Thursday, March 27, 2008

Travelogue: Macau - Hong Kong - Shenzhen

DAY 1: The Venetian - Macau


Penerbangan dengan pesawat Airbus AK510 dari Kota Kinabalu ke Macau mengambil masa hampir 3 jam, dan tepat jam 8pm kami telah pun selamat mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Macau. Suasana awal malam ketika itu diliputi kabus dengan suhu sekitar 20'Celcius, terasa selesa dan nyaman. Kami menaiki teksi menuju ke Casa Real Hotel yang jauhnya sekitar 15 minit dari Lapangan Terbang, hotel bercirikan senibina Portugis ini terletak berhampiran dengan terminal ferry dan Fisherman's Wharf serta berlatarbelakangkan Guia Hill yang terdapat rumah api berusia ratusan tahun. Selesai check-in dan membersihkan diri, kami terus berjalan kaki menuju Sands untuk mengambil shuttle bus menuju ke The Venetian - sebuah kompleks membeli-belah, hotel, casino dan resort terbesar seumpamanya di dunia.

My creation

Untuk sampai ke bahagian deretan kedai-kedai, kami terpaksa melalui bahagian Casino yang cukup luas dan dipenuhi dengan suara hingar-bingar pelanggan dari pelbagai bangsa yang sedang mencuba tuah-nasib. Kedai-kedai di sini dibina dengan berkonsepkan kota Venice di Itali, siap dengan terusan dan siling yang dilakarkan awan-awanan siang. Terasa sungguh hidup dan ceria suasana persekitaran pusat beli-belah tersebut. Kami kesuntukan masa untuk menjenguk kedai-kedai yang ada, maka bersesi foto sahajalah yang sempat sebelum tempat ini ditutup pada jam 11pm. Memang tidak puas rasanya berada di sini ditambah pula banyak lagi kemudahan yang disediakan tidak di'explore'. Menyusuri jalan-jalan di sekitar The Sands pada waktu malam tidak begitu mengujakan namun kesegaran udara mengajak kaki terus menapak di atas 'coble stone' tinggalan pemerintah Portugis di kota ini.

Tips: Pengangkutan percuma ke Venetian di Cotai Strip yang terletak sekitar 15-20 minit dari pusat bandar Macau. naik shuttle bus dari The Sands, berdekatan The Fisherman's Wharf.


DAY 2: Fisherman's Wharf - Macau

Semasa sedang menyusuri jalan-jalan di sekitar hotel pada malam sebelumnya, kami terlihat beberapa bangunan unik seolah-olah ada sebuah taman tema atau dataran riadah yang menarik. Keesokannya, setelah selesai berkemas untuk mencari sarapan (kami jumpa tempat makan yang dicadangkan dalam Internet, tetapi kedainya tutup pada hari itu), kami terus menuju ke suatu tempat yang dinamakan Fisherman's Wharf, hanya 10 minit berjalan kaki dari hotel. Sebuah taman riadah yang baru sahaja selesai dibina berkonsepkan Mini World, dengan replika bangunan di beberapa kota terkenal dunia seperti The Coliseum di Rome, New Orleans street di USA, Mesir, England, China dan lain-lain. Masuk ke dataran ini adalah percuma, dan kami mendapat tahu bahawa akan ada 'street parade' pada petang itu bersempena dengan sambutan Easter Day.

My creation

Tidak jauh dari tempat tersebut terletak pula pusat beli-belah Yaohan yang sederhana besar yang baru sahaja dibuka, sempat pula kami shopping sebelum bergegas pulang semula ke hotel untuk check-out dan menuju ke terminal ferry untuk ke Hong Kong. Ada beberapa syarikat ferry yang beroperasi di sini, antaranya Turbo Jet dan First Ferry Macau yang menuju ke Kowloon dan pulau Hong Kong serta ke beberapa destinasi di tanah besar China. Perjalanan ferry laju dari Macau ke Kowloon mengambil masa sekitar 1 jam dan berlabuh di jetty kompleks Guangdong Road, Tsim Sha Tsui.

