Monday, November 24, 2008

Enchanting Bali Trip II

DSC_0256

Hari ke-3 kami di Bali, selesai bersarapan di Cafe Vilarisi dengan wholemeal bread, madu, telur sunny-side-up dan kopi panas, kami terus dibawa oleh Made ke destinasi seterusnya - menuju ke Batubulan untuk menyaksikan persembahan Tarian Barong dan Kris. Sebuah desa kecil yang dikelilingi sawah padi, terbina sebuah pura pemujaan Dewata, kini dijadikan venue untuk persembahan ini. Cuaca pagi Sabtu itu agak panas, seawal jam 5.30 pagi matahari sudah mula menampakkan diri dan menerangi bumi Bali. Persembahan Barong ini berkisar mengenai pertempuran di antara kuasa jahat dan baik - Rangda, ibu kepada Erlangga, Raja Bali pada kurun ke-10.

DSC_0236

Pelbagai sketsa diselitkan di dalam persembahan Barong ini, termasuklah persembahan tarian tradisional Legong Keraton oleh dua orang penari wanita yang seakan-akan tarian Jaipong di Jawa, persembahan Kris di mana 'askar' menyucuk-nyucuk badan mereka dengan keris sebenar tanpa cedera atau luka. Persembahan ini diiringi dengan sepasukan pemain muzik tradisional - gamelan, gendang, serunai, gong dan sebagainya. Persembahan yang disaksikan oleh beratus penonton ini memakan masa lebih sejam dan cuaca yang agak panas menjadikan astaka ini kurang selesa walaupun tempat duduk mempunyai bumbung.

DSC03828

Selesai menyaksikan persembahan di Batubulan, kami menyusuri pula pekan-pekan kecil, kampung-kampung bersawah untuk menuju ke Tegenungan, melihat pemandangan air terjun. Kawasan lookout-point yang terpencil ini tidak mempunyai infrastruktur pelancongan, mungkin sengaja dibiarkan begitu - lebih asli dan tidak tercemar. Sepanjang perjalanan, kelihatan taliair-taliair untuk kegunaan pengairan sawah, bersih, jernih dan terasa ingin bermandi-manda pula. Menurut Made, setiap hari di penghujung petang, ramai penduduk sekitar akan bermandi-manda di taliair tersebut, mereka tidak mengenakan seurat benang pun dibadan, amalan mereka sejak berkurun dulu. Kami melewati pekan Celuk, tempat di mana pertukangan barangan perak dan emas amat terkenal. Kami memutuskan untuk tidak singgah di Celuk sebaliknya diajak pula singgah di pekan Mas untuk melihat pertukangan ukiran kayu.

Goa Gajah

Kami meminta Made untuk membawa ke Goa Gajah sebagai ganti tidak melawat ke pekan Celuk. Aku pernah ke Goa Gajah ini semasa mengunjungi Bali beberapa tahun dulu, semasa itu aku bersama Rosli, Kelvin, Muhammad Al-Sagoff dan seorang rakannya dari Belgium. Di dalam Goa Gajah (di luar facade gua ini diukir bentuk muka gajah dan mata besar Dewata) ini terletak beberapa idol seperti Shiva Linggam untuk pemujaan, juga gua ini dijadikan tempat untuk bertapa bagi pendeta Hindu Dharma. Sebelum memasuki kompleks Goa Gajah ini, pengunjung diwajibkan menggunakan kain sarong, terutamanya kepada mereka yang memakai seluar pendek atau kain/skirt di atas paras lutut.

DSC03874

Di hadapan pintu masuk gua ini, terletak pula tempat pemandian atau penyucian yang sudah terbina beratus-ratus tahun dahulu. Air di kolam ini datangnya dari dalam tanah yang mengalir dari beberapa punca mata air. Ada 6 buah patung (aslinya ada 7 buah tetapi satu telah dicuri) yang memegang belanga yang mengalirkan air dari mata air tadi, melambangkan 7 batang sungai suci di India antaranya Ganga dan Yamuna. Kompleks Goa Gajah yang terletak di Bedulu ini dipercayai telah dibina lebih kurang 700 ratus dahulu dan hanya pada sekitar tahun 1920, barulah ianya dijumpai semula.

