru, kami menaiki teksi terus menuju ke Queen Street yang tidak jauh dari Bugis Junction dan Arab Street. Dari situ, kami menggunakan MRT di Bugis untuk menuju ke serata pelusuk pulau ini. Hentian pertama kami semestinyalah di Orchard Road.

Singapore 2009

Kemeriahan persiapan untuk menyambut Hari Natal sudah mula kelihatan di Kota Singa ini, terutamanya di Orchard Road. Pusat membeli-belah di sini sedang dihiasi dengan pelbagai dekorasi menarik dan mengikut tema Christmas ala-Orientale. Kami tidak melepaskan peluang untuk berfoto kenangan sambil sedikit membeli-belah. Cuaca siang yang panas membuatkan kami menghabiskan banyak masa di dalam bangunan dan cuma keluar ke kawasan sekitar setelah matahari mula beransur condong ke sebelah barat. Selesai makan dan minum di Orchard Road, kami menaiki MRT menuju ke Raffles Place dan terus berjalan menuju ke arca Merlion - ikon tersohor Singapura.

DSC_1124

Kami menikmati terbenamnya matahari di ufuk barat sambil duduk-duduk di tangga sekitar tugu Merlion - tugu seekor binatang mitos yang berbadankan ikan dan berkepalakan singa. Ramai para pengunjung yang sibuk merakam pemandangan indah senja yang berlatarbelakangkan bangunan pencakar langit yang bergemerlapan di muara Sungai Singapura ini. Suasana yang tenang dan sungguh mendamaikan dengan sedikit gerimis menyejukkan cuaca sekitar. Kami berangkat sekali lagi melalui pesisir Singapore River, melihat bangunan-bangunan lama yang terjaga rapi dan unik arkitekturnya. Dalam perjalanan menuju ke Queen Street, kerana keletihan, kami cuma sempat singgah di Bugis Junction tanpa berziarah ke Arab Street, sebelum terus pulang ke Johor Bahru.

DSC_1150

Sesampai di Johor Bahru, aku terus menghubungi Rosli untuk makan malam. Selesai makan malam, kami menuju ke Up-Town atau Bazaar malam pula sambil ditemani oleh Zaimi dan rakan-rakan yang baru sampai dari Kuala Lumpur. Kami menuju ke Danga Bay untuk mengeteh sambil bertukar cerita terkini masing-masing. Hari yang cukup panjang dan hujung minggu yang sungguh padat buatku. Keesokan paginya aku sudah pun berada di Changi Airport untuk pulang ke Bandaraya Miri.


Thursday, November 05, 2009

A Short Trip To Perhentian Island...."The Beginning!"

DSC_0958

Pulau Perhentian - sudah lama aku ingin menjejakkan kaki ke sini, menikmati keindahannya yang kerap bermain di bibir setiap pengunjung yang pernah ke sana. Aku mengambil kesempatan dengan cuti Hari Raya Aidilfitri baru-baru ini untuk menggagahkan diri merasai sendiri keindahan pulau kecil yang terletak di perairan Terengganu Darul Iman.

Aku memulakan perjalanan pada lewat malam dari Stesyen Bas Larkin, Johor Bahru, menaiki bas Executive Transnasional menuju ke Kota Bahru. Perjalanan yang amat selesa dan lancar ini memakan masa kurang dari 7 jam, seawal jam 6 pagi aku sudah berada di Perhentian Bas SKMK, tenang dan sepi di kawasan sekitarnya. Sekitar jam 8 pagi barulah kelibat Arep dan Faiz kelihatan, diikuti oleh Yakie yang bergegas datang dari Pasir Mas. Tempat pertama yang kami tuju ialah gerai makan, dan pastinya aku mahu menikmati juadah istimewa negeri Cik Siti Wan Kembang - Nasi Kerabu.

My creation

Selesai bersarapan, Arep dan Faiz menawarkan diri untuk menghantar kami sehingga ke Jeti Kuala Besut, Terengganu. Aku dan Yakie menarik nafas lega kerana kami tidak perlu bersusah-payah mencari teksi untuk ke sana, yang tentuk akan memakan masa yang lebih panjang untuk sampai. Perjalanan ini juga amat lancar dan selesa serta ceria dek kerana keletah Arep dan Faiz yang membuatkan kami tidak kering gusi sepanjang 1 jam perjalanan itu. Arep mencadangkan kami berhenti sebentar untuk berfoto di Tok Bali, sementelah kami melewati jambatan di situ.

Sesampai di Jeti Kuala Besut, kami terus mencari ejen untuk penginapan dan bot menuju ke Pulau Perhentian. Kami memilih untuk tinggal di Pulau Perhentian Kecil, maka tempahan penginapan perlu dibuat terus di pulau. Perjalanan bot mengambil masa sekitar 45 minit dalam keadaan cuaca tengahari yang panas terik dan laut yang amat tenang. Dari jauh sudah kelihatan sayup-sayup gagasan pulau-pulau kecil di perairan ini.

DSC_1186

Kami menuju ke beberapa buah chalet, hampir kesemuanya telah penuh. Yang tinggal hanya sebuah chalet yang kelihatan seperti sebuah pondok buruk yang terperosok di celah-celah pohon-pohon kelapa dan bakau. Kami tiada pilihan, terus menempah dan berhajat untuk mencari lagi tempat penginapan yang lebih selesa. Selesai membuat tempahan, kami berehat sebentar sebelum berjalan-jalan meninjau di kawasan sekitar pantai. Terdapat beberapa buah restoran di sini, dan hidangan yang dihidangkan sedap walaupun harganya agak sedikit mahal.