Tips: Untuk jadual perjalanan dan harga tambang ferry, sila klik di sini. New World First Ferry lebih murah tambangnya berbanding Turbo Jet. Di terminal 'Depature', naik ke tingkat 2 dan cari kaunter ferry, jangan hiraukan 'penjaja' atau 'ulat' yang menawarkan tiket ferry.

DAY 2: Kowloon, Hong Kong


My creation

Kami agak keliru dengan tanda arah dan arahan dalam peta untuk menuju ke tempat penginapan yang telah di'booking' melalui Internet. Dalam pada mencari alamat hotel tersebut, kami terserempak pula dengan premis HardRock Cafe, langsung singgah untuk beberapa ketika sebelum keluar dengan beberapa beg plastik besar berisi t-shirt dan cenderahati. Selesai check-in, kami turun semula ke Nathan Road untuk mengisi perut yang terlalu lapar ini, dalam meninjau-ninjau itu, kami ditegur oleh seorang pemuda Pakistan yang bertanyakan jika kami ingin makanan Halal, langsung dibawanya ke sebuah restoran yang menghidangkan pelbagai jenis makanan Pakistan yang sungguh lazat.

My creation

'Gendang gendut tali kecapi, kenyang perut suka hati' Memang tepat sekali ayat tersebut, kami berasa lebih segar dan bersedia untuk 'explore' Hong Kong setelah perut diisi dengan makanan lazat dan halal. Destinasi seterusnya ialah Victoria Peak, kami ke sana menaiki MTR, berjalan kaki sedikit menaiki bukit sebelum tiba di stesyen The Peak Tram untuk mengambil Tram (macam cable car Bukit Bendera, tapi yang ini jauh lebih elok). Sampai di puncak Victoria agak sudah lewat petang, ditambah pula dengan kabus yang cukup tebal pada hari itu. Memang syahdu dan tenang berada di puncak ini, ditambah pula dengan pemandangan kotaraya besar Hong Kong yang bermandi cahaya dan suhu dingin sekitar 15'Celcius. Kami menghabiskan masa beberapa jam di atas puncak ini, terasa seperti tidak mahu turun. Memandangkan kami perlu beratur panjang untuk pulang turun dengan menaiki Tram, Wan mencadangkan untuk menggunakan bas 'double-decker' pula. Tambangnya jauh lebih murah tetapi jalan menuruni puncak bertopografi berlingkar-lingkar, memakan masa dan membuatkan kepala aku pening seperti hendak muntah (sudahlah semasa dalam ferry menuju ke Hong Kong aku telah muntah!). Kami tidur agak lewat kerana menghabiskan waktu dengan berjalan sekitar Kowloon, sempat pula bergegas ke Hard Rock Cafe sekitar jam 12 malam untuk membeli sehelai lagi baju setelah baju yang dibeli pada siangnya tidak muat.

Tips: Pastikan anda mempunyai peta Hong Kong yang lengkap dan jelas kerana jalan-jalan di sini agak bersimpang-siur dan menggelirukan. Peta-peta percuma boleh didapati di hotel-hotel sekitar Macau dan stesyen MTR.

Tips: Makanan Halal yang murah (ada juga yang tidak begitu murah) boleh didapati di Chungking Mansion, Nathan Road. Mess atau restoran kecil terdapat di dalam bangunan ini yang tidak kelihatan dari luar atau Ground Floor bangunan.


DAY 3: Disneyland vs Shopping in Hong Kong


Rencana asal ingin menikmati sarapan ala-Pakistan di Chungking Mansion tetapi dibatalkan kerana ingin jimat waktu, ingin sampai awal ke Disneyland. Kami menaiki MTR dari Tsim Sha Tsui menuju terus ke Disneyland. Cuaca berkabus dan mendung, cukup untuk membuat hati kami gusar takut-takut nanti hujan lebat akan turun, maka acara untuk bersantai-santai terpaksa dihadkan. Kami mengikut plan dan trail yang terdapat di dalam brosur yang disediakan, menuju ke Adventureland dan singgah di rumah Tarzan dengan menaiki rakit kecil, kemudian menikmati persembahan The Lion King yang mempersonakan. Menjelang tengahari, hujan sudah mulai turun dengan lebat, pergerakan kami agak terhad namun kaki tetap laju melangkah.