DSC_0278

Dari Bedulu, kami dibawa berhenti rehat di sebuah Taman Herba di desa Sribatu. Taman herba seperti di Pagoh, Johor ini mempunyai saiz yang kecil (seperti dibelakang rumah kawasan perkampungan), tetapi mempunyai pelbagai jenis pohon herba yang biasa atau yang asing bagi kita. Ada pokok kopi, koko, vanilla, salak dan sebagainya termasuk beberapa ekor 'musang' atau civet yang memakan biji kopi bagi menghasilkan kopi Luwak yang terkenal dan mahal itu. Kami dihidangkan dengan kopi asli yang sungguh lazat, koko yang begitu enak dan juga air halia yang manis seperti dicampur madu. Pemandangan bukit-bukau di bawah pondok beratap nipah di dalam taman herba itu memang mendamaikan, sesuai untuk melepaskan penat lelah.

DSC_0312

Sampai masa untuk makan tengahari, kami sudah berada di puncak pekan Kintamani. Sebuah pekan beraltitud tinggi, berlatarkan pemandangan indah Gunung Batur yang masih aktif dan tasiknya-crater lake yang terjadi dari proses letupan lahar gunung berapi. Memang indah pemandangan dari aras tinggi ini, tasik yang membiru dikelilingi oleh bukit-bukau menghijau serta terlihat juga perkampungan suku kaum Bali di pesisirnya. Gunung berapi Batur yang berketinggian 1717 meter ini masih lagi aktif dan kali terakhir ianya memuntahkan lahar ialah sekitar tahun 2000.

DSC_0331

Dengan saiz sepanjang 13km, Tasik Batur yang terletak bersebelahan Gunung Batur pula merupakan tasik yang terbesar di Pulau Bali, merupakan sumber ikan air tawar yang utama di pulau ini. Kami berhenti untuk makan tengahari secara buffet di Restoran Gunawan, restoran ini mempunyai pemandangan luar yang sungguh indah, di bahagian depan menghadap Gunung Batur manakala di sebelah belakang restoran pula mempersembahkan pemandangan luas perkampungan dengan deretan rumah-rumah di lereng bukit-bukau. Makan tengahari ini telah diatur lebih awal oleh pihak tour, banyak pilihan makanan dan restoran ini penuh dengan pengunjung, dan sekali lagi warga Malaysia menjadi majoriti di dalam restoran ini.

Tegalalang

Kami menuruni gunung dan bukit-bukau melalui jalanraya yang berliuk-lentuk untuk meninggalkan Kintamani. Perjalanan dalam cuaca yang agak redup melalui kawasan desa dan sawah padi ini menjadikan mata kami terlelap tidur sebelum dikejutkan oleh Made setelah sampai di Tegalalang - sebuah kawasan tanaman padi bukit yang berteres-teres. Wan Hidayat pernah berkata seperti "...ingin lihat teres sawah padi seperti di dalam buku Geografi..." dan pemandangan itu kini berada di depan mata. Petang itu cuaca memang nyaman, ada sedikit gerimis halus dan kawasan sekitarnya agak berkabus. Sejuk mata memandang kehijauan kawasan sekitar dan padi-padi yang sudah mula menguning menjadikan teres-teres tersebut lebih menarik dan indah.

Rice fields in Tegalalang

Sedang kami sibuk merakamkan keindahan sawah padi ini dengan lensa kamera, datang seorang tua dengan menggalas dua buah bakul besar berisi lalang yang telah ditebas. Beliau berhenti berhampiran kami dan menawarkan untuk bergambar bersama, memindahkan palang galas ke bahu Wan Hidayat sambil topi dari anyaman daun kelapa dipakaikan. Bermulalah sesi berfoto yang lebih menarik dengan pelbagai posisi, sebelum beredar kami berikan beberapa helai wang Rupiah kepada orang tua tadi sebagai tanda terima kasih.

