Thursday, December 25, 2008

Bersanding & Bertandang: Norisah & Aman Shah

DSC_1333

Majlis bersanding atau 'Hari Besar' pasangan pengantin diadakan keesokannya setelah majlis Akad Nikah dan Berinai Besar pada malam sebelumnya. Seawal jam 11 pagi sudah kelihatan para tetamu hadir memeriahkan majlis dan menjelang tengahari, khemah-khemah sudah mula dipenuhi oleh para tetamu sehingga ada sebahagian terpaksa menunggu giliran untuk duduk dan menjamu selera. Seekor lembu dewasa dikorbankan untuk jamuan majlis ini, digulai Briyani Johor berserta Ayam Masak Merah, Dalca, Acar Rampai dan berjenis-jenis pemanis dan pencuci mulut lain. Cuaca panas terik dan cerah pada hari itu membuatkan kaunter minuman menjadi serbuan para hadirin yang ingin membasahkan tekak dengan pilihan air Kathira (minuman istimewa berasal dari negeri Hujung Madini), air Asam Boi, air Laicheekang dan air Jagung.

Malay Wedding

Tepat jam 2.15 petang, rombongan Pengantin lelaki mula sampai di pintu gerbang kawasan perumahan kami, sambil diiringi hampir 20 biji motosikal berkuasa besar (team Kembara Mahkota Johor), kumpulan Kompang dan Bunga Manggar serta sanak-saudara. Suasana menjadi hingar-bingar dengan deruan motosikal berkuasa besar ini bersahut-sahutan dengan bunyi Kompang dan Jidur serta gelak-ketawa para hadirin yang melihat Pengantin lelaki ditahan di setiap 'tol' (adat orang Johor, ada beberapa 'tol' atau sekatan sebelum Pengantin lelaki boleh duduk bersanding di atas pelamin). Setelah 'tol' dibayar beberapa kali, rombongan mereka disambut dengan persembahan pencak silat Silat Pengantin atau Silat Pulut/Cekak sebagai menyambut 'Raja Sehari'.

Cake Cutting Ceremony

Sekali lagi pasangan pengantin ini didudukkan di atas Pelamin serta diTepung Tawar oleh kaum keluarga. Selesai acara tersebut, disambung pula acara Makan Berdamai sambil memotong kek. Acara Makan Berdamai ini khas buat pasangan pengantin dan kaum keluarga serta pengapit mereka. Sambil makan, mereka beramah mesra dengan para tetamu yang hadir memeriahkan majlis persandingan ini. Kek Kukus Cokelat bersadur krim putih tiga tingkat yang cantik dan sungguh sedap ini dibuat khas oleh sepupu kami, Noni dan kepada sesiapa di sekitar Johor Bahru yang berminat menempah pelbagai jenis kek (termasuklah Cup Cakes dan Cheese Cake) bolehlah menghubungi beliau (0197452114).

Majlis Makan Berdamai ini juga diserikan lagi dengan kesudian berangkat hadir YAM Tunku Shahariah Ibni Tuanku Abdul Rahman (anaknda puteri Yang Di-Pertuan Agong Malaysia Pertama - Almarhum Tuanku Abdul Rahman dan Tuanku Kurshiah) dan kerabat serta dif-dif kehormat dari kalangan Menteri dan Wakil-Wakil Rakyat.

Malay Wedding

Antara beberapa perkara yang menarik di setiap majlis perkahwinan ialah kesempatan untuk bertemu dengan saudara-mara yang jauh dan dekat serta yang jarang-jarang kita temui. Memandangkan aku yang kerja jauh dari kampung halaman, saat beginilah aku gunakan sebaik mungkin untuk beramah mesra dan bertanya khabar bersama mereka. Memandangkan warna tema perkahwinan telah diwar-warkan, maka ramai juga di antara sepupu-sepapat dan saudara-mara yang hadir turut mengenakan pakaian berwarna biru pada hari tersebut, nampak sungguh 'sehati-sejiwa-sekata-sekeluarga'.

Menjelang petang, para tetamu mula beransur-ansur sedikit yang hadir dan pulang. Alunan muzik dari set karaoke tidak henti-henti mendendangkan pelbagai irama, terutamanya irama Ghazal, Zapin, Joget dan sebagainya. Penyanyi-penyanyi veteren dan 'otai' pula secara sukarela menyanyi untuk majlis kami, terima kasih kepada mereka semua. Sebelum majlis hari itu berakhir, kami adik-beradik berserta pasangan Pengantin dan Kak Long Limah @ YB Datuk Halimah Sadique 'menyumbangkan' beberapa buah lagu untuk halwa telinga mereka yang masih berada di sekitar.

