Monday, December 22, 2008

Akad Nikah & Berinai: Norisah & Aman Shah

DSC_1351-2

Majlis walimatul-urus diantara Norisah Murad (keluarga memanggilnya Noreen) atau panggilan di kalangan rakan-rakan beliau Norish dengan pasangannya Aman Shah Kamaludin telah selamat disempurnakan dengan sungguh meriah. Bermula pada Jumaat, 12 Disember majlis akad nikah diadakan di Taman Putri, Kulai. Kemudian diikuti dengan majlis bertukar barangan hantaran dan hadiah manakala majlis khatam Al-Quran, berzanji dan bercukur dijalankan sebelah malamnya. Kemuncak majlis pada malam itu ialah acara berinai dan menepung tawar pasangan mempelai. Esoknya pula diadakan majlis bersanding dan santapan 'makan berdamai' di sebelah pihak perempuan dan majlis menyambut menantu di sebelah pihak lelaki diadakan pada hari berikutnya.

Sebagai abang yang sulung, sudah pastinya aku juga ikut sama sibuk memeriahkan acara-acara yang diadakan. Memandangkan segala persiapan bagi majlis ini telahpun diuruskan sendiri oleh kedua orang tua dan bakal pengantin, maka tidak banyak acara rewang-rewang atau gotong-royong perlu dilakukan, walaupun majlis diadakan di halaman rumah. Kita ikuti pengalaman majlis Walimatul-urus yang berlangsung selama 3 hari di Kulai dan Johor Bahru.

Akad Nikah

Majlis akad nikah ini diadakan seusai Solat Jumaat di Masjid An-Nur, Taman Putri Kulai. Hanya keluarga terdekat dan sahabat handai akrab sahaja hadir menjadi saksi kedua pasangan ini memeterai ikrar perjanjian pernikahan di hadapan Kadi dan Wali. Segalanya serba sederhana dan hening, almaklumlah akad diadakan di dalam masjid tanpa hiruk-pikuk dan riuh rendah para tetamu jemputan. Noreen diapit oleh rakan karibnya sejak dari bangku sekolah lagi, Awin yang turut mengenakan Baju Kurung serba putih. Selain dari Awin, adik-beradik perempuan lain Anita dan Zurah juga turut menemai Noreen, begitu juga dengan Mak dan Mak Ngah.

DSC_0875

Kadi agak terlewat hadir ke lokasi pada petang itu, membuatkan pengantin lelaki sedikit resah dan peluh di muka mula kelihatan. Aman Shah hanya duduk diam tanpa sepatah bicara, alas duduk berjahit labuci empuk mungkin sedikit membikin rasa selesa ketika itu. Noreen pula tenang dan bersahaja sambil bersimpuh berbual kecil bersama mereka di sekeliling - sudah bersedia bergelar isteri dalam umurnya.

Pak Haji yang menjadi Kadi pada petang itu merupakan bekas Guru mengaji aku semasa kecil-kecil dulu, kami pernah tinggal berdekatan suatu ketika dulu. Sesampai sahaja beliau ke dalam masjid, aku terus menyapa beliau dan bersalaman, dan sepantas itu juga terhambur keluar dari mulut beliau "Kamu bila lagi? tunggu apa lagi? nak saya carikan???.......". Aku memang sudah cukup sedia untuk mendengar soalan-soalan sebegitu, sudah lali.

Dengan sekali lafaz akad sahaja, Aman Shah dan Norisah sudah sah bergelar suami-isteri - Alhamdulillah! Doa pun segera dipanjat tanda kesyukuran, berjujuran airmata sang suami membasahi pipi, ingin sahaja aku selami apa perasaan beliau ketika itu, tetapi satu perkara yang pasti - perasaan GEMBIRA.