Di Perhentian Kecil ini, rata-rata pengunjungnya terdiri dari warga asing dari Eropah, Arab dan Amerika. Walaupun ketika itu bukanlah peak season untuk melawat Pulau Perhentian, namun bilangan mereka yang ada sudah cukup untuk memenuhkan kawasan sekitar pantai.

DSC_1140-2

Aktiviti pertama hari itu hanyalah bersantai, aku gunakan kesempatan ini untuk betul-betul berehat. Berbaring di hamparan pasir putih, ditemani bunyi deruan ombak dan desiran geseran dedaun nyior - amat tenang dan damai. Sesekali kedengaran suara kercipan burung-burung kecil dan gelak-ketawa para pengunjung yang baru pulang dari aktiviti Island Hopping. Pemandangan petang di Pulau Perhentian Kecil ini sungguh indah, mendamaikan dan mengingatkan aku akan kesempurnaan ciptaa Illahi.

Malam itu, kami menikmati makan malam yang sangat unik, Ikan Barracuda panggang dengan sos yang ringkas namun enak. Ini kali pertama aku makan ikan Barracuda, atas cadangan tuan punya restoran tersebut, katanya ikan Barracuda itu masih segar dari laut siang tadi. Memang betul cakap beliau, isi ikan tersebut sangat lembut, manis dan terasa kesegarannya, sesuai dimakan dengan nasi putih panas dan sup.

Perhentian Island

Hari kedua kami di sini, bermula dengan sarapan ringkas ala-Malaysia yang menyelerakan. Kemudian kami menuju pula ke kaunter penempahan aktiviti Island Hopping yang kami temui sehari sebelumnya. Kami dengan beberapa orang pelancong asing di tempatkan di dalam sebuah bot kecil, lancar menuju ke tengah lautan. Bermacam aktiviti laut kami lakukan, dan yang paling seronok ialah snorkeling bersama dengan penyu-penyu besar!!! Ini merupakan suatu pengalaman yang baru untuk aku, dan kesempatan untuk melihat penyu besar berenang di hadapan mata merupakan 'hadiah' paling berharga. Beberapa orang antara kami cuba berenang mengejar penyu yang berenang perlahan sambil beberapa ekor ikan kecil seolah-olah melekat di atas badan penyu tersebut.

Aktiviti yang sepatutnya kami ikuti sehingga ke petang terpaksa aku pendekkan, setelah selesai makan tengahari di sebuah pulau, aku tidak ikut serta kerana terpaksa mengalah dengan kepala yang sudah mula pening dan muntah-muntah. Aku dan Yakie hanya duduk-duduk menikmati indahnya pemandangan laut serta bot-bot kecil yang lalu-lalang. Kami pulang semula ke chalet dengan menaiki teksi laut - bot kecil yang dipandu sangat laju.

Perhentian Island

Menjelang malam, tanda-tanda hujan mahu turun sudah jelas kelihatan, awan hitam berarak menutupi bulan sabit yang terang-benderang menyuluh di permukaan laut. Keadaan sekitar menjadi sedikit sejuk dengan hembusan bayu dari laut berbaur dengan gerimis. Aku dan Yakie yang kelaparan kerana tertidur kepenatan dari bermain aktiviti laut di siangharinya, cuba untuk ke restoran-restoran yang ada, malangnya semua sudah tutup. Kami hanya mengunyah makanan ringan yang dibawa dari Kuala Besut sambil menikmati malam indah di Pulau Perhentian, sehingga ke penghujung waktu. Di sini, tidak banyak aktiviti malam yang ada, beberapa buah pub dan bar kecil berserta restoran yang memainkan lagu-lagu rancak terkini dipenuhi oleh warga asing. Kawasan sekitar pantai memang sengaja digelapkan, cuma ada sedikit pelita dipasang berdekatan chalet-chalet. Beberapa kelompok pengunjung kelihatan bersantai di kawasan pantai, mungkin seperti kami juga yang mahu menghayati ketenangan dan keindahan Pulau Perhentian di waktu malam.

Perhentian Island

Pagi itu, sesudah bersarapan ala-kadar, kami bersiap-siap untuk menaiki bot untuk pulang ke Jeti Kuala Besut. Semuanya sudah diatur sehari sebelum berangkat, cukup mudah hanya perlu membuat tempahan di kaunter penginapan atau di kedai-kedai yang ada di pulau ini. Sesampai di Jeti Kuala Besut, kami berlegar-legar pula untuk mencari teksi untuk ke Kuala Terengganu, destinasi seterusnya sebelum berangkat menuju ke Johor Bahru. Alhamdulillah, semuanya dipermudahkan, perjalanan yang ringkas, pengalaman menarik dan teman melancong yang sangat tidak bermasalah dan sporting. Pulau Perhentian Kecil, terlalu banyak ingin aku beri pendapat di sini, terlalu jauh ketinggalan berbanding dengan pulau-pulau yang pernah aku jejaki, terutamanya kemudahan penginapannya. Entah bila akan aku jejaki kembali pulau ini.......