Disneyland Hong Kong

Persembahan kedua yang kami tonton ialah The Golden Mickeys, yang memaparkan karektor-karektor dari filem-filem animasi terbitan Disneyland seperti Sticth & lilo, Tarzan, Beauty & The Beast, Cinderella, Mulan, Little Mermaid dan lain-lain. Kami bernasib baik kerana mendapat tempat duduk di barisan hadapan sekali (mengalahkan budak-budak pula) memandangkan auditorium tersebut hampir penuh. Kami juga meluangkan masa untuk membeli sedikit cenderahati dan meninjau-ninjau di persekitaran taman tema ini sambil berfoto. Acara street parade pada petang itu dibuat secara ringkas sahaja memandangkan hujan masih turun. Memang amat menyeronokkan berada di dalam taman Disneyland, terasa seperti kembali ke zaman kanak-kanak apabila melihat beberapa karektor yang begitu sinonim dan melucukan.

Selesai beriadah di Disneyland, kami menuju ke Central Hong Kong District, pusat beli-belah terkemuka di sini. Banyak pilihan dan harganya juga berpatutan, dari barangan berjenama sehinggalah yang dihasilkan di Hong Kong sendiri, rasanya lebih banyak masa perlu diperuntukkan untuk aktiviti shopping. Dari Central kami ke Mongkok, pasar malam ala-Petaling Street, niat di hati ingin mencari t-shirt 'Cap Ayam' dan sebagainya, hampa! Hampir kesemua kedai sedang berkemas-kemas untuk tutup. Kami cuma sempat membeli beberapa cenderahati kecil untuk dibawa pulang buat kenang-kenangan. Hari yang cukup panjang buat kami, keletihan tetapi masih tetap bertenaga!

Tips: Sekurang-kurangnya 4-5 jam perlu diperuntukkan untuk beriadah di Disneyland. Sila lawat ke web Disneyland Hong Kong untuk mengetahui jadual persembahan.

Tips: Mongkok tutup agak awal, sekitar 11pm. Pastikan datang lebih awal di sebelah petang. Selain dari Mongkok, Stanley Street juga terkenal dengan pasar malamnya.



DAY 4: Cultural Village in Shenzhen

Kami menuju ke tanah besar China, Shenzhen dengan menaiki MTR-KCR atau keretapi dari Tsim Sha Tsui. Dari sini kami perlu berhenti di stesyen Lohu, ada transit untuk tukar train supaya tidak terlajak ke Lok Ma Chau. Setelah keluar dari imigresen Hong Kong, kami berjalan kaki pula untuk masuk ke sempadan Shenzhen. Kami diarahkan untuk membuat visa di dalam kompleks yang sama, tetapi perlu beratur panjang selama 2 jam (high peak season). Selesai dengan urusan visa dan imigresen, kami menuju ke stesyen metro MTR Shenzhen yang terletak bertentangan dengan pusat Imigresen, untuk menuju ke destinasi hotel penginapan kami di The LOFT, Qiao Cheng Dong, OCT (Overseas Chinese Town). LOFT (were formerly gritty industrial areas but have since experienced gentrification. The warehouses contained within the neighborhoods have often been converted to trendy nightclubs or high-priced apartments and condominiums) di Shenzhen baru sahaja dibuka, dan secara tidak sengaja aku terbaca di Internet mengenainya, di sini ianya lebih merupakan 'modern arts and urban cultural village'.