DSC03978

Dari Tegalalang, kami terus menuruni bukit menuju ke daerah Ubud yang terkenal dengan lukisan dan kraftangannya. Rancangan asal ialah untuk melawat Istana Raja Puri Saren di tengah-tengah pekan Ubud, tetapi terpaksa dibatalkan kerana ada upacara khas sedang berlangsung. Lalu kami dibawa ke desa Mengwi untuk melihat Pura Di-Raja empayar Mengwi iaitu Pura Taman Ayun, sebuah biara khusus untuk ahli keluarga Di-Raja yang dibina sekitar tahun 1634 masihi. Taman Ayun yang mempunyai kuil-kuil beratap tinggi dan berlapis-lapis ini dikelilingi oleh sebuah kolam yang besar. Para pengunjung tidak dibenarkan memasuki ke dalam kawasan pura, cukup dengan hanya melihat dari luar atau sekeliling kolam buatan itu.

Batu Bolong Temple at Tanah Lot

Destinasi terakhir perjalanan kami pada hari itu ialah ke Kuil atau Pura Tanah Lot yang cukup terkenal di Bali. Gerimis yang turun dan kabus yang agak tebal menyebabkan pemandangan sunset pada petang itu tidak seperti yang diharapkan. Memang ramai pelancong sedang berada di sekitar Tanah Lot untuk menikmati keindahannya dan menanti sunset untuk dirakamkan. Kami menuju ke Pura Batu Bolong terlebih dahulu, melihat sekitarnya dan pemandangan Laut Hindia dengan ombak yang 'ganas'. Foto di atas ialah Pura Batu Bolong, dinamakan sedemikain kerana bolong atau lubang yang terjadi hasil dari hakisan laut di bawah kuil tersebut.

Pura Tanah Lot

Beberapa ketika di Pura Batu Bolong, kami berjalan kaki beberapa minit menuju ke lookout-point Pura Tanah Lot, hasil dari ketikkan lensa kamera asas Nikon D40x ialah foto di atas. Pura Tanah Lot yang berkeluasan 3 ekar ini terletak di pekan Beraban, sekitar 30km dari bandar Denpasar. Tanah Lot yang membawa maksud "tanah di tengah laut" ini dipercayai dibina pada kurun ke-15 oleh seorang pendeta bernama Nirartha, sebagai sebuah pura untuk memuja Dewa Laut. Pada sekitar tahun 1980'an, Pemerintah Indonesia mendapat bantuan kewangan sebanyak Rp. 800 billion dari Jepun untuk membaik pulih struktur batuan pura tersebut yang mula runtuh dan menjadikannya berbahaya kepada pengunjung. Pada hari ini, 1/3 batu yang terbentuk di sekitar Pura Tanah Lot merupakan batuan artificial atau batuan buatan manusia.

DSC04153

Hampir 12 jam kami berkelana sekitar tempat-tempat menarik Pulau Bali pada hari ke-3 kami di sini, cukup sempurna walau sedikit keletihan. Kami terus di hantar pulang ke tempat penginapan kami, kali ini kami berpindah ke lokasi di sekitar pantai Kuta, tidak jauh dari Hard Rock Cafe, Bali. Selesai membersihkan diri, kami keluar semula untuk makan malam dan sedikit shopping sebelum duduk di bangku di hadapan K-Circle untuk menikmati kerancakkan orang lalu-lalang dan tiupan angin sepoi bahasa pantai Kuta.

Sunday, November 16, 2008

Enchanting Bali Trip I

Island of Gods....

Kembara rehlah kali ini membawa aku dan Wan Hidayat ke salah sebuah pulau peranginan Tropika terkenal dunia - Bali, Indonesia. Seperti tahun sudah, percutian kali ini telah dirancang beberapa bulan lebih awal, walau di saat-saat akhir pelbagai berita kami dengar terutamanya mengenai serangan balas pengikut pengebom Bali yang dihukum bunuh dan cuaca buruk ribut Tropika, namun kami gagahi juga mengikut perancangan dengan penuh tawakkal. Maka dalam 2 entri mendatang ini, Tepak Sireh akan paparkan kisah percutian berserta foto-foto dan tips di Pulau Dewata-Bali sepanjang berada di sana selama 6 hari 5 malam........

