Wednesday, October 29, 2008

Majlis Ramah Tamah Aidilfitri Rush & Wan

DSC_5536

Sebahagian dari tetamu yang hadir, bergambar kenangan di hujung-hujung majlis.
Alhamdulillah, dengan izin Allah akhirnya rencana ingin menganjurkan majlis 'rumah terbuka' di kediaman kami terlaksana juga. Pada hari Sabtu lepas, bersamaan 25 Syawal 1429 Hijriah dalam hujan renyai dan sesekali ditiup angin dingin Borneo, majlis dimulakan selepas Isya' dan telah dihadiri seramai lebih 60 orang tetamu (cadangan asal ingin menjemput sekitar 30 orang sahaja, memadangkan kami mempunyai ramai rakan-rakan maka jumlahnya menjadi sekali ganda - alhamdulillah!). Wan Hidayat memulakan majlis dengan membaca doa supaya majlis menjadi lebih berkat dan tuan rumah serta tetamu aman damai.

My creation

Menu pada malam itu ialah Mee Rebus Johor yang diletakkan di dalam periuk tanah, Nasi Jagung, Ayam Panggang berserta kuah Sambal Tomato, Salad Telur, pelbagai jenis Kek Lapis, biskut-biskut yang diimport dari Johor dan buah-buahan. Juadah utama dimasak sendiri oleh tuan rumah dengan dibantu beberapa orang rakan; Aned, Rhymee dan Aizul sementara Khairul yang kreatif menyiapkan 'buffet line' ala-Garden Party retro. Kerana inginkan konsep berlainan, kami membeli khemah kecil berwarna biru didirikan di tengah ruang dan dihiasi dengan lampu gantung dan lilin, manakala di atas meja pula diletakkan juga pelita minyak tanah serta beberapa jenis lilin. Wan sempat juga menyediakan set karaoke yang baru dibelinya - tetamu berkaraoke sehingga jam 1 pagi! Untuk gambar-gambar dan cerita selanjutnya, sila berkunjung ke blog Chronicle - klik sini dan Luaq Dome - klik sini dan Terompah Biru - klik sini dan Rhymeewrites - klik sini dan Terataku - klik sini.

~~~
Terima kasih kepada semua tetamu yang sudi datang dan memeriahkan majlis, insyaAllah jika diberi kesihatan yang bagus, dipanjangkan umur dan diberikan rezeki, tahun hadapan kita bersua lagi dalam majlis ramah tamah Aidilfitri ini.

Sunday, October 12, 2008

The Celebration Continues.....

Friends

Ismail @Airry, Tunku Shahariah, Rush dan Wan Hidayat.

Aidilfitri ke-3, seawal jam 4.45 pagi, aku dan Habib Al-Mulakhelah sudah berada di Terminal Bas Larkin, menunggu ketibaan Wan Hidayat ke bandaraya Johor Bahru. Bas 'Cepat Ekspress' yang membawa Wan dari Kuantan hanya sampai di Larkin sejam kemudian, disambut laungan azan Subuh dari Masjid berdekatan. Tanpa berlengah, kami menuju ke Bandar Baru Uda, dan kemudian aku memandu pula menghala ke bandar Kulai. Petangnya pula, aku membawa Wan berhari raya ke rumah ibu saudara di Kompleks Perumahan Kastam Imigresen & Kuarantin Sultan Abu Bakar, Tanjung Pelepas, Gelang Patah. Mengimbau kenangan semasa berkhidmat di Pelabuhan Tanjung Pelepas dan tinggal di kawasan yang sama beberapa tahun dulu. Antara kenangan manis semasa tinggal di Tanjung Pelepas ialah pergi memancing di atas jeti Tanjung Kupang (1977 tragedi Kapal Terbang terhempas mengorbankan 100 penumpang) pada malam hari bersama-sama teman rapat dan keluarga, aktiviti memancing yang pada mulanya kelihatan bosan dan 'ngeri' bertukar menjadi acara 'berkelah' dengan lebih banyak makan-makan dan gelak ketawa. Selain dari itu, pemandangan dari bangunan Tingkat 11 KIK ini cukup indah, terutamanya di waktu pagi dan matahari terbenam - boleh kelihatan dengan jelas Pulau Singapura dan Kepulauan Indonesia.