Shenzhen

Setelah berehat seketika di The LOFT yang bercirikan Scandinavian ini, kami langsung menuju ke taman tema Splendid China dan Cultural Village yang terletak 20 minit berjalan kaki dari The LOFT kami. Agak ramai juga pengunjung yang berada di sini, dengan pelbagai aktiviti dan persembahan. Kami menuju ke bahagian Splendid China terlebih dahulu, miniature bangunan, objek, monumen bersejarah, perkampungan terkenal yang terdapat di serata Negara China yang besar dan pelbagai itu. Cukup teliti, halus dan tepat rekaan miniature yang dibuat di sini, membuahkan niat untuk melawat ke tempat sebenar seperti Great Wall, Imperial Palace, Lhasa dan lain-lain. Selain dari miniature tersebut, ada juga rumah-rumah bersaiz asal terdapat di bahagian Cultural village yang menempatkan beberapa rumah suku kaum minoriti seperti Uighur, Mongol, Xian dan Tibet. Apabila tirai malam berlabuh, satu persembahan kebudayaan pula dihidangkan kepada pengunjung di auditorium terbuka, persembahan menarik ala-Citrawarna tetapi dengan props yang lebih menarik dan grand. Babak-babak kewujudan Negara China dari zaman batu, zaman peperangan sehinggalah kini.

Selesai persembahan, kami bergegas menaiki MTR menuju ke Lao Jie, setengah jam perjalanan untuk membeli kain sutera dan cenderahati. Sekali lagi nasib untuk shopping barangan tempatan tidak kesampaian kerana pasar malam di Lao Jie baru sahaja bersurai. Dalam kelaparan dan melilau di jalanan bandar Lao Jie, aku terpandang beberapa orang penjual ala-Sate atau kebab yang muka mereka seperti berketurunan Turki. Dalam hati terdetik, mereka ini mungkin orang Islam Hui dari Xinjiang atau Xian. Aku bertanya kepada salah seorang yang berkopiah "Halal?", dia majawab "Halal!", "aku bertanya lagi "You Muslim? Islam?"... "Musulim... alhamdulillah" itu jawab beliau. Sate kambing yang paling sedap pernah kami makan! Agenda malam itu kami sudahi dengan bersantai menghirup Cappucino di salah sebuah cafe berciri Renaissance di LOFT.

Tips: Bayar tiket sekaligus untuk masuk ke Splendid China dan Cultural Village. Jika menginap di The LOFT, tiket boleh dibeli di sini dengan diskaun. Persembahan pentas bermula jam 7.30pm, tetapi pengunjung dinasihatkan berada di sini jauh lebih awal kerana banyak persembahan di serata Cultural Village. Sila bawa bekal makanan sendiri seperti roti dan buah-buahan.

Tips: Satu lagi tempat wajib dikunjungi ialah Windows of The World yang terletak tidak jauh dari Spendid China.

Tips: Makanan Halal boleh didapati di Shenzhen, masalahnya ialah tiada logo halal dan 'signage' restoran dalam tulisan Cina "Restoran Muslim-Halal'.


DAY 5: Leal Senado in Macau

Kami keluar dari LOFT agak awal kerana merancang untuk 'explore' kota pelabuhan Shijezhichuang, iaitu stesyen paling hujung di Shenzhen. Kami berjalan menyusuri deretan bangunan-bangunan pencakar langit dan akhirnya berhenti di Walmart untuk membeli sedikit buah-buahan, roti dan minuman. Kami pulang semula ke LOFT dengan berjalan kaki beberapa kilometer sebelum menaiki teksi menuju ke pelabuhan Sekou yang jaraknya 17km. Perjalanan ferry memakan masa 80 minit dan berhenti di pelabuhan lama Inner City Macau yang begitu terpencil.

Macau

Kami cuma mempunyai masa lebih kurang 2 jam sebelum perlu ke Lapangan Terbang Macau untuk menaiki pesawat untuk pulang. Dalam masa sesingkat itu, kami sempat meluangkan masa di Leal Senado atau Senate Square dan juga berhimpit-himpit berjalan melalui lorong-lorong sempit menuju ke St. Paul Ruins yang menjadi mercu tanda pelancongan Macau. Memang terserlah corak senibina Portugal dan Semenanjung Iberia ke atas bangunan-bangunan lama yang masih lagi tersergam gagah dan indah di Macau. Lorong-lorong sempit mengingkatkan aku akan kota-kota lama di Eropah, cuma bezanya di sini ialah papan tandanya berkaligrafi Cina. Memang tidak puas berada di Macau sebenarnya kerana masih banyak lagi tempat-tempat menarik belum lagi diterokai dan dilawati seperti muzium dan pusat kebudayaannya. InsyaAllah, suatu hari nanti, aku akan sampai ke Macau lagi. Kami menarik nafas lega dan puas sebaik sahaja memasuki pesawat AK511, walaupun betis dan tapak kaki kami terasa amat sakit dan lenguh.