Vilarisi Hotel

Gerimis yang menyambut kami di Bandara Ngurah Rai membuatkan hati sedikit gusar, agak tepat ramalan keadaan cuaca yang aku baca beberapa hari lepas, Bali mendung dan sesekali hujan di sebelah malam. Mungkin ada beberapa rencana akan terencat, mungkin juga rancangan untuk menikmati sunset di Tanah Lot juga tidak akan menjadi kenyataan. Aku mendengus kecil sambil memaling pandangan ke luar tingkap teksi, jalanraya sekitar Denpasar nampak suram, lengang dan basah. Dari jalanraya besar, teksi yang kami naiki menyusuri jalan-jalan kecil pula, sesekali melewati lorong sempit sebelum sampai ke destinasi - Hotel Vilarisi di Jalan Melasti, Legian. Hotel berbintang yang bersaiz kecil tetapi lengkap dengan kemudahannya serta mempunyai karakter kuat Bali, kami menempahnya melalui Internet dan yang pasti hotel ini nampak jauh lebih cantik berbanding di Internet. Malam pertama di Bali kami habiskan dengan meredah hujan renyai menyusuri kaki-lima kedai di sepanjang jalan Kuta-Legian.

Dreamland Beach, bali

Suasana persekitaran Lebak Bena, Vilarisi yang tenang dan sunyi membuatkan kami terlupa sejenak akan 'dunia luar'. Secawan kopi kampung cap Kapal Api dan sekeping donut Dunkin' sudah cukup membangkitkan semangat hari itu untuk meneruskan riadah mengenali Bali dengan lebih dekat. Setelah beberapa ketika berjalan santai di sekitar Legian-Kuta, kami mengambil keputusan untuk membuat tempahan tour di sekitar Bali dengan Krishna Bali Tour. Menjelang jam 4 petang, seorang Pemandu Pelancong bernama Made berserta seorang Supir datang menjemput kami di perkarangan lobi hotel. Tour separuh hari bermula di Pantai Dreamland yang melewati padang Golf berbukit-bukit, menikmati suasana petang dengan ombak Laut Hindia yang amat sesuai untuk surfing. Pantainya bersih terjaga rapi, dengan air laut yang berwarna biru kehijauan amat jernih dan jauh dari hiruk pikuk tidak seperti Pantai Kuta.

Rush at Dreamland, Bali

Matahari petang yang bersinar terik, langsung tidak mendatangkan masalah kepada para pengunjung pantai untuk sunbathing dan bermain papan luncur. Pemandangan kawasan persekitaran yang mendamaikan serta deruan ombak menghempas pantai mengingatkan kami akan kebesaran ciptaa Illahi. Kami susuri beberapa langkah pantai Dreamland yang luas dan berpasir kasar, dalam hati terdetik "halus lagi pasir-pasir di Tioman dan Perhentian". Kami tidak berhajat untuk mandi-manda petang itu, pertamanya kami tidak bersedia dengan pakaian yang sesuai dan keduanya kami mempunyai masa yang agak terhad untuk ke destinasi yang seterusnya. Cukuplah dengan menikmati pemandangan yang menyegarkan dan sinar lembayung-X untuk mendapatkan kesan 'endorphin'.

Dreamland, Bali

Prasarana di kawasan sekitar Dreamland masih belum lengkap kemudahannya, masih dalam fasa pembinaan dengan laluan dari parkir menuju ke pantai masih perlu melewati denai bukit kecil yang agak curam. Pantai di Dreamland ini masih kurang diketahui pelancong kecuali kepada mereka yang gemar surfing, pada kami "tidak mengapa jika tidak ke pantai ini jika di Bali". Kami tidak lama di Pantai Dreamland, setelah berfoto di pintu masuk utama - dengan patung-patung Dewata Hanuman, Dewata Sang Rama bersaiz gergasi, langsung kenderaan Suzuki APV Arena meluncur laju menuju ke destinasi seterusnya - Uluwatu.