DSC_1209

Melalui cermin tingkap teksi yang kami kongsi bersama sepasang pelancong dari Belgium, aku dapat lihat kawasan-kawasan perkampungan dan bandar kecil yang ada di Negeri Terengganu ini, jelas sedang pesat membangun dengan pelbagai kemudahan infrastruktur awam. Sebelum ini aku hanya mendengar nama-nama kawasan ini; Penarik, Merang, Setiu, Batu Rakit, Seberang Takir dan pelbagai nama kampung yang sungguh unik seperti Kampung Pecah Rotan, Kampung Ru Tapai dan Kampung Padang Maras. Sebelum berlepas ke Kuala Terengganu, aku sudah pun menghubungi rakan-rakan yang menetap di sini, minta belas ikhsan membawa berjalan sekitar bandar Kuala Terengganu sementara menunggu bas berlepas ke Johor Bahru pada malamnya.

Kuala Terengganu

Zul yang rapat dengan rakan maya Art Touch, menjemput kami di perhentian teksi Kuala Terengganu, langsung kami di bawa menuju ke rumah beliau di Kampung Pulau Rusa. Tetapi di dalam perjalanan ke sana, sempat kami singgah membeli Keropok Lekor yang terkenal di Kampung Losong. Memang sedap keropok lekor di sini, selain rasanya yang enak cara membungkus dan menyediakan keropok ini juga kelihatan bersih dan sempurna. Kami berehat, membersihkan diri dan minum petang di rumah Zul, sebelum keluar ke pusat bandar untuk meninjau-ninjau tempat menarik. Tempat pertama yang sempat kami tuju ialah Pasar Payang, ikut serta kami ialah Ja Shariza dan Helmi, yang sebelum ini aku hanya kenal melalui laman Facebook. Songket asli tenun tangan motif bunga geometrik berwarna pastel menjadi ole-ole dari negeri yang terkenal dengan hasil kerjatangannya.

Dari Pasar Payang, kami menuju pula ke Pantai Batu Buruk yang begitu ramai pengunjungnya. Meriah, seperti ada pesta sedang berlangsung dan pelbagai ragam penduduk di sini dapat di lihat, dan pastinya ragam Ja Shariza, Helmi dan Zul kerap-kali mencuit hati aku. Masa yang sangat singkat, tidak berkesempatan untuk ke Masjid Kristal dan kawasan sekitarnya, lalu kami berhenti untuk makan malam - sedap dan harganya juga berpatutan. Selesai mengisi perut, mereka semua menghantar kami ke Perhentian Bas Kuala Terengganu, yang juga sesak dengan manusia. Bas Transnasional yang sepatutnya membawa kami, terlewat beberapa jam sehingga ke tengah malam. Keadaan cuaca di Kuala Terengganu pada malam itu agak hangat, tetapi kemesraan rakan-rakan di Terengganu itu lebih hangat lagi......







Monday, October 26, 2009

Gebang-gebang 1 Syawal 1430 di Johor.....

Syawal baru sahaja berlalu, tetapi aku tetap mahu berbicara serba-sedikit mengenainya di dalam blog ini. Setidak-tidaknya sebagai rakaman maya di dalam Tepak Sireh, yang suatu masa nanti pasti menjadi nostalgia bersempena sambutan Syawal 1430 Masihi-2009 Hijriah.

DSC_0587

Tidak banyak persiapan yang aku buat untuk menyambut Syawal pada kali ini, semuanya serba sederhana dalam kempen mahu berjimat-cermat serta berhemah berbelanja. Beberapa hari sebelum kedatangan Syawal, aku sudahpun berada di kampung halaman, terbang dari Miri ke Singapura dan langsung mengikut jalan darat ke Kulai. Sempat juga aku berbuka puasa di Singapura bersama Indra Dilaila - teman maya yang sudah lama aku kenal melalui laman blogspot ini. Aku ke sana tidak bersendirian, ikut serta rombongan kecil ini ialah Anita, Nurizz, Ai dan Kiki. Kami berbelanja serba-sedikit (terima kasih kepada Nurizz yang menghadiahkan aku sebentuk cincin Onyx D&G), makan-makan sambil menikmati keindahan malam di Orchard Road yang terkenal itu.

DSC05080

Rutin petang menyambut Syawal, kami ke kedai bunga Amoi untuk membeli bunga-bunga hidup dan segar untuk Mak, dan juga kelopak-kelopak bunga yang telah lerai untuk dibawa ke tanah perkuburan keesokan harinya. Sebelah paginya sudah tentulah kami ke pasar untuk membeli lauk-pauk mentah/basah dan sebagainya untuk dimasak pada malam hari nanti. Ianya seperti 'ritual' juga; sehari sebelum menyambut Syawal menemani Mak untuk membeli-belah di pasar, walaupun kebanyakkan barangan sudahpun dibeli beberapa hari lalu. Tahun ini, sekali lagi aku tidak membantu untuk mengayam ketupat - di rumah cuma aku dan Anita sahaja yang tahu mengayam ketupat, Mak, Mak Ngah mahupun beberapa orang makcik-makcik aku yang lain juga tidak mempunyai skill mengayam, nampaknya semakin pupuslah kemahiran ini nanti jika tidak diperturunkan.

DSC_0752

Pagi 1 Syawal, rutin keluarga besar Pak Murad - yang lelaki bersiap-siap untuk solat sunat Aidil Fitri di masjid, dan tahun ini aku dan Wan-adik ipar ke Masjid Bandar Kulai di Kampung Melayu, setelah sekian lama tidak bersolat di sini. Masjid yang banyak meninggalkan kenangan sedari aku kecil, sedari aku bersekolah agama di sebelahnya dan kenangan-kenangan arwah Pak Tok bersama rakan-rakannya bergotong-royong melapah daging lembu korban dan memasak nasi kawah untuk pelbagai keramaian. Beberapa kelibat rakan-rakan lama kelihatan bersolat di masjid ini, dan beberapa orang yang ingin sangat aku ketemu tidak pula kelihatan.