Tips: Ada dua pelabuhan di Shenzhen, satu di Louhu dan satu lagi di Sekou yang kurang penumpang dan tidak sibuk. First Ferry Macau juga menjalankan perkhidmatan di sini.

Tips: Ferry dari Sekou berhenti di Inner City Macau dan bukannya Fisherman's Wharf. Bangunan buruk dan kecil di belakang jalan sempit, gambaran Macau sebenar 10 tahun lalu. Teksi dari sini ke Leal Senado mengambil masa kurang 10 minit, kalau tiada bagasi, berjalan kaki sahaja dari sini sambil melewati A-Ma Temple.

Wednesday, March 19, 2008

Travel: China..... Here We Come!!!


My creation

Esok 20 Mac 2008, aku dan Wan Hidayat akan pergi berziarah ke bumi China. 3 buah kota akan dijelajahi, bermula dari kota peninggalan penjajah Portugis - Macau, kota kosmopolitan dunia Hong Kong dan menyeberang ke tanah besar China ke kota Shenzhen. Setelah keputusan dibuat untuk ziarah ke kota-kota tersebut, kami mula melayari Internet untuk mencari maklumat-maklumat penting seperti tempat penginapan, tempat-tempat makan halal, kegiatan riadah dan sebagainya. Alhamdulillah, setelah hampir 2 bulan membuat pencarian, akhirnya kami berpuashati dengan maklumat yang diperolehi dan itinerari perjalanan pun menjadi lengkap. Paling kami khuatiri ialah makanan, memandangkan di Macau dan Hong Kong dikatakan sukar mencari makanan halal, maka pencarian banyak tertumpu pada soal asas ini. Setiap hari, berjam-jam masa dihabiskan untuk mengakses maklumat di Internet, akhirnya kami bersyukur dengan maklumat yang diperolehi. Ada sebuah restoran orang Melayu Muslim di Macau, lokasinya hanya menyeberang jalan dari hotel 4 bintang yang akan kami diami. Dari laman 'virtual tourist' pula, kami mendapat tahu ada sebuah masjid peninggalan tentera British dari benua India di Macau, di mana lokasinya tidak jauh dari hotel kami. Kami juga mempunyai senarai panjang dan terkini mengenai tempat makan halal di seluruh Hong Kong. Shenzhen mempunyai kelompok kecil masyarakat Islam yang berasal dari daerah-daerah lain di China, mungkin agak sukar mencari makanan halal di sini walaupun kami telah memperolehi senarai restoran halal di kota moden ini. Semoga perjalanan ziarah kami aman dan selamat. Selamat menyambut Maulidul Rasul kepada umat Islam di mana sahaja mereka berada.

Tuesday, March 18, 2008

Anita Was Here.......

Hampir seminggu Anita, Ai dan sepupu aku Darwis menghabiskan masa cuti sekolah di Miri. Setiap hari penuh dengan pelbagai aktiviti shopping dan makan-makan, kurang pula aktiviti riadah meninjau-ninjau bandaraya Miri. Aku dan Zoul mengambil cuti sehari untuk menjadi 'tour guide' membawa mereka ke Brunei, sekali lagi aktiviti dipenuhi dengan shopping dan makan-makan. Di Brunei kami singgah di ladang kuda milik Sultan Brunei - motif? Beratus-ratus ekor kuda dipelihara di sini, dari sekurus-kurus dan sekecil-kecil kuda, sehinggalah yang gagah bermain aksi di padang polo.