DSC_0075

Perjalanan dari Dreamland menuju ke Uluwatu mengambil masa sekitar 30 minit, melewati kawasan luas kampus Universitas Udayana - Universiti tertua di Pulau Bali. Kami sampai di Pura Luhur Uluwatu tepat pada waktunya untuk berlegar di sekitar Pura atau Candi, menikmati pemandangan luas Laut Hindia dari atas tebing curam dan menonton Tarian Kecak. Sebelum masuk ke dalam kawasan Pura, kami diwajibkan memakai sekeping kain sarong yang dililit di pinggang - sebagai menghormati peraturan tempat beribadat agama Hindu. Kami juga diberi pesan supaya tidak membawa cermin mata gelap atau apa-apa barang yang mudah dicuri oleh kera-kera liar yang banyak berkeliaran di sekitar Pura tersebut.

DSC_0089

Para pengunjung berpusu-pusu menapak setiap anak tangga yang dibina di atas tebing, untuk berfoto dan menikmati pemandangan laut luas yang indah. Hampir separuh dari pengunjung pada petang itu terdiri dari warga Malaysia, dan aku pula terserempak dengan seorang rakan lama yang dulu sama-sama menuntut di UiTM. Dalam pada meninjau-ninjau kawasan Pura, perasaan kagum tidak putus-putus menyelubungi benak - kagum akan ketekunan dan kesungguhan para pendeta dahulu kala yang membina Pura di atas tebing curam ini. Mungkin banyak nyawa terkorban untuk membina tempat persembahyangan Dewata yang unik ini. Kekentalan agama Hindu yang mereka anuti inilah yang membuatkan agama Islam sukar menembusi Pulau Bali sehingga ke hari ini.

Uluwatu

Sedang asyik memerhati keindahan pemandangan sekitar Uluwatu, kami dipanggil oleh Made untuk segera menuju ke tapak persembahan Tarian Kecak dan Api. Nun di suatu sudut di Pura Uluwatu ini, didirikan tapak persembahan lengkap dengan tempat duduk bertingkat, berlatarbelakangkan langit dan laut yang luas. Sesampai kami di sana, kelihatan beratus-ratus penonton sudah siap sedia dengan tekun untuk melayari persembahan Tarian Kecak yang berdasarkan legenda Ramayana dan Sita Dewi. Simbahan cahaya matahari petang yang menghampiri senja menjadikan suasana pentas terbuka tersebut lebih dramatik.

Kecak Dance, Uluwatu

Acara dimulakan dengan para penzikir duduk mengelilingi api, membuat bunyi 'kecak, kecak, kecak......' dengan pelbagai intonasi dan julat. Wan Hidayat sempat berbisik "....mereka ni macam orang Majusi, sembah api......", di dalam hati pula timbul rasa syukur kerana bukan itu agama yang aku anuti. Berbalik kepada persembahan tadi, beberapa ketika kemudian muncul pula watak-watak dari kisah Ramayana, satu persatu muncul dengan gaya dan busana berbeza sesuai mengikut jalan cerita. Persembahan yang memakan masa selama 1 jam ini tidak membosankan, lebih-lebih lagi dengan kemunculan pelbagai watak yang mengujakan terutamanya Si Burung Garuda dan Sang Hanuman si Kera Sakti/Jadian.