DSC_1373

Keesokannya, rombongan kami pula bertandang ke rumah Pengantin lelaki di Kampung Melayu, Johor Bahru. Hujan renyai-renyai awal petang itu sama sekali tidak membantutkan perjalanan kami bahkan ianya seperti suatu rahmat pula - redup dan dingin. Rombongan kami dan kedua mempelai diarak dengan sekumpulan pemain Kuda Kepang dan juga Kompang. Irama Kompang yang mempunyai sedikit kelainan ini mengalunankan beberapa jenis rentak muzik, sesuai dengan gerak-geri Kuda Kepang. Kami juga disambut dengan persembahan Pencak Silat Pulut dan taburan bungga rampai setibanya di halaman rumah.

My creation

Pasangan pengantin yang mengenakan persalinan berwarna silver dan kelabu, terus diarak masuk ke dalam rumah dan duduk di atas pelamin. Acara Tepung Tawar dimulakan dengan Puan Pembawa Acara memanggil kaum-keluarga dari pihak lelaki, bermula dengan nenek yang paling tua sehinggalah ke adik-beradik. Aku juga berkesempatan untuk menepung tawar pasangan pengantin ini sambil berpesan kepada mereka untuk menjalani kehidupan yang harmoni dan dirahmati Allah. Sebelum pasangan pengantin meneruskan perjalanan menuju ke meja makan, mereka menaburkan Ambor-ambor (bunga rampai yang dicampur gula-gula dan wang syiling serta kertas) ke arah kanak-kanak yang ramai menunggu di hadapan pelamin. Selesai majlis menepung tawar segala, kami dipelawa menjamu selera bagi majlis Makan Berdamai atau Makan Beradab bersama Pengantin dan tetamu kehormat.

Cake Cutting Ceremony @ Johor Bahru

Sambil menjamu selera kami dihidangkan dengan alunan muzik Ghazal, Zapin dan Keroncong dari kumpulan pemuzik tradisional yang dipanggil. Mendengar muzik live memang amat berbeza dengan mendengar dari corong radio atau CD, lebih mengasyikkan dan merdu. Selesai bersantap, pasangan pengantin diiring oleh pengapit untuk acara memotong kek pula, sama seperti yang dilakukan sehari sebelum itu di Kulai. Maka selesailah sudah acara persandingan di pihak Pengantin lelaki dan kami sekeluarga pula mula meminta izin untuk pulang, dengan hati yang berbunga-bunga dan senyuman tanda syukur dan gembira.

Pantun Kahwin

Kepada hadirin dan hadirat yang hadir, sepuluh jari kami susun memohon ampun dan maaf sekiranya ada kekurangan dan kekhilafan sepanjang kami menjalankan majlis tersebut. Kepada pembaca Tepak Sireh, aku paparkan 2 entri mengenai majlis walimatul-urus ini sebagai tanda kenang-kenangan buat kami sekeluarga dan juga ingin memaparkan keindahan adat resam dan budaya masyarakat Melayu Islam Johor untuk dikongsi pengetahuan bersama. Jazakallahu-khair.

Monday, December 22, 2008

Akad Nikah & Berinai: Norisah & Aman Shah

DSC_1351-2

Majlis walimatul-urus diantara Norisah Murad (keluarga memanggilnya Noreen) atau panggilan di kalangan rakan-rakan beliau Norish dengan pasangannya Aman Shah Kamaludin telah selamat disempurnakan dengan sungguh meriah. Bermula pada Jumaat, 12 Disember majlis akad nikah diadakan di Taman Putri, Kulai. Kemudian diikuti dengan majlis bertukar barangan hantaran dan hadiah manakala majlis khatam Al-Quran, berzanji dan bercukur dijalankan sebelah malamnya. Kemuncak majlis pada malam itu ialah acara berinai dan menepung tawar pasangan mempelai. Esoknya pula diadakan majlis bersanding dan santapan 'makan berdamai' di sebelah pihak perempuan dan majlis menyambut menantu di sebelah pihak lelaki diadakan pada hari berikutnya.

Sebagai abang yang sulung, sudah pastinya aku juga ikut sama sibuk memeriahkan acara-acara yang diadakan. Memandangkan segala persiapan bagi majlis ini telahpun diuruskan sendiri oleh kedua orang tua dan bakal pengantin, maka tidak banyak acara rewang-rewang atau gotong-royong perlu dilakukan, walaupun majlis diadakan di halaman rumah. Kita ikuti pengalaman majlis Walimatul-urus yang berlangsung selama 3 hari di Kulai dan Johor Bahru.