My creation

Terima kasih kepada Zana si 'Dietician' yang cantik molek itu kerana menyimpan 7 biji Cheese Cake untuk kami bawa pulang, kepada Nuriz yang sungguh baik hati itu, terima kasih jugak. Makan tengahari di Pondok Sari cawangan Gadong memang tidak mengecewakan, kali terakhir ke sini ialah semasa berbuka puasa bersama Nuriz, Zana dan rakan-rakan. Menu masakan Jawa memang sebati dengan kami, apatah lagi dengan 'ambience' yang seakan-akan di tanah seberang itu. Tidak sah ke Brunei jika tidak singgah ke Nazmi textiles dan membeli sutera Dubai yang unik coraknya. Banyak helai juga kain dipotong, termasuklah kain samping songket Brunei yang berbeza motifnya dengan songket Terengganu. Tidak cukup dengan tekstil, Bohemia Crystal yang terkenal itu juga diborong sekali kerana harganya yang cukup murah di sini. Kunjungan susulan akan dibuat sebelum Ramadhan nanti, tidak puas 'lihat-lihat' kata mereka.

Tuesday, March 11, 2008

Ikmal & Dina's Wedding

Malay Wedding

Majlis perkahwinan di antara Ikmal Azri bin Hj Abdul Rahman dan Dayang Hjh Erdina Fairuz binti Hj Hamdan telah berlangsung di Dewan Cancelor, Universiti Brunei Darussalam, 9 Mac 2008. Ikmal berasal dari Kulim, Kedah dan bertugas di Shell Miri, manakala Dina pula anak jati Brunei yang bertugas di Brunei Shell. Kami berkonvoi dari Miri menuju ke destinasi seawal jam 10 pagi, untuk sampai ke majlis yang dijadualkan bermula sekitar tengahari.

Malay Wedding

Para tetamu disambut dengan senyuman dan salaman mesra di pintu masuk ke dewan majlis, sambil cenderahati dihulurkan. Tetamu juga diiringi oleh 'dayang-dayang' untuk mengambil tempat duduk yang telah disediakan. Suasana tenang dan alunan muzik tradisional Melayu mewarnai dewan luas yang boleh memuatkan lebih 1000 orang itu. Sedang para hadirin menjamu selera, pasangan pengantin diarak masuk ke dalam dewan bersama-sama pengapit dan pembawa lilin. Acara ringkas ini berlangsung tidak sampai setengah jam, teman-teman rapat pula sempat naik ke pentas pelamin untuk mengucapkan tahniah dan mengambil kesempatan untuk berfoto kenangan.

DSC_0663

Wednesday, March 05, 2008

Photoessay:Senja itu.......

DSC_0343-1
langit biru petang itu
insan bertemu
DSC_0433
berbicara kisah kau, kisah aku
kisah kita, kisah dia dan mereka
DSC_0399
Senyum itu tanda bahagia?
Sekiranya kita tahu mencari
Nikmat yang diberi olehNya

DSC_0409
Ada wajah ceria
ada yang kurang rasa
manusia, sentiasa berbeza
DSC_0419
Senja semakin meruntun
namun jiwa sentiasa dituntun
ikutlah apa yang sudah disusun
DSC_0384-1
Di suatu petang, sedang mencuba kamera yang baru dimiliki. Lokasinya hanya 2 minit berjalan kaki dari pintu pagar rumahku. Masih terkial-kial untuk membiasakan diri dengan Nikon D40x ini. Dua orang rakan karib menjadi model, membuahkan cerita kerana sudah lama kami tidak bersua. Seorang dengan sifat sentiasa cerianya, datang menghulur cenderahati dari Korea, dan seorang lagi masih gagah berusaha untuk terus pulih dari derita sakitnya. Melihat gelagat manusia sekitar, mengkagumi bumi senja ciptaan Illahi. Gerak jari mengikut rasa hati, dari pandangan pancaindera nan terhad ini dan dari perspektif hakiki. Semua digarap menjadi foto-foto yang bakal mewarnai blog Tepak Sireh ini.

Saturday, March 01, 2008

Faces I Met....

