Tuesday, July 29, 2008

Mi Casa Series I.....

Sudah agak lama aku tidak membuat eksperimentasi menggunakan kamera DSLR, mengambil foto-foto objek di dalam rumah. Aku cuba bermain dengan teknik pencahayaan, apperture dan sebagainya, berguru sendiri (sesiapa juga boleh komen dan memberi tips mengenai teknik yang aku gunakan)! Aku jadikan ornament di dalam rumah sebagai objek, dan setiap ornament tersebut mempunyai cerita dan sejarahnya yang tersendiri.

malam

Salah satu sudut di ruang tamu yang mendamaikan bagi aku. Di hujung sofa biru gelap, terlihat daun-daun pokok Lidah Jin, yang aku ambil dari Tanjong Lobang seawal kedatangan aku ke Miri 3 tahun lepas. Suatu petang, aku ke sana bersama Esmi dan isterinya, mereka juga membawa beberapa rumpun untuk di tanam di rumah mereka. Semenjak pokok tersebut berada di rumah mereka, hampir setiap malam mereka diganggu makhluk halus berwarna hitam, berbulu dan merayap-rayap di dalam rumah. Setelah dinasihatkan supaya pokok tersebut diletak di luar rumah dan mengamalkan beberapa petua Islam, makhluk itu tidak lagi menganggu.

Ranting dan daun dari sudut dekat pula merupakan serumpun pokok kecil yang berbunga seperti Anggerik hutan dan berdaun seperti lalang, di ambil dari sebuah kampung di Sungai Bakam, Miri beberapa tahun lalu. Ianya semakin rimbun setelah di letakkan di dalam rumah. Kenangan bersama Tyah dan seorang blogger menyusur sungai dan hutan untuk menyaksikan keindahan fauna dan air terjun.

Tepak sireh & Bali Porcelain

Bekas tembaga merenjis air mawar (set Menepung Tawar) dari Terengganu yang tak lapuk dek hujan tak lekang dek panas. Beberapa barangan tembaga kecil yang berasal dari India dan Turki serta Kelantan di letakkan di atas meja kayu Jati bersama ornament kecil lain. Bingkai gambar di sebelah kanan diperbuat dari tulang lembu yang telah di 'polish' sehingga kelihatan seperti batu mamar dan disusun di atas kepingan kayu. Manakala bingkai gambar kayu berukir era-Victoria itu pula (salah satu bingkai kegemaran) memaparkan foto hitam putih arwah Mak Tok dan Pak Tok. Kedua-dua bingkai berasal dari benua India. Cepu kecil tanah liat dan mempunyai cembul berbentuk Monyet atau Hanuman pula berasal dari Bali.

Thailand Procelain

Antara koleksi porcelain yang ditempatkan di dalam almari kaca kayu Jati (kayu ini dikitar semula, asalnya sebahagian kerangka katil zaman dahulu, tetapi diguna semula menjadi kerangka almari). Porcelain berbentuk Teratai dibeli di Pasar Chatuchak, Bangkok. Tidak sah sekiranya berkunjung ke Bangkok jika tidak singgah di pasar besar ini yang menjual pelbagai barangan kraftangan dan makanan. Bekas dengan penutup bermotif bunga dan corak 'retak seribu' di sebelah kanan pula, mungkin sudah berusia ratusan tahun berasal dari Portugal. Ada berpuluh-puluh barangan porcelain putih bercorak biru dalam koleksi aku yang dikumpul sekian lama, dan sudah lama juga koleksi ini tidak bertambah.

Chinese porcelain & Bohemia Crystal

Di sebelah kanan deretan porcelain buatan China yang dibeli dari merata tempat dan mempunyai kualiti berbeza serta corak yang melambangkan zaman ianya dibuat berdasarkan pemerintahan Maharaja China. Paling unik ialah sepasang bekas bunga yang mempunyai corak beberapa ekor Belalang besar dan daun, lukisan yang bersahaja dan ringkas tetapi berkarektor. Manakala di sebelah kiri pula ialah koleksi Bohemia Crystal buatan Czecholovakia - pertembungan Timur dan Barat, itulah konsep deco rumah ini. Nun di hujung pula lampu terendak dari porcelain bercorak flora dari Vietnam.

Burmese Betel Leaf set and Javanese insense set

Antara koleksi tembaga kegemaran - bekas untuk meletakkan sireh berbentuk ayam yang diperbuat dengan menggunakan tangan atau 'handmade' berasal dari sebuah kampung di pedalaman Burma. Di sebelah kanan ialah cepu tembaga mengasap kemenyan berukiran Jawa di mana cembulnya mempunyai motif Singa - lambang yang boleh di temui di Kraton. Aku kerap gunakan cepu ini untuk 'aromatheraphy' menggunakan kemenyan Arab atau mengasap Keris pusaka.

Thursday, July 24, 2008

A Royal In The Empire II......

DSC_3058

Continued from previous post. Selesai bersarapan keesokannya, Nurizz jemput kami di hotel untuk melawat ke Kampung Air dan kawasan sekitarnya. Awal-awal lagi Nurizz sudah membuat tempahan bot yang selesa untuk ke sana. Kereta kami pakir di Bangunan Yayasan dan beberapa minit berjalan kaki, sudah pun sampai di jeti untuk ke seberang muara. Pada awal kedatangan kami, cuaca amat baik dan cerah, tetapi di hujung lawatan tersebut, hujan turun dengan lebatnya. Sesekali menaiki bot memang seronok dan percikan air serta tempias hujan yang mengena pakaian kami tidak menjadi masalah.

My creation

Kami sempat melawat ke salah sebuah rumah penduduk di Kampung Air tersebut, apa yang pasti rumah mereka cukup bersih dan masih mengekalkan ciri-ciri rumah Melayu. Agak teruja dengan gaya hidup penduduk di 'atas air' ini, segalanya serba lengkap dengan Sekolah, Balai Polis, Masjid, Klinik dan sebagainya. Kami juga sempat melihat Pulau Semaun, bonjolan tanah yang timbul di permukaan air. Dikatakan asal pulau kecil itu ialah sebuah Bahtera empunya si Semaun. Ceritanya lebih kurang macam cerita si Tanggang, dan jelas sekali bonjolan tanah tersebut menyerupai muncul dan sebahagian badan kapal yang sedang tenggelam! Selesai di Kampung Air, kami sambung 'shopping' dan makan tengahari di CM Mohammad, Bangunan Yayasan. Sempat juga kami ke Serusop untuk membeli kain-kain sutera di YMRM dan Nazmi - dua buah gedung kain sutera terkenal di Brunei.

DSC_3222

A very special dish cooked by Chef Simon Wipf, only for me! as a token of friendship I supposed. Fresh King Prawns, grilled and lightly seasoned with pepper and sauce. Delicious!!! Will wait for you to come to Miri and cook for us here....


My creation

Makan malam di Pantai Restaurant, Empire Hotel, restaurant berkonsepkan Tropika separa alfresco, bersebelahan dengan kolam renang dan menghadap lautan luas. Masakan istimewa malam minggu itu ialah BBQ, termasuklah Mongolian BBQ, Oyster segar dan beraneka makanan tradisional dan barat. Memandangkan Zana memang kenal dengan ramai Chef di sini, maka layanan yang kami terima juga amat istimewa. Mula-mula Chef Simon menghidangkan Shashimi - hirisan ikan Salmon dan ikan Code segar yang dimakan mentah, kemudian Nurizz pula meminta 'homemade ice cream', dan aku mengada-ngada minta Udang Besar dipanggang, selang beberapa minit makan Udang panggang, datang pula sepinggan Udang sekali lagi seperti gambar di atas.... beri hati nampaknya (aku ada sebut yang muka dia akan masuk blog TS).

My creation

Setelah semuanya kekenyangan menikmati makan malam yang sungguh lazat, kami bertolak pula menuju ke Bandar Seri Begawan, sama-sama memeriahkan Bazaar yang diadakan sempena dengan Hari Keputeraan Sultan Brunei. Baru beberapa minit di sana, hujan mula turun, terpaksalah berjalan dalam lecak dan hujan renyai-renyai. Masih lagi sempat menjengah-jengah persembahan di atas pentas terbuka dan gerai-gerai yang ada. Kami tidak lama di situ, lalu menuju pula berehat sambil minum-minum dan bersembang di Cafe Royalle. Nurizz sempat menunjukkan gambar-gambar yang diambil semasa beliau bercuti di Gold Coast dan Brisbane beberapa minggu lalu. Zana pula sudah terlena di atas kerusi, penat bekerja agaknya.

My creation

Selepas check-out dari hotel, kami menuju ke Hua Ho Mall Manggis, sambung shopping lagi. Jumpa juga akhirnya barang-barang yang aku perlukan untuk beberapa 'projek'. Selesai di sana, waktu untuk makan tengahari, kali ini Nurizz membawa kami ke restoran WYWY (kalau tidak silap aku), dan Zana sudahpun menunggu. Sebelum pulang ke Miri, sempat lagi kami membeli ole-ole dan jajan untuk dibawa pulang. Bercadang ingin bertolak malam, tetapi memandangkan Orang Itu sudah turun dari laut untuk beberapa hari sahaja, bergegaslah pulang.

My creation

Kita layan sahaja foto-foto di atas ni. Terima kasih kepada Nurizz dan Zana yang sponsor lawatan kami (sponsor hotel, makan-makan etc). Kami ke sana untuk meraikan hari lahir Nurizz dan juga anniversary kami yang pertama, setelah terputus hubungan selama lebih 15 tahun. Kami bersekolah dan tinggal di bandar yang sama, tetapi setelah selesai bersekolah, masing-masing membawa haluan. Nurizz bekerja di sebuah Hospital di Singapura, kemudian di sebuah Hospital di Dahran, Arab Saudi dan kini di sebuah Hospital di Brunei, bersebelahan dengan Hospital di mana Zana bekerja sebagai Dietician (itu pasal kenal ramai Chef!). Terserempak semula dengan Nurizz semasa beliau dan Zana berkunjungke Miri untuk bershopping sekitar Jun tahun lepas. Thanks for being my dearest friends........

Wednesday, July 23, 2008

A Royal In The Empire.....

DSC_3341

Empire Hotel, Brunei Darussalam - 3 hari 2 malam dihabiskan pada hujung minggu lepas. Selama 3 hari itu juga kami dilayan seperti seorang VIP, menginap di sebuah Suite yang serba-serbi mewah dan ada kelas, dilayan oleh Chef Simon Wipf seperti kenalan lamanya, dibawa bersiar-siar menaiki bot sekitar Kampung Air yang menjadi salah satu tarikan pelancongan di Negara berSultan ini dan pastinya banyak acara makan-makan dan 'shopping'. Kita hayati dahulu keindahan exterior dan landscape Hotel Empire yang menghadap Laut China Selatan yang luas ini.

empire hotel

Kami bertiga sampai di Empire Hotel sekitar pukul 8 malam, disambut mesra oleh Nurizz dan Zana. Selesai check-in dan bersiap serba ringkas, kami memandu menuju ke Seri Kemayan Restaurant untuk makan malam ala-Steamboat. Semenjak berpindah ke bumi Borneo, inilah kali pertama aku menikmati masakan Steamboat yang menjadi antara makanan kegemaran aku. Kalau di KL selalunya aku akan ke Coca Restaurant dan di JB pula di Restoran Rawa, Taman Pelangi. Makanan laut dan sayur-sayuran mentah yang dihidangkan di sini cukup segar dan pelbagai, manakala sup TomYam sengaja dibuat kurang pedas mengikut citarasa orang Brunei.

My creation

Selesai makan malam, kami langsung pulang semula ke hotel untuk berehat, memandangkan letih seharian bekerja di pejabat dan memandu pula selama hampir 2 jam menuju ke Bandar Seri Begawan. Rancangan asal ialah untuk lepak-lepak di lobi hotel sambil menghirup kopi, tetapi memandangkan kami keletihan dan masih punya masa beberapa hari lagi di sini, maka semuanya terus menuju ke Suite 2112. Sedang aku cuba berehat melelapkan mata, dua orang rakan itu sedang seronok bermain 'jacuzzi' sehingga lewat malam.

My creation

Lihatlah deco di dalam Suite yang menghadap laman dan kolam renang ini. Bilik Suite yang cukup luas, disertakan pantry, tandas kedua, ruang tamu berserta sistem audio-visual, balkoni dan ruang makan. Kami memang teruja dengan keindahan serta kelengkapan yang disediakan di dalam Suite ini. Hampir kesemua peralatan keluli di sini disalut dengan emas dan lantai serta dinding diplaster dengan batu marmar berkualiti tinggi. Asalnya, tempahan dibuat untuk bilik 'Standard', kemudian di 'upgrade' secara percuma ke 'Deluxe', dan akhirnya di 'upgrade' ke Suite - VIP kah? (hanya Zana dan Nurizz sahaja yang tahu jawapannya!) Apapun kita layan dulu foto-foto di atas, to be continued dengan pengalaman melawat Kampung Air, berhujan di Bazaar sempena Hari Keputeraan Sultan Brunei, BBQ bersama Chef Simon dan banyak lagi.......

Friday, July 18, 2008

Men Night Out......

My creation

Malam semalam, ada acara ringkas makan-makan dengan rakan-rakan sekerja sempena perpindahan Affendy (berbaju merah dengan senyum 'teddy bear') ke Kuala Lumpur. Seorang demi seorang rakan di Syarikat meninggalkan Miri, pulang ke Semenanjung bekerja dengan beberapa projek Syarikat. Aku juga teringin pulang, teringin untuk bertukar lokasi, tetapi tidak dalam waktu terdekat ini. Sudah agak lama kami tidak berkumpul santai begini, kali terakhir apabila Anwar Omar berpindah ke pejabat di Kuala Lumpur beberapa bulan lalu.

Macam-macam cerita dan perkembangan terkini kami kongsi, walau bekerja di Syarikat yang sama, adakalanya berbulan-bulan kami tidak terserempak, maklumlah ramai di antara mereka bekerja di pelantar minyak, ada yang berulang-alik ke pejabat di Kuala Lumpur/Labuan/Sabah setiap minggu, ada yang setiap dua-tiga bulan akan bekerja di luar negara dan sebagainya. Soalan yang kerap mereka tanyakan kepada aku selalunya mengenai 'travel' aku dan kami yang kerap terbang ke merata dunia ini mula bertukar-tukar cerita dan pengalaman.


My creation

Makan malam ala-buffet di Marriot Resort and Spa, satu-satunya hotel resort bertaraf 5 bintang di Miri. Semenjak aku datang ke Miri, ini merupakan kali yang ke lima belas atau lebih aku ke sini, acara Syarikat kerap diadakan di sini. Hotel cantik bertentangan dengan Laut China Selatan yang hanya riuh-rendah di hujung minggu dengan pelbagai aktiviti keluarga. Kakitangan yang berpindah lokasi ataupun berhenti perkhidmatan akan diberikan sejumlah wang (paling sedikit RM2K) untuk menjamu rakan-rakan, mengadakan parti - "farewell party". Terpulang kepada individu untuk menjemput siapa, buat di mana, makan apa.... dan sekiranya tidak mahu buat pun tidak mengapa, simpan saja duit yang diberikan. Apapun, makanan di Marriot memang tidak mengecewakan dan 'ambience' bercirikan tropika membuatkan pengunjung selesa. Terima kasih kepada Affendy, insyaAllah kita jumpa di pejabat di Kuala Lumpur suatu hari nanti.

DSC_2745

Beberapa hari lepas aku tiba-tiba teringin benar ingin makan buah-buahan, mungkin kerana sistem penghadaman aku sedikit terganggu. Pisang dan 'fresh prune' merupakan buah-buahan kegemaran aku, selain anggur 'seedless Red Flame' dan Manggis. Aku ke pasar segar di Krokop, di mana banyak buah-buahan dan sayur-sayuran import di jual, harga di sini memang mahal tetapi kesegaran dan kualiti terjamin. Aku membeli 3 biji buah Peach merah, 3 biji buah Nectarine yang di import 'airflown' dari Australia dan 2 biji Mangga 'airflown' dari Thai. Harga semuanya mencecah RM40... bak kata pepatah "Kalah membeli, menang memakai/memakan......"

Monday, July 14, 2008

A Rush's Sunday....

My creation

Hujung minggu lalu aku ke Kota Kinabalu, menghadiri kelas pertama untuk semester ini. Pesawat dari Miri mendarat di Lapangan Terbang KK, 30 minit lebih awal dari jadual. Tidak sempat untuk aku menguntai mimpi, dikejutkan dengan pengumuman suara garau Pramugari menyuruh tegakkan tempat duduk dan ikat tali pinggang keledar. Aku sampai di Puncak Sepanggar tepat pada masanya sebelum kelas pertama bermula, seawal jam 9 pagi. Semester ini aku akan berjumpa dengan Dr. AJ; 'taiko', 'gangster' yang dalam serius boleh buat lawak semi-sensored. Dr. AJ pernah mengajar aku semasa di peringkat Sarjana Muda, subjek Penyelidikan/Thesis. Masih terngiang-ngiang di telinga apabila beliau dulu pernah mengatakan yang belum ada pelajar di bawah seliaan beliau mendapat markah 'A' untuk thesis - tetapi aku memecahkan rekod tersebut tanpa sengaja.

Aku dijemput oleh seorang rakan 'S' setelah kelas bersurai sekitar jam 5 petang. Pensyarah semester lepas, YM Datuk Dr. Raja Abdullah sempat berjumpa aku sambil mengucapkan tahniah, sepatutnya aku yang berterima kasih kepada beliau kerana memberi markah yang baik; "...you deserve it!" katanya sambil menambah " semua assignment you I beri pada student baru, as a sample, you've produced quality works.." aku speechless sambil diperhatikan rakan-rakan lain. Selesai bersalaman, si 'S' membawa kami menuju terus ke 1Borneo - The Biggest Shopping Mall In Borneo. Aku akui, terkesima melihat deretan kedai dan butik berjenama yang ada di dalamnya, termasuklah restoran berkonsepkan hutan belantara berserta persembahan kebudayaan masyarakat Sabah. Sebagai kenang-kenangan ke 1Borneo, aku membeli dompet kulit berwarna Burgundy edisi terhad 1887 DLUXE sempena 120 tahun kewujudan jenama dari butik Braun Buffel. Tak puas berlegar di 1Borneo!

Aku tinggalkan kamera DSLR kepada 'S' supaya beliau boleh ambil foto di Pasar Tamu di Gaya Street keesokannya, memandangkan aku akan menghadiri kelas pagi dan pastinya tidak sempat untuk ke sana. Kalau tidak, tiadalah foto-foto dari Sabah pada kali ini (aku ada mengambil beberapa foto di UiTM KK, tetapi di dalamya tiada SD Card!). Selesai kelas, aku langsung menuju ke Lapangan Terbang untuk pulang ke Miri, terima kasih kepada 'S' kerana sudi menemani (termasuklah menemani kami berkaraoke pada malam sebelumnya).

My creation

Sesampai di Miri, aku terus menuju ke Bintang Plaza, berehat sambil minum Latte di Coffee Beans sementara menunggu yang lain datang untuk acara 'get-to-know' cum bowling. Kali pertama berkenalan secara live dengan blogger Zackzara, pertama kali bergurau senda dengan blogger Rhymee dan lainnya rakan 'sepermainan' aku di Miri; Khairul, Rn8, Haizul dan awek baru Cik Sal. Memang seronok dan banyak aksi-aksi yang melucukan semasa aktiviti bowling berlangsung, macam-macam style balingan, macam-macam kerenah dan macam-macam cerita - seronok!

Pulau Melayu, Miri, Sarawak

Selesai bowling, kami menuju ke Kampung Pulau Melayu, mengisi perut di Rides Cafe, restoran beratap nipah yang berhadapan Laut China Selatan yang terbentang luas. Suasana senja di Kampung Pulau Melayu memang indah dan menarik, aku cuma sempat mengambil beberapa keping foto sahaja sebelum matahari tenggelam di ufuk Barat bersama dengan lembanyungnya.... banyak memori indah tercipta di sini semenjak aku berkelana di Miri!

My creation

Donut tersebut bukan hidangan di Rides Cafe ini, tetapi ole-ole yang dihidangkan sementara menunggu makanan yang dipesan siap. Donut sedap dari Big Apple, Kota Kinabalu yang dibeli oleh 'S' untuk aku dan rakan-rakan di Miri. Acara makan-makan dan minum-minum berlanjutan menjadi acara 'ngomelan', terselit juga acara anyam ketupat dan mesyuarat tidak rasmi committee untuk aktiviti blogger di Miri. I love intellectual conversation selain dari merapu dan lawak semi-sensored. Harap-harap tiada yang kecil hati atau terasa dengan omelan aku pada hari tu, jangan sampai aku kena saman sudah lah, maklumlah si Zackzara dan Rhymee merupakan pengamal undang-undang di Miri.

Tuesday, July 08, 2008

An Afternoon at Tanjong Lobang.....

DSC_3090

Sudah beberapa hari hati ini melonjak ingin melihat 'sunset', ingin memerhati matahari terbenam di perairan Miri sambil duduk bersantai menenang fikiran. Melihat laut China Selatan yang biru pekat, langit Borneo yang cerah berawan.... tetapi petang tadi langit Miri agak bergumpal-gumpal awannya, seakan mahu menurunkan hujan... lantas tanpa diduga mempamerkan keindahan panorama ciptaan Allah..... subhanallah!!!!... Indah ciptaanMu ya Allah!

DSC_3001

"Laut.....sampaikan kata-kata rindu aku pada abang....

Angin.... terbangkan kasih ini pada abang....

Burung... nyanyikan lagu sayang buat abang....

Alam.... aku merindui abang....sungguh aku merindui abang...."

kata-kata yang ku terima melalui sms, seakan tepat telahannya.... aku melihat laut luas tika itu.....

My creation

Di Tanjong Lobang ini juga tempat di mana aku kerap menjamu selera. Beberapa orang rakan aku ajak bersama, niat di hati mahu makan Ketam masak sambal, Udang goreng Nestum, Midin goreng Belacan, kalau tak pun Paprik Seafood yang paling sedap di Miri. Hajat tidak kesampaian, gerai yang biasa dikunjungi tutup pula petang tadi. Rasa kecewa terubat juga apabila foto-foto yang diambil tadi menjadi dengan cantik, subjek dan 'model' pula bekerjasama dengan baik, ini termasuklah 3 orang pelancong Punjabi dari India yang amat 'sporting' dan seorang budak lelaki yang sedang khusyuk membaca komik di atas batu.

My creation

Langsung kami putuskan untuk ke Ipoh Kopitiam sahaja yang terletak tidak jauh dari kawasan Tanjong Lobang/Brighton Beach. Terima kasih kepada Zoul, Khairul, Rn8 dan Haizul kerana menemani aku petang tadi.

Monday, July 07, 2008

Free Ticket To Rainforest World Music Festival 2008

Ini khas buat pembaca Tepak Sireh - as an appreciation. I'm giving away FREE tickets to the Rainforest World Music Festival 2008 in Kuching, Sarawak. Tarikh yang ada ialah 11, 12 dan 13 Julai 2008. Very limited ticket available, first come first serve basis... email me if you want the ticket, I will snail-mail to you as soon as possible. For more information on the festival, click here.

Newsflash: I have additional tickets for the RWMF 2008. Two (2) all day pass ticket on 11 July (Friday). Do contact me if you interested to have these tickets!!!!!!!!!!!!!!!

Friday, July 04, 2008

Recipe: 3 Flavour Pudding aka Pudding Cote d'Or

My creation

Malam semalam tiba-tiba aku menjadi rajin untuk mengurung diri di dapur. Memang sudah lama aku tidak 'mencurahkan' kepakaran dan ilmu memasak pemanis mulut, lebih-lebih lagi budak tu tidak ada di sini sekarang ini. Ilmu jika tidak dipraktikkan, akan lusuh, akan berkarat dan hilang, begitu juga dengan ilmu memasak ni, macam ada sahaja yang kurang dalam resepi ni. Oleh itu, jom ke dapur!!!
Mula-mula, didihkan air, masukkan agar-agar kering, (sebenarnya aku tak arif guna yang kering macam tali rafia ni, tetapi tak ada pula yang jenis serbuk di kedai berhampiran) sehingga larut. Dalam bekas kecil, masukkan 3 sudu besar tepung Custard (lebihan Raya Haji dulu), 4 sudu besar evaporated milk (susu cair), 4 sudu besar gula dan sebiji telur. Dalam bekas besar, panaskan 1 gelas susu cair, masukkan sedikit madu (madu beli di Chiang Mai tahun lepas). Apabila sudah panas, masukkan bahan dalam bekas kecil ke dalam bekas besar sedikit demi sedikit sambil kacau. Selepas itu masukkan 2 senduk besar agar-agar yang telah larut tadi berserta 1 sudu kecil Vanilla essence. Apabila sudah cukup kental (teringat slang orang Singapore 'Minah Kental'), masukkan dalam acuan, sejukkan dalam Gerobok Batu (peti ais, bahasa orang Johor lama dari Tanjung Surat).

My creation

Ini untuk lapisan ke dua, menggunakan dark chocolate. Terima kasih kepada budak itu kerana belikan banyak cokelat dari Labuan (favourite aku yang jenama Cote d'Or, kalau si fendisoman sebutannya agak lucah). Mula-mula, masukkan 3 senduk besar agar-agar yang telah larut tadi ke dalam periuk berasingan. Masukkan beberapa ketul cokelat, gula, susu cair dan 2 sudu besar tepung Custard. Kacau hingga sebati dan kental, kemudian tuangkan ke atas bahagian yang telah sejuk tadi (pastikan yang bahagian pertama telah betul-betul sejuk). Tiba-tiba terdengar macam lagu raya sayup-sayup di corong radio! Eh! mengimbau pula suasana nak sambut raya.. memang akulah yang selalu kena tolong Mak buat benda-benda ni semua.

My creation

Bahagian terakhir, dalam bekas agar-agar tadi, masukkan beberapa sudu jem Strawberry (aku gemar brand Chivers dari England sebab Queen Elizabeth pun makan jem ni), nenas dalam tin yang telah dikisar separuh lumat, Rose essence, beberapa sudu besar oren Sunquick, perahan lemon dan sedikit pewarna merah. Kacau hingga mendidih dan kemudian masukkan sedikit madu (madu Arab, lepas makan siaplah...). Tuangkan ke atas lapisan cokelat tadi (pastikan telah betul-betul sejuk), setelah sejam disejukkan, taburkan pula Sultana/raisins/kismis (kismis ni pun lebihan dari masak Briyani masa Hari raya lepas). Sedia untuk dihidang dingin. Lihat foto paling kanan, itulah hasilnya.

My creation

Pagi-pagi (sesiapa pernah buat birthday party pukul 8 pagi?) lagi sudah ada sambutan harijadi di unit aku. Perkara biasa bagi kami yang berjumlah beberapa belas orang ini, hampir setiap bulan ada acara makan-makan sebegini. Agak terlewat sedikit aku sampai hari ini, kepenatan memasak pudding semalam agaknya. Tetapi mereka semua terpaksa pula menunggu, Bos belum sampai, majlis tak boleh bermula. Macam-macam makanan ada, termasuklah pudding 3 rasa yang aku buat semalam, aku bawa semuanya. Macam ada yang kurang pula sambutan kali ini, mungkin kerana si bulat ini tidak datang hari ini...

Tuesday, July 01, 2008

UiTM Di Hatiku.........

Semangat untuk belajar dan sebagai pelajar masih belum kendur dalam diri aku. Rasanya macam non-stop aku belajar semenjak mula masuk sekolah pada tahun 1978 dulu; mentelaah, buat research, tulis proposal, tulis rencana berkaitan dan pelbagai lagi. Inilah sebahagian dari rutin hidup, rutin kerja aku di Syarikat dan sebagai pelajar. Ramai juga yang ingin tahu macam mana aku ada banyak cuti, boleh pergi travel/santai dan sebagainya, jawapannya mudah - 'Time Management'. Kerja di Syarikat memerlukan aku menghadap mesin komputer hampir 7 jam sehari, jari-jemari bergerak pantas di atas papan kekunci, otak ligat menggarap fakta agar menjadi ayat-ayat bernas lagi meyakinkan, skrin pula sarat dengan situs sesawang aneka rupa untuk mengakses pelbagai maklumat. Aktiviti ini semua meletihkan otak serta minda, maka ianya perlu akan rehat dan rehlah, perlu terlibat dengan riadah, dengan benda-benda baru dan lama, yang dapat dirasa, pegang, hidu dan dengar... yang bukan dari alam maya...

UiTM Shah Alam

Beberapa hari di ibukota tidak menjemukan, dan tidak pernah menjemukan sekiranya pandai mencari aktiviti dan bersosial. Cuma sesekali terasa seperti ada yang tertinggal nun di Miri. Aku menghadiri kelas pengenalan penggunaan sistem i-class untuk kelas maya, sambil aku mendaftar subjek pilihan serta membayar yuran untuk semester ini - sekali lagi aku memilih Kota Kinabalu sebagai pusat pembelajaran. Keputusan peperiksaan semester lepas tidak cukup membanggakan diri sendiri, tetapi sudah cukup untuk mendapat Anugerah Dekan agaknya. Hari Isnin aku ke sana lagi, untuk menyelesaikan beberapa perkara kecil yang patut. Ramai pelajar-pelajar baru sedang mendaftar untuk kemasukan semester ini. Banyak sungguh kenangan semasa belajar di UiTM Shah Alam dari tahun 1996-1999, Fakulti di tingkat 4&6 bangunan Menara, Pusat Bahasa (aku ambil subjek elektif bahasa asing sebagai minor) Kolej Delima Siswa dan Kolej Meranti...terima kasih UiTM dan warganya!!! UiTM sentiasa di hati dan ingatan.......

UiTM Shah Alam

Aku pulang ke KL dari Shah Alam menggunakan perkhidmatan awam Komuter, kali terakhir aku naik Komuter ialah kira-kira 9 tahun dulu, semasa masih lagi bergelar pelajar Ijazah pertama. Koc-kocnya tidak pernah berubah, sama seperti dahulu. Petang itu, buat kali pertama aku memasuki bangunan Maju Junction yang sudah diubahsuai, untuk mencari aksesori kamera DSLR tetapi terjebak bershopping di butik Esprit. Inilah juga kali pertama aku berjalan kaki dari Jalan TAR menyusuri lorong-lorong dan kaki lima menuju Jalan Raja Laut - aku terlupa membawa kamera, menyesal tak sudah! Setelah lebih 5 tahun tidak berkunjung ke Kompleks Pertama, hujung minggu lepas aku ke sana untuk mencari aksesori kamera dan telefon bimbit, sama seperti dahulu, pengunjung sentiasa sesak. Kali pertama makan-makan bersama Lily.lulu di Williams - sedap hingga menjilat jari dan sudu. Kali pertama makan malam di Kofuku/Keyaki Japanese restaurant di Pan Pacific, hidangan Tiram segar membuatkan aku 'ghairah' pada malam itu. Sedang duduk-duduk menghirup latte di Bukit Bintang, buat pertama kalinya aku di 'tackle' oleh seseorang dari Kepulauan Mauritius - tampan sangatkah aku ini?