Salam

Setelah pulang dari masjid, kami sekeluarga memulakan sesi bermaaf-maafan. Lain sangat perasaan aku pada kali ini, semenjak beberapa minggu sebelumnya aku sudah dapat rasakan yang Aidilfitri ini akan menjadi yang terakhir buat aku. Semasa bersalaman dengan Mak dan Abah, aku menitiskan airmata (ini bukan sesuatu yang lazim bagi aku), menangis betul-betul walau aku cuba menahan. Semasa Anita bersalaman dengan aku, sempat pula aku berpesan supaya menjaga Mak, Abah dan adik-adik jika aku dah tiada lagi. Perasaan yang tidak pernah aku alami sepanjang menyambut Syawal, perasaan hiba dan terharu yang amat sangat.

DSC_0742

Selesai bersalam-salaman dan bermaaf-maafan serta menjamu selera dengan pelbagai juadah istimewa hari raya, kami berkunjung ke pusara Mak Tok, Pak Tok dan Mbah, moyang perempuan sebelah Mak Tok. Di kawasan perkuburan ini juga kami terserempak lalu berjabat mesra dengan sanak-saudara, jiran-jiran dan rakan-rakan lama yang sudah lama tidak berjumpa, seolah-olah tanah perkuburan ini menjadi 'meeting point' bagi penduduk sekitar Kampung Melayu Kulai dan kawasan sekitarnya.

DSC_0815

Selesai di tanah perkuburan kami terus bergegas pulang ke rumah, menanti ketibaan sanak-saudara yang bakal 'menyerang' ke rumah Mak Longnya ini - gamat, meriah dan ceria dengan keletah sepupu-sepapat baik yang besar mahupun yang kecil. Pelbagai juadah kami hidangkan, dan antara yang istimewa ialah Kek Lapis Sarawak yang aku bawa dari Miri. Suasana ceria dan meriah berlanjutan sehingga ke lewat petang disebabkan tetamu tidak putus-putus datang berkunjung ke rumah - baik saudara-mara, jiran-tetangga mahupun rakan taulan. Alhamdulillah, kami dilimpahi insan-insan yang sentiasa ingat akan kami, dan insyaAllah semakin eratlah ukhuwah antara kami.

DSC_0926

Sebelah malamnya pula aku berkunjung ke rumah keluarga Aman-adik ipar di Majidee. Sempena dengan sambutan Aidilfitri dan meraikan mereka yang lahir pada bulan September; Noreen, Kak Long Abrizah (lupa pula, siapa lagi yaaa?). Acara sederhana yang hanya dihadiri oleh kaum keluarga, namun tetap meriah dengan menu yang pelbagai dan sedap. Aturcara aku pada 1 Syawal tidak berakhir di situ sahaja, bersambung pula ke tempat lain walaupun jam sudah menunjukkan hampir ke 1 pagi....






Tuesday, September 08, 2009

RamadhanKu Barakah......InsyaAllah!

My creation

Bulan Ramadhan, bulan penuh keberkatan, bulan yang menjanjikan seribu satu nikmat dan hikmat, kepada mereka yang berusaha mencarinya. Masih lagi segar dalam ingatan bagaimana aku menyambut ketibaan Ramadhan di bumi Miri ini kira-kira 3 tahun lalu. Petang menyambut ketibaan Ramadhan, amat tenang dan syahdu, aku sendirian dalam kamar menunaikan solat Maghrib, menadah tangan memohon ampun dan berdoa supaya Ramadhan itu menjadi Ramadhan yang terbaik pernah aku lalui. Sesuatu yang tidak pernah aku rasai berlaku ketika itu, dan aku anggap ianya suatu anugerah dari Yang Maha Pencipta. Dan kerana peristiwa itu jugalah, membawa aku berikrar untuk menjejakkan kaki ke tanah suci Makkah dan Madinah secepat mungkin. Kenangan indah itu aku simpan rapi dalam kotak ingatan ini.

My creation

Berlainan pula sambutan Ramadhan aku pada kali ini, dimana beberapa orang teman turut sama menyambutnya di kediaman aku. Hari pertama berpuasa, kami memasak juadah berbuka puasa bersama-sama, menu istimewa ala-Timur Tengah menjadi pilihan. Yakie, Nash, Tengku Mohd Fauzi, Zul dan Malim ikut serta beriftar dan kemudian sebahagian dari kami terus menunaikan Solat Tarawikh di masjid berdekatan.

IMG_7731

Semenjak aku bermastautin di Miri, ini kali ke 4 aku menyambut Ramadhan di sini, dan setiap kali itu juga suasananya amat berbeza. Masih teringat peristiwa pada tahun 2006, aku bersolat Tarawikh hampir di semua masjid yang ada di Miri. Hampir setiap malam aku bertukar-tukar masjid untuk merasai 'keistimewaan' setiap Imam yang mengetuai jemaah. Ada Imam yang tahfiz, dijemput khas dari Madrasah di Semenanjung, ada Imam yang sudah lanjut usia, kadang-kala tersasul-sasul bacaannya, ada Imam yang cuma membaca ayat-ayat ringkas dan pendek, ada yang membaca terlalu pantas sehingga hampir tidak sempat mahu menarik nafas. Dan jemaah yang datang pula, sudah tentulah bermacam ragam dan 'gaya'. Semuanya menyedarkan aku akan betapa Allah itu Maha Pencipta, manusia itu dijadikan dengan pelbagai rupa dan sifat serta perangai.