DSC_0188

Keadaan sekitar pentas menjadi suram dan gelap dengan perlahan-lahan apabila matahari mula tenggelam, persembahan masih diteruskan dengan limpahan cahaya dari lampu di sekeliling dan obor yang dipasang. Rentak persembahan menjadi lebih rancak, pelbagai aksi dan sketsa serta bunyi dihasilkan. Ada satu babak di mana tiba-tiba para penonton dikejutkan dengan permainan bola api secara spontan oleh Sang Hanuman. Ini menimbulkan kejutan kepada para penonton terutamanya yang duduk di barisan hadapan kerana serpihan bola api hampir-hampir mengena mereka. Puas rasanya dapat menyaksikan persembahan kebudayaan masyarakat Bali yang penuh keaslian ini. Walaupun aku sudah beberapa kali menjejakkan kaki ke Bali, tetapi inilah kali pertama aku menyaksikan persembahan Tarian Kecak!. Selesai menyaksikan persembahan di Uluwatu, kami dibawa ke Jimbaran Bay untuk menikmati makan malam ala-beach cafe.

Jimbaran Bay

Makan malam di Jimbaran Bay ini juga sudah termasuk di dalam itinerary pada hari itu. Hanya makanan laut sahaja yang dihidangkan di sini, dimasak dengan pelbagai resepi tempatan - sedap dan menepati citarasa kami. Meja-meja makan dam kerusi di sini memang sengaja diletakkan menghadap ke pantai dan laut, lebih romantik agaknya ditambah pula dengan alunan muzik live oleh pemuzik-pemuzik yang bertandang ke meja. Kami hanya bersantai menghilangkan lelah sambil menunggu makanan dihidangkan, dan memerhatikan manusia di sekitar dengan pelbagai ragamnya.

DSC_0224

Sunday, November 09, 2008

Wan Hidayat's 24th Birthday.....