Akad Nikah

Majlis akad nikah ini diadakan seusai Solat Jumaat di Masjid An-Nur, Taman Putri Kulai. Hanya keluarga terdekat dan sahabat handai akrab sahaja hadir menjadi saksi kedua pasangan ini memeterai ikrar perjanjian pernikahan di hadapan Kadi dan Wali. Segalanya serba sederhana dan hening, almaklumlah akad diadakan di dalam masjid tanpa hiruk-pikuk dan riuh rendah para tetamu jemputan. Noreen diapit oleh rakan karibnya sejak dari bangku sekolah lagi, Awin yang turut mengenakan Baju Kurung serba putih. Selain dari Awin, adik-beradik perempuan lain Anita dan Zurah juga turut menemai Noreen, begitu juga dengan Mak dan Mak Ngah.

DSC_0875

Kadi agak terlewat hadir ke lokasi pada petang itu, membuatkan pengantin lelaki sedikit resah dan peluh di muka mula kelihatan. Aman Shah hanya duduk diam tanpa sepatah bicara, alas duduk berjahit labuci empuk mungkin sedikit membikin rasa selesa ketika itu. Noreen pula tenang dan bersahaja sambil bersimpuh berbual kecil bersama mereka di sekeliling - sudah bersedia bergelar isteri dalam umurnya.

Pak Haji yang menjadi Kadi pada petang itu merupakan bekas Guru mengaji aku semasa kecil-kecil dulu, kami pernah tinggal berdekatan suatu ketika dulu. Sesampai sahaja beliau ke dalam masjid, aku terus menyapa beliau dan bersalaman, dan sepantas itu juga terhambur keluar dari mulut beliau "Kamu bila lagi? tunggu apa lagi? nak saya carikan???.......". Aku memang sudah cukup sedia untuk mendengar soalan-soalan sebegitu, sudah lali.

Dengan sekali lafaz akad sahaja, Aman Shah dan Norisah sudah sah bergelar suami-isteri - Alhamdulillah! Doa pun segera dipanjat tanda kesyukuran, berjujuran airmata sang suami membasahi pipi, ingin sahaja aku selami apa perasaan beliau ketika itu, tetapi satu perkara yang pasti - perasaan GEMBIRA.

Akad Nikah

Kadi memanggil pula Noreen, menanyakan beberapa soalan bagi memastikan yang lelaki di hadapannya adalah lelaki yang ingin dikahwininnya dan setuju untuk dinikahkan. Selesai akad dilafazkan, si isteri perlu menandatangani beberapa helai surat yang dikeluarkan oleh Majlis Agama Islam Negeri Johor. Kemudian kedua mempelai perlu melafazkan pula Ikrar Sakinah seperti di bawah;

Pihak Lelaki;

Adalah saya, (nama suami), suami kepada (nama isteri), yang telah menerima tanggungjawab, dengan ini menyerahkan kepada isteriku dengan mas kahwin sebanyak RM 22.50 tunai. Oleh itu, hendaklah kamu, isteriku, menunjukkan taat setia kepadaku sebagai suami dengan mengikut segala perintah dan nasihatku selagi mana ianya tidak bercanggah dengan hukum Islam dan undang-undang negara.”

Pihak Perempuan;

Adalah saya, (nama isteri), isteri kepada kekanda dengan penuh kesyukuran menerima mas kahwin ini sebagai tanda ikatan murni dan suci dan akan menumpukan sepenuh perhatian terhadapmu dan taat setia yang tidak berbelah bahagi kepada kekanda, dan adinda mengharapkan kepada kekanda agar sentiasa memberi bimbingan dan nasihat serta tunjuk ajar demi kepentingn dan kebahagiaan bersama. Semoga Allah merestui perkahwinan kita.”

Mak dan Abah juga perlu membaca beberapa baris Ikrar Sakinah yang hanya terdapat di Negeri Johor ini, melepaskan anak perempuan di bawah tanggungannya kepada si suami. Maka berjujuranlah airmata Mak ketika membaca ikrar tersebut, begitu juga dengan beberapa orang hadirin yang ada - sayu, terharu dan sebak menyelubungi suasana ketika itu. Selesai bersalaman, hadirin meninggalkan Masjid An-Nur untuk menuju ke rumah pengantin perempuan yang terletak berhampiran.