My creation

Tahun ini, aku berkesempatan berbuka puasa bersama anak-anak yatim dari Kompleks Hamidah, Miri. Cadangan asal dari Ernyza, Amalia dan beberapa orang teman aku sambut dengan senang hati dan gembira. Setelah beberapa minggu membuat persiapan, akhirnya majlis pada tanggal 3 September 2009 itu berlangsung dengan lancar seperti yang dirancang. Kami bersolat Maghrib dan berbuka puasa bersama-sama penghuni Kompleks Hamidah. Sesetengah dari kami pastinya bercampur-baur rasa dan perasaan ketika melihat wajah anak-anak di situ. Banyak juga iktibar yang kita boleh ambil dari majlis seumpama ini.

DSC_0277

Beberapa hari sebelum majlis tersebut, aku dan rakan-rakan rapat, menyediakan persiapan terakhir seperti menyediakan Goodies Bag (terima kasih kepada Khairul, Haizul, Nash, Balkidzz, Nurul dan Diana), membuat tempahan makanan, mengutip derma dan sebagainya. Alhamdulillah, syukur ke hadrat Illahi kerana mempermudahkan segala urusan. Ramai juga teman-teman yang ikut hadir bersama keluarga mereka beriftar bersama anak-anak yatim pada hari itu. Pastinya ada di antara kami menjadikan majlis itu antara kenangan terindah Ramadhan mereka.

My creation

Selang beberapa hari pula, giliran kami untuk menyediakan juadah sahur untuk penghuni Peryatim ini. Bermula dengan berbuka puasa di kediaman aku, kemudian kami bergotong-royong menyediakan segala juadah yang hendak di bawa ke Kompleks Hamidah. Suasana di rumah aku sungguh meriah, bak seperti hendak menyambut ketibaan Aidilfitri galaknya. Keceriaan terpancar di wajah setiap insan yang datang 'merewang', walau sesekali ada yang mengadu kepenatan. Terima kasih kepada mereka yang datang rewang; Ernyza, Amalia, Along, Zara, Suraya, Khairul, Suhai, Tengku Fauzi, Haizul, Malim, Zul, Adaha, Nash dan Irwan.

My creation

Sekitar jam 2 pagi, beberapa orang antara kami ikut pergi menghantar juadah-juadah tersebut. Hati berbunga-bunga kerana misi kami pada hari itu hampir selesai, setelah berpenat-lelah menyediakan persiapan. Agak mewah juga juadah yng kami sediakan untuk sahur pada hari itu, maklumlah derma dan sumbangan yang kami dapat dari rakan-rakan mencurah-curah pada saat-saat akhir. Terima kasih kepada semua, semoga usaha dan sumbangan tidak seberapa ini mendapat keredhaan Allah. InsyaAllah, kalau dipanjangkan usia, kita berjumpa lagi dalam aktiviti seperti ini di Ramadhan yang akan datang.

"Allah memberikan kita rahmat hati dan hati digunakan sebagai neraca menyuburkan niat dan hajat yang baik, maka kebaikanlah yang akan kita lakukan. Nikmat dari kebaikan yang diamalkan menjadikan seseorang ceria dan tenang dalam melakukan apa saja kerana kebaikan dihubungkan dengan Allah s.w.t."






Thursday, September 03, 2009

RamadhanKu Indah....Alhamdulillah!

suraya

Seperti satu ritual, setiap kali ketibaan bulan Ramadhan, aku akan menghabiskan masa beberapa hari di sekitar Kuala Lumpur. Pertamanya untuk berbuka puasa dan sahur dengan pelbagai juadah menarik bersama teman-teman, keduanya untuk membeli-belah serba-sedikit untuk diri sendiri serta keluarga dan akhirnya sudah tentu untuk merasai kemeriahan sambutan Ramadhan Al-Mubarak di tanah Semenanjung Melayu.

izie

Bersahur dengan pelbagai juadah Pantai Timur di Restoran Suraya, Kampung Baru memang sungguh meriah. Sekejap-sekejap terserempak dengan teman-teman lama yang masih menghuni di bandaraya metropolitan Kuala Lumpur ini. Rindu juga dengan kenangan semasa ‘muda-muda’ dahulu, sekitar pertengahan 1990'an. Tidak banyak yang berubah di sekitar gerai-gerai yang panjang berderet di Kampung Baru, melainkan latar belakangnya sudah banyak bangunan yang tinggi-tinggi dan hebat. Selesai di sana, Izie, Saiful, Malim, Zul dan Zaimi turut serta mengeteh di Restoran Rasa Sayang, Jalan Yap Kwan Seng sehingga lewat pagi sebelum pulang ke kondo kepunyaan Malim di Cheras.

drive

Tidak dirancang, keesokkan harinya aku mengambil keputusan untuk menemani Mamat memandu pulang ke Kulai, sebaik sahaja beliau selesai bertugas di konti Radio Era. Awal hari itu, Zul dan Malim menemani aku mencari kamera di sekitar BB Plaza dan Sungei Wang Plaza. Kamera jenama Nikon model D5000 menjadi pilihan, pertama kerana ciri-ciri terkini yang ada pada model Nikon itu, dan keduanya kerana harga yang termampu. Selesai di sana, kami meluncur menuju ke bangunan Astro untuk menjemput Mamat. Malim dan Zul ikut serta dalam perjalanan balik kampung ini, sesuatu yang tidak dirancang tetapi amat menyeronokkan.