Dinner In Johor Bahru

Foto atas kiri-Ismail yang merupakan salah seorang teman rapat aku di Johor, foto tengah- si Florian yang teruja ingin tahu mengenai Malaysia dan rakyat berbilang kaumnya, foto bawah kiri dua-Raden Putri Astrini dan anaknda Tunku Aishah, foto bawah kiri tiga-Rossa dan Tunku berduet.

Selesai di Tanjung Pelepas, kami menuju pula ke bandaraya Johor Bahru melalui lebuhraya Taman Perling yang telah banyak berubah semenjak aku meninggalkan Johor. Kami berhenti seketika di City Square sambil menikmati Latte di Starbucks dan membeli-belah sebelum pulang semula ke Kulai untuk bersiap-sedia bagi majlis makan malam nanti. Acara makan malam yang di'host'kan oleh Tunku Shahariah dan keluarga ini dihadiri oleh kaum keluarga dan rakan rapat sahaja. Di sekitar Danga Bay, Restoran Straits View Garden yang didirikan di atas tanah milik beliau itu menghidangkan pelbagai makanan laut resepi kaum Tionghua selain makanan barat. Sekitar 30 orang hadir pada malam itu, dan tetamu didendangkan dengan alunan lagu-lagu 'oldies' yang dinyanyikan oleh penghibur dari Filipina. Tunku juga sempat berduet dengan Rossa, teman lama dari Indonesia untuk menyampaikan beberapa buah lagu. Hadirin lain yang sedang menjamu selera di restoran tersebut juga cukup 'sporting' dengan memberikan tepukan gemuruh kepada pasangan duet ini.

DSC01083

Sekitar jam 12 malam, kami bersurai walau dengan berat hati, masih tidak puas bermesra dan bertukar cerita. Yang pasti setiap kali aku pulang ke Johor Bahru, acara-acara seperti ini akan diadakan, bak kata Tunku "...buat ni special untuk you, sebab you selalu miss our occasion di sini....". Teman-teman yang aku jemput pada malam itu; Wan, Ismail, Su Lin dan Florian semoga mereka juga turut terhibur dan bertambah ukhuwah - banyak yang kita boleh pelajari dari mereka yang telah berjaya, ikut resam padi "makin berisi, makin tunduk menyembah ke bumi". Selesai dari Straits View Garden, Wan, Ismail dan Florian bersetuju untuk sambung 'ngeteh' di Danga Bay sambil 'posing' di dataran Rumah Limas. Walau Teluk Danga terletak di tepian laut, tetapi pada malam itu tiada langsung angin yang bertiup, dengan berpeluh-peluh seperti di siang hari, kami gigihkan juga untuk bergambar kenangan.

JOHOR

Kalau ke bandaraya Johor Bahru, jangan lupa ke Danga Bay yang terletak betul-betul di tengah bandaraya menghadap ke Selat Tebrau dan bertentangan dengan Istana Bukit Serene yang beratap hijau - Istana rasmi Sultan Johor. Danga Bay merupakan 'waterfront city' terbesar di Malaysia, selain yang paling cantik dan pelbagai, ianya juga merupakan taman tema terbesar di Negeri Johor. Perkarangan Rumah Limas merupakan antara tarikan yang ada di sini, beberapa buah rumah kayu didirikan di dataran ini, setiap satunya mengikut senibina dari daerah yang ada di dalam negeri Johor - unik, menarik dan nostalgik! Walaupun hanya sebentar berada di Danga Bay, namun terubat juga rindu yang ada.

Background song called 'Dahil Sa'Yo', an evergreen Filipino's song. Tunku Shahariah sang this song on that night, her fav. number.

Friday, October 10, 2008

Second Day of Eid Mubarak.....

secondday03

Gambar di atas dicilok dari blog Beruang Madu. Rumah milik adik Anita, baru 3 bulan pindah ke kediaman ini.