Majlis Bertukar Barang Hantaran Perkahwinan

Rombongan pihak lelaki yang datang bersama 7 dulang barang hantaran disambut mesra oleh kaum keluarga. Maka bermula pula sesi ramah-mesra antara ketua keluarga, bersambut bicara tanpa pantun seloka dan bertukar hadiah cenderamata. Kemuncak acara ialah si suami memakaikan seutas rantai tangan di pergelangan tangan isteri sambil disaksikan oleh Mak dan beberapa orang wakil pihak suami. Selesai barang hantaran bersalin dulang perak tembaga, hadirin dijamu selera dengan masakan ala-Johor - antara lauk kegemaran aku ialah Gulai Sayur Nangka dan Sambal Tumis Udang.

DSC_0978-2

Rombongan pihak lelaki dan Aman Shah pulang ke Johor Bahru setelah selesai sesi menjamu kudap-kudapan. Aku pula sudah mula sibuk bersiap-siap untuk ke pasar berdekatan, aku menjadi Chef Rush pada petang itu - menyediakan jamuan makan malam bagi beberapa acara yang akan dilangsungkan. Dengan dibantu oleh 3 orang Assistance Chef, aku memasak Nasi Jagung Berempah, Ayam Masak Merah dan Acar Rampai. Rasa berbesar hati kerana dapat menyediakan juadah bagi lebih 200 orang hadirin, dan ianya tugas yang tidak begitu sukar buat aku yang memang sudah biasa memasak dalam kuantiti besar.

Pelamin dari D'Airish Bridal House

Seawal hari Khamis lagi, canopy dan rerangka pelamin ini telah didirikan manakala bunga-bunga segar dari jenis Daisy berwarna biru (dyed) dan putih berserta mawar putih telah siap digubah. Tema di pihak keluarga kami ialah biru dan putih, maka segala perhiasan serta pakaian sedaya mungkin akan mengikut tema warna ini. Pelamin 3 tingkat ini pula didirikan di bawah canopy yang terletak di halaman rumah, Petarakna bersalut warna emas diletak di atas hamparan biru manakala Bunga Pahar dan Wajik diletak di kanan-kiri Astakona.

Segala pakaian pasangan pengantin, solekan, jurufoto dan persiapan pelamin serta khemah disediakan oleh D'Airish Bridal yang terletak di Skudai, Johor. Bridal House kepunyaan Anita ini sudah mula menempah nama di Johor Bahru, dan kepada sesiapa yang berminat menggunakan perkhidmatan D'Airish Bridal, bolehlah menghubungi Anita seperti nombor telefon di atas. Diskaun akan diberikan kepada pembaca Tepak Sireh.

DSC_1000

Majlis pada malam itu bermula dengan acara Khatam Al-Quran oleh pengantin perempuan. Pelamin yang serba ringkas dan sederhana dibina khas untuk acara ini. Adik Zurah menemani Noreen di atas pelamin semasa acara Khatam Al-Quran ini manakala Guru Al-Quran memantau bacaan surah-surah tertentu dan mengimamkan bacaan doa. Selesai acara ini, maka bermula pula acara Berzanji dan Marhaban sambil acara Bercukur anak sepupu diadakan serentak. Seperti lazimnya, jemaah atau hadirin yang berzanji marhaban ini terdiri dari kaum wanita, rakan-rakan Mak di tempat mengaji Al-Quran serta jiran-tetangga dan keluarga yang datang berkunjung. Terasa sungguh kemeriahannya dengan alunan Marhaban yang memuji-muji Baginda Rasulullah.

My creation
Align Center

Selesai Marhaban segala, disambut pula paluan bunyi Kompang dan Jidur (Rebana Jawa) dari arah luar rumah. Rombongan pengantin lelaki muncul sambil diarak dengan bunyian dan Bunga Manggar. Maka bermula pula acara Berinai Besar pada malam itu, pengantin lelaki disambut oleh pihak pengantin perempuan lalu disandingkan di atas pelamin oleh Mak Andam. Sambil hadirin menjamu selera dengan pelbagai lauk-pauk dan kuih muih pemanis mulut, pasangan pengantin pula duduk tersenyum menanti upacara Menepung Tawar dimulakan. Mak dan Abah memulakan acara ini dengan mencalitkan kapur dan bunga rampai ditelapak tangan mempelai, kemudian direnjis-renjis air mawar lalu bersalaman dengan kedua mempelai. Aku juga tidak melepaskan peluang yang jarang-jarang diperolehi ini.