Akad Nikah

Kadi memanggil pula Noreen, menanyakan beberapa soalan bagi memastikan yang lelaki di hadapannya adalah lelaki yang ingin dikahwininnya dan setuju untuk dinikahkan. Selesai akad dilafazkan, si isteri perlu menandatangani beberapa helai surat yang dikeluarkan oleh Majlis Agama Islam Negeri Johor. Kemudian kedua mempelai perlu melafazkan pula Ikrar Sakinah seperti di bawah;

Pihak Lelaki;

Adalah saya, (nama suami), suami kepada (nama isteri), yang telah menerima tanggungjawab, dengan ini menyerahkan kepada isteriku dengan mas kahwin sebanyak RM 22.50 tunai. Oleh itu, hendaklah kamu, isteriku, menunjukkan taat setia kepadaku sebagai suami dengan mengikut segala perintah dan nasihatku selagi mana ianya tidak bercanggah dengan hukum Islam dan undang-undang negara.”

Pihak Perempuan;

Adalah saya, (nama isteri), isteri kepada kekanda dengan penuh kesyukuran menerima mas kahwin ini sebagai tanda ikatan murni dan suci dan akan menumpukan sepenuh perhatian terhadapmu dan taat setia yang tidak berbelah bahagi kepada kekanda, dan adinda mengharapkan kepada kekanda agar sentiasa memberi bimbingan dan nasihat serta tunjuk ajar demi kepentingn dan kebahagiaan bersama. Semoga Allah merestui perkahwinan kita.”

Mak dan Abah juga perlu membaca beberapa baris Ikrar Sakinah yang hanya terdapat di Negeri Johor ini, melepaskan anak perempuan di bawah tanggungannya kepada si suami. Maka berjujuranlah airmata Mak ketika membaca ikrar tersebut, begitu juga dengan beberapa orang hadirin yang ada - sayu, terharu dan sebak menyelubungi suasana ketika itu. Selesai bersalaman, hadirin meninggalkan Masjid An-Nur untuk menuju ke rumah pengantin perempuan yang terletak berhampiran.

Majlis Bertukar Barang Hantaran Perkahwinan

Rombongan pihak lelaki yang datang bersama 7 dulang barang hantaran disambut mesra oleh kaum keluarga. Maka bermula pula sesi ramah-mesra antara ketua keluarga, bersambut bicara tanpa pantun seloka dan bertukar hadiah cenderamata. Kemuncak acara ialah si suami memakaikan seutas rantai tangan di pergelangan tangan isteri sambil disaksikan oleh Mak dan beberapa orang wakil pihak suami. Selesai barang hantaran bersalin dulang perak tembaga, hadirin dijamu selera dengan masakan ala-Johor - antara lauk kegemaran aku ialah Gulai Sayur Nangka dan Sambal Tumis Udang.

DSC_0978-2

Rombongan pihak lelaki dan Aman Shah pulang ke Johor Bahru setelah selesai sesi menjamu kudap-kudapan. Aku pula sudah mula sibuk bersiap-siap untuk ke pasar berdekatan, aku menjadi Chef Rush pada petang itu - menyediakan jamuan makan malam bagi beberapa acara yang akan dilangsungkan. Dengan dibantu oleh 3 orang Assistance Chef, aku memasak Nasi Jagung Berempah, Ayam Masak Merah dan Acar Rampai. Rasa berbesar hati kerana dapat menyediakan juadah bagi lebih 200 orang hadirin, dan ianya tugas yang tidak begitu sukar buat aku yang memang sudah biasa memasak dalam kuantiti besar.

Pelamin dari D'Airish Bridal House

Seawal hari Khamis lagi, canopy dan rerangka pelamin ini telah didirikan manakala bunga-bunga segar dari jenis Daisy berwarna biru (dyed) dan putih berserta mawar putih telah siap digubah. Tema di pihak keluarga kami ialah biru dan putih, maka segala perhiasan serta pakaian sedaya mungkin akan mengikut tema warna ini. Pelamin 3 tingkat ini pula didirikan di bawah canopy yang terletak di halaman rumah, Petarakna bersalut warna emas diletak di atas hamparan biru manakala Bunga Pahar dan Wajik diletak di kanan-kiri Astakona.

Segala pakaian pasangan pengantin, solekan, jurufoto dan persiapan pelamin serta khemah disediakan oleh D'Airish Bridal yang terletak di Skudai, Johor. Bridal House kepunyaan Anita ini sudah mula menempah nama di Johor Bahru, dan kepada sesiapa yang berminat menggunakan perkhidmatan D'Airish Bridal, bolehlah menghubungi Anita seperti nombor telefon di atas. Diskaun akan diberikan kepada pembaca Tepak Sireh.

