Tuesday, September 30, 2008

Salam Eid Mubarak....

Eid_Mubarak_by_3ady

~Taqqobalallahu Minna Wa Minkum Shiyaamanaa Wa Shiyaamakum~

"May Allah accept our and your shoum"

"Setitis embun di pohon rimbun

Di atap nipah air bergenang

Dosa tertimbun mohon diampun

Salah dan silap jangan dikenang"

*

*

Selamat Menyambut Hari Raya Aidilfitri 1429 Hijriah

MAAF ZAHIR & BATIN

KEPADA SEMUA PEMBACA BLOG TEPAK SIREH

Monday, September 22, 2008

Iftar di Teratak Tepak Sireh.....

Iftar in Senadin 2008

Alhamdulillah! Terlaksana juga niat untuk membuat majlis berbuka puasa atau iftar di rumah pada Ramadhan kali ini. Allah memberikan rezeki dan kelapangan untuk sama-sama berbuka puasa dengan beberapa orang sahabat, walau serba sederhana tetapi terasa ukhuwahnya. Beberapa orang teman tidak dapat hadir pada saat-saat akhir, dan Wan Hidayat pula menjejakkan kaki pulang ke darat sejam setelah waktu berbuka. Terima kasih kepada teman yang sudi hadir, termasuklah seorang teman baru yang juga menjadi perantau di bumi Miri ini, Nash yang sudah 3 tahun berkhidmat di Sarawak. Tyah walau tidak hadir, tetapi 'cream caramel'nya terhidang di atas meja, kesedapan cream caramel Tyah menjadi sebutan pada malam itu. Yang tiada di dalam gambar di atas ialah Ayie dan Azam yang sepejabat dengan Wan Hidayat, pulang awal kerana ada tugas lain.

My creation

Menu yang aku masak pada hari itu ialah Nasi Tomato dan Ayam Masak Merah, manakala Rhymee membantu membuat acar atau 'penchok' dalam slanga Johor. Khairul datang dengan membawa Bubur Pedas resipi dari neneknya, ini merupakan juadah istimewa orang Melayu Sarawak terutamanya ketika bulan Ramadhan. Aishah pula datang dengan juadah istimewa Dalca Kambing, sedap dan sesuai dengan menu yang dihidangkan serta Ikan Terubuk Masin yang digoreng. Along dengan Cucur Kurma yang dibuatnya sendiri, manakala Zara dengan beberapa jenis kuih-muih tradisional Sarawak seperti Srabei dan Kuih Jala Berinti. Sham dan Naz yang datang agak awal dan membantu persiapan, datang membawa Buah Naga, Pisang dan Nenas sebagai pencuci mulut. Antz menghadiahkan sekotak Chocolate Truffle selain menjadi co-host melayan kerenah tetamu yang tidak putus-putus memesan minuman panas!

My creation

Selesai menjamu selera dengan makanan berat, dan setelah bersolat, tibalah masa untuk acara sembang-sembang (bukan anyam ketupat ya...) sambil mengunyah kudap-kudapan. Masih banyak makanan terutamanya kuih-muih yang belum disentuh, antaranya Kek Lapis Sarawak perisa Strawberry yang dibuat sendiri oleh Rhymee bersama ibunya, Kerepek Keledek Pedas yang diberikan oleh Asli dari Sabah, Cakoi dan Kuih Doraemon yang dibeli oleh Iqbal dan Nabahan (aku menahan gelak apabila mendengar nama kuih ini, kalau di Semenanjung ianya dipanggil Donut Sambal atau Burger Malaysia - sejenis Donut bulat yang di belah tengah dan disumbat sambal serta timun). Sambil bersembang, sambil 'snap' gambar dan melayari Internet, dan tidak kurang juga yang tiba-tiba bertukar menjadi 'Dugong' bergolek-golek manja atas lantai!