rembau

Perjalanan pulang ke Selatan tanahair pada petang itu tidak begitu lancar, terlalu banyak kenderaan di atas jalanraya bermula dari Nilai sehinggalah melimpasi Seremban. Kenderaan kami kehabisan petrol di tengah-tengah lebuhraya, terpaksa menuju keluar di tol Pedas Linggi, langsung menuju ke pekan Rembau untuk mencari stesyen petrol terdekat, itu pun memakan jarak sejauh 8 kilometer. Pertama kali menjejak kaki di pekan Rembau, sebuah pekan kecil tetapi lengkap serta agak teratur. Bangunan lama dan baru yang rendah-rendah mengisi ruang pekan ini.

kuih

Di sepanjang perjalanan melalui Pedas Hilir, ramai penduduk kampung yang menjual pelbagai makanan untuk berbuka, kuih-muih, lauk-pauk, lemang, serunding serta dodol juga ada. Kami berhenti untuk membeli beberapa jenis kuih-muih yang kelihatan sungguh menarik dan sedap (memang sedap pun), kerana khuatir yang kami tidak akan sempat sampai di Kulai tepat pada waktu untuk berbuka puasa. Lagi beberapa kilometer untuk sampai di tol Kulai, azan sudah berkumandang, kami berbuka puasa dengan kuih-muih dan minuman di dalam kereta. Sesampai di rumah, kaum-keluarga ada yang sudah selesai menjamu selera dan ada juga yang sedang menunggu untuk berbuka bersama kami.

jali

Malam itu, kami berhajat untuk melilau sekitar bandaraya Johor Bahru, diberitahu yang kini sudah ada 'up-town'nya sendiri. Selesai waktu Isya', aku menjengah dahulu gerai kepunyaan rakan lama yang sama-sama bersekolah di Kulai. Jali Hashim kini sudah menjadi taukeh bagi 2 buah restoran, sebuah kopitiam dan sebuah lagi restoran yang terkenal dengan Kuey Teaw kerang dan pelbagai jenis makanan lain. Selesai bersembang ringkas, kami menuju ke bandaraya, ikut sama ialah kedua orang tua aku dan adik-beradik lain - sudah seperti rombongan Cik Kiah jadinya!

japanese

Hari kedua di Kulai, aku membawa Zul dan Malim melihat-lihat sekitar bandaraya Johor Bahru, membeli-belah di Plaza Angsana yang sangat meriah terutamanya di bulan Ramadhan. Sempat juga kami ke Taman Bunga Di-Raja di atas bukit di sekitar kawasan Muzium Di-Raja untuk mengambil beberapa keping gambar buat kenang-kenangan. Hari ini, sekali lagi aku berpeluang berbuka puasa bersama kaum-keluarga dan rakan-rakan (terima kasih Rosli sebab sudi datang), cukup meriah dengan berbelas orang ahli keluarga hadir sama menjamu selera dengan masakan ibu tersayang.

renggam

Malam agak larut semasa kami meninggalkan Kulai untuk memandu pulang ke Kuala Lumpur. Mak dan Abah mengikut, disertai beberapa orang adik turut menghantar sehingga ke Simpang Renggam. Kenapa sehingga ke Simpang Renggam yang terletak lebih 50km? Kerana ingin membeli biskut-biskut hari raya, untuk Zul dan Malim bawa pulang, dan sedikit untuk aku bawa ke Miri buat rakan-rakan. Kami sampai agak lewat dan terus menuju ke Kampung Baru untuk bersahur, sebelum memutuskan untuk ke Restoran Rasa Sayang untuk menjamu selera. Noreen, Aman dan Abrizah ikut serta kami bersahur pada hari itu.

DSC_0135

Berbuka puasa di Restoran Chilli's, Mid-Valley bersama rakan-rakan. Perancangan awal hanya tiga orang sahaja yang ingin bersama kami, tetapi hujung-hujungnya lebih 10 orang yang muncul lantas menjadikan acara berbuka puasa itu lebih meriah dan ceria. Terasa sungguh ukhuwah di antara kami dan mengeratkan apa yang telah terjalin selama ini - Yazlan, Zaimi, Ismail, Fazli Zainal, Malim, Zul, Syazwan, Jai, Fendiosman. Selesai di Chilli's, Malim, Zul dan aku hanya sempat membeli belah di butik GAP dan AX sahaja sebelum terus menuju ke Restoran Rasa Sayang untuk kesekian kalinya.

DSC_0180

Tidak kurang meriah juga di sini, bertambah lagi 'ahli' bersembang kami. Mamat, Aida dan Suhai yang kebetulan baru pulang bercuti di Bandung, ikut serta ke sini. Selesai mengeteh di sini, sebahagian dari kami menuju ke Jalan Masjid India untuk sambung membeli-belah dan merasai kemeriahan bazaar di sini. Selesai di sini, kami semua berpecah untuk pulang, melainkan aku, Suhai, Ismail, Zaimi, Malim dan Zul yang menuju ke restoran nasi lemak daun pisang di Dewan Sultan Sulaiman, Kampung Baru. Sesudah hampir menuju ke waktu Syuru', aku menuju ke Putrajaya bersama Ismail, menginap di sana sebelum keesokannya terbang semula ke Miri. Sempat pula bertemu si blogger Alam Setia di Alamanda sebelum bergegas memandu menuju ke KLIA. Syukur alhamdulillah, niat untuk bersama keluarga dan teman-teman di Ramadhan kali ni termakbul juga. Kepada teman-teman yang tidak berkesempatan jumpa dan Iftar serta Sahur bersama, maaf saya pinta.