DSC_1000

Majlis pada malam itu bermula dengan acara Khatam Al-Quran oleh pengantin perempuan. Pelamin yang serba ringkas dan sederhana dibina khas untuk acara ini. Adik Zurah menemani Noreen di atas pelamin semasa acara Khatam Al-Quran ini manakala Guru Al-Quran memantau bacaan surah-surah tertentu dan mengimamkan bacaan doa. Selesai acara ini, maka bermula pula acara Berzanji dan Marhaban sambil acara Bercukur anak sepupu diadakan serentak. Seperti lazimnya, jemaah atau hadirin yang berzanji marhaban ini terdiri dari kaum wanita, rakan-rakan Mak di tempat mengaji Al-Quran serta jiran-tetangga dan keluarga yang datang berkunjung. Terasa sungguh kemeriahannya dengan alunan Marhaban yang memuji-muji Baginda Rasulullah.

My creation
Align Center

Selesai Marhaban segala, disambut pula paluan bunyi Kompang dan Jidur (Rebana Jawa) dari arah luar rumah. Rombongan pengantin lelaki muncul sambil diarak dengan bunyian dan Bunga Manggar. Maka bermula pula acara Berinai Besar pada malam itu, pengantin lelaki disambut oleh pihak pengantin perempuan lalu disandingkan di atas pelamin oleh Mak Andam. Sambil hadirin menjamu selera dengan pelbagai lauk-pauk dan kuih muih pemanis mulut, pasangan pengantin pula duduk tersenyum menanti upacara Menepung Tawar dimulakan. Mak dan Abah memulakan acara ini dengan mencalitkan kapur dan bunga rampai ditelapak tangan mempelai, kemudian direnjis-renjis air mawar lalu bersalaman dengan kedua mempelai. Aku juga tidak melepaskan peluang yang jarang-jarang diperolehi ini.

Majlis tamat agak lewat pada malam itu, apatah lagi dengan adanya sesi karaoke terbuka di halaman rumah. Para Penanggah yang ikut sama rewang menyediakan juadah untuk majlis esok hari, masih lagi bersemangat untuk berkaraoke dan bersembang hingga lewat pagi. Majlis bersanding yang akan diadakan sepanjang hari keesokannya sudah pasti akan lebih meriah dengan kehadiran lebih 1000 orang tetamu.

37 comments:

suesamsudin said...

wah...cantiknya pengantin dgn hiasan2 tu semua....moga kekal hgga ke syurga....amin amin amin....

Along Abdul Karim said...

Alhamdulillah.. SELAMAT LANGSUNGNYA!! Teringat waktu majlis pernikahan cousin Along hari tu.. suasana jadi sayu saat Tok Kadi yg juga merupakan ayah pengantin perempuan terkedu seketika waktu membacakan 'penyerahan tanggungjawab' tu... memang emo habis ler waktu tu ;D

Kata nyer tak de soalan cepu emas kali nie ;p Sekali yg tanya tu Tok Kadi daaa.. jawab ape? hehehe...

Pelamin tu memang chantek ler!! Pengantin pun sama cantik sama padan... Tahniah buat pengantin dan keluarga pengantin semuanya :D

A f f e n d i O s m a n said...

aritu waktu mawi kawin pun ada gak

adalah saya suami
adalah saya isteri

sungguh penuh dengan adat!

ada buat ambor-ambor tak? ala yang baling gula2 untuk budak2 tu!

zackzara said...

Alhamdulillah..syukur segalanya selesai. Gambar2 ni cantik2 semuanya ..plus with Biru+Putih ..majlis ni memang nampak sgt2 meriah.

Akan ada Part II tak? :)

addyaholix said...

cantik gambarnya!
orang cakap gambar cantik hasil dari photographernya..