Malaysian Faces

(From left to right: Dr. Rizman of UM, Nurul Serial Plant Killer, Malik-Fusion Boutique owner, Syed Faiz, Andhika Tharuna, 'A', Firdaus-jr.ex-UiTM, Kamal, Zaid, Yassin @ Perth, Rozz-Diva, Zaimi, Yazlan, RedMummy, Hizlan, Syarifah Dorah @ Melbourne, Mr. Assistant, Lily-lulu, Hantu Cina, Syawal, FendiOsman, Ismail, Zuraidah Naza, Lea Laurielle, Mr. Boyfriend)


Wajah-wajah yang yang aku bertemu, berbual, duduk bersama, makan-makan, minum-minum, ketawa-ketawa, berbincang, anyam ketupat, jeling-jeling, berfoto, berbalas senyum, bertukar fikiran... semasa aku berada di Kuala Lumpur selama lebih seminggu. Antara blogger yang aku 'dating' ialah Nurul Serial Plant Killer - terima kasih belanja lunch di Top Hat Restaurant, kalau waktu malam lebih romantik kan? Aku kumpulkan beberapa orang blogger sekaligus; FendiOsman, Andhika Tharuna dan Lily.lulu di Pavillion. Sementara aku berehat untuk lunch dari Workshop di KLCC, sempat juga makan-makan bersama RedMummy di Dome. Terima kasih kepada semua yang sudi lepak-lepak dengan Tepak Sireh. Dalam tergesa-gesa berlari anak di KLIA, terserempak pula dengan Lea Laurielle yang baru pulang dari Bandung you're tall, well composed, polite and sporting - the real Diva.

Terlalu banyak peristiwa yang hendak diceritakan, terlalu banyak berita yang hendak dikhabarkan dan terlalu banyak tempat hendak dipaparkan. Cukup sekadar jika aku memuatkan foto-foto di atas. Namun begitu, ada juga yang hendak aku ceritakan untuk dikongsi bersama.

Majlis makan malam informal di kediaman persinggahan bonda YAM Tunku Shahariah di pinggir Kuala Lumpur, aku ajak bersama rakan-rakan Zaimi, Razwill, Ismail dan rakan baru dari Bangalore yang bertugas di Shell KLCC, Rohit. Terima kasih kepada Farah (serta pembokat yang beberapa orang itu) yang bertungkus-lumus menyediakan makanan yang sungguh sedap dan menepati citarasa. To Tunku, thanks so much, terima kasih daun keladi, bulan depan kita jumpa lagi. Beberapa hari sebelum itu, aku menghadiri satu lagi majlis makan malam 'private' di rumah agam Yazlan, makan Royal Nasi Briyani Gam Johor. Tak sangka pula bertemu rakan dari Johor yang sudah lebih 10 tahun terputus hubungan, yang kini bekerja untuk Yazlan.

All in all, keberadaan aku di KL pada kali ini cukup menggembirakan, bertemu ramai rakan lama, dan berkenalan dengan rakan-rakan baru pula. Cerita makan-makan pula, terlalu banyak tempat yang disinggahi, dari makan di restoran Jepun 'Benkay' dengan tag price beratus ringgit, berulang-ulang ke Sukhumvit di Kampung Baru, Roasted Beef Rib di Chili's, hidangan Indonesia di Sundanese KLCC, pukul 3 pagi di Pelita, berCappucino di Carat Club, hisap cerut di La Bodega, karipap besar di Aroma Malaya, tempat wajib di Lala, menghirup Latte di Starhill Gallery, sehinggalah beberapa hari bersarapan di Nikko. Tetapi tidak pula bertambah berat badan, motif? setiap hari berjalan beberapa kilometer di pusat membeli-belah.... shopaholic attacked!

Aku juga sempat menghadiri kelas di Puncak Perdana, Shah Alam bagi menggantikan kelas akan datang di Kota Kinabalu. Aku terkejut juga apabila beberapa orang rakan sekelas berbisik kepada aku " you ada blog kan? Tepak Sireh"..."sssssshhhh... jangan bagitahu sesiapa, not yet, tunggu sampai aku dapat snap pic depa ni banyak-banyak dan story memacam ek.."..."ehhh.. si anu tu pun dah tahu kau ada blog"... eerrrkkk.....