DSC_0153

Malim, Zul, Fazli Zainal, Yazlan Yahya, Ismail, Zaimi, Syazwan, Fendiosman & Rush.

Thursday, August 20, 2009

Ramadhan Al-Mubarak 1430 Hijriah.

Ramadhan 1430

"Jika Ramadhan adalah lentera,
ku ingin membuka tabirnya dengan maaf,
agar ia menembus jendela fitri dari tiap helai khilaf.
Mohon maaf zahir batin dengan setulus hati.
Selamat menjalani ibadah puasa di bulan Ramadhan al-Mubarak!


"To all Muslims around the world
May this holy Ramadhan month and months ahead
Bring happiness, good health, peace and prosperity for everyone
Wishing all good health in fulfilling obligations during Ramadhan
May spirits of well wishes and forgiveness
Always remain in our hearts"
Ameeen......!

Thursday, August 13, 2009

Gold Coast - A Night With A Stranger.....

DSC_0395-1

Pesawat dari Auckland menuju ke bandaraya Gold Coast di Australia Barat terbang lewat dari jadual. Aku mengambil peluang yang ada untuk duduk-duduk sambil menghirup cafe latte lalu mengunyah beberapa keping biskut keju. Fikiranku masih lagi melayang menggambarkan pantai indah di Gold Coast, cuaca yang semi-tropika serta nikmat bermandi matahari di siang hari di Surfers Paradise. Tidak seperti cuaca yang lebih 2 minggu sudah aku alami, sejuk sehingga kadangkala menggigit hingga ke tulang-temulang. Di lapangan terbang, ramai penumpang yang mundar-mandir menanti giliran untuk masuk ke perut pesawat, dan ada juga yang hanya santai di kerusi-kerusi yang keras, sebahagian pula sedang menjamu selera di restoran yang tidak banyak jumlahnya. Di dalam pesawat Jetstar, aku satu-satunya keturunanan Asia, tidak janggal, mungkin sudah terbiasa dan akhir sekali sebegitu ialah ketika terbang dari Holland ke Morocco beberapa tahun lalu. Perjalanan yang akan mengambil masa sekitar 4 jam, aku sedikit letih tetapi mata tidak mahu lelap, mengunyah lagi. Kali ini sepeket kekacang rangup, minuman cokelat panas dan biskut; jualan berkonsep seperti AirAsia. Sayup-sayup kelihatan dari tingkap kecil pesawat, matahari mula terbenam, indah sungguh serpihan warna jingga dilampias di atas hamparan awan putih gebu. Sayu serta hiba tiba-tiba menjelma......aku melayan sahaja perasaan itu.

DSC_0400-1

Keadaan sudah pun gelap ketika aku buat pertama kalinya menjejakkan kaki ke Gold Coast. Aku sedikit panik, takut-takut tempahan bilik yang dibuat di Fisherman's Wharf beberapa minggu lalu terbatal kerana kelewatan. Aku meneruskan perjalanan ke pusat peranginan terkenal itu, sambil mata aku meninjau-ninjau keadaan di luar. Selesai membersihkan diri, aku cuba untuk menuju ke pusat bandar dengan menaiki kenderaan awam. Hampir satu jam aku menunggu, akhirnya hampa kerana waktu lewat begitu jarang ada bas yang melintas di kawasan yang sedikit terpencil. Jam sudah menunjukkan angka 11 malam, agak lengang keadaan jalanraya. Aku gigih untuk berjalan kaki sahaja, hanya kurang 2 kilometer, "apa sangatlah" getus hati. Setelah separuh berjalan, aku berhenti rehat di sebuah pondok menunggu bas. Tidak sampai 2 minit, sebuah bas berhenti, dan ternyata bas tersebut menuju ke Surfers Paradise. Sekitar jam 12 malam, aku sudah pun berada di Surfers Paradise, perut sudah pastinya kelaparan dan 2 bola mata ini pantas menuju ke arah gerai yang menjual makanan Turki. Semuanya nampak sedap, pizza, kebab, sandwich, kentang goreng, dan pastinya terpampang tulisan HALAL.

DSC_0435

Jam berikutnya aku habiskan dengan berjalan di tepi pantai, menyepak2 pasir putih halus sambil menghirup udara nyaman. Memang terasa amat sunyi dan sendiri, aku gagahi juga untuk melawan perasaan itu. Aku cuba bayangkan yang aku sedang berlari-lari sambil bergurau senda dengan seseorang yang istimewa ketika itu. Duduk di tangga kayu, sambil menghayati kilauan bintang di langit dan deruan bunyi ombak di pantai. Semua itu hanya angan-angan yang tidak mungkin akan menjadi kenyataan bersama dia. Setelah sedikit puas berada di pantai, aku menghayun langkah menuju ke lorong kecil di mana terletaknya banyak pub-pub, disko dan pusat hiburan. Tempat yang ingin aku tuju mudah pula aku jumpa, dan sepantas itu jugak aku terus membayar AUD$10 untuk masuk ke dalam. Muzik yang tidak membingitkan telinga, cukup selesa sambil aku sama-sama menggerakkan kepala mengikut rentak. Aku dijeling oleh beberapa orang, sesekali mereka melemparkan senyuman, ada pula yang berani mengenyitkan mata, aku balas semuanya dengan senyuman 'plastik'. Lagu Latin Samba dimainkan, aku sudah mula ingin menggoyangkan kaki, jenis muzik yang aku minati dan arif untuk menari. Secara tiba-tiba tanganku ditarik, seorang wanita tinggi lampai, berambut perang dengan wajah yang sedikit cengkung mengajakku menari sama. Aku ikutkan sahaja, tanpa menyentuh kulit atau tubuh badan beliau. "You know how to dance, let's dance.." itu katanya. Memang tidak sia-sia aku belajar menari Salsa dan Cha-Cha semasa di Johor Bahru dulu.