Nughol said...

macam best.. sebb buat kat umah.. masak sendiri.. rewang2.. ermm.. kat sini tak ramai dah yg buat cara traditional kot.. semua amik senang jer.. cater jer.. abis citer.. tapi, salute la bro! masak utk ramai org..!kite masak utk less than 100 pun dah penat..ape lagi nak masak for 200! betuah adik2 bro dpt abg long yg best erkk?? heheh..

congrats to both couple!didoakan bahagia hingga ke akhir hayat.. amiiin...

rhymee suhaili said...

akhirnya, entry ditunggu... mana stau budak bwh umur tuh?! hihihks (^v^)

Tepak Sireh said...

suesamsudin - amiinnn... semoga kebahagiaan mereka kekal sehingga ke akhir hayat. Tq for the doa.


Along - adalah sedas dua soalan cepu mas tu, masuk telinga kiri, keluar telinga kanan...


fendi - tu standard kat Johor, memang kena baca Ikrar Sakinah tu, siap ada microphone supaya semua orang leh dengar. ambo-ambo cuma di pihak lelaki, bunga rampai+gula-gula+duit.

Tepak Sireh said...

zara - alhamdulillah... semuanya berjalan sangat lancar n meriah. Yes, ada part II, lagi meriah pics tu semua.. maklumlah hari besar di kedua belah pihak...


addyholix - thanks bro! i ni baru belajar nak cari teknik dan sudut yg betul... beratus2 keping pics i ambik, less than half yg menjadi... :)


Nughol - plan asal di dewan, then di taman.. last sekali di halaman rumah. Masak sendiri utk acara kecil, acara besar esoknya memang guna catering yg masak di rumah kami. thanks for the wishes...


suhai - pic sapa? bawah umur? belum boleh tunjuk... ssshhhhhh....

NONIE AZIZ said...

cantik..selamat pengantin baru utk Noreen dan suami..Semoga bahagia hingga ke akhir hayat.

Luaq Dome Ezplanade said...

Salam & Tahniah diucapkan kepada Aman Shah & Noreen yang telah selamat diijabkabulkan. Semoga berbahagia hingga ke anak cucu dan terus sukses dalam kehidupan. Insyallah & Amin~!...and the wedding memang meriah and warna pelamin combination memang nice...good job~!

Inah said...

waah..meriah!! menunggu2 waktu abg tepak punye majlis pulak :)

Faisal Admar said...

cutenye warna biru putih abang! suka sangat. biru is my favorite color... kena dengan putih nampak cute!

pandai le abang ambil pic. perfect!

Sa-Yu-Ri said...

warne putih & biru tu cantik sgt....penggantinnye pon cantik gak. waitin for your turn lak :)

Lily.Lulu said...

sukanya kita tengok ...
baju pengantin cantik ...
suka suka suka
dok senyummmm aje dari tadi
hehehehe

congrats to ur sis!!!
moga berkekalan hingga ke akhir hayat .. Insya-Allah
:)

Anonymous said...

Rush,
Patutlah lama tak update blog, rupanya bercuti dan ada majlis. Tahniah buat pengatin dan family. Didoakan semuga berbahagia melayari bahtera perkahwinan. Nice pictures, great job Rush!

-cintakyra

Tepak Sireh said...

Nonie - Thanks :)


Kerol - tq! seharian mata nampak haru-biru coz all of us pakai baju kaler biru...


Inah - i dah set my wedding date... just tunggu ekkk... :D


Faisal - blue used to be my fav colour, tapi la ni... semua kaler i hantam... i ambik pic biasa jer, tak guna camera canggih n NO photoshop... :/

Tepak Sireh said...

Sayuri - thanks! nanti u jemput u n Inah sekali ekkk... i nanti nak pilih kaler 'copper'... "D


Lily - teruja kah? hahahahaa...thanks dear! can't wait to see urs plak....



cintakyra - Ya, pi balik Jb almost a week. selain dari wedding, actually ada function lain... thanks for the compliments! :)

addyaholix said...

sekurang-kurangnya ada jugak yang menjadi bang. drpd langsung tak jadi =)

saya masih belajar. baru plan nak beli camera. nanti bolehlah berguru ngan abg tepak!

arsaili said...

salam...tahniah kat ur sis dan seisi keluarga...
InsyaAllah nanti tahun depan kalau jadi projek ke Europe, saya akan balik msia kejap..bole jumpa

CaTwOmEnS said...