2 Syawal 1429 Hijriah, seperti yang dijanjikan, Beruang Madu menghantar sms seawal pagi untuk memaklumkan yang beliau dan Dr. Shah sedang dalam perjalanan dari Kota Tinggi menuju ke rumah aku di bandar Kulai. Aku bergegas bangkit dari tidur dan bersiap-siap untuk ke supermarket yang berhampiran untuk membeli bahan-bahan membuat Spaghetti, tetapi malangnya semua kedai masih lagi tutup. Pilihan terbaik ialah menuju ke rumah Mak yang terletak 5 minit memandu dari rumah Anita, lega rasanya apabila melihat Mak sedang mengukus ketupat dan Nasi Impit serta memanaskan lauk-pauk lebihan semalam. Sedang elok aku mengemas meja dan memotong Kek Lapis Sarawak, Beruang Madu menelefon memberitahu yang mereka sudahpun sampai di Lagenda Puteri, pantas sungguh! Selesai makan dan sembang ala-kadar, kami bertolak ke Pontian pula, kali pertama menyusuri jalan pintas melalui Mukim Gunung Pulai.

Pontian

Di hadapan rumah Saharil, dari kiri Dr. Hamdi, Dr. Shah, Beruang Madu, Bapa Saharil, Saharil & Rush.

Rumah pertama yang kami tuju ialah rumah Saharil Conteng di Parit Sikom dalam daerah Pontian. Sebelum ini aku hanya melihat kelibat beliau melalui blog Dr. Shah, Beruang Madu dan Crew's Cut tetapi kali ini dapat bertentang mata. Dr. Hamdi yang tinggal beberapa kilometer dari kampung itu menyertai kami dalam 'rombongan' kecil tersebut, maka semakin meriah dan seronok. Kami dihidangkan dengan pelbagai juadah, paling istimewa ialah Babat (lapisan dalam perut lembu) masak lemak cili api dan sayur campur selain ketupat, rendang dan ayam masak merah. Sebelum berangkat pulang, bapa Saharil menghulurkan beberapa bungkus buah Duku yang baru dipetik dari halaman belakang rumah.

Kami menuju ke rumah agam Dr. Hamdi di pekan Benut, juga masih di dalam daerah Pontian. Sepanjang perjalanan ke sana kami melalui beberapa buah kampung tradisional, jelas kelihatan kemeriahan sambutan Hari Raya dengan aktiviti kunjung-mengunjung. Rumah-rumah kampung dihias dengan cantik dan berwarna-warni, kelihatan juga para penduduk terutamanya kanak-kanak berjalan kaki dengan berpakaian cantik pergi berhari raya, kenderaan-kenderaan pula tersusun di luar rumah - kesimpulannya ialah rakyat negara ini mengecapi kemakmuran dan kesenangan hasil perjuangan pemimpin-pemimpin dan pentadbir Negara sebelum ini.

Tanjung Piai

Selesai makan-minum, baring-baring di kamar beradu Dr. Hamdi, kami menuju pula ke bandar Pontian Kecil yang merupakan bandar terbesar dan pusat pentadbiran Daerah Pontian. Cadangan asal ingin ke rumah teman si Andhika Tharuna, tetapi beliau masih lagi berada di Sri Merlong (yang juga merupakan kampung asal moyang Mbah Marsifah), lalu kami 'detour' ke Taman Negara Tanjung Piai untuk menjejakkan kaki ke 'The Southernmost Point of Mainland Asia'. Dengan bayaran RM5 seorang dewasa (terima kasih kepada Beruang Madu yang membayar tiket kami semua), pengunjung dapat melalui 'plank' yang disediakan untuk melihat flora dan fauna di sekitar kawasan bakau ini. Akhirnya petang itu menjadi aktiviti 'afternoon walk' di bawah rimbunan pepohon bakau, berpeluh juga!

My creation

Lewat petang kami berangkat menuju ke bandar Pontian Kecil, untuk menghilangkan dahaga dan mengisi perut. Sebelum itu kami sempat bersantai menghirup udara pantai (rasanya kalau hirup lama-lama udara di sini, mahu pengsan jadinya!) sambil berfoto segala. Tidak ramai warga Pontian yang berkunjung ke sini, sebaliknya warga asing terutamanya Bangladesh, Indonesia, Vietnam (yang berbasikal sambil bertopi seperti ingin ke bendang - pemandangan biasa di Vietnam dan Kampuchea) dan sedikit warga Singapura yang datang melawat sanak-saudara di sini. Kami mula mengesot pergi setelah terasa sedikit bosan kerana tiada 'aktiviti menarik' dapat dilihat di sini.