Majlis tamat agak lewat pada malam itu, apatah lagi dengan adanya sesi karaoke terbuka di halaman rumah. Para Penanggah yang ikut sama rewang menyediakan juadah untuk majlis esok hari, masih lagi bersemangat untuk berkaraoke dan bersembang hingga lewat pagi. Majlis bersanding yang akan diadakan sepanjang hari keesokannya sudah pasti akan lebih meriah dengan kehadiran lebih 1000 orang tetamu.

Thursday, December 18, 2008

Interlude Tepak Sireh.....

Royal Botanic Garden, Johor Bahru

Picture taken with Sony DSLR-A200, by Rush Murad at Johor Royal Garden 2008.
~
Gurindam 11: Ajuk
Diam bukan dibawa rajuk
Sepi bukan kerana sejuk
Cuma diri kadangkala sibuk
Dalam waktu yang suntuk
Maka dikatanya rajuk
Walau bukan rajuk menjadi tajuk
Namun diajuknya terjelepuk
Nantikan saja berlainan tajuk
Supaya minat segera dipupuk
Agar Tepak Sireh tidak akan lapuk
Agar Tepak Sireh sentiasa di tampuk.
Rush Murad
18 Disember 2008 - Miri.

Tuesday, December 02, 2008

Enchanting Bali Trip III

Kuta Beach

Masih bercerita mengenai percutian di Bali beberapa minggu lalu, walau sudah agak 'basi' tetapi tidak ada salahnya memaparkannya memandangkan aku masih mencari 'mood' untuk bercerita mengenai hal lain. Sehari-dua sebelum berangkat pulang, kami putuskan untuk acara shopping. Skuter yang kami sewa sehari sebelum itu menjadi pengangkutan utama kami untuk melilau sekitar Kuta-Legian-Seminyak sehinggalah ke Pantai Canggu Petitenget. Memang sudah lama tidak bermotosikal, apatah lagi menaiki Skuter di tengah-tengah kesibukan bandar Kuta - memang mencabar!

Discovery mall

Destinasi pertama kami setelah menyewa Skuter ialah menuju ke Pasar Kraftangan di Jalan Melasti dan kemudiannya ke Discovery Mall, pusat membeli-belah moden dan terbesar di Bali. Lokasinya tidak berapa jauh dari Matahari Mall dan pantai Kuta, tetapi jalan menuju ke sana agak mengelirukan kerana terdapat banyak persimpangan dan jalan sehala. Discovery Mall dibina menghadap hamparan pantai dan lautan yang luas, memang menarik dan cantik pemandangan dari bahagian belakang mall ini. Terdapat pelbagai kedai berjenama terutamanya yang menjual cenderamata dan juga restoran-restoran.

Warung Bumbu

Kami memutuskan untuk makan tengahari di dalam food court Discovery Mall, di restoran Warung Bumbu yang mempunyai deko yang menarik dan unik. Beberapa jenis makanan kami pesan, antaranya Pecal, Nasi Ayam Penyet Komplit dan macam-macam lagi. Memang lazat dan harganya juga berpatutan, manakala persekitaran restoran ini nampak bersih dan pekerjanya berpakaian kemas dan cantik. Di Bali, tidak begitu mudah untuk mencari restoran yang menyediakan makanan HALAL, maka pelawat Muslim harus berhati-hati sebelum memasuki atau memesan makanan, pastikan tiada yang menghidangkan babi dan sebagainya, paling mudah bertanya atau melihat senarai menu sebelum memasuki ke dalam restoran.

Canggu Petitenget

Sebelah petangnya, dalam perjalanan ke Canggu Petitenget, kami ditahan oleh Pak Polisi di satu persimpangan jalan, kesalahan kami ialah berhenti terlebih sedikit dari garisan kuning sementara menunggu lampu merah menjadi hijau. Akhirnya, kami disaman beberapa puluh ribu rupiah, sambil tersenyum Pak Polisi bilang "bahasa kita serupa yaaaa...".... baru tahu ke?! Aku dengan muka masam dan sedikit merungut meninggalkan pondok Polis yang terletak betul-betul di hadapan persimpangan lampu isyarat, sambil Wan Hidayat pula ketawa-ketawa kecil - pengalaman manis katanya.