Wan Hidayat

"We have no choice of what color we're born or who our parents are or whether we're rich or poor. What we do have is some choice over what we make of our lives once we're here."
~~~
Both of us are still in Bali, Indonesia. Enjoying the Sun, Sand and everything that Bali has to offer.

Monday, November 03, 2008

Borneo's Lake - Forest - Beach.....

Sunset At Lake Senadin

Bermalas-malasan di petang Sabtu, kekenyangan setelah menjamu selera dengan Bubur Kacang Hijau di campur durian yang dimasak sendiri. Suasana langit petang itu sungguh cerah, awan-gemawan bersimpul indah, seakan rupa skulptor-skulptor hebat di dunia sebelah sana. Aku, Wan Hidayat, Rhymee dan Cute Panda yang baru sampai di Bandaraya Miri malam sebelumnya bergegas mencapai kamera dan berjalan menuju ke tasik yang terletak di seberang jalan hadapan rumah. Setiap detik dan saat tidak mahu dilepaskan begitu sahaja, mencari sudut paling menarik untuk mendapatkan hasil yang terbaik, aku namakan koleksi ini - Senja di Tasik Senadin @ Sunset at Lake Senadin.

Mencari rezeki....

Dua beranak keturunan Iban ini sedang menjala ikan di tasik, si kecil dengan gelagat bersahaja berenang-renang sambil memberikan pelbagai pose menarik. Sesekali beliau membuat 'bunyi' seakan ikan Lumba-Lumba, langsung menggetik hati kami dan bibir untuk tersenyum. Beberapa ekor ikan Talapia sebesar telapak tangan berjaya mereka jala, buat juadah makan malam mereka sekeluarga agaknya. Tasik yang berwarna biru gelap ini, saban hari didatangi pengunjung untuk menjala ikan atau beberapa orang anak kecil akan berenang-berenang bermain air, dan sebahagian pengunjung sekadar bersantai di tepian bibir tasik menghayati keindahan refleksi dipermukaannya. Walaupun tasik ini tidak bernama, tetapi aku lebih senang memanggil Lake Senadin bersempena nama kejiranan ini.

End of Sunset

Hampir sejam masa berlalu, tiba masa untuk kami beransur pulang setelah matahari mula terbenam di ufuk Barat sambil meninggalkan remang-remang cahaya yang masih gemilang. Kalau diikutkan hati, mahu sahaja melangu di situ sehingga matahari betul-betul habis tenggelam dan hanya awan gelap dan sedikit bintang menemani dada langit. Indah sungguh ciptaanmu Ya Allah! Suatu ketenangan pabila melihat foto di atas, dengan titik putih kecil di atas sebelah kiri menunjukkan sebutir bintang (mungkin Planet Jupiter) dan sebahagian bulan (Waning Crescent) sudah mula menampakkan diri.

Waterfall at Lambir Park

Keesokannya, setelah kami makan tengahari Nasi Lalapan di Restoran Surabaya- Zoul, Khairul, Wan Hidayat, Cute Panda dan aku menuju ke Taman Negara Lambir yang jauhnya 30 minit memandu dari bandaraya Miri. Agak sudah lama juga aku tidak melakukan jungle trekking dan masuk ke dalam hutan, apatah lagi bermandi-manda di air terjun. Memandangkan rancangan untuk membawa Din si Cute Panda ke Gua Niah dibatalkan, kami menukar lokasi ke Lambir sahaja. Kami ambil kesempatan berada di sana untuk mengambil shooting di dalam hutan, dengan exposure dan pencahayaan yang berbeza serta objek yang pelbagai. Di antara kami, ada juga yang sempat merasai kedinginan air terjun Patau semasa berenang di kolam semulajadi. Masa selama 2 jam berada di sana terasa sungguh singkat, membuatkan kami merancang untuk datang sekali lagi dalam masa terdekat ini.

Mushrooms at Lambir Park

Sekelompok Cendawan Hutan tumbuh melata di putung kayu reput, kelihatan ketika sedang menapak merentas denai. Kalau tidak silap, Cendawan ini boleh dimakan dan tidak beracun - sedap kalau dibuat sup. Terdapat pelbagai tumbuh-tumbuhan di dalam Hutan Hujan Khatulistiwa Lambir ini, sungguh menarik dan melekakan apabila memerhatikan kejadian alam ini. Hutan di Borneo memang terkenal dengan variasi fauna dan flora serta keunikannya yang tidak terdapat di mana-mana tempat di dunia. Semasa kami di sini, kelihatan projek menaiktaraf Taman Negara ini sedang dilakukan dan usaha untuk mengindahkannya juga dalam proses.

Lambir Park

Dari kiri ke kanan - Khairul Luaq Dome Ezplanade, Din Cute Panda, Zoul Hitam Putih Kehidupan, Wan Hidayat's Chronicles dan Tepak Sireh @ Tok Wan YKWYA. Bergambar kenangan di hadapan Taman Negara Lambir, Miri sebelum berangkat pulang meninggalkan taman tersebut. Masih tiada tanda-tanda keletihan untuk meneruskan aktiviti pada petang itu, langsung dari Lambir kami memandu menuju ke kawasan perkelahan keluarga di Pantai Luak @ Luak Bay, terletak sekitar 2km dari Bandaraya Miri.

Luak Esplanade

Begitu ramai pengunjung di kawasan perkelahan keluarga Pantai Luak atau Luak Esplanade pada petang itu, seakan sedang berlangsung pesta atau keramaian. Di kawasan letak kereta terdapat berpuluh penjaja yang menjual pelbagai makanan ringan seperti Kepak Ayam Panggang, Jagung Bakar, Keropok Lekor, Goreng Pisang, buah-buahan dan sebagainya. Setelah puas menikmati keindahan panorama pantai dan keasyikan cakerawala senja di Pantai Luak, kami pulang menuju semula ke Senadin.

Sunset at Luak Esplanade

Di Luak Esplanade, beberapa keping foto diambil untuk dijadikan koleksi "Journey Through The Eyes and Lenses of An Adventurous Malay Man...." Sekali lagi, langit Miri menghidangkan pemandangan yang cukup indah untuk dihayati dan disyukuri. Dari Tasik, Hutan dan seterusnya Pantai, keindahan di bumi Sarawak ini pasti menggamit kenangan suatu hari nanti.

Reflection

Enjoy the photos and instrumental songs! Background songs by Mohram, Malaysian artist who made 'music for the soul'. World champions of performing arts 2005 held in Hollywood California, winner in the category of instrumental duo and trio.