Pontian

Tiada banyak pilihan untuk memilih tempat makan, almaklumlah baru masuk hari ke-dua umat Islam berhari raya maka kami singgah sahaja di gerai yang satu ini. Memang agak lama masa menunggu makanan sampai, sementara itu sempat pula kami memesan Roti Prata yang dikongsi bersama (terima kasih sekali lagi kepada Beruang Madu kerana belanja makan petang itu). Usai makan, kami terus menuju pulang ke Kulai melalui Mukim Gunung Pulai juga, cepat dan selesa walau ada beberapa bahagian jalan yang gelap-gelita tanpa lampu jalan. Terima kasih kepada Beruang Madu dan Dr. Shah yang sudi datang ke rumah dan seterusnya 'kidnapped' bawa jalan berhari raya, kepada Shahril dan Dr. Hamdi yang memberikan layanan yang cukup mesra. InsyaAllah, tahun-tahun hadapan kita boleh buat rombongan lagi, mungkin lebih besar dan lebih banyak rumah.

Wednesday, October 08, 2008

First Day of Eid Mubarak.....

'Niece

Anak saudara; Sarah yang berumur 3 tahun, dengan 'gesture' meminta duit raya "pak long...dua puluh sen...".

Subuh 1 Syawal 1429 Hijriah, aku menyelinap masuk ke dapur mengintai-intai makanan yang sudah siap dimasak; ketupat, rendang daging, ayam masak merah, sambal kacang semuanya masih di dalam periuk belanga, kecuali sayur lodeh yang belum ditumis. Berselera sungguh aku makan dalam remang-remang cahaya lampu 'kelap-kelip' dan keheningan pagi. Semua masih lagi tidur diulit mimpi indah menyambut Aidilfitri, Mak mungkin sudah terjaga di tingkat atas; solat agaknya.

Selesai solat sunat Aidilfitri, semua ahli keluarga lelaki berkumpul untuk menjamu selera. Manakala yang perempuan pula masih sibuk mengenakan pakaian, membetul-betulkan 'brooch' di tudung dan baju, mencari-cari selendang dan tas tangan. Anak saudara dua orang itu pula tidak sudah-sudah mundar-mandir membuat 'catwalk' dengan baju baru mereka. Acara bermaaf-maafan pun bermula dengan isak dan sendu, ada airmata yang bercucuran jatuh dan ciuman serta kucupan hinggap di tangan, pipi dan dahi; ada juga yang meninggalkan kesan 'lipstick' merah!

Nephew & Niece

Anak-anak saudara Danial (anak adik lelaki Zaini) dan Sarah (anak adik perempuan Linda), malu-malu kucing bila disuruh bersalaman.

Sebelum berangkat menuju ke tanah perkuburan, peket-peket wang pelbagai warna dan corak dihulur kepada mereka yang "layak". Masing-masing tersenyum lebar, mungkin rezeki tahun ini lebih berbanding tahun-tahun sudah. Dengan membawa sebakul kecil bunga-bunga harum, kami menuju ke pusara arwah Pak Tok, kemudian ke tanah perkuburan persemadian arwak Mak Tok dan Moyang Mbah Marsifah yang terletak 2 kilometer dari situ. Selesai semuanya, kami langsung pulang ke rumah kerana menunggu kedatangan kaum-keluarga yang akan berkunjung. Memandangkan Mak yang paling sulung dalam keluarga, maka kini rumah kami menjadi pusat berkumpul adik-beradiknya setelah pemergian Pak Tok dan Mak Tok.

Meriah suasana dengan hiruk-pikuk dan gelak ketawa saudara-mara yang datang. Kemesraan dan keakraban jelas terasa, sambil menikmati hidangan sambil bertanya hal-ehwal diri masing-masing. Agak hairan pula kali ini, soalan 'cepu emas' tidak ditimbulkan, mungkin mereka sudah jelak atau tahu jawapan yang akan diberikan. Menjelang tengahari, aku terpaksa meminta diri meninggalkan tetamu untuk menuju ke kediaman pertama yang akan aku kunjungi, rutin setiap kali berhari raya.