North Indian Food

Hampir sehari suntuk kami berlegar-legar di dalam Discovery Mall dan beberapa tempat menjual cenderamata lain seperti di Matahari Mall dan sepanjang jalan Legian. Sebelah malamnya pula, kami menuju ke kawasan sekitar Seminyak, niat di hati untuk melihat-lihat kawasan yang terkenal dengan pusat hiburannya, tetapi secara tidak sengaja kami terjumpa sebuah restoran yang menyediakan masakan India Utara - Gateway of India. Memang authentic masakan di sini (tukang masak dari India), semuanya sungguh sedap dan portion juga agak besar. Aku memesan Nasi Briyani Kambing yang disertakan sekali Mango Chutney, acar, tairu dan mint sauce. Wan pula memesan Roti Nan, Vege Dalca berserta pelbagai lauk-pauk lain. Restoran ini terletak di Jalan Abimanyu 10, Seminyak dan bertentangan dengan Q-Bar yang terkenal itu.

Kuta Beach

Keesokannya kami hanya bermalas-malasan di sekitar pantai Kuta, menikmati cahaya matahari yang panas terik. Sebelum itu kami sempat makan tengahari di sebuah restoran Minang yang juga tidak jauh dari Kuta, berselera sungguh kami makan memandangkan masakan Minang tidak jauh bezanya dengan masakan orang Melayu - rendang, gulai lemak, tempe sambal dan sebagainya. Paling menarik ialah Jus Limau es, limau madu yang hijau kekuningan diperah jusnya dan dihidang tanpa gula, cukup segar!

Ketupat Restaurant

Setelah memulangkan Skuter yang kami sewa, kami hanya berjalan kaki sekitar Kuta dan Legian, 'membunuh' masa yang masih tinggal sebelum berangkat pulang ke Malaysia keesokan harinya. Seperti yang sudah dirancang sebelum ke Bali lagi, kami makan malam di Restoran Ketupat di Jalan Legian. Kali pertama aku ke restoran ini ialah pada tahun 2005, ketika itu rakan baik aku yang bertugas di Bali si Fahmi Al-Attas memperkenalkannya kepada aku. Keadaan restoran ini tidak berubah sedikit pun berbanding 4 tahun dulu. Memandangkan restoran ini menghidangkan makanan halal, sedap dan pelbagai, aku menjaja cerita mengenai restoran ini kepada rakan-rakan di Malaysia semenjak itu. Menu yang dihidangkan memaparkan keunikan negara Indonesia yang mempunyai pelbagai suku bangsa dan ras, dari Irian Jaya, Manado, Sulawesi sehinggalah ke Sumatera - semuanya ada. Harganya walaupun sedikit mahal tetapi pengalaman makan malam di sini amat berharga!

Ketupat Restaurant

Makan malam ini agak istimewa bersempena dengan sambutan hari lahir Wan Hidayat. Pada malam itu, ada juga pelanggan asing yang menyambut hari lahir berserta kek dan lilin di restoran Ketupat itu. Aku memang tertarik dengan deko dalaman dan bangunan restoran ini, pertamanya struktur rumah banglo lama yang diubahsuai menjadi restoran, lengkap dengan kolam renang, pohon-pohon besar dan pondok-pondok kecil beratap nipah yang lebih privasi. Deko di dalam restoran pula menerapkan unsur-unsur antik tempatan dan Kolonial Belanda.

Kalau dilihat foto di atas, muka Wan Hidayat kelihatan sugul dan letih - pertamanya memang letih kerana asyik melilau sepanjang hari dan sepanjang berada di Bali, keduanya ketika itu kami baru sahaja mendapat berita buruk mengenai kecurian di rumah kami di Miri dan sepasukan Polis sedang berada di rumah untuk menjalankan siasatan. Cerita mengenai 'pecah masuk' ke rumah kami dan kehilangan berpuluh-puluh hartabenda bernilai puluhan ribu ringgit mungkin akan dipaparkan pada entri akan datang. Terima kasih kepada rakan-rakan di Miri yang bertungkus-lumus membantu; Khairul, Zara, Rhymee dan Nas.

Rush In Bali 2

Sebahagian dari koleksi-koleksi foto percutian di Bali untuk tatapan bersama, agar menjadi inspirasi kepada mereka yang berminat hendak ke sana. Foto di tengah-tengah ialah Tugu Peringatan mangsa bom di Bali.

Rush at Bali

Semoga paparan-paparan mengenai percutian di Bali ini memberi sedikit-sebanyak ilmu dan tips kepada pembaca Tepak Sireh. Jika ingin tahu lebih lanjut dan inginkan brochure percutian/tour agent di Bali, serta voucher-voucher diskaun untuk hotel dan tempat berbelanja di Bali, bolehlah email kepada saya di rushmurad@hotmail.com