DSC_0450

Hari semakin larut, aku sudah agak bersedia untuk menamatkan hari yang panjang itu. Datang seorang lelaki bertubuh besar, lebih tua dari aku dengan senyuman dan mata bundarnya menanyakan adakah aku berasal dari Asia. Sudah pasti jawapan aku 'Ya', dan dengan bangganya menyebut Malaysia, dengan slang Inggeris yang agak pekat. Dia menghulurkan salam, kami berjabat tangan sambil dia beriya-iya mengatakan yang orang Malaysia sangat baik, peramah dan berbudi-bahasa. Baru beberapa minggu lalu beliau berada di Kota Kinabalu, dan sangat-sangat kagum dengan keindahan bumi Sabah serta keramahan penduduknya. Aku diajak minum, bersambung berbicara mengenai Malaysia, kerjaya, sehinggalah ke soal agama. Aku dipelawa untuk ke rumahnya pula, sebuah kondo mewah berhadapan muara tidak jauh dari Surfers Paradise. Bersama kami ialah rakan karib beliau yang baru pulang dari berkerja sebagai 'chocolatier' di Harrods, London. Aku dihidangkan dengan kopi panas sambil duduk di atas bangku bahagian dapur kondo. Banyak juga kisah 'kehidupan' yang kami bualkan, dan banyak juga nasihat yang dia berikan kepada aku. Dia terlihat ada perasaan cinta sedang mengalir dari mata aku yang berkaca-kaca, dia juga tahu aku sedang dilamun cinta yang sungguh hebat dan aku pula bercerita tentang tenatnya cinta yang sama. Beberapa jam di kondo beliau tidak terasa lama, mentari sudah mula mengintai keluar, masyaAllah...sungguh indah pemandangan Gold Coast di awal pagi itu!

DSC_0499

Aku pulang semula ke Fisherman's Wharf, untuk cuba melelapkan mata beberapa jam sebelum memulakan misi menikmati keindahan Surfers Paradise di waktu sianghari. Cuaca di Gold Coast sungguh cerah dengan suhu yang tidak begitu panas, seperti berjalan di dalam kamar yang berhawa dingin pula. Aku lewati satu persatu kedai-kedai menjual cenderamata di sepanjang jalan, sesekali aku berhenti untuk melihat-lihat dan membeli. Sebuah Cafe aku singgahi, perkara wajib yang perlu aku buat - minum Cafe Latte pekat bersama beberapa keping cookies. Aku mundar-mandir di setiap lorong dan jalan, sesekali juga berhenti untuk mengambil foto pemandangan dan aktiviti pengunjung di sekitar kawasan pantai. Aku mempunyai waktu yang sangat singkat, kurang lebih 4 jam untuk berada di sana sebelum perlu bergegas mengemas bagasi dan menuju ke lapangan terbang, untuk ke Melbourne pula.

DSC_0502

Kedai menjual barangan Hard Rock Cafe menjadi destinasi pertama aku tuju pada malam sebelumnya, malang sekali ianya sudahpun tutup. Aku mengambil kesempatan di waktu siang berkunjung ke sana, membeli beberapa cenderahati untuk insan tersayang ketika itu. Seperti banyak yang ingin aku belikan untuknya, tetapi ada saja kekangan, selalunya masalah saiz. Aku berbual mesra dengan wanita yang bekerja di kedai tersebut, kami dilahirkan pada tahun yang sama, bulan yang sama tetapi menurut kata beliau, kenapa aku nampak sepuluh tahun lebih muda dari usia sebenar, Aku tersenyum, tanda syukur sebenarnya. Selesai berbelanja, makan dan minum beberapa kali, aku menaiki bas pulang ke Fisherman's Wharf, berkemas dan langsung menghubungi Damian. Pagi tadi beliau berjanji akan menghantarku ke lapangan tebang menaiki kereta BMW 7series yang baru beberapa bulan dibelinya. Kami sambung berbual mesra di dalam kenderaan sehinggalah sampai di OOCL. Terima kasih kepada beliau yang sungguh baik hati, peramah dan mudah mesra.

Damian

Walaupun kunjungan aku di Gold Coast kurang 20 jam, namun banyak perkara yang aku perhati, pelajari dan cuba hayati. Setelah lebih 2 minggu ke sana-sini di New Zealand, inilah masa paling sesuai untuk aku merehatkan minda dan fizikal sambil mengumpul kenangan perjalanan. Banyak tempat yang belum sempat aku kunjungi di sekitar Gold Coast seperti Movie World, Sea World dan sebagainya. Aku tidak dapat bayangkan sebelum ini yang Gold Coast amat menarik, santai, cantik dan tenang. Mencari makanan halal jugak tidak sesukar yang aku jangkakan. Aku biarkan jejak aku tertinggal di Gold Coast, di pantai Surfers Paradise...suatu hari nanti pasti aku akan ke sana lagi, harap-harap tika itu aku bukan bersendiri, barangkali bersama insan yang sungguh istimewa....