Istana TAB JB

Setibanya aku di Istana TAB kediaman rasmi YAM Tunku Shahariah, tetamu masih lagi ramai dan rata-rata semuanya aku kenal. Menantu beliau YM Raden Adjeng Gusti Putri Astrini dan cucu-cucunya menyambut kedatangan aku. Soalan lazim yang mereka tanya ialah "when are you coming back to Johor? we missed you...." dan komen yang lazim diucapkan pula ialah "you look good and more handsome!". Sekali lagi soalan-soalan 'cepu emas' tidak diajukan, cuma ada diselit-selitkan soalan nakal "they said Kelabit girl is beautiful, have you?". Seperti mana setiap tahun, berpuluh-puluh jenis kuih-muih dan biskut dihidangkan di atas meja. Ada sejenis kuih yang wajib aku makan kalau ke sini, 'Blue Daal'; tekstur lembut seakan kek berwarna 'royal yellow', di 'glaze' dengan caramel dan berbentuk bulat 'cup cake', makan banyak mana pun pasti tidak memuakkan.

Su Lin yang merupakan antara 'mentor' aku semasa di Johor, juga kelihatan kelibatnya di sana. Banyak perkara yang kami bualkan, dari politik, pergerakan NGO yang kami sertai sehinggalah kepada cerita-cerita 'kehidupan' aku di bumi Kenyalang. Su Lin memperkenalkan aku kepada seorang warga Jerman, Florian Bison yang sedang membuat 'internship' di BMW, mengimbau pula nostalgia bersama si Simon yang pernah membuat 'internship' di syarikat sama beberapa tahun dahulu. Simon Pfister yang ketika itu masih berumur 21 tahun, sudah aku anggap seperti adik angkat, mengekor ke mana sahaja aku pergi, sehingga ke ceruk desa di Jogjakarta pun dia sanggup ikut. Paling tidak dapat aku lupakan ialah semasa Simon kali pertama makan menggunakan tangan di suatu kenduri di rumah lama arwah Pak Tok, sudahlah kekok menggunakan tangan, diberi pula makan sambal belacan!!! Macam kera kena belacan pula jadinya.

The Royals

YAM Tunku Shahariah Tuanku Abdul Rahman & YM Raja Zarith Sofia Sultan Idris di perkarangan Istana Pasir Pelangi JB.

Selesai di rumah beratap biru bentuk 'A' tersebut, kami berkonvoi menuju ke Istana Pasir Pelangi, kediaman rasmi Tengku Mahkota Johor yang terletak tidak sampai 5 minit memandu dari tempat tadi. Seelok turun dari kenderaan, aku terlihat kelibat Kak Limah yang berselendang biru, bergegas aku menuju ke arah beliau yang sedang laju berjalan meninggalkan perkarangan kediaman tadi. Kami bersalaman dan bertanya khabar, sempat pula Kak Limah puji-puji mengatakan aku semakin kacak (suaminya tercegat di sebelah aku, malu lah pula rasanya), sudah suratan yang aku tiada jodoh menjadi adik iparnya. Kak Limah sempat berpesan "...jangan sibuk-sibuk masuk politik!".

Destinasi seterusnya kami menuju ke kediaman Tunku Gedong (Kakanda Sultan Johor), sesampai sahaja di pelantar makan, dari jauh sudah kelihatan Mufti Negeri sedang duduk menikmati hidangan, dalam hati berkata "janganlah Datuk Noh Gadut ni 'shoot' aku soalan cepu emas tu lagi, apa alasan aku nak bagi....", dan ternyata setelah bersalaman beliau hanya bertanya khabar sahaja. Cerita pasal makanan, merasa juga aku menikmati Laksa Johor dan Arissa yang memang menjadi 'signature dish' di kediaman ini, selain dari ketupat dan ayam masak merah.

Kediaman terakhir yang aku kunjungi pada Hari Raya pertama ialah ke rumah Datin Siti Seha, seperti wajib datang ke sini setiap kali menyambut Syawal. Makanan yang dihidangkan memang sedap-sedap belaka dan pastinya ada Arissa yang dimakan bersama cili tumbuk dan madu. Sedang elok berbual dan bergurau senda, datang pula adik ipar beliau yang juga merupakan ibu kepada arwah Rudy - yang sepatutnya menjadi adik ipar aku. Panjanglah pula kami bersembang sehingga ke larut petang. Terserempak pula dengan rakan lama si Muzammil yang sudah berbelas tahun tidak bersua, kami hanya sempat bertukar kad nama, sudah agak berjaya beliau kini. Malamnya, aku hanya berehat di rumah, 'pengsan' di atas katil sehingga ke awal pagi.