Muga bahagia sampai akhir nafas..
Abg bila lagii...??? Kui..kui....

Tepak Sireh said...

addyholix - nasib baik digital ekkkk... snap ler byk2, then boleh pilih2.... nanti bila abg dah pindah setiawangsa, boleh kita pi outing photoshoot ekkk...



arsaili - thanks bro! ramai sungguh nak pi ke Europe next year :D InsyaAllah, boleh jumpa... maybe i dah kat kl masa tu..


Catwomens - tq! i ni...eermmm... nak cari anak mami.. combi... (feeling2 baru lepas tengok mami jarum jr.) :O

WanHidayat said...

Semua org tunggu entry nih...hahahaha...akhirnya...warna warni...meriah dan cantik segalanya...

Tahniah buat Norish dan Aman...semoga ijab dan kabul mendapat rahmat dan keberkatan dariNYA....bila abg kawen nanti...sy plak akan jadi photographer...dan kipas2 waktu bersanding...saya takkan cas apa2...hehehehehe

Anonymous said...

Salam,

InsyaAllah, esok akan ke Jakarta dan Bandung.Terima kasih bagi map hari tu, baru berpeluang menggunakannya.

Adios....
zaharahs

mOhD^.^rAz said...

Wah..suka warna baju sanding..hijau..my feveret color..comel bangat..

xiiinam751 said...

Sebuah majlis yang teratur, penuh tertib, beradun dan masih menjunjung agama dan adat...


Habis, soalan Pak Haji tu....tak baik tak jawab soalan orang tua!!
Soalan tu!

CAHAYA said...

ada diskaun eh? Encik TS ke yang ambil gambar ni?

Tepak Sireh said...

Wan Hidayat - kalau i kawen, u kena jadik pengapit.... tak pun, kita kawen serentak... amacam? 2 in 1... hhahahaaa...


zaharas - selamat bercuti... jangan lupa ole-ole nya mbak yaaa... :D



mohd raz - suka hijau ekkk.. i pun ada baju melayu kaler hijau pucuk pisang tuuu... dah tu pakai samping kaler pink... malathop!!!

Tepak Sireh said...

ckLah - alhamdulillah, majlis serba sempurna dan masih ikut adat.....soalan Pak Haji tu.... i KIV dulu lah yerrrr... tak per, Pak Haji tu paham.... :O



Cahaya - yes, D'Airish tu adik-beradik i punya... kami buat sendiri semua... so pembaca TS boleh dapat diskaun... dan seorang blogger dari KL tu pun dah engaged dgn bridal kami ni (siapakah blogger femes itu???)... Yup, semua pic tu i yg mabik guna camera cabuk jerrrr....

addyaholix said...

outing photoshoot? waa best best. saya tunggu abg balik sini =)

Norae said...

salam abg rashidi...

tahniah.. dapat ahli keluarga baru.. mudah-mudahan bertambah meriah.. :). Patutlah dah lama tak update, balik kampung rupanya yeaa..

p/s: Apa jawapan bg soalan yg Pak Haji tu nanya.. ? kekek

CaTwOmEnS said...

Nak cari anak mami combi ekkk..
Pakat mai la penang abg oiii.. :P

[danial][ma] said...

hej! rush...congrats to your sis, you and family of a new member in the family...may both bride and groom be blessed with great love...;-)

Tepak Sireh said...

addy - insyaAllah.... :)

Norae - Salam to u....thanks! ya, i balik kampung sekejap... soalan Pak haji tu jawab dalam hati jer laaaaa.... :D


Catwomens - dah beberapa kali pi Penang cari anak mami combi... tapi sorang pu tak sudi... lagu mana laaaaa lagi i nak cari.. rekomen kan? :D


danialma- thanks bro!

Shopaholic Mama said...

wow you actually cooked for 200 ppl & you made it sound easy! if me, dah pengsan lor..

Congrats to yr Sis too!

Lily.Lulu said...

abang tepak ..

happy new year 2009 !!!
:)


may our friendship remains forever ...

ummphs.. said...

hi.
nak tanyala : d' airish bridal tu - ade contact no tak?
thanks!