My creation

Hajat di hati ingin diteruskan sehingga waktu Sahur, tetapi memandangkan ada kaum Hawa yang perlu pulang sebelum jam 12 tengah malam, dan beberapa orang antara kami yang akan memandu ke Brunei keesokan pagi serta Nash yang perlu membantu Sham berkemas barang pada malam itu juga (Sham akan meninggalkan Miri dan akan bertugas di Doha selepas Aidilfitri nanti), maka kami semua bersurai setelah berkemas-kemas membersihkan dapur dan ruang makan. Amat seronok dan puas! Terima kasih kepada semua yang hadir untuk sama-sama berbuka puasa di teratak Tepak Sireh!

Tuesday, September 16, 2008

Tanda Ingatan Eid Mubarak.....

Abu Hurairah related that the Prophet Muhammad (peace and blessings be upon him) said: Whoever fasts during Ramadhan with faith and seeking his reward from Allah will have his past sins forgiven. Whoever prays during the nights in Ramadhan with faith and seeking his reward from Allah will have his past sins forgiven. And he who passes Lailat al-Qadr in prayer with faith and seeking his reward from Allah will have his past sins forgiven (Bukhari, Muslim).

kad raya

Inilah kad ucapan Hari Raya yang pertama aku terima untuk tahun ini, dari sepupu di Bukit Mertajam, Penang; Siti Hajar Aswad (cekalnya beliau seteguh batu dan kulit hitam manisnya sesuai dengan nama). Seingat aku, kami mula berbalas-balas kad hari raya ini semenjak dari di bangku sekolah lagi hingga kini, sehinggalah dia sudah pun beranak-pinak dan ada yang sudah bersekolah pun. Aku sangat teruja menerima kad Hari Raya, dari zaman sekolah rendah sehinggalah kini. Kalau dulu-dulu di zaman sekolah menengah, sepanjang bulan puasa aku akan ternanti-nanti Pak Posmen berhenti di hadapan rumah, menghulurkan kad-kad yang dihantar oleh teman-teman yang bersekolah asrama, sepupu-sepapat dan kenalan 'pen-pal' seluruh Malaysia. Aku masih lagi menyimpan dengan cermat segala kad Hari Raya, kad Hari Lahir dan sebagainya (termasuklah surat-surat cinta monyet di Tingkatan 2 tahun 1985!) yang aku terima semenjak dari bangku sekolah sehingga kini, sudah lebih 23 tahun rupanya! Yang pasti, aku menghargai dan akan menjadi tanda ingatan abadi.

Setelah berkerja, tidak banyak aku mengutuskan kad kepada rakan-rakan kerana masing-masing lebih berminat menghantar melalui alam maya - kad Hari Raya virtual. Tetapi kepada kaum keluarga dan saudara-mara serta rakan-rakan korporat, aku masih berutus kad melalui 'snailmail', kerana pada pendapat aku ianya mempunyai sentuhan peribadi. Juga setelah mempunyai rakan-rakan blogger, aku mula menerima banyak kad-kad hari raya yang diposkan dari mereka ini. Siapakah agaknya rakan blogger pertama yang akan mengutus kad untuk aku tahun ini? Tahun sebelumnya..... senarai pengirim ada tercatat di sini.

Cerita Sampul Duit Raya pula, rasa janggal sekiranya beri duit raya tanpa dimasukkan ke dalam sampul. Beberapa tahun dulu, senang sangat nak dapatkan sampul duit ni, tetapi sejak kebelakangan ini agak susah atau terhad, ada yang perlu dibeli kerana tidak cukup. Selalunya aku mendapatkan sampul-sampul ini dari rakan-rakan yang berkerja di sektor perbankan dan ada juga yang didapati secara percuma dari gedung membeli-belah.

Sebelum pulang ke Johor, selalunya aku sudah siap-sedia memasukkan duit ke dalam pelbagai corak sampul, lain corak lain pula jumlah wang yang dimasukkan, mudah untuk diberi kepada si penerima yang sepatutnya. Tukaran wang kertas RM5, RM10 dan RM50 pula aku minta bantuan Khairul Luaq Dome yang berkerja di SC Bank. Keluarga aku di Kulai pula, selalunya mereka akan kelam-kabut di pagi Hari Raya mencari sampul-sampul ini, dan akulah pula yang kerap menjadi 'pembekal' kepada mereka. Sesekali kita menderma kepada kanak-kanak atau mereka yang masih belajar terutamanya kaum keluarga termasuklah mereka yang berpangkat atuk dan nenek, jiran-tetangga dan sahabat handai yang berkunjung ke rumah, tidak salah rasanya, bahkan semakin berkat rezeki yang kita perolehi, insyaAllah.

Nota: manalah tahu ada yang ingin mengirim Kad Hari Raya kepada Tepak Sireh (baru sebentar tadi terima sekeping kad dari seorang blogger... mana ntah dia dapat alamat tempat kerja ni?), dan kepada sesiapa yang ada sampul duit yang lebih, bolehlah poskan sekali. Terima Kasih!!! Lot 4375, Lorong Desa Senadin 2C-1d, Desa Senadin, 98000 Miri. Sarawak.

Abu Huraira raconté que Rasulullah dit: Nombreux sont ceux qui rapide obtenir rien de leur rapide, sauf la faim et la soif, et de nombreuses personnes qui nuit à prier obtenir de rien, sauf la veille (Darimi).

Thursday, September 11, 2008

Nostalgia Ramadhan.....

Aku kurang pasti, mengapa setiap kali menjelang bulan Ramadhan, kenangan zaman kanak-kanak selalu sahaja mengimbau di fikiran. Terlalu banyak kenangan manis, cerita gembira dan keseronokkan sepanjang berpuasa dan menyambut Hari Raya dirakam ketika itu. Aku rindu saat-saat tersebut, seperti mahu balik ke zaman kanak-kanak dan remaja...... segalanya indah tanpa fikiran yang berserabut, segalanya mudah kerana tiada 'tanggungjawab' besar di pundak....lumrah.
Beberapa hari sebelum menyambut Ramadhan, selalunya aku akan ikut Mak pergi berbelanja barang dapur. Kami beli macam-macam makanan kering untuk ‘stok’ sepanjang bulan puasa, semuanya dibeli dengan kuantiti yang lebih dan pastinya ada makanan khusus seperti Telur Masin, Chai Po atau Lobak Masin, Ikan Tenggiri Bacin, Sardin, Sotong Kering, Century Egg, Oats dan macam-macam lagi. Pastinya bahan-bahan untuk membuat biskut dan kek juga dibeli sekali harung. Berengket-rengket lah aku dan Mak menjinjing barang makanan tadi dibawa pulang, walau penat tetapi gembira sangat. Bermacam-macam menu makanan sudah ada di kepala untuk di ‘order’ kepada Mak. Kuih-muih pula perlu ada untuk juadah berbuka, dan semuanya dibuat sendiri oleh Mak dan aku sebagai Assistant Chef. Paling menarik, jiran tetangga akan bertukar-tukar juadah pencuci mulut atau kuih-muih yang mereka buat sebelum waktu berbuka. Terasa sungguh ukhuwah dan keakraban berjiran ketika itu.

Pertengahan Ramadhan, kami sudah mula sibuk berbelanja membeli pakaian dan kelengkapan perhiasan rumah. Semasa kecil-kecil zaman bersekolah rendah sekitar penghujung tahun 1970an, kami selalunya shopping di sekitar Woodlands, Singapura. Banyak pilihan dan murah-murah pula, dan ketika itu perbezaan pertukaran wang antara dua negara ini tidak ketara. Bayangkan ketika itu, 5 biji buah epal dan oren berharga S$1, sepasang kasut sekolah berharga sekitar S$15, sepasang baju-T pula kurang S$20. Segala kain membuat baju Melayu dan Kurung, kain langsir, sarung kusyen, bunga-bunga plastik dan pinggang-mangkuk semuanya dibeli di Woodlands dan Arab Streets. Tetapi di pertengahan tahun 1980an, kami sudah kurang pula ke Singapura kerana pertukaran nilai matawang yang tinggi serta sudah mula muncul kompleks membeli-belah di bandar Johor Bahru. Tempat tuju untuk kami berbelanja ialah Gedung Emporium yang terkenal di pekan Kulai dan di Malaysia ketika itu, sesekali kami ke Holiday Plaza di bandar Johor Bahru dengan menaiki Rail Bus (Koc keretapi yang diubah suai seperti LRT)
Aku lebih suka berbuka puasa di rumah Mak Tok, sebab pertamanya ialah aku sangat rapat dengan Mak Tok, dan kiranya aku ni Cucu Emas dia. Kalau di rumah Mak Tok, suasananya lebih meriah kerana penghuninya yang ramai, segala menantu dan cucu berbuka sekali di sana, sama meriahnya dengan majlis kenduri-kendara. Makanan yang dimasak pula amat pelbagai (Jawa, Bugis, Melayu, Kelantan, Penang) dan sedap-sedap belaka. Semenjak Mak Tok meninggal dunia di pertengahan 1990an, rumah induk di Jalan Lengkungan itu menjadi sunyi sepi, tiada hilai-tawa, tiada anak cucu datang berpusu-pusu dan suasana setiap Ramadhan menjadi muram.

Seminggu sebelum berakhirnya Ramadhan, Kampung Melayu Kulai akan disirami cahaya lampu pelita tujuh likur, seperti ada pesta dan setiap rumah berlumba-lumba memasangnya di setiap penjuru halaman. Cik Lan dan Cik Anan akan mencari kayu-kayu beruti yang terbiar untuk dijadikan batang menyangkut pelita tujuh likur. Tugas aku dan Cik Odin ialah mencucuh api pada sumbu dan seterusnya bermain mercun, bunga api dan bom tanah. Selain dari itu, kami berlari sekeliling kampung bermain polis sentri atau galah panjang kalau tidak pun pergi melihat-lihat kemeriahan kerdipan lampu tujuh likur. Masa ini juga aku dan adik-adik akan sibuk membantu Mak membuat kuih raya, berbalang-balang banyaknya dan pelbagai bentuk serta rasa. Mak rajin mengikut resepi terkini dari majalah mahupun yang disiarkan di tv, dan aku lah yang selalunya menjadi 'pencatat' resepi-resepi tersebut. Bersambung.......

Monday, September 08, 2008

Iftar in 'Deliciously' Brunei.....

Pasar Ramadhan Gadong, Brunei

Hari Sabtu lepas, seperti yang dirancangkan bersama beberapa orang teman, kami bertolak menuju ke Kuala Belait di Negara Brunei Darussalam. Tujuan utama ke KB ialah untuk membuat tempahan baju 'cara Melayu' dipakai semasa Aidilfitri nanti. Ini merupakan tahun ke-dua aku menempah baju Melayu di KB, tidak ada rungutan, selesa dipakai dan harga yang dikenakan juga jauh lebih murah. Seperti tahun lalu, aku menempah untuk diri sendiri dan juga Wan Hidayat, kali ini aku menempah untuk Encik Wan Abdullah juga. Memandangkan kami menempah di saat-saat terakhir dan ingin siap lebih awal, upah yang dikenakan juga menjadi 2 kali ganda dari harga biasa, tetapi masih lagi murah berbanding di Miri mahupun di Semenanjung (upah membuat sepasang Baju Melayu Cekak Musang ialah sekitar B$12-15 sahaja!). Rancangan asal hanya untuk ke KB sahaja, tetapi memandangkan kami mempunyai banyak masa sebelum Iftar, kami memanjangkan langkah menuju ke Bandar Seri Begawan.

My creation

Tempat pertama yang kami tuju ialah Kompleks Hua Ho Manggis untuk 'misi' berbelanja seterusnya. Selesai di Mukim Manggis, kami bertolak pula ke Gadong untuk menyempurnakan 'hajat' membeli juadah di Pasar Ramadhan Gadong dan singgah melihat Bazaar di dalam Kompleks Gadong Mall. Ini kali pertama aku mengunjungi Pasar Ramadhan di Gadong, hati teruja dan mata menjadi rambang apabila melihat juadah-juadah yang dijual, sungguh menarik!!! Hampir kesemua juadah yang dijual nampak sungguh menyelerakan, berwarna-warni, pelbagai dan kelihatan bersih serta rapi. Hampir sejam juga masa kami luangkan 'tawaf' di kawasan Pasar Ramadhan ini sebelum beredar untuk berbuka puasa.

Pasar Ramadhan Gadong, Brunei

Percaya? Tak percaya? Hampir kesemua juadah makanan yang siap dibungkus seperti gambar di atas (Nasi Ayam Percik, Nasi Katok, Nasi Ayam Panggang) dijual dengan harga hanya B$1. Memang terkejut sungguh melihat harga makanan yang dijual di sini, amat murah berbanding di Semenanjung Malaya, apatah lagi di Miri yang mahal dan kurang enak pula (harga sebungkus Nasi Briyani di Miri ialah RM8-10, dan belum tentu sedap). Gambar Pulut Panggang di atas pula dijual dengan harga B$1 bagi 4 biji, dipanggang berserta inti daging atau udang, belum pernah aku merasa Pulut Panggang selembut dan sesedap ini. Kami masing-masing membeli Ayam Panggang dengan sos lada hitam, cendawan atau madu. Harga sungguh berpatutan dan rasanya memang sedap dan pengunjung harus membelinya di sini (ooppsss... tiba-tiba rasa macam skrip Maria Tunku Sabri!). Sudahlah harga Ayam Panggang tadi murah, diberi pula air minuman atau Nasi percuma jika membeli lebih dari B$5! Sudah bertahun-tahun aku tidak merasa Pais (orang Johor dan Selangor pasti tahu Pais atau seakan-akan Botok-Botok ini), tetapi di sini banyak gerai yang menjual Pais panggang, selain dari Ikan, ada juga Pais Daging, Kambing dan Urat. Itu belum lagi bercerita mengenai kuih-muih yang sedap, berkualiti dan unik.

Photobucket

Selesai membeli juadah untuk dibawa pulang ke Miri, aku menyarankan teman-teman untuk berbuka puasa di Restoran Pondok Sari Wangi, restoran yang menghidangkan makanan Indonesia. Tahun lepas aku berpeluang berbuka puasa di sini bersama Zoul, Wan, Nuriz dan Zana. Ramai juga pengunjung datang untuk berbuka puasa di sini, mungkin lokasinya yang strategik berhamprian Gadong Mall, masakannya yang sedap dan yang pastinya harga buffet di sini cuma B$11 seorang. Terima kasih kepada teman-teman yang menemani perjalanan kali ini, Khairul Luaq Dome (klik untuk lihat entry lauk-pauk dan Bazaar), Rhymee Writes (klik untuk cerita dalam bahasa English) dan Haizul. Mungkin minggu hadapan akan ke sana lagi, dengan rombongan yang lebih besar?

Friday, September 05, 2008

Soft Spot...........

"Everything you do in life, every choice you make, has a consequence. When you do things without thinkin',
then you ain't makin' the choice. The choice is makin' you."
Mark Steven Johnson
Istana Tengku Zaharah Johor Bahru, taken by Rushmurad 2005.
" Oh, my home town,
sometimes I miss you
Oh, my home town
sometimes I don't
And sometimes I wish that the river would
wash you away
and bury my memories at the bottom of the
sea
"
My Hometown's lyric by Bronco

I miss my hometown so much, just could'nt wait to fly back and meet the family and friends. It was a bit of a strange feeling, lately when I felt that I'm no longer 'happy' living in this corner of the Island. Don't ask me why, I just could'nt answer or I would simply refuse to response. I feel there's something missing in here...... or I just missed myself! Who cares.....