Thursday, June 26, 2008

Tenangku Di Kota Madinah.....

Jabal Uhud

Jabal Uhud yang terletak sekitar 5km dari Kota Madinah ini merupakan lokasi di mana berlakunya peperangan Uhud pada 15 Syawal 3 Hijrah. Pada ketika ini, jam menunjukkan sekitar pukul 9.30 pagi tetapi cuaca sudah pun panas terik. Jabal Uhud dan bukit pasukan pemanah (baca cerita sejarah Jabal Uhud dan pasukan pemanah yang tidak mendengar arahan ketenteraan, faktor kekalahan Peperangan Uhud) merupakan antara lokasi 'wajib' bagi sesi lawatan di sekitar Madinah ini. Selain dari itu, kami juga dibawa ke beberapa lagi tempat bersejarah seperti Masjid Quba, Masjid Qiblatain selain dari ladang kurma, pasar kurma dan perkuburan Baqi.

Madinah AL-Munawwarah

Ini bukan Manhattan, bukan juga Harlem, tetapi Kota Madinah Al-Munawwarah!!! Banyak bangunan moden dan tinggi di sekitar Masjid Nabawi. Kebanyakkannya adalah Hotel berbintang dan kompleks perniagaan. Kota Madinah juga amat bersih dan tenang, manusia tidak berasak-asak, kenderaan pula tidak begitu banyak. Foto-foto diambil sekitar jam 8 pagi, di kawasan tumpuan utama berdekatan Masjid Nabawi. Aku bebas membawa kamera DSLR kemana-mana ketika di sini kecuali ke kawasan berdekatan dengan Masjid Nabawi.

Madinah AL-Munawwarah

Foto-foto sekitar lawatan ke beberapa tempat di Madinah. Foto Atas kiri; Masjid Qiblatain yang mempunyai rekabentuk cukup menarik dan sejarahnya yang tersendiri. Atas kanan; pemandangan di Jabal Uhud. Bawah kiri; wanita-wanita dari Iran ini bergegas menuju ke bas setelah selesai melawat Masjid Quba. Bawah kanan; beginilah rupa buah kurma yang masih mentah, seakan buah pinang muda. Pokok ini amat rendang dan buah tersebut dijangka ranum sekitar September.

Angry Arab in Madinah

Ini merupakan salah satu foto kegemaranku. Penjual kurma ini menunjukkan wajah marah dan berkata sesuatu dengan suara yang agak keras ketika aku cuba mengambil gambarnya. Foto ini dirakam di luar perkarangan Masjid Quba, di mana ramai peniaga kaki lima berjualan bermacam jenis makanan kering, buah-buahan, pakaian, perhiasan rumah dan sebagainya.

Umrah

Foto atas; pemandangan di dalam Abu Dhabi Airport, UAE semasa sedang transit selama 5 jam. Suasana di dalamnya amat sesak, padat, seperti di dalam gua (mungkin kerana dekorasi), banyak kerja-kerja pengubahsuaian sedang dilakukan, tidak banyak tempat untuk duduk/berehat dan kami sempat berehat di dalam restoran sambil makan-makan dan minum (supaya tak nampak sangat yang kami jadikan tempat duduk itu untuk tidur!). Tengah kiri; ini tempat aku 'melepak' setelah selesai solat, kedai Johrat Al-Bashier di Taiba Tower (kalau ke sini sebut saja nama aku, insyaAllah akan dapat diskaun). Aku turut sama membantu memanggil pelanggan yang lalu-lalang dan berteriak "masyuk! masyuk! murrah! murrah! sini lihad-lihad....." dengan pelat Arab. Banyak juga aku dapat jual, dan ada pelanggan Melayu yang bertanya "dah lama ke tinggal di sini?"...jawabku "baru jerrrrr....". Foto-foto antara jemaah di dalam kumpulan aku yang sama-sama terbang melalui agent Triways. Foto terakhir, Tuanpunya kedai Johrat Al-Bashier, Saeed Ali dan Abdul Rahman yang berketurunan Yemeni dan Myanmar. Kami menjadi akrab sejak aku melawat Madinah tahun lepas, kali ini kami lebih rapat, setiap kali ke kedai mereka, pasti aku dibelanja makan dan minum, sehingga aku dipelawa datang dan tinggal di rumah mereka.

Ini merupakan entri penutup mengenai perjalanan dan pengalaman Umrah aku kali ini. Semoga entri-entri ini dapat memberi sedikit-sebanyak tips kepada pembaca dan menyuntik keinginan untuk ke sana suatu hari nanti. Banyak juga aku terima email yang mengucapkan terima kasih di atas entri Umrah tahun lalu dan yang terbaru ini, sehingga ada seorang pembaca mengatakan entri Umrah tahun lalu telah membuat beliau terdorong melakukan Umrah pada tahun ini... dan yang paling mengejutkan beliau ialah aku berada di dalam pesawat yang sama dengan beliau ketika terbang pergi dan pulang!!!!! (di dalam pesawat beliau duduk hanya berselangkan 3 orang penumpang dari kerusi aku....dan aku perasan kenapa ada seorang wanita cantik ini asyik merenung aku, seperti hendak berkata sesuatu....).

Friday, June 20, 2008

Lorong-Lorong Di Makkah II

Umrah

Foto atas kiri; gambar ini diambil di 'food court' dalam kompleks Hilton, ruang makan keluarga yang mempunyai pemandangan Masjidilharam. Pelbagai jenis juadah ada di sini, dari makanan tradisional Arab sehinggalah 'fast food' seperti KFC, Hardees, Baskin' Robbin, Cinnabon dan lain-lain. Kami memilih nasi Arab, roti, gulai sayuran seperti dalca dan ayam panggang yang sungguh sedap. Ini waktu senggang selepas solat Asar, waktu singkat untuk berehat, membeli-belah serta makan-makan. Kiri bawah; beginilah suasana di dalam dapur pembuat roti yang aku ceritakan sebelum ini. Roti diuli dan kemudian di bakar di dalam tempayan, rasanya seakan-akan roti nan tetapi lebih sedap (lihat betapa bersihnya dapur mereka). Kanan atas; pemandangan di sekitar kawasan dalam Masjidilharam, ketika ini ramai jemaah baru selesai mengerjakan Umrah dan warga dari Timur Tengah paling ramai berbanding Nusantara, mungkin kerana matahari semakin menegak di atas kepala. Kanan bawah, Adam Hamid, aku dan Zaimi baru selesai solat sunat di Tanaem dan bermiqat, sudah bersedia untuk pulang ke Masjidilharam untuk melakukan Umrah ke dua. Ketika ini jam menunjukkan hampir pukul 1 pagi, lebih sejuk dan selesa walaupun jemaah tidak pernah berkurang jumlahnya.

Umrah

Kali pertama aku naik ke kawasan bumbung Masjidilharam, bersama Adam Hamid. Tidak kurang indahnya pemandangan Kaabah dan sekitar masjid dari tingkat atas ini. Ramai jemaah yang mengambil kesempatan untuk bergambar di kawasan ini, mungkin kerana kurangnya pengawasan dari pihak polis. Tiada sesiapa yang solat di atas bumbung ketika itu kerana di tingkat dua masih banyak ruang kosong untuk jemaah, lagipun lantai di sini terlalu berdebu dek kerana kerja-kerja pembangunan di sekitar masjid (lihatlah jentera-jentera 'crane' yang melacak di sebalik pemandangan Masjidilharam). Foto kanan bawah merupakan kawasan Saie, kami baru selesai berSaei kali kedua. Aku baru kebah dari demam dan 'sakit-sakit', maka sudah cukup tenaga untuk buat aktiviti Umrah seterusnya.

Kisah sakit ini bermula beberapa hari sebelum aku berangkat, tetapi ianya sudah beransur hilang sehinggalah ketika berada di KLIA untuk menaiki pesawat. Pertamanya aku terkena 'rashes' yang agak pelik patternnya walau telah dirujuk ke Hospital. Keduanya, sakit di bahagian tangan, terlalu sakit dan tak tertanggung rasanya (tidak pernah aku merasa sakit yang begitu perit seperti ini), aku menahan sakit dari KLIA sehinggalah sepanjang perjalanan menuju ke Makkah. Di dalam pesawat aku langsung tidak boleh tidur, tanpa sedar airmata bergenang dan tanpa henti berdoa semoga sakit ini pergi dan kelak aku lebih selesa melakukan pelbagai ibadah di sana nanti. Aku menahan sakit sehingga demam sebaik selesai melakukan Umrah pada hari pertama. Dengan berkat dan khasiat meminum air Zamzam setiap masa (minum sambil berdoa menghadap Kaabah), dan dengan bersungguh-sungguh berdoa di depan Kaabah, akhirnya 'sakit-sakit' tersebut hilang tanpa meninggalkan sebarang kesan sikit pun. Alhamdulillah! Kisah kehilangan wang/dompet dan telefon bimbit ketika bertawaf, aku tidak begitu kisah. Mungkin 'orang' yang mengambilnya dari 'sling bag' aku itu lebih memerlukan wang tersebut, pasti ada hikmah dan aku redha... anggap sahaja wang tersebut sebagai sedekah sekiranya wang tersebut digunakan untuk perkara baik.

Makkah

Tidak lengkap aturcara Umrah sekiranya tiada acara ziarah ke tempat-tempat bersejarah, antaranya ialah Arafah, Mina, Mudzdalifah, Jabal Thur, Jaaranah, Jabal Rahmah dan lain-lain. Semua tempat-tempat ini menyimpan pelbagai cerita yang telah diterangkan di dalam Al-Quran selain dari Hadith serta kisah-kisah dari para Sahabat. Lawatan seperti ini sudah tentunya meninggalkan kesan yang mendalam serta menguatkan lagi keimanan kita. Sehari selepas lawatan tersebut, rombongan kami meninggalkan Makkah Al-Mukarramah untuk menuju ke Madinah Al-Munawarah, untuk 'bertemu' dengan kekasih Allah....... Tawaf Wida' menandakan yang kita akan meninggalkan kota Makkah, Tawaf Wida' juga disertai dengan linangan airmata (kalau tidak juraian tangisan)... terlalu berat hati dan fizikal ini hendak meninggalkan Makkah, meninggalkan Masjidilharam, entah bilakah agaknya kita akan dipanggil ke sana lagi, mungkinkah kita dapat melihat Kaabah di depan mata sekali lagi sebelum menghebuskan nafas di dunia fana ini, dapatkah suatu hari nanti membawa isteri, suami, anak-anak, ibu-bapa bersama-sama bertawaf... bermacam pertanyaan bermain dalam fikiran. Semuanya kita bawa bersama pulang ke tanahair, dengan azam, cita-cita dan doa agar segalanya mungkin....agar kita sentiasa mendapat keredhaan Allah.

"Wahai orang-orang yang beriman! Belanjakanlah (pada jalan Allah) sebahagian dari hasil usaha kamu yang baik-baik, dan sebahagian dari apa yang kami keluarkan dari bumi untuk kamu ...”. (Al Baqarah 2:267)

Sunday, June 15, 2008

Lorong-Lorong Di Makkah I

DSC_2303

Jabal Rahmah yang terletak tidak jauh dari kota Makkah. Tempat pertemuan Adam A.S dan Hawa A.S setelah beratus tahun diturunkan ke bumi. Tidak seperti tahun lepas, kali ini aku tidak mendaki bukit itu dan hanya melihat dari bawah.
Catatan perjalanan Umrah kali ini agak berbeza dengan yang pernah dicatat setahun lalu. Foto-foto yang diambil juga agak berlainan, tidak banyak gambar-gambar keindahan di dalam masjid, tetapi sarat dengan cerita yang tersirat mengenai kehidupan manusia di dua buah kota suci ini. Perjalanan ibadah selama 9 hari dan 6 malam ini dirasakan terlalu singkat, terutamanya ketika berada di Madinah Al-Munawwarah - kota kesayangan Rasulullah, kota ketenangan, kota penuh barakah buat para penghuni dan pengunjungnya. Terlebih dahulu, mari kita menyusuri lorong-lorong sempit di kota Makkah Al-Mukarramah dengan pelbagai ragamnya.

Streets of Makkah

Pemandangan biasa di beberapa buah lorong berhampiran Masjidilharam. Kota ini didirikan bukan sahaja untuk umat Islam datang melakukan ibadah Haji dan Umrah, tetapi juga untuk berjual-beli, melakukan perniagaan dan bersuai kenal. Setiap kali selepas selesai waktu solat berjemaah di Masjidilharam, pasti akan kelihatan peniaga-peniaga jalanan yang timbul entah dari ceruk mana. Keadaan akan menjadi sedikit kelam-kabut dan kecoh, sebelum mereka bersurai secara tiba-tiba. Waktu Subuh agak awal di sini, sekitar jam 4 pagi, dalam gelap Subuh tanpa lampu dan hanya samar-samar cahaya Syuru', peniaga-peniaga jalanan ini sudah bersiap sedia menjaja barangan mereka. Suhu tengahari yang mencecah 45'Celcius juga tidak dihiraukan, masih lagi gigih berniaga tanpa beratap-bumbung. Suatu petang itu cuaca memang agak keterlaluan, mencecah sekitar 47'Celcius dengan debu-debu tanah berwarna keperangan berterbangan, tetapi tiada siapa menghiraukannya kecuali beberapa kumpulan warga keturunan Nusantara yang berlari-lari mencari perlindungan di Kompleks Hotel Hilton dan Aziz Towers. Mungkin di tempat lain seperti Afghanistan, Turkmenistan, utara Pakistan, Sudan, Habsyah cuacanya lebih melampau.

Street of Makkah

Cerita dari foto. Atas kiri; Dua orang peniaga berketurunan Pakistan menjual barang-barang runcit/makanan di sebuah lorong sempit di Makkah. Kedai mereka sentiasa penuh dengan jemaah pelbagai bangsa yang ingin membeli barang keperluan harian terutamanya makanan siap. Atas kanan; Keluarga ini berhenti rehat setelah selesai melakukan Umrah dalam cuaca pagi yang panas. Sang ayah mengurut-urut kaki, mungkin keletihan atau kakinya memang sudah sediakala sakit, mungkin lebih sakit dari tanganku yang sedang kebas membengkak ketika itu. Bawah kiri; Orang tua ini seolah-olah sedang menunggu seseorang, sudah lebih 15 minit dia duduk diam di situ sambil sesekali batuk-batuk kecil. Ingin sahaja aku menanya adakah dia sudah makan atau belum. Bila aku dekatinya, dia mula menundukkan muka, cuba melarikan pandangan. Bawah kanan; Bila aku melihat foto ini, hati menjadi sebak. Di tingkap kecil itulah aku menerima 'sedekah' sekeping roti Arab di awal pagi Jumaat. Perut lapar, bau harum roti dan sekumpulan lelaki di tingkap kecil itu membuatkan aku memberanikan diri menjengah ke dalam, memberi isyarat "mahu 1 roti, berapa harganya?", dilemparkan sekeping roti panas sambil tersenyum, tidak mahu menerima wang beberapa riyal yang aku hulurkan. Bertambah sayu bila mengenangkan betapa di kota Makkah ini manusia tidak akan mati kebuluran walaupun tiada wang (kebetulan pula wang riyal yang ku bawa hilang kesemuanya beberapa jam sebelum itu).

Barber in Makkah

Selesai melakukan aktiviti Umrah pada hari pertama, aku bergegas pulang ke hotel, salin pakaian dan terus ke kedai gunting ini. "Nombor dua!" kataku dengan yakin kepada lelaki ini, bermaksud mata mesin pemotong rambut itu yang bernombor dua, tidak terlalu tipis potongannya sehingga menampakkan kulit kepala. Harga potong rambut di sini cukup murah, hanya 5 riyal dan ianya mengambil masa sekitar 5 minit sahaja untuk selesai. Selalunya setelah selesai bertahalul, jemaah lelaki akan terus ke bahagian belakang bukit kecil Marwah untuk potong rambut kerana di situ terdapat banyak kedai gunting rambut yang dibuka 24 jam. Kedai-kedai tersebut kini tidak wujud lagi kerana proses membesarkan bahagian dalam Masjid sedang rancak dijalankan. Batu-batan asal yang berlekuk-lekuk di bukit kecil Safa dan Marwah juga sudah disimen rata, kemas dan tidak menyucuk tapak kaki. Aku masih rindukan bukit asal yang berlekuk, yang menyucuk, yang asli kerana 'feeling' itu lebih menyentuh hati dan perasaan.

DSC_2336

Entah berapa lama lagi rumah-rumah atas bukit ini dapat bertahan. Kawasan sekitar Masjidilharam sedang pesat dibangunkan, sebuah 'shopping mall' lima bintang baru sahaja dibuka kepada orang ramai, kedudukannya betul-betul di depan pintu masuk masjid. Manakala debu-debu berterbangan setiap masa disekitarnya, bukit-bukit berhampiran ditarah sehingga rata, rumah-rumah dan hotel-hotel dirobohkan, serta kedai-kedai kecil yang beribu jumlahnya tidak wujud lagi. Tidak seperti tahun lalu, aku kerap meluangkan masa menyusuri lorong-lorong kecil di sekitar Masjidilharam, mengenali penduduknya dengan lebih dekat, beramah mesra, berbual dan mengeratkan silaturrahim. Cukup indah kenangan itu, lebih-lebih lagi bila aku memperkenalkan diri dari Malaysia dan berketurunan 'Hadrami'.

Streets of Makkah

Foto tambahan dari kamera yang berlainan bagi menutup entry pertama di Makkah. Foto Atas kiri; kesibukan di lorong utama hadapan Masjidilharam, selesai solat Subuh, ramai jemaah perlu melalui lorong ini untuk pulang ke hotel masing-masing, menjadi semakin sempit dengan penjaja di kiri, kanan dan tengah jalan. Atas kanan; Buahan-buahan segar banyak terdapat di sekitar lorong-lorong sempit ini. Antara buah kegemaran aku ialah Cherry segar, sungguh murah dan manis serta buah Peach yang masak ranum yang datang dari Asia Tengah, berbeza dengan yang dijual di supermarket besar di tanahair. Bawah kiri; banyak kedai-kedai 'convenient store' didirikan di sekitar Makkah, ada yang dibuka 24 jam tetapi setiap kali masuk waktu solat, semuanya akan ditutup sebentar sehingga semua selesai bersolat. Perniaga pula ramai dari keturunan Pakistan, India dan Bangladesh walaupun pemilik kedai adalah orang-orang Arab. Bawah kanan; seorang peniaga berasal dari utara Afghanistan berhenti rehat untuk bersarapan ringkas, sekeping roti nipis seakan capati dan minumannya pula air teh kosong. Mereka hidup serba sederhana, cukup menginsafkan dan membuatkan diri sentiasa bermuhasabah.

Thursday, June 12, 2008

Kenduri Doa Selamat

My creation

Genap seminggu aku pulang dari melakukan ibadah umrah bersama Anita dan Ai. Alhamdulillah, syukur kerana tidak banyak masalah yang dihadapi, cerita mengenai pengalaman kali ini akan aku garap dalam entry akan datang. Kali ini ingin bercerita mengenai kenduri doa selamat pulang dari umrah dan juga 'house-warming' rumah Anita. Hilang sahaja 'jet-leg' dari penerbangan yang memakan masa lebih 15 jam (termasuk transit di Abu Dhabi dan KLIA), aku sudah mula sibuk dengan persiapan untuk kenduri-kendara. Semuanya dimasak sendiri, dan yang pastinya aku menjadi chef memasak untuk lebih 200 orang tetamu. Rumah ini baru sahaja beberapa minggu didiami oleh Anita, dia tinggal sendirian dan kadang-kala ditemani sepupu dan adik-beradik yang lain. Taman Lagenda Putra ini terletak di sebelah kiri, taman perumahan pertama yang dapat dilihat selepas tol Kulai.

Seronok bila sesekali dapat berkumpul dengan saudara-mara dan sepupu-sepapat yang jarang kali dapat bersua dan beramah mesra. Ada yang baru habis belajar, ada yang baru mendapat tawaran menyambung ke Universiti, ada yang sedang cari kerja, yang baru masuk alam persekolahan, yang dah bercadang ingin berkahwin dan macam-macam lagi berita terkini. Beberapa soalan cepu-emas pasti sahaja akan dilontarkan kepada aku, dan jawapannya juga pastilah stereotype dalam jenaka bersahaja.

Menu kenduri kali ini tidak banyak beza dengan yang lepas-lepas. Nasi Briyani, Ayam Briyani, Daging Bamia (sejenis masakan timur tengah, berkuah, ada kekacang, kentang, lobak merah dan sesuai dimakan dengan roti Peranchis), Sup Merah kambing ala-Singapore, Acar, Ikan Siakap tiga rasa dan Sambal Tumis Udang. Aktiviti memasak bermula dari awal pagi, dibantu oleh pakcik dan makcik serta sepupu-sepapat aku. Terima kasih kepada Midi, Zoul, Nikli dan Jepun yang sudi datang rewang dan merewang.

DSC_2556

Dari kiri; Adik Zurah, Mak, Adik Linda, Makcik Amy dan Mak Ngah. Semuanya sedondon bergaya dengan jubah Arab yang dibeli semasa di Makkah. Sempat aku menyelinap masuk ke dalam bilik persalinan untuk mencuri ambil foto mereka. Selesai majlis, kami masih lagi duduk bersembang dengan pelbagai cerita keluarga. Masing-masing memasang hasrat untuk melakukan umrah bersama-sama dalam rombongan besar keluarga. InsyaAllah, kalau diberikan rezeki, kesempatan dan kesihatan yang bagus, kami semua akan ke sana beramai-ramai.

==================================================================

Nota: Entry kali ini telah dibuat dengan menggunakan laptop yang baru sahaja aku beli siang tadi. Entry pertama menggunakan MacBook Air - the thinnest notebook in the world. Aku tidak mempunyai alasan kukuh mengapa aku memilih laptop jenis Mac keluaran Apple ini, selain dari rekabentuknya yang tipis, ringan dan 'sleek' serta ciri-ciri futuristiknya. Harga sebuah MacBook Air? Harganya sama seperti sebuah Modenas Jaguh. Layari di sini untuk promo